Saya mahu bercerita pengalaman saya. Bukankah itu yang anda pinta?
Langit hitam langking. Awan bergerak malas. Saya memulang pandang ke bumi. Saya berfikir tujuh puluh tujuh kali; mahu beli komputer dan saya akan berlapar tujuh puluh tujuh hari, atau abaikan sahaja niat mahu membeli.
Engkau boleh pinjam komputer BKAN. Kenapa mahu beli?
Saya angkat kepala, melihat sahabat sebilik.
Tetapi aku mahu belajar menulis. Dan aku rasa, kalau aku tidak beli sekarang, barangkali, sampai bila-bilapun aku takkan dapat beli. Inilah peluang ketika duit masih banyak. Tetapi…
Saya berat mahu melafazkan kata.
Tetapi kalau engkau beli engkau akan kehabisan duit? Itukah? Kenapa berdegil? Lupakan dulu hasrat murni itu. Kalau mahu menaip bukankah boleh pinjam komputer orang? Lagipula, banyak mana sangat yang engkau mahu taip? Satu buku? Satu kitab? Satu maktabah?
Saya masih lagi berdiam.
Kalau engkau beli komputer sekarang, duit engkau akan habis. Barangkali tinggal dua puluh genih sahaja. Sanggup? Demi sebuah komputer? Dan kemudian, engkau akan menaip setakat satu muka, atau dua muka, kemudian engkau tidur dalam malam sampai pagi. Bangun pagi engkau pergi ke kuliah hingga tengahari. Balik kuliah tergesa-gesa mahu ke pasar, atau masak tengahari. Barangkali petang setelah kepenatan, engkau duduk ambil nafas. Malam pula baru dapat menghadap komputer. Demi itukah engkau berlapar, mahu beli komputer?
Saya mengambil nafas lebih dalam.
Memang. Keputusan memang salah satu antara dua. Dan aku nekad mahu beli. Cuma ketika itu aku berat hati mahu menyusahkan rakan sebilik. Aku tidak mahu menyusahkan engkau, menyusahkan Ali, menyusahkan Otsman; dan barangkali ia satu pertaruhan besar. Soal satu muka atau satu kitab bukan perkara penting. Yang penting, mahu atau tidak? Kalau mahu, langit hitam ini boleh diterangkan. Tetapi kalau tidak mahu, barangkali tarik selimut boleh tidur sampai pagi, dari pagi sampai tengahari, kemudian makan sampai kenyang dan tidur sampai petang, atau keluar berjalan-jalan dan pulang kepenatan. Apalagi kalau bukan tidur dari malam sampai subuh.
Rakan sebilik tersenyum.
Dan kalau aku tidak beli sekadar meminjam, aku rasa sulit mahu menaip. Komputer orang bukan komputer kita. Mengguna ikut masa. Menulis tidak lapang. Memang, sekarang aku cuma menaip satu muka, paling banyak satu helai. Tetapi kalau komputer sudah di depan mata, satu kitab bukan mustahil. Kalau benar-benar mahu…Kalau benar-benar…
Ya. Belilah dan engkau jangan risau. Aku cuma mahu menguji. Dan kalau kehabisan duit jangan lupa bagitahu kawan-kawan. Kita ahli bait sama-sama senang, sama-sama susah. Ya. Tujuh puluh tujuh hari sahaja, bukan?
Azan subuh berkumandang. Saya terpisat-pisat. Ya Allah, saya bermimpikah?
al_jantanie
manhumi_ilm
No comments:
Post a Comment