Saya tahu, bukanlah sesuatu yang baik asyik mengomen orang, tetapi sekiranya anda terasa saya minta maaf dan janganlah naik marah berang kemudian persetankan apa yang saya hendak tulis.
Istilah 'pakai bila suka' adalah sesuatu yang kurang molek dalam hubungan sesama manusia. Bunyinya saja sudah melambangkan langsung tidak menghargai orang lain. Saya katakan ya, jika hubungan lelaki dengan lelaki, atau dipanggil ukhuwah islamiyah, atau hubungan perempuan dengan perempuan. Masalah yang utama dan sering orang salah faham - bagaimana kalau hubungan lelaki - perempuan?
Apakah perlu saya mensyarahkan bahawa hubungan lelaki perempuan ada bertaraf halal, ada pula yang 'halal bersyarat', dan kalau silap gayanya tentulah menjadi sesuatu yang dilarang dan perlu dielakkan.
Lalu apa ke jadahnya anda memaksa saya menjadikan hubungan yang 'halal bersyarat' itu tiba-tiba menjadi halal mutlak, bebaskan pergaulan, pakai bila suka dan 'bila tidak suka' atau bahasa mudahnya pakai setiap masa, atau barangkali lebih tepat bukan istilah pakai bila suka tetapi istilah pakailah setiap masa dan ketika.
Em. Berat dan memeningkan istilah halal bersyarat dalam konteks hubungan lelaki perempuan. Pakailah istilah lebih mudah macam ikhtilat, dan dengan sebab berlaku ikhtilat, maka ikhtilat terbahagi dua. Satu dibenarkan, satu dilarang. Ikhtilat yang dibenarkan itulah halal bersyarat.
Saya ini bukan pandai sangat, tetapi apa yang saya tahu, syaratnya adalah - ambil sekadar perlu. Kalau tidak perlu sampai jumpa, telefon memadai, maka dengan telefon. Kalau mesej sudah memadai, tiada hajat untuk dengar suara, maka mesej sudah memadai.
Ambil sekadar perlu. Kan mirip-mirip dengan bunyi, pakai bila suka. Eh silap. Pakai bila perlu. Itu lebih betul.
Kalau keperluan yang dicatatkan adalah keperluan kerja, tak perlu melampau pada yang peribadi. Kalau keperluan itu adalah pertanyaan dan ketidakfahaman, tak perlu melampau pada mengenali pekerti dan hati budi. Kalau keperluannya adalah tunjuk ajar dan ilmu, tak perlu meleret-leret pada tunjuk baik, tunjuk suka dan tunjuk ada.
Oh ya. Ada istisna-at (pengecualian) yang lain juga macam hubungan khitbah yang disebut orang Melayu sebagai tunang, risik. Bertanya peribadi, perangai barangkali perlu dalam hubungan yang macam ini. Tetapi saya bukan tunang sesiapa hingga perlu dirisik macam itu. Adakah salah saya kelihatan - pakai bila suka, eh silap, pakai bila perlu - di mata sesiapa?
Dalam banyak hal, saya suka tujukan pada diri. Jadi, pakailah bila perlu. Kalau tak berjaya buat 30 hari sebulan, 28 hari sebulan. Cuba zikir, bila perlu, bila perlu, bila perlu...
No comments:
Post a Comment