Saya mempelajari istilah ini ketika mengikuti Program Sihat Tanpa Aids Untuk Remaja, ketika bergelar pelajar tingkatan lima. Ia istilah psikologi, bermaksud menyatakan (menunjukkan) perasaan, pendapat, reaksi secara jujur, dalam masa yang sama tidak memanipulasikan, memanfaatkan atau merugikan pihak yang lain.
Dalam asertif yang saya belajar, adalah berani untuk menyatakan 'tidak' apabila diajak atau dipelawa pihak lain, tanpa rasa bersalah atau takut aka bimbang melukakan pihak lain. Asertif mengumpulkan dua aspek penting bagi saya - belajar mempamerkan kemahuan diri tanpa pura-pura atau terpaksa atau dipengaruh kemahuan orang lain, dan dalam masa yang sama, dengan cermat tidak menjejaskan hubungan dengan yang lain.
Sebagai contoh, seorang sahabat mengajak anda membuat sesuatu yang sememangnya tidak salah, tetapi anda tidak minat, atau tidak mahu, lalu menyatakan secara asertif bahawa anda tidak mahu. Kebanyakan orang akan cenderung untuk tidak bersikap asertif dan menerima saja kemahuan orang dengan alasan tidak mahu melukakan hati orang lain.
Bagi saya, asertif yang saya faham adalah, bukan bersikap mementingkan diri hingga mengabaikan langsung kemahuan orang lain, tetapi tidak mengorbankan kepentingan diri pada masa yang sama apabila bertembung dengan kemahuan orang lain. Asertif jika salah difahami akan menjadi seolah-olah sikap mementingkan diri sendiri tetapi ia tidak.
Asertif adalah suatu ekpresi perasaan, atau ekpresi pendapat, yang jujur tetapi tidak melukakan lawan dan tidak mengaibkan diri. Mereka yang non-asertif seringkali berpendapat untuk 'menjaga hubungan' tetapi 'menipu diri sendiri' kerana enggan menjadikan pihak lain sakit hati, padahal sekiranya mereka meneruskan komunikasi sebegitu, ia masih akan mengancam hubungan dan komunikasi itu sendiri di masa depan.
Pihak yang bersikap non-asertif akan memilih untuk memendamkan perasaan dan pendapat diri, menutup semua perbezaan demi alasan tidak melukakan yang lain. Difahami, asertif adalah menyatakan pendapat dan perasaan secara jujur, tetapi tidak melampau hingga memestikan dia memenangkan pendapat dan perasaan sendiri, hingga melukakan yang lain.
Baca
Secara kasarnya, saya sendiri juga, bersikap non-asertif di mana enggan mengabaikan kemahuan pihak lain sedangkan diri menolaknya. Saya suka, untuk bersikap asertif yang tidaklah mementingkan diri semata-mata, tetapi tidaklah juga mengabaikan kemahuan diri langsung. Bolehkah kalau begitu? Mahu cuba?
Malhuuzaat:
Berapa peratus sikap asertif anda?
No comments:
Post a Comment