Sejak akhir-akhir ini, saya telah merasakan saya sudah menjadi terlalu sombong. Saya menjadi seorang yang keras kepala. Maksud saya, pada pendapat dan pegangan saya. Saya susah mahu mendengar pendapat orang lain, lagi-lagi pada perkara yang saya tahu benar. Pada urusan yang saya cam sangat. Pada pengalaman yang saya sendiri telah lalui.
Dan di saat-saat seperti ini, saya selalu terfikirkan. Adakah menjadi seorang yang semakin tua, atau semakin berusia, atau kesedaran bahawa umur saya makin lanjut telah menyebabkan saya menanam pemahaman sedemikian rupa. Atau adakah ia boleh digelarkan sebagai ego seorang lelaki yang umurnya makin meningkat dewasa, atau sebetulnya ego seorang yang berpengalaman dalam suatu urusan dalam hidupnya.
Kita hidup dalam keadaan mengenderai jalan tutur susun langkah kita. Kitalah pemandunya. Kemudian, apabila kesombongan ini merajai saya akhir-akhir ini, saya selalu terfikir, apakah dengan hujah akan mematahkan kesombongan ini, atau dengan pujukan, atau dengan sesuatu yang lain. Atau adakah kesombongan saya ini takkan patah, atau adakah kalau ia patah, ia akan merubah saya menjadi seorang yang berlainan seluruhnya?
Dalam sikap yang semakin sombong dan keras kepala ini saya selalu memikirkan, adakah saya secara tiba-tiba kehilangan sifat tasamuh dan rendah diri. Adakah saya secara faj-ah menjadi seorang yang terlalu jumud hingga enggan bertasamuh dengan perubahan yang berlaku di depan saya. Atau adakah sebenarnya saya masih memiliki semua tasamuh dan rendah diri, cuma tak boleh menerima hakikat kelainan yang saya tatapi di depan mata.
Atau adakah kekerasan kepala dan kesombongan saya ini adalah satu tanda saya sudah membentuk peribadi saya yang tersendiri, atau satu maziyyah saya sendiri? Bahkan soalan yang lebih utama, adakah kekerasan dan kesombongan sekarang inilah yang dinamakan ego seorang lelaki yang mana semua lelaki memilikinya?
Tentulah. Kerana saya tak ingin menjadi seorang yang sombong, keras kepala, apatah lagi keras hati, tiada tasamuh dan hilang rendah diri. Tetapi adakah kesombongan dan kekerasan kepala yang saya pegang sekarang ini salah, atau adakah ia sebenarnya adalah rumusan daripada pengalaman dan pegangan hidup saya selama ini? Atau mungkin intipati daripada ilmu milik diri atau rumus menghadapi ranjau hidup dan onak duri?
Itulah yang saya fikirkan. Dan saya suka mengambil kesimpulan pertama. Bahawa saya memang sudah menjadi seorang yang sombong dan keras kepala. Mungkin itu boleh menjelaskan mengapa sesetengah orang kurang senang dengan sikap saya.