Thursday, October 05, 2006

Pantun Raya

Kawan saya buat kad raya, meminta saya mencarikannya pantun. Mencari pantun susah, lebih mudah buat sendiri, kata saya. Dia bilang, mahu pantun untuk ibu bapa, yang sedang-sedang padan. Saya merangkakan beberapa rangkap, mulanya ditujukan pada ibu dan bapa, kemudian melalut kepada pantun cinta. Baca.

Rendang lodeh ketupat lemang,
bahulu tat semua dihidang,
mak ayah adik dan abang,
kita santap jauh di seberang.

Dari kuali pindah ke talam,
dari talam sampai ke pinggan,
dari hati pindah ke qalam,
dari qalam sampai ke tangan.

Kususun huruf menjadi kalimah,
kuatur kalimah menjadi ayat,
kususun tapak menjadi langkah,
kuatur langkah menjadi dekat.

Detik bertukar menjadi saat,
minit bergabung menjadi jam,
denyut bertukar menjadi cepat,
hati bergabung menjadi agam.

Ribu-ribu patah diatur,
diatur kemas menjadi bicara,
ribu-ribu bicara diatur,
diatur kemas menjadi cinta.

Oh ya. Untuk Amli, maaf tak dapat hantar kau balik. Selamat meneruskan perjalanan, dan menjalani hidup masa depan.

No comments: