Saturday, July 23, 2005

Apa Komen Saya Tentang Pertandingan Menulis Di Bawah LPP BKPJM

Saya sudah mencuba

Saya sempat meneliti kerenah beberapa orang sepanjang pertandingan menulis artikel, cerpen dan sajak dijalankan. Barangkali, pertama sekali, saya perlu menyalahkan diri dalam semua perkara. Mungkin saya kurang kemas dalam kerja atau tidak memahami psikologi manusia dengan baik hingga menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk.

Tetapi sebagai pemujuk kalbu, saya mahu bentangkan juga kerenah yang beribu juta ini.

Sikap menangguh dan akhirnya mahu melarikan diri. Asalnya mahu mencuba; barangkali cuba membubuh gula di lengkung bibir, tetapi sudahnya hanya melirik muka konon tidak sempat dan letih dan sebagainya.

Ada juga yang terlihat bersemangat, tetapi barangkali dengan sedikit dugaan, (almaklum, dunia penulisan, mana sunyi daripada dugaan) kembali futur dan langkah longlai. Ada juga yang semacam tertekan bila diulang tanya dan minta hantar penyertaan yang dikatakan, esok, lusa, tulat, malam akhir, dan…

Barangkali, penyertaan ikhwah jauh lebih membanggakan, kerana sehingga ke hari terakhir, masih belum ada karya akhawat yang berjaya sampai ke tangan. Barangkali masing-masing ada dugaan peribadi yang mengombak kelapangan, akhirnya tersadai tanpa hasil tangkapan pasti. Kasarnya, mahu sahaja ditanya, mengapa ya?

Saya diminta tangguh juga. Hingga sehari lepas pertandingan tamat. Alasan karya tertinggal dan mahu diserahkan esok sahaja. Demi sebuah hasil (kerana penganjur mengharapkan seberapa banyak hasil), saya akur, walaupun bukan itu cara saya.

Pertandingan ini banyak mengajar saya juga. Barangkali, saya lebih salah daripada mereka. Tetapi, bukankah psikologi juga agen membentuk peribadi. Kalau terpaksa menjadi tukul, saya terpaksa juga menghentam pahat agar melorek. Mungkin mereka belum jadi pahat berkuasa elektrik yang mampu bergerak sendiri.

Sikap. Itulah yang pertama. Barangkali mereka tidak bersikap dengan sikap yang sepatutnya. Ia salah saya? Saya memberi peluang. Kalau-kalau ada kemungkinan mereka bangkit dan mahu berdiri berjalan selepas itu, saya sudah sediakan jalannya. Kalaupun mereka mencicirkan diri sendiri, sekurang-kurangnya saya sudah mencuba.

Teringat kata sahabat. Kita tidak boleh menghasilkan kesedaran. Tetapi kita boleh menghasilkan sesuatu yang boleh menyedarkan. Barangkali. Semua masih barangkali. Apa salahnya saya mencuba.

al_jantanie
manhumi_ilm

ps: beberapa karya akhawat diterima sehari selepas tarikh tutup pertandingan. Kerana saya menangguhkan masa sehari, maka karya mereka diterima untuk dipertandingkan. Sekalung terima kasih kepada pengadil; Saudara Ubaidillah, Saudari Faezatul Herda, Saudari Salha dan Saudari Nursuriana

No comments: