Tuesday, July 26, 2005

Mahu Jadi Novelis?

Mahu jadi novelis?

Dalam pertemuan itu kami (Saya dan Saudara Ubaidillah) banyak membincangkan novel orang lain, dan barangkali beberapa sifat dan ciri istimewa yang ada pada novel-novel tersebut.

Pembikinan novel mengikut kata Faisal (dalam penerangan Saudara Ubaidillah), adalah dengan melakukan pemusatan idea kepada selera pembaca. Selera pembaca menjadi kunci pertama dalam penceritaan. Faisal juga gemar menjadikan wanita sebagai hero dalam ceritanya, dan ia seakan-akan berbentuk feminisme.

Apa yang membuatkan 1515 jadi begitu hebat adalah kerana ia mengandungi pelbagai tema yang menarik, dan ia mengungkapkannya sebagai, karya yang ‘sempurna’ kerana pelbagai tema menarik dari pelbagai sudut terkandung di dalamnya.

Pesan Saudara Ubaidillah, kalau mahu menulis novel, sebaiknya target ke Malaysia. Tetapi kalau mahu mencuba, tidak mengapa sahaja kalau diterbitkan di sini. Atau kata lain yang lebih mudah, kalau berjaya hasilkan yang terbaik, biarlah disumbangkan terus ke Malaysia.

Novel mengambil prinsip mencantumkan banyak watak, dan apa yang penting adalah setiap watak menzahirkan ciri masing-masing berdasarkan kehendak penulis. Contohnya, watak A – percintaan. Watak B – Politik. Watak C – Perniagaan. Kalau ada dua puluh watak sekalipun, jelaskan sikap watak itu sendiri sejelas-jelasnya. Ini penting kerana pembaca apabila mereka mahu melihat tema percintaan, mereka akan lihat watak A, dan kalau hendak lihat tema politik, mereka lihat watak B. Tema antara watak jelas dan tidak bercampur tetapi masih mempunyai perkaitan antara watak. Yang lebih penting, masing-masing ada mesej masing-masing.

Tema dalam novel boleh sahaja tunggal atau berbilang. Lebih baik lagi kalau satu novel itu satu tema. Tetapi ia lebih susah kerana mahu dihuraikan dengan ilmu bantu yang lebih banyak. Kalau hendak buat berbilang tema, tidak mengapa. Tetapi jangan satu plot satu tema. Kalau dua puluh plot, dua puluh tema?

Mengukur saiz novel. Kata Saudara Ubaidillah, kalau novelette, jumlah helai sekitar 80 helai kertas A4, atau setelah dikecilkan menjadi 200 muka surat lebih. Maknanya, novelette tidak lebih dari 100 helai A4. Dan novel pula lebih dari 150 muka A4. Semua ini, kiraan bukan double space.

Bilangan bab adalah terpulang kepada penulis untuk menentukan. Panjang setiap bab juga terpulang. Ada penulis yang buat pendek, dan ada yang buat panjang. Tetapi, boleh atau tidak kalau ada babak yang panjang, dan sesetengah babak lagi pendek? Kami tidak menemui jawapan pasti petang itu. Rohayu dalam ‘Bukan Legasi Lalang’ menjadikan satu babnya seolah-olah satu cerpen. Kalau dikira, sekitar 14 muka hingga 20 untuk satu bab. Barangkali kalau dalam word antara 4 hingga 6 helai.

Perbezaan novel dengan cerpen adalah ekonomik atau tidak. Cerpen bersifat ekonomik, berbeza dengan novel. Panjang pendek ayat juga berbeza. Kalau cerpen kita kena ‘potong-potong’. Tetapi kalau novel, ada ruang sahaja, kita tambah. Menulis cerpen, kalau hendak olah dengan banyak sekalipun perlu disingkatkan.

Menurut Saudara Ubaidillah lagi, kesukaran membuat novel adalah dari sudut bahasa. Perkataan kita tidak banyak. Kalau menulis cerpen, kita akan menggunakan kalimah sekali sahaja, tetapi di dalam novel kita mahu gunakan ia berkali-kali. “Takkan hendak ulang benda yang sama. Seboleh-bolehnya kita hendak guna perkataan baru”.

Saudara Ubaidillah dalam novel sulungnya ‘Mantera Kinanah’ menyatakan beliau membuatnya dalam 14 bab, sekitar 80 halaman A4, saiz tulisan 10.

Namun pesan beliau, kalau hendak buat novel, jangan terikat dengan bilangan muka surat dahulu. Kalau hendak dipasarkan di Malaysia, penulis kena banyak buat kajian. Kalau setakat hendak dipasarkan di Mesir, ada baiknya jangan membawa isu berat.

Apa yang penting menurut Saudara Ubaidillah, penulis kena jelas dengan watak utama. Disamping itu mencari watak sampingan yang akan membantu watak utama. Dan watak sampingan itu kena ada konfliknya juga. Kalau cerita tertumpu pada satu watak, ia akan jadi seperti cerpen. Watak sampingan berperanan meringankan cerita sekiranya watak utama membawa cerita yang berat. Paling penting adalah menghidupkan watak.

Menulis novel, penulis perlu jelas dengan matlamat masing-masing. Setiap watak perlu ada matlamat masing-masing. Malah, watak perlu ada character develop – pembangunan karektor. Cuma konflik watak sampingan jangan melebihi konflik watak utama. Kalau boleh buat percantuman, itu lebih baik. Contohnya, semua ada masalah dan akhirnya, hero yang menyelesaikan.

Kekuatan novel adalah dengan menghidupkan watak dan mencipta konflik yang logik. Kadang-kadang watak bagus, tetapi konflik tidak kuat. Jadi pembaca tidak ‘hanyut’ bersama. Mereka sekadar memabaca.

Jadi, novelis perlu ada kekuatan bahasa, dan kekuatan tema itu sendiri.

Merujuk sudut pandangan pula, Saudara Ubaidillah menegaskan bahawa kita boleh menggunakan banyak sudut pandangan. Tetapi penggunaan ganti diri perlulah tetap. Kalau dalam bab satu sudah guna ‘aku’, tidak boleh dalam bab yang lain guna ‘saya’. Fokusnya, ‘jangan sampai pembaca pening’.

Penggunaan ‘dia’ adalah lebih luas daripada penggunaan ‘aku’. Mungkin ‘aku’ hanya luas dalam menceritakan perasaan, pemikiran. Tetapi ‘dia’ lebih luas dalam menceritakan latar, tempat, malah boleh berpindah-pindah di antara satu sudut pandang kepada sudut pandang yang lain. Kata Saudara Ubaidillah, penulis yang hebat bercerita, dia tidak masuk sekali ke dalam cerita. Dia melihat dari luar, kerana itu dia dapat memberi gambaran yang luas dalam penceritaan.

Saya bertanya mengenai ayat. Tetapi kata beliau, ayat terpulang kepada penulis. Mengenai tempo pula, ia harus sesuai dengan cerita dan berdasarkan kehendak penulis. Barangkali kalau cerita cinta, temponya agak perlahan berbanding dengan cerita perang.
Iman Markisa, sebuah novel yang mempunyai tempo yang laju tetapi tidak melompat kepada konlusi terlalu cepat.

Saya rasa itu sahaja yang saya dapat sepanjang perbentangan Ubadillah dan soal jawab bersamanya. Barangkali dalam satu atau dua tempat, saya masih kurang pasti, tetapi secara mukzamnya, saya merasakan inilah asas penting dalam penulisan novel. Dan bagi penulis baru yang tiada bimbingan atau bahan rujukan, ia sudah memadai barangkali. Selamat membaca. Harap puas hati.

al_jantanie
manhumi_ilm

No comments: