Perdebatan Mahathir dan Abdullah. Atau pergaduhan. Atau perselisihan.
Dalam satu akhbar ada menyebut - sepatutnya Pak Lah menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh Mahathir supaya isu ini tidak menimbulkan kesan buruk, terutamanya pada ekonomi.
Kawan saya yang agak cerdik dalam bab sains politik bilang - bukan Pak Lah tak nak jawab, tapi takut rahsia makin bocor. Jadi, senyap adalah jawapan terbaik. Kalau disoal orang 10 juta campur 10 juta sama dengan berapa, kalau jawab 20 juta orang kata - mana! Kalau jawab 15 juta orang kata - celaka!
Saya kata - bukanlah maksud suruh jawab itu jawab 20 juta atau 15 juta, tapi jawab saja - saya akan bagi jawapannya tahun depan. Atau minggu depan. Ala...macam ketika Tun menamakan Pak Lah sebagai bakal PM, dan Najib sebagai TPM, pemberita sibuk tanya Pak Lah. Betulkah Najib? Betulkah Najib? Tengok macam mana Pak Lah jawab masa itu. Nanti saya bagitahu. Tunggu lepas pilihanraya ... Macam itulah jawab yang saya maksudkan.
Kawan saya kata - Pak Lah sengaja tak jawab. Sebab dia nak tengok siapa orang sebelah dia. Masa tengah gawat inilah kita boleh tengok siapa sebenarnya orang Pak Lah, dan siapa masih orang Tun. Bila sudah jelas, mudahlah mahu cantas, potong, kerat, pancung, racun, tikam...
Pak Lah mahu tengok macam mana Najib jawab. Mahu tengok mana orang tulen sokong dia. Masa inilah. Cuma harganya mahal. Ekonomi boleh jatuh. Ala, itu baru namanya politik.
Saya bilang, setelah menarik nafas - saya kurang minat campur hal politik yang macam ini. Ia cuma mainan psikologi, motivasi dan sains manusiawi. Pakar bab ini, anda cemerlang. Kalau kejar isu, sampai bila tak habis. Padahal jalan penyelesaian sangat mudah.
Saya menegaskan - kalau tak percaya lihat saja bagaimana masalah remaja minum arak, berpoya-poya dan hilang akhlak, bohsia bohjan, semuanya boleh selesai dengan keluarkan undang-undang haramkan arak, haramkan judi, haramkan kelab malam, denda berat pada semua yang melacurkan diri. Semua pintu ditutup. Kerana ada kuasa. Tapi sekarang, benda mudah jadi susah sebab tak mahu tutup. Biar buka. Kuasa ada tapi tak mahu guna dengan betul.
Begitu juga dengan hal politik. Kalau semua pemerintah Islam persetankan saja Amerika, boikot ekonomi dia, masalah selesai. Hal semudah ini pemerintah Islam tak boleh buat. Keluarkan kenyataan saja. Laksana. Tapi sebab ada kepentingan, barulah jadi susahlah. Jadi payahlah. Itulah. Inilah.
Saya yang langsung tidak mahir bab politik teringat ketika beberapa pemikir dari Jabatan Penerangan (kalau tak silap) hadir ke Mesir dan mengadakan pertemuan dengan pelajar. Cerita pasal UMNO, cerita jasa mereka, cerita sejarah dan melebar-lebar hingga beberapa jam. Tujuannya seperti yang bapa saya pernah cakap - dia sebenarnya nak tengok reaksi siswa al-Azhar. Hijau birunya. Jadi, di sinilah gelanggang melihat mana yang menentang, mana yang membodek. Bertanya maka terbongkar.
Saya yang ada dalam majlis tersebut pernah memaklumkan pada panel - bukan orang Azhar tak mahu dengan cerita pasal politik, tetapi bukankan media massa sentiasa kutuk - pelajar kita diperalatkan oleh politikus dan melupakan pelajaran. Jadi kami nafikan. Sini tiada politik. Jadi, kenapa menerangkan jasa dan jasa dan jasa macamlah kami dalam buku teks sejarah tak baca nama-nama itu semua.
Kemudian saya tambah - tetapi atas nama ilmu, kami dengar. Tapi, jangan dengan sebab yang sama kami kena hentam. Dalam hati bilang - siapa yang bersyarah panjang-panjang dan sebut nama-nama parti politik dalam majlis, kemudian nanti kalau balik jangan ada yang kata kami terlibat dengan politik sedangkan kalian yang bawa mari.
Oh ya. Di sini, demi maslahah, bab-bab politik tidak dibicarakan. Kalau ada itu pelanggarang berbentuk individu. Mulut orang yang tak tertutup. Walaupun kami tahu, politik memang ada dalam Quran.
1 comment:
Uhumm... setuju sangat apa yang dicoret walaupun saya gaka tak suka permainan plotik masa kini. Anyway, berjalan keliling geju dan salam perkenalan!
Post a Comment