Saturday, February 25, 2006

Khilaf Dan Bukan Khilaf

Khilaf dan bukan khilaf.

Tidak semua perkara dalam Islam dibenarkan khilaf. Jangan berlagak pandai dan mengatakan bahawa – Islam agama yang bersikap terbuka dan menerima khilaf – sekiranya anda tidak menyedari bahawa, tidak semua perkara dibenarkan khilaf.

Biar saya datangkan satu contoh.

Tuhan itu satu. Sekarang, cuba bawakan saya satu dalil yang menunjukkan bahawa kita boleh khilaf dengan perkara ini. Adakah dengan teori khilaf kita boleh mengatakan bahawa Tuhan itu dua, tiga? Dan apa anda akan katakan kepada orang yang mengkhilafi perkara ini? Adakah anda mengatakan dia setakat berdosa sahaja tanpa melangkau lebih jauh lagi – bahawa dia telah kafir!

Kerana itu, apabila dalam semua perkara, kita seolah-olah diminta bersikap terbuka, berfikiran lapang, belajar menerima pendapat orang, tidak terlalu tegas dengan pendapat sendiri, tetapi cuba anda beritahu saya, adakah wajar anda berlapang fikiran dan menerima pendapat orang yang mengatakan bahawa Tuhan itu dua? Adakah salah kalau saya katakan bahawa dalam hal ini, tidak ada lagi apa yang dinamakan ‘tasamuh’ (tolak ansur) dengan perbezaan pendapat, kerana ia menyalahi apa yang tidak boleh disalahi. Bahawa menyalahi hukumnya kufur.

Saya sangat marah apabila dalam setiap perbincangan dan natijahnya adalah khilaf dalam pendapat, masing-masing membuat keputusan, ia khilaf. Apa sudah dilihat, dikaji, diselidik, apakah perkara itu sesuatu yang dibenarkan khilaf? Atau khilaf padanya sesuatu yang dilarang keras?

Betapa saya juga sangat sedih, apabila mereka yang tidak faham berterusan dengan pendirian dan keras kepala. Cuba anda bayangkan. Dalam satu zaman yang sama, ada 4 mazhab. Kewujudan 4 mazhab ini memberitahu sesuatu kepada kita – bahawa, mereka berselisih pendapat. Mereka juga khilaf. Tetapi, mereka saling menghormati pendapat orang yang lain. Ini kerana mereka sedar, khilaf yang berlaku adalah pada perkara yang dibenarkan.

Kemudian, datang satu orang, dan dia juga khilaf. Tetapi, apabila qadi-qadi daripada 4 mazhab itu sepakat menentang orang ini, bahkan menangkapnya dan meminta dia istitabah, minta bertaubat, minta dia menarikbalik kenyataannya, kita patut sedar bahawa orang ini telah khilaf pada sesuatu yang tidak dibenarkan. Mengapa mereka yang bertaraf allamah dan tahu hukum dan dalil tidak menyerang sesama mereka tetapi sebaliknya, menyerang pendapat orang ini? Itulah menjelaskan, bahawa tidak semua perkara boleh khilaf. Bahawa mengkhilafi perkara yang dilarang hukumnya adalah – kafir.

Saya sangat kecewa, apabila dipenghujung suatu bicara, masih ada yang mempertahankan orang ini dengan kata-kata – dia adalah mujtahid. Dan mujtahid, boleh sahaja khilaf dengan pendapat orang lain.

Apakah mereka tidak mendengar kalam daripada Imam Syafii (seorang mujtahid mutlak) apabila ditanya mengenai Tauhid – kami telah memfaqihi ini (Tauhid) sebelum itu (Feqah). Bahawa, khilaf mazhabiah dalam Feqah sama sekali tidak menjejaskan ketetapan Tauhid. Bahawa – saya ulangi sekali lagi – seorang mujtahid pun, tidak akan khilaf pada perkara yang tidak boleh khilaf padanya.

(Imam Syafii bukan sahaja seorang yang faqih dalam Feqah, bahkan menguasai banyak ilmu lain. Namun, nama beliau lebih tersohor dalam Feqah.)

Begitu juga, antara syarat seseorang itu menjadi mujtahid adalah – mengetahui semua masalah yang telah diijmakkan oleh mujtahid sebelumnya agar dia tidak menyalahi sesuatu yang telah ijmak. Bagaimana layaknya saya, menerima sikap ‘mempertahankan orang ini’ dengan alasan – dia telah dianggap mujtahid- apabila jelas, dia bukan sahaja melakukan khilaf pada perkara yang tidak dibenarkan khilaf, bahkan mengkhilafi pada berpuluh-puluh masalah yang telahpun diijmakkan oleh ulamak.

Melanggar yang asas dalam Tauhid, melanggar yang telah ijmak dalam Feqah dalam berpuluh-puluh masalah.

Terus-terang saya katakan, saya menolak pendapat orang yang mempertahankan ‘dia’, kerana apa? Kerana Qadi besar dari 4 mazhab telah menolaknya, itu satu. Mengkhilafi sesuatu yang tidak boleh khilaf padanya, itu dua. Dan tiga, menyalahi perkara-perkara yang telah diijmakkan oleh mujtahid.

Lepas ini, jangan anda cuba mempertahankannya.

al_jantanie
manhumi_ilm

Malhuzat 1: Pengarang kitab Aqidah Tohawiyah telah menyatakan – bahawa sesiapa yang menyerupakan Allah dengan makhluk, maka dia telah kufur.

2 comments:

tawel said...

Al Jantanie, bagaimana tentang pendapat sesetengah golongan yang menyesatkan akidah Asha'ari dan Maturidi yang menjadi asas akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah? Khilaf atau itulah iktikad mereka kepada kita?

Kadang-kadang pelik juga dengan sikap 'mereka' tu.

mohd zaki said...

Perlu ditangani.