Bila masuk musim periksa alias imtihan, tajuk-tajuk entri pun akan beralih tumpuan pada imtihan. Itu lazim. Logik. Munasabah. Dan tidak menjadi kepelikan. Saya pun akan menulis sesuatu yang ada kaitan dengan tajuk ini.
Bagi saya, tak kira apa saja pandangan kita terhadap peperiksaan, sama ada cara pandangan biasa, mahupun pandangan luar biasa; tidak peduli sama ada kita menganggap imtihan sebagai suatu perujian atau percubaan, atau sebagai peperangan juga jihad; atau pun kita sama ada kita menganggap imtihan sebagai suatu ketidaksenangan, ketidakselesaan, penyusahan, keterhadan, keterbatasan, ketidakikhlasan dan sebagainya; imtihan tetap kita lalui seperti biasa, dengan menelan semua rasa dan tanggapan tersebut.
Mari keluar dari segala perbezaan pendapat dan tanggapan, dan berkumpul pada perkara yang kita sama-sama sepakat. Khuruj Mina l-Khilaf Mustahab. Soalnya, dalam perkara yang penuh dengan perbezaan ini, apakah yang kita boleh sepakat?
Kita sepakat, walau apa pun perbezaan tanggapan kita, itqan dalam ilmu adalah penting. Itqan maksud saya, kejelasan dan kepaduan dalam ilmu adalah penting. Kemahiran dan kekukuhannya adalah sabit. Inilah satu hakikat yang tidak akan sesiapa tolak. Simpan sendiri-sendiri pandangan masing-masing mengenai imtihan, tetapi mari kumpul sama-sama dalam kesepakatan ini- itqan dalam ilmu.
Saya selalu melihat kecanggungan nasihat daripada sekian banyak orang tertentu, kerana perselisihan pandangan saya dengan mereka, tetapi mereka ini; sekalipun pertentangan tanggapan ini berlaku - secara tersirat maksud saya - tetap akan kembali kepada kesudahan kesepakatan yang sama - kekukuhan dalam ilmu adalah penting.
Bagaimana mencari itqan ini, barangkali akan menjadi perselisihan sekali lagi. Setiap orang mempunyakan manhaj yang berbeza, walaupun kebanyakannya akan sama. Dan sekali lagi, kita akan menjadi hakim kepada manhaj orang lain apabila kita mengkajinya, lalu bertukar menjadi pengkritik diam. Perbezaan manhaj jangan menjadi perselisihan, kerana memaksa manusia jarang berkesan. Kalau kita mahu mendebatkan mana satu manhaj lebih baik, atau berkesan, kita akan mengalami kesusahan juga untuk mengirdokkan mereka. Bak kata masal; Rido n-Naas Ghayatun La Tudrok. Redha manusia adalah tujuan yang tak akan dicapai.
Dan barangkali, dalam bahasa yang mungkin lebih munasabah, manhaj setiap bidang dalam mencari itqan adalah berbeza. Itu tak perlu diperdebatkan. Barangkali maksud saya. Ia juga dalam ruang lingkup perbezaan pendapat sekali lagi. Apapun pandangan kita, kesepakatan adalah benar dan sabit.
No comments:
Post a Comment