Majalah: SUKEJ
Edisi: 112
Kolum: Untukmu PMRAM
Genre: Artikel Laporan
Terbitan: Mac 2008
Oleh: Mohd Zaki M.Noor
Usaha untuk memartabatkan penulisan, sama ada penulisan kreatif mahupun non kreatif mendapat perhatian yang sewajarnya daripada PMRAM dengan penganjuran Kem Latihan Penulis (KELAP 2007) bermula dengan siri I pada 8 Julai yang lalu dan diteruskan dengan KELAP Kali Kedua pada 2 dan 3 Februari 2008 yang lalu. Kepentingan penulisan sebagai satu alat penyampai semakin diterima dan disedari, apatah lagi dengan sambutan yang boleh dikira sangat memberansangkan pada kedua-dua penganjuran program tersebut - hampir 90 hadirin pada KELAP Pertama dan 70 orang pada KELAP Kedua.
Kedua-dua siri KELAP ini telah diadakan di Asrama Pelajar Johor, Hayyu Thamin dengan tumpuan diberikan kepada penulisan kreatif (KELAP Pertama) dan Penulisan Artikel (KELAP Kedua). Program ini bukan saja mendapat perhatian berpuluh-puluh peserta, tetapi turut memancing perhatian Presiden PMRAM sendiri, Ustaz Hairul Nizam Mat Husin untuk merasmikan program tersebut.
Usaha PMRAM ini juga mendapat perhatian dan bantuan daripada Mohd Nazmi Yaakub, seorang wartawan sastera di Berita Harian yang turut serta secara online melalui perkhidmatan Yahoo Mesengger. Dalam KELAP Pertama, satu slot khas bersama beliau secara maya diaturkan untuk mendapatkan beberapa maklumat, pendapat, cadangan dan teguran terutamanya mengenai penulisan kreatif. Turut bersama beliau ketika itu S.M. Zakir yang merupakan Setiausaha Agung PENA, turut memberikan buah fikir dan kepentingan penulisan kreatif di tanah air. Manakala pada KELAP Kedua, satu slot khas bersama dengan Timbalan Setiausaha Agung PENA, untuk perbengkelan sajak.
PENA adalah singkatan kepada Persatuan Penulis Nasional, di tanah air.
KELAP Pertama merupakan program anjuran BPP PMRAM yang dirancang dengan gabungan dua pengisian yang dicatu bersama; iaitu pembentangan mengenai penulisan kreatif dan dituruti pula oleh bengkel. Slot ‘mengapa perlu menulis dan mengapa perlu kreatif’ disampaikan oleh Saudara Hisyam Mohamad, slot ‘komponen cerpen’ disampaikan oleh Saudari Khadijah @ Sammatuha Najwa, dituruti oleh slot ‘nilai kreatif dalam sastera kreatif’ yang disampaikan oleh Saudara Mohd Zaki M.Noor. Slot sumbang saran mengenai aktiviti penulisan kreatif turut mendapat pelbagai cadangan termasuk mewujudkan perpustakaan kreatif mini, melibatkan pengumpulan bahan-bahan bacaan kreatif yang bermutu.
Bengkel yang bermula selepas Zohor menyaksikan sambutan yang diterima semakin hangat dengan jumlah hadirin yang semakin bertambah. 10 cerpen dan dua sajak dibengkelkan oleh 4 orang moderator termasuk Saudari Saidah Salim daripada Iskandariah. Walaupun program ini boleh dikira agak panjang, namun komitmen yang diterima termasuk daripada BPP PMRAM sendiri, Ustaz Muiz, amat membanggakan dengan hampir semua yang hadir terus setia mengikuti majlis hingga ke akhirnya.
KELAP Kali Kedua pula mempersembahkan pembentangan penulisan artikel oleh BPP PMRAM sendiri, juga pembentangan desainer dan diskusi antologi
KELAP yang merupakan sebuah program pendedahan penulisan dan bengkel merupakan aktiviti tahunan yang dijalankan oleh PMRAM demi membina generasi penulis yang berterusan di Mesir ini. Ia wajar dianggap sebagai satu wadah dan lapangan untuk penulis-penulis baru berkongsi pengalaman, pendapat dan mengutarakan permasalahan berkaitan dengan penulisan. KELAP boleh dianggap sebagai medan dan pentas bagi memupuk kemahiran menulis bagi calon-calon penulis.
PMRAM mengorak selangkah ke hadapan dengan mengumpulkan penulis-penulis baru yang menyertai KELAP ini dengan mewujudkan keahlian KELAP, demi memantau dan menyebarkan maklumat-maklumat berterusan mengenai aktiviti-aktiviti KELAP di masa akan datang, seperti bengkel, konferens, antologi dan sebagainya. Peluang KELAP untuk mengadakan usaha sama bersama beberapa Badan-Badan Penulisan di Malaysia kelihatan semakin cerah. Ini terbukti dengan pelawaan daripada Nazmi Yaakub kepada KELAP untuk turut serta dengan majlis bicara ilmu, dengan tajuk, ‘Iqbal: Sasterawan dan Pemikir Agung Islam’.
BPP PMRAM juga mengolak langkah mewujudkan e-mel KELAP demi memudahkan sebarang urusan dan hubungan berkaitan KELAP. E-mel tersebut adalah kelap_pmram@yahoo.com. Blog khas untuk KELAP turut dibina demi memaparkan aktiviti yang dirancang untuk KELAP dari masa ke semasa. Laman itu boleh dilawati di alamat http://kelappmram.blogspot.com.
Beberapa cadangan yang menarik boleh diperhatikan semasa program ini. Cadangan seperti mengumpulkan RM 1500 atau USD 500 dolar sebagai target dana penerbitan harus dilihat sebagai positif demi menggalakkan lagi minat siswa dan siswi kepada penulisan.
Apa yang diharapkan kepada semua peserta KELAP adalah untuk membuktikan program ini tidak menjadi sia-sia dengan usaha-usaha lanjutan, mula menulis dan menghasilkan karya. Alangkah sayangnya sekiranya program PMRAM yang menelan belanja yang agak besar ini tidak dimanfaatkan dan pengisiannya tidak dipraktikkan dengan penghasilan karya daripada peserta. Malah, sumbangan balas daripada peserta kepada PMRAM adalah amat-amat dialu-alukan dengan bahan-bahan yang ditulis untuk diterbitkan.
KELAP anjuran BPP PMRAM ini harus dihargai dan kewujudannya harus didokongi, kerana ia adalah langkah-langkah pertama dalam mewujudkan generasi penulis yang berterusan di sini. Namun, penulis bukan lahir daripada program tetapi lahir daripada keinginan yang tak pernah padam. Peluang dan ruang bagi penulisan terutamanya penulisan kreatif sangat luas dan menjanjikan, baik di sini lebih-lebih lagi di tanah air.
No comments:
Post a Comment