Wednesday, July 27, 2005

Mewarta Kewartawanan

Mewarta Kewartawanan

Memenuhi permintaan, saya menulis mengenai kewartawanan kali ini. Barangkali, ia cuma pelengkap kepada kertas kerja yang saya sediakan, dan saya pasti, ia masih mempunyai bermacam-macam kelemahan lagi.

Mari berbincang mengenai pelaksanaan tugas seorang wartawan. Dalam apa kerja sekalipun, praktikal menjadi fokus perkara tersebut. Pertama, jangan memeningkan diri dan jadilah sebuah ‘recorder’ yang mencatat. Pastikan anda seorang ‘recorder’ abad ke 27, dan mencatat dengan dua cara. Pertama, mencatat secara ‘point’ dan mengambil isi penting sahaja. Kedua, mencatat secara ‘bulat-bulat’, kalimah demi kalimah.

Wartawan yang baik tahu membezakan, perkara apakah yang perlu dicatat secara ‘point’ dan perkara apa pula perlu dicatat secara ‘bulat-bulat’.

Perbezaan berlaku apabila kita mencatat ayat ucapan dan menukilkan secara terus ke dalam berita @ laporan. Jadi, kita mencatat isi penting kepada perkara selain itu. Lebih tepat lagi, seorang wartawan harus bijak membuat keputusan; sekiranya ia perlu berbuat demikian maka lakukan sahaja.

Muqaddimah ini menjelaskan bahawa; seorang wartawan bukan sahaja bergerak secara bebas, bahkan boleh menulis dalam keadaan yang difikirkan sesuai. Ia satu kebebasan. Sesuatu peristiwa boleh dipidahkan kepada pembaca secara berita, laporan, ulasan, temuramah atau kajian dan statistik. Memahami perbezaan ini adalah satu kelebihan. Barangkali dalam satu-satu peristiwa mahupun situasi, berita lebih sesuai daripada laporan, dan sebaliknya. Kadangkala, menyampaikannya sebagai temuramah lebih jitu daripada menyampaikannya sebagai ulasan.

Kedua, catatkan juga 6 persoalan asas dalam setiap peristiwa. Persoalan siapa, apa, berapa, bagaimana, di mana, kenapa; semua ini adalah item yang perlu dilengkapkan dalam satu proses pengumpulan data. Kita selalu mencicirkan sebahagian daripada enam persoalan asas ini ketika proses pengumpulan data menyebabkan ketidaklancaran dalam sesuatu penyampaian.

Masalah terbesar adalah masalah berdepan dengan penerbitan yang lambat boleh dihadapi dengan beberapa cara. Pertama, cetak sendiri dan jadilah penerbit. Kedua, bersedia memadam sahaja segala tulisan dan biarkan ia hilang begitu sahaja. Ketiga, tukarcara penyampaian daripada berita kepada laporan, daripada laporan kepada ulasan, daripada ulasan kepada statistik data dan kajian.

Barangkali berita adalah penyampaian sesuatu dalam situasinya yang paling segar, dan khalayak belum mengetahuinya. Laporan adalah penyampaian sesuatu peristiwa dalam keadaan pembaca telah mengetahui sebahagian besar daripada peristiwa itu. Mungkin 50 peratus, lebih atau kurang. Ulasan dibezakan dengan penambahan ide tambahan daripada penulis berbentuk kritikan dan komentar yang berputar sekitar ruang lingkup kejadian. Statistik dan kajian pula, adalah himpunan kepada peristiwa-peristiwa yang telah banyak terjadi dan membentuk penilaian daripada semua kejadian itu.

Mungkin apabila sesuatu peristiwa tidak disampaikan ketika itu juga, tidak juga disampaikan selepas daripada itu, sehingga berlalu beberapa puluh peristiwa dan peristiwa pertama masih tidak dilaporkan, bolehkah anda bayangkan, bagaimana agaknya kalau-kalau anda masih mahu meriwayatkan juga peristiwa pertama itu jika bukan dengan cara statistik dan kajian? Waktu itu, sudah berpuluh-puluh peristiwa baru telah mendahului peristiwa pertama itu.

Terus-terang, saya lebih menyukai ulasan. Pertama, ia tidak terlalu mendesak untuk diterbitkan ketika itu juga. Kedua, ia masih relevan walaupun ia telah diketahui umum. Ketiga, ia menyampaikan fikrah tambahan berbentuk kritikan dan komentar peribadi (tentunya bersandarkan beberapa fakta yang benar dan tepat).Keempat, ia boleh digabungjalinkan dengan peristiwa yang berlaku setelah daripada peristiwa itu. Dan kelima mungkin, kerana memakan makanan ‘basi’ akan menyakiti ‘perut dan usus’.

Jika terdesak, sampaikan juga berita basi dalam sejarah alias taqwim tahunan alias bulanan. Atau, anda boleh memikirkan sahaja bagaimana ia patut disampaikan juga.

Ini tambahan daripada kertas kerja saya, dan saya harap pembaca yang meminta berpuas hati dengan penyampaian yang penuh kekurangan ini.

al_jantanie
manhumi_ilm

No comments: