Majalah : Buletin Keris
Edisi : -
Kolum : Kritikan Sastera
Jenis : Artikel
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor
Membentuk kelancaran Sastera dengan penulisan lazim.
Oleh Mohd Zaki M.Noor
Biar saya mulakan dengan mengabaikan sementara suasana seperti Ramadhan, Syawal dan hari raya Aidilfitri.
Kelancaran dalam penulisan adalah suatu yang sangat penting kerana bahasa yang tidak lancar akan mengganggu tumpuan pembaca kepada isi, sekaligus menghalau minat pembaca untuk meneruskan pembacaan. Barangkali anda memiliki suatu isi yang 'menarik perhatian', tetapi malangnya garapan dipersembahkan dengan bahasa yang tersekat-sekat menyebabkan pembaca enggan meneruskan pembacaan kepada baris-baris berikutnya, perenggan-perenggan di bawahnya, muka-muka seterusnya.
Di sinilah punca kelemahan terutama, dan sebagai penulis baru, ketidaklancaran ini perlu diperangi habis-habisan. Sebelum meneliti cara memerangi 'ketidaklancaran dalam penulisan', terlebih dahulu saya ingin menerangkan tentang jenis-jenis kelancaran.
Sepanjang pengamatan saya, kelancaran boleh dibahagi kepada tiga jenis. Pertama, sastera lancar. Kedua, bahasa lancar. Ketiga, bahasa kaku, tidak lancar tetapi boleh difahami. Dan demi tujuan ini, semua penulis baru harus melazimi penulisan berterusan dan konsisten. Kerapkan diri menulis, tidak kira dalam apa skop sekalipun, dan pastikan anda menulis dengan laras bahasa yang betul. Saya ulangi, dengan laras bahasa yang betul. Hattakan dalam e-mel sedapat-dapatnya.
Begitu juga, sekiranya mahu mendapatkan sastera lancar, anda sebagai penulis baru mesti berusaha menulis sesuatu bernafas sastera dan lakukan ia dengan kerap agar sastera bertambah lancar dan segar. Saya suka untuk menyatakan, bahawa setiap penulis baru biasanya terbelenggu dalam ruang lingkup bahasa yang tidak lancar, namun akibat rasa malas dan rasa rendah diri, mereka tidak berusaha melazimi penulisan dan akhirnya, mereka masih gagal membuang 'ketidaklancaran' ini daripada diri mereka.
Itulah kepentingan melazimi penulisan, sehingga lancar, dan dengan istiqamah dan konsisten. Saya ulangi juga, dengan laras yang betul.
Saya membezakan antara 'bahasa lancar' dan 'sastera lancar' kerana bahasa yang lancar lebih serasi dengan penulisan esei (non kreatif), dan sastera lancar lebih mesra cerpen (penulisan kreatif). Anda akan lihat, apabila seorang penulis genre kreatif misalnya menulis sesuatu esei, tulisannya tidak akan lari daripada berbau sastera. Barangkali, penulis-penulis genre kreatif kebiasaannya akan terbawa-bawa nilai 'sastera lancar' ini, dan ia semacam membikin satu nafas baru dalam penulisan esei, supaya lebih selesa dibaca.
Kembali kepada persoalan pokok, mengenai melazimi penulisan dan sastera lancar. Bagaimana mahu melazimi penulisan? Soalan begini sebenarnya sudah tidak perlu ditanyakan kerana yang seharusnya menjawab bukan semata-mata mulut tetapi hati. Jawapan sungguh-sungguh sudah berada di depan mata.
Biar saya cadangkan beberapa cara.
Pertama, sertai Suara Kampus atau Warta dan menulis dalam setiap keluarannya. Tolong jangan kecilkan minda bahawa jika anda menulis artikel, sastera anda akan rosak binasa. Kunci pertama, lazimi penulisan walau dengan apa cara dan jalan. Sementelah anda menulis artikel sekalipun, penghujahan dalam penulisan esei pasti dapat memberi ide kepada ilmu bantu di dalam cerpen.
Kedua, menulis dan menghantar ke media perdana di Malaysia. Ketiga, membina weblog dan melazimi proses kemaskini. Keempat, mencari medan lain yang menawarkan penulisan secara 'sentiasa' dan 'berterusan'.
Penulis baru atau lebih tepat, penulis muda, atau lebih jelas lagi, anda, harus mencuba semua ruang dan menimba pengalaman. Membentuk kelancaran dalam sastera tentu sekali perlu kepada medium contohnya Suara Kampus, Warta, media massa di tanahair, bahkan apa yang paling menarik minat saya adalah, weblog.
Weblog adalah salah satu medium yang amat mudah bagi membentuk sikap 'melazimi penulisan' demi mendapat 'sastera lancar'. Ada beberapa weblog seperti blogdrive, blogspot, livejournal, dan bermacam-macam lagi. Saya amat berharap, penulis lapis baru di Mesir akan membina weblog dan melazimi penulisan dengan laras bahasa yang betul.
No comments:
Post a Comment