Rumah yang besar itu dindingnya lubang. Mana taknya. Simennya tipis. Batu batanya gugur. Bila dipanasi matahari dan dihujani lebat, berulang-ulang, rapuh meratai seluruh permukaan hingga ke celah dalam. Akhirnya, tolakan sepoi-sepoi saja sudah menyamai landaan ribut dan taufan, dan yang seharusnya kebal dari terjahan ribut bolong seperti tisu tipis yang ditujah jari.
Rumah itu tidak kuat. Asasnya lemah. Tapaknya dulu adalah tanah gambut. Kemudian cuba-cuba dikorek buang diganti tanah laterit. Barulah yang peroi itu sedikit kukuh dan padu. Tapi tidak jauh di dalam bumi, goyang-goyang itu ada. Gegar itu wujud. Syukurlah bukan di kawasan gempa dan lingkaran berapi, lalu masih lagi dapat berdiri tegak sedikit condong tapi tidaklah sampai runtuh.
Rumah batu kerana itu tiada tiang. Dinding-dinding yang retak itulah tiangnya. Dinding-dinding yang bolos itulah tiangnya. Kerana tiada rumah tanpa tiang. Rumah tanpa tiang akan runtuh gugur ranap luruh rata. Tapi ini rumah batu. Rumah batu yang tiangnya adalah dinding rekah retak bolos polos bertampal-tampal sana sini.
Kerana itu, kalau terintai dari luar cepat-cepatlah pejam mata atau toleh arah lain. Tolehlah ke langit menduga kukuhnya binaan tujuh petala, atau tolehlah ke bumi meneka tekalnya paduan tujuh lapisan. Kemudian serkaplah seberapa tebal keagungan Tuhan itu ke dalam jurnal fikir, dan seraplah seberapa pekat kekaguman itu ke sungai darah biar masuk terus ke daerah hati. Bila tertoleh ke rumah ini ketahuilah ia binaan manusia yang lemah, berlubang-lubang, bertampal-tampal.
Pejam dan keburukannya lupakanlah. Aib di dalamnya diam-diamkanlah. Kemudian doalah agar yang bolos itu akan ditampal, simennya dibancuh dengan putih telur. Atau kalau dipadukan tapaknya simen itu digaul sama pasir cuci kasar, diisi dengan batu baur kasar dan kelikir supaya menyatu menjadi konkrit yang padu. Atau tanahnya diganti tanah liat. Kemudian terjahan-terjahan hujan itu dialirkan ke longkang batu dibawa jauh dari penempatan. Tanah-tanah sekitar diseluruhi dengan rumput dan pokok akar cengkam bumi.
Kerana rumah itu adalah kita. Dan runtuhnya akan menimpa kita.
No comments:
Post a Comment