Saturday, July 16, 2011

Muzoharot

Sungguh, saya tak menyangka sampai begitu rancak sekali perdebatan mengenai adakah demonstrasi ini dihukumkan sebagai menurut syarak atau pun tidak. Maksud saya, di kalangan sahabat-sahabat saya di Mesir, sahabat-sahabat yang saya kagumi kesungguhan mereka menadah ilmu dari tokoh-tokoh besar ilmuan di sana. Saya sangat gembira mereka mendapat penjelasan yang begitu terus dan tulus bahkan mendengar dan melalui semuanya di sana.

Cuma, dalam rancaknya perdebatan, seperti mana yang saya sendiri pernah lalui, jangan sampai kita berdendam dan bermasam muka. Elakkan debat kalau kita tidak mempunyai kelapangan hati, kerana syaitan itu barulah musuh sebenar kita, yang sentiasa mencari jalan. Sedar hakikat ini, dan lapangkan hati, ingatlah sentiasa bahawa lawan debat kita itu adalah kawan, saudara seagama kita. Saya juga dulu bila debat hingga terlupa hakikat ini, kadang-kadang terbawa-bawa, kemudian menyesal kerana terlanjur kata kerana terlalu mengikutkan hati.

Tetapi sungguh, setelah berbual dengan seorang dua, dan membaca satu dua tulisan, barulah perasan bahawa memang ada yang berdebat mengenai hal ini. Ada yang mengambil pendapat ulamak Mesir, ada yang mengambil pendapat ulamak Syria, dan ada yang menggabungkan kedua-duanya, dan ada yang mentarjihkan setelah menggabungkan kedua-duanya. Sungguh, mereka sudah sampai ke tahap perbincangan yang tinggi hingga tiba ke batasan khilaf. Sungguh, kita juga patut mempunyai sikap yang dipunyai oleh ulamak yang tiba ke perbatasan tersebut, sikap lapang, dan ingat bahawa mereka adalah saudara kita.

Setelah membaca kedua-duanya, saya juga memahami pelbagai perkara. Dan saya masih berpegang pada konsep bahawa saudara seagama, adalah saudara kita, tidak kira di parti apa mereka tersebut, walaupun mereka berdosa besar. Kekasaran sesama saudara seagama adalah tidak betul dan salah, kerana itu saya kesal dengan sikap mencederakan yang berlaku. Namun saya juga sedar saya tidak dapat menghalang perkara tersebut berlaku, itu tambah mengesalkan.

Perhimpunan bersih memang sudah ada tanda-tanda awal ia akan menjadi kekasaran, kerana kerajaan menggelarnya sebagai perhimpunan haram. Bukan itu saja, ia seperti akan dibanteras habis-habis, dengan pengumuman bahawa jalan-jalan masuk ke Kuala Lumpur disekat, hala laluan bas ditukar, individu-individu tertentu sehingga 91 orang dilarang masuk ke sana, kempen besar-besaran di media yang menampakkan kebencian kerajaan terhadap perhimpunan ini. Bahkan, sekatan di tempat-tempat lain yang tiada kaitan dengan jalan ke Kuala Lumpur sebelum perhimpunan tersebut turut menampakkan maksud yang sama.

Saya sebetulnya mengharapkan tiada yang buruk berlaku, walaupun petanda-petanda seperti membayangkan kemungkinan itu ada. Betul, saya dalam hal ini bukan mahu mencari siapa lebih betul dari siapa yang betul, atau bukan mencari siapa lebih bersalah dari siapa yang bersalah. Apa yang saya kesal adalah kehilangan nyawa, kerana nyawa manusia adalah haram, kita dilarang membunuh orang, bahkan kita juga dilarang menjerumuskan diri kepada dibunuh oleh orang. Kita dilarang mencederakan orang, dan kita juga dilarang menyebabkan diri kita dicederakan orang. Apatah lagi mereka itu adalah saudara seislam sama agama dengan kita.

Bercakap tentang menuntut keadilan supaya dengan keadilan itu maka terlaksanakan proses pemilihan pemerintah, lantas mengingatkan saya pada sebuah hadis tatkala seorang Ansar, saya ulangi, seorang Ansar bertemu dengan Baginda Nabi s.a.w. bertanya Baginda, apakah Baginda tidak mahu melantiknya menjadi ketua seperti mana Baginda melantik si fulan (orang Muhajirin) sebagai ketua? Lalu respon Baginda terhadap hal ini, Sesungguhnya Kalian, saya ulang, Sesungguhnya Kalian akan menemui begitu banyak sikap mementingkan diri di zaman selepas aku tiada, maka bersabarlah kalian, sehingga kalian menemuiku di haud (telaga, iaitu di padang mahsyar nanti).

Sungguh, maksud tersirat memahamkan bahawa akan ada pihak yang mementingkan diri, dan kalian akan marah dan cuba menuntut hak, tetapi Baginda meminta kita bersabar, dan bukan sekadar sabar yang biasa, tetapi sabar sehinggalah hari kiamat esok, di hari kebangkitan. Bagi saya, ini adalah antara isyarat paling penting, bagi mereka yang bertanya sampai bilakah kami harus bersabar, dan ia adalah ajaran tindakan yang diajarkan kepada kita. Kepada pihak yang satu lagi, fahamilah bahawa nyawa seorang muslim adalah haram, bahkan lebih dari kehormatan Kaabah. Bahawa kedudukan pemerintah itu datang bersama tanggungjawab, dan semuanya akan dipersoalkan di hari kemudian kelak.

Sungguh, apabila kemarahan manusia memuncak, sudah bertahun bersabar menahan dengan kezaliman orang lain terhadapnya, saya selalu teringat peristiwa yang sama berlaku kepada saya. Mulut sudah tidak boleh dikawal kerana marah. Kerana itu saya faham akan kemarahan rakyat, dan saya berharap pihak yang terbabit juga faham, dan betulkanlah keadaan yang pincang. Untuk pihak yang marah, seraplah kesabaran sedapat-dapatnya, seperti mana kisah Sahabat yang bersabar dan tidak menuntut bela terhadap sahabat yang masuk Islam, padahal mereka dulu adalah orang yang membunuh ahli keluarganya ketika perang Badar dan sebagainya. Mereka memandang orang yang membunuh ahli keluarga mereka, bersabar kerana menyedari mereka itu telah masuk Islam dan menjadi saudara. Itulah besarnya nilai saudara seagama dalam agama kita ini.

Sabarlah, dan ingatlah sabda Baginda yang menyebutkan antaranya bermaksud, Aku sudah memohon kepada Tuhan supaya Dia tidak memusnahkan kita umat Islam dengan kemusnahan seperti umat-umat sebelum kita, lalu Dia menunaikan permintaanku itu, dan aku meminta Tuhan agar kita tidak ditewaskan musuh dari agama selain kita (orang kafir), lalu Dia menunaikan permintaanku itu, dan aku meminta agar Dia agar tidak memakaikan kita pakaian perpecahan (berpecah belah), tapi Dia tidak memperkenankannya.

Bahawa perpecahan ini adalah suatu yang Nabi tidak mahu kita lalui, dan Baginda mahu kita bersatu. Tugas menegur pemerintah yang zalim harus diteruskan, seperti maksud sabda Baginda, sebaik-baik Jihad adalah kalimatul haq (mengatakan kebenaran) di depan sultan yang zalim, dan bukannya memberontak, atau menjatuhkan secara paksa. Kerana itulah saya fikir demonstrasi berlaku kerana mereka juga mengambil kira bahawa demonstrasi adalah satu cara menyatakan kebenaran. Tetapi risiko yang dikandung oleh demonstrasi yang melibatkan nyawa itu perlu diambil kira dalam pertimbangan.

Sungguh, saya berdiri di sebelah hujah bahawa demonstrasi bukanlah cara terbaik untuk berdepan dengan orang yang bertindak kasar. Untuk berdepan dengan pihak yang tidak bertindak kasar mungkin adalah ya. Kemudian, jangan kita lupa hakikat kalimah zalim bukan digunakan untuk satu makna. Bahawa ketika Sahabat-sahabat bersusah hati apabila mereka merasakan merekalah pihak yang digelar zalim, kerana di zaman Jahiliah mereka membunuh anak-anak mereka kerana jahil, lalu Baginda s.a.w. membetulkan pemahaman mereka, bahawa Syirik itulah kezaliman yang dimaksudkan. Bahawa kalimah zalim masih mempunyai pelbagai pertimbangan.

Sungguh, memang seperti tidak logik apabila Baginda Nabi s.a.w. meminta kita bersabar sehinggalah ke hari kiamat esok, hingga tertanya-tanya, apakah cara untuk mengubah manusia yang degil dan zalim ini, tetapi tenunglah firman Allah ini, sesungguhnya engkau tidak memberi hidayah kepada sesiapa yang engkau mahu, akan tetapi Allahlah yang memberi hidayah kepada siapa yang Dia mahu. Jadi, pintalah kepada Allah, serulah mereka ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan peringatan yang baik, dan berdebatlah (cara terakhir) dengan langgam yang lebih baik (dari cara mereka berdebat dengan kamu).

No comments: