Maafkan saya, kalau saya banyak memperalat blog ini untuk membentuk seorang penulis.
Mempunyai alat adalah satu kelebihan, tetapi penggunaannya perlu diawasi agar tidak menjadi satu kekurangan. Saya pernah melalui saat itu apabila berdepan dengan komputer. Komputer, memang alat untuk menulis, tetapi seseorang penulis perlu mengenalpasti kelemahan dalam sesuatu kelebihan yang dia miliki.
Biar saya jelaskan dengan bahasa yang lebih mudah.
Saya mengambil komputer sebagai kawan, tetapi memusuhi cerita (cd). Saya tahu saya mudah larut apabila menonton cerita, dan saya tidak ingat sejak bila saya mula melarang diri sendiri melihat cerita (cd). Barangkali kerana saya cuma memiliki komputer. Barangkali kalau saya memiliki televisyen, mungkin saya akan melarangi diri sekali lagi.
Masalahnya, adakah melarang sama dengan mengharamkan?
Permasalahan timbul dalam bab istilah. Melarang diri bererti mengharamkan diri. Perhatikan ayat 87 Surah Al-Maidah ketika Tuhan mengingatkan:
Wahai orang yang beriman, janganlah kamu mengharamkan (sesuatu) yang baik yang Allah halalkan kepada kamu…
Begitu juga dalam surah At-Tahrim ayat 1 ada menyebutkan :
Wahai Nabi (Muhammad) kenapa Engkau mengharamkan sesuatu yang Allah halalkan kepada kamu…
Ayat 87 daripada surah Al-Maidah adalah satu teguran Tuhan kepada segolongan mukminin yang mengharamkan diri mereka daripada menikahi perempuan dan memakan daging, mengharamkan sesuatu yang dihalalkan Tuhan. Ayat pertama surah At-Tahrim pula merupakan teguran Ar-Rahman kepada Nabi apabila Nabi mengharamkan dirinya meminum madu semata-mata mencari keredhaan sebahagian isterinya. (Sila rujuk tafsir mengenai kisah-kisah itu) Fokus perbahasan adalah pada ‘mengharamkan sesuatu yang dihalalkan’.
Saya cenderung memerhatikan perkataan ‘sesuatu yang baik yang dihalalkan Tuhan’ apabila melarang diri. Kalau benar menonton cd itu mengkhayalkan saya walaupun ia halal, tidak salah untuk melarang diri. Barangkali, saya cepat naik ‘khusyuk’ lebih daripada orang lain yang menonton. Anda? Saya tidak pasti bagaimana.
Lagipula, membahaskan adakah menonton cd itu ‘baik’ adalah satu perbahasan yang panjang, dan kalau saya mudah larut dan hanyut, itu satu keburukan pada diri saya pula.
al_jantanie
manhumi_ilm
No comments:
Post a Comment