Sunday, July 10, 2011

Menuang Garam Ke Mata Luka


Di akhir zaman ini terutamanya, kita tidak boleh lari dari berasa sakit hati apabila disakiti sama ada dengan lidah mahupun dengan tangan. Dan dalam banyak keadaan, apabila disakiti, kita akan cenderung untuk membalasnya. Bagi kita, itu adalah keadilan kita. Bagi kita, itu adalah hak kita. Apabila kita disakiti, maka kita berhak untuk membalasnya. Dan ia adalah betul, tetapi ia amat sukar untuk diukur. Membalas itu merupakan hak, tetapi mengkadarkannya adalah bukan kita yang mengukurnya.

Adalah amat malang lagi, apabila kita membalas, kita menjadikan perasaan kita sebagai hakim. Atau lebih tepat lagi, mengikutkan sekehendak hati. Kita balas sehingga kita rasa puas, tanpa memperdulikan, adakah kita membalas dengan nisbah yang sama apabila kita disakiti, atau siapa tahu, kita menyakiti orang tersebut lebih dari kadar dia menyakiti kita, kerana kita telah merajakan kehendak hati.

Kerana itu, dalam ajaran agama kita, memaafkan adalah cara terbaik, walaupun menuntut balasan itu adalah cara yang adil. Mungkin kerana kita terlupa sejenak hakikat bahawa sesungguhnya, walau bagaimana tidak adil sekalipun dunia ini, Tuhan akan mengadilinya dengan pengadilan yang seadil-adilnya. Seraplah maksud firman Allah, Allahlah yang memberikan hukum kata putus antara kalian pada hari kiamat pada perkara yang kalian perselisihkan.

Tetapi betul, kita sangat berasa sakit hati dan ingin membalasnya, agar luka di hati kita akan bertampal. Akan tetapi. alangkah malangnya kalau pihak yang kita balas itu adalah sama agama dengan kita, seorang muslim, kerana sepertimana ajaran Baginda s.a.w., seorang Muslim (yang sempurna agamanya) adalah seorang muslim yang mana kaum muslimin lain boleh berasa selamat dari (disakiti oleh) lidah dan tangannya. Ya betul, kita berhak membalas, tetapi balasan itu akan mengenai seorang muslim, dan ajaran Baginda ini tidak menyebelahi kita.

Kita bukan setakat mahu menjadi seorang Muslim, tetapi juga sebagai seorang Muslim yang sempurna agamanya. Tetapi barangkali yang silapnya adalah, kita hidup di zaman yang mana orang Islam sendiri yang menyakiti kita. Kita hidup di zaman yang mana orang Islam yang kita temui itu adalah pelaku dosa besar, apatah lagi dosa kecil. Kita hidup di zaman yang mana yang menganiaya kita adalah orang Islam sendiri. Sungguh, kita membenci hakikat kita dizalimi. Kita benci. Tetapi sebutlah selalu maksud sabda ini ke dalam hati kita, tidak (sempurna) beriman seseorang dari kalangan kalian, sehinggalah dia sukakan sesuatu itu untuk saudaranya sepertimana dia sukakannya untuk dirinya sendiri.

Sungguh. Bila kita terkenangkan maksud firman Tuhan bahawa orang beriman itu bersaudara, bersaudara dalam erti kata adik beradik, mungkin mengenangkan itu boleh menyejukkan sedikit amarah hati kita. Atau mengenangkan bahawa umat Islam itu adalah di jasad yang satu, dan tidak patut kita menambah luka ke atas luka. Luka yang dibuat oleh orang lain perlu masa untuk sembuh, dan kalau kita menambah lagi luka, ia juga akan semakin memburukkan keadaan.

Tak mengapalah kalau bahagian kita di dunia ini terlepas kepada saudara seagama kita, ia masih lebih baik, kerana dunia ini adalah manisan yang mempersonakan. Lagipun kita diseru untuk mengeluarkan dunia ini dari hati kita. Tak mengapalah kalau bahagian dunia ini terlepas kepada saudara seagama walaupun mereka mendapatkannya dengan cara kotor, haram, keji. Kerana saudara seagama adalah saudara kita, tidak kira betapa besarnya dosa mereka.

Jangan sampai kita terlupa bahawa ucapan syahadat mereka sudah menjadikan maruah mereka adalah haram dari diceroboh. Jangan sampai mereka terlupa, bahawa mereka adalah saudara, dan bukannya musuh. Kita Ahli Sunnah Wal Jamaah berpegang kukuh bahawa pelaku dosa besar tidak menukarkan muslim kepada kafir, tetapi menukarkannya kepada fasiq. Dan jangan sampai kita terlupa, cuma dosa syirik saja yang tidak diampunkan, dan bahawa pintu taubat masih terbuka, walaupun orang itu berdosa besar.

Hakikat bersaudara ini sebetulnya mengajarkan kita untuk bersabar menghadapi saudara kita, kerana mereka adalah saudara, dan bukannya musuh. Musuh kita seperti mana yang dikhabarkan al-Quran adalah syaitan, dialah musuh kita yang nyata. Dan musuh kita yang tersembunyi adalah nafsu yang sentiasa menyuruh kepada keburukan. Kerana itu, maafkanlah saudara kita, dan doakanlah mereka berubah, bukan kita memeranginya.

Sungguh, dunia ini bukanlah tempat kita menerima balasan atas setiap amalan kita. Tempat menerima balasan amalan kita adalah di dunia akhirat sana. Kerana itu, apabila kita tidak mendapat ganjaran kebaikan yang sepatutnya di dunia ini, bahkan dizalimi oleh saudara seagama, ketahuilah seperti mana yang dikhabarkan bahawa, setiap kezaliman itu akan dibalas di akhirat sana, kebaikan mereka ditarik ke pihak kita, dan kalau tiada berbaki, kesalahan kita pula diserahkan kepadanya. Sungguh, dunia bukan tempat untuk kita mendapatkan segala-gala yang merupakan hak kita. Apa yang patut kita lakukan adalah memberikan nasihat, dan mendoakan agar mereka menerimanya.

Kita sebetulnya layak membalas. Tetapi bagaimana kita mahu pastikan bahawa balasan itu sama atau pun kurang daripada kadar mereka mengenakan kita? Bagaimana kalau kita membalas dengan balasan yang lebih tinggi kadarnya berbanding kadar mereka mengenakan kita? Tidak risaukah kalau kita membalas, lalu ia dari sudut hakikat adalah lebih dari kadar mereka menyakiti kita, perkara ini akan menjadikan dia sebagai pihak dizalimi, dan menjadikan kita sebagai pihak yang menzalimi.

Sabarlah. Yakinlah hakikat akhirat itu adalah benar. Dan keadilan Tuhan itu adalah benar. Keadilan itu kita akan peroleh. Dan kalau kita mengaji dan belajar, bukan keadilan yang kita harapkan di akhirat esok. Kerana kita setiap inci kita ditimbang dengan keadilan Tuhan, maka tiada pintu syurga yang akan dibuka untuk kita. Tetapi di hari yang mana itu, keadilan yang kita perjuangkan untuk mendapatkannya dengan sepenuh raga, tetap bukan pilihan utama kita. Sebaliknya kita mengharapkan rahmat belas kasihan Tuhan pula ketika itu.

Di akhir tulisan, teringat saya pada maksud sebuah hadis yang menceritakan bagaimana seorang muslim di hari kiamat, ia dizalimi saudara seislamnya ketika di dunia, lalu enggan memaafkan saudaranya. Ia mahu menuntut haknya di depan Tuhan. Lalu Tuhan menunjukkan syurga dan kesenangannya, lalu bertanya adakah dia mahukan yang tersebut sebagai ganjaran, kerana ganjaran itu akan diperoleh jika ia memaafkan saudaranya, memikirkan itu, lalu dia memilih gandaan ganjaran berbanding menuntut keadilan.

No comments: