Wednesday, April 05, 2006

Tawakal dan Tafakur - Satu Pandangan Kepada Kamus Dewan

Sebenarnya, saya agak lewat belajar-belajar buka kamus Dewan. Bahkan, setelah menghasilkan beberapa cerpen saya masih enggan membuka kamus kerana kononnya berprinsip tidak mahu pakai perkataan yang pelik-pelik. Saya mahu yang biasa-biasa.

Maka, keterbukaan saya (maksud saya – pengetahuan saya) mengenai isi kamus Dewan adalah sangat sedikit berbanding orang lain.

Saya membeli kamus Dewan edisi 4 baru-baru ini. Agaknya setelah ditegur kawan dengan ayat – pelik sungguh kalau penulis tidak ada kamus – saya mula jinak-jinak belek kamus. Itupun masih malas-malas. Barangkali apabila ditugaskan menyemak 16 cerpen dan 10 sajak dalam antologi Cinta dan Rona Kinanah (insya-Allah bakal terbit tidak lama lagi, doakan) barulah saya melumati apa sebenarnya kamus Dewan.

Saya sedikit kurang setuju dengan sistem ejaan pada beberapa kalimah yang asalnya diambil daripada bahasa Arab. Sebagai contoh, tawakkal dieja sebagai tawakal, tafakkur dieja sebagai tafakur. Kedua-dua kalimah ini adalah bersabdu pada ain-fe’elnya. Sistem eja yang sebegini sebenarnya telah menghilangkan maksud asal kalimah tersebut, kerana di dalam bahasa Arab, tidak ada tawakal dan tidak ada tafakur. Yang ada adalah tawakkal dan tafakkur.

Apa yang sangat penting untuk ditekankan adalah – menghilangkan satu huruf (iaitu ain fe’el yang disabdukan) akan menghilangkan keseluruhan maksud kalimah tersebut.

Biar saya meneliti hujah yang boleh mematahkan hujah ini.

Hujah yang saya maksudkan adalah – kedua-dua kalimah itu (tawakal dan tafakur) bukan lagi perkataan Arab. Kedua-dua perkataan itu telah diserap sepenuhnya ke dalam Bahasa Melayu. Maka, persoalan membuang ‘ain fe’el yang bersabdu’ bukan lagi satu tajuk pertikaian, kerana zat kalimah itu sudah menjadi zat kalimah Melayu. Ia ada maknanya sendiri dari kacamata dan timbangtara Melayu.

Saya menyatakan ketidaksetujuan kerana melihat bahawa peluang kalimah ini kembali kepada asal masih ada. Bahkan, pemindaannya tidak mengganggu sistem ejaan yang lainnya. Saya sedar, banyak masalah akan timbul hanya dengan meminda cara ejaan, namun apa yang jelas, masalah lebih ketara timbul sekiranya pindaan berlaku pada awalan kalimah atau akhiran kalimah. Kerana awalan dan akhiran suatu kalimah akan bertindakbalas dengan imbuhan awalan dan imbuhan akhiran.

Tetapi, bukankah dua kalimah ini perlu dipinda (baca:dikembalikan kepada ejaan asal) dengan perubahan adalah pada pertengahan kata?

Bahkan, saya menyatakan sikap kurang setuju ini apabila ia sebenarnya tidak wujud dalam bahasa Arab, jadi, dari mana kita cedok? Kita cipta? Perlu diterangkan bahawa sesuatu kalimah dalam bahasa Arab akan membawa erti yang sangat jauh beza hanya dengan perbezaan baris, apatah lagi dengan tambahbuangnya huruf! Adakah kita merasakan kita mengambil makna dengan sejitunya dalam keadaan itu.

Pendirian ini disokong (maksud saya – ada kemungkinan disokong) dengan tindakan pihak yang terbabit (baca: pihak editor kamus Dewan) yang menggunakan ejaan al-Jabbar bagi mengeja kalimah tersebut (yang asalnya mempunyai ‘sabdu pada ain-fe’elnya’.) Jika lafaz Jalalah boleh dipertimbangkan untuk dieja dalam ejaan yang asal, mengapa tidak dilakukan pada ‘adik-beradiknya’? Bukankah lafaz Jalalah itu dan kalimah tafakur, tawakal adalah sejenis? Bukankah ketiga-tiga kalimah itu ‘sabdu ain-fe’elnya’?

Mohd Zaki
manhumi_ilm

Malhuzat : Saya bercita-cita mahu kurangkan sikit sikap suka mempertikai orang. Rasa bersalah pula banyak-banyak komen ini.

1 comment:

Nisah Haji Haron said...

salam,
memang setuju dengan pendapat Zaki. Perkataan seperti reda dan redha kini kedua-duanya dieja sebagai reda. Kena lihat konteks ayat - sama ada hujan ataupun pasrah. Begitu juga denga perkataan nikmat dan ni'mat. Makna pun berbeza kalau salah sebut. Mungkin yang terlibat dalam bahasa ini terpaksa membentuk ejaan standard tetapi dari segi sebutan mestilah dikekalkan seperti mana dipinjam daripada perkataan Arab tersebut.

ikhlas,
Nisah Haron