Ke Kuburan (2) [baca ke kuburan 1]
Adalah rezeki kebetulan badan saya sudah bersih dan selepas azan zohor berkumandang, saya lantas keluar. Ke masjid. Kerana kalau saya terlewat walaupun cuma lima minit alamatnya solat di kaki lima atau mungkin juga di atas jalanraya.
Rezeki juga saya sampai ke pintu masjid sekitar 4 minit dari waktu azan tamat dilaungkan. Hari ini, solat zohor akan lebih awal dari waktu-waktu kebiasaan, fatrah yang biasanya ditetapkan sekitar 15 hingga 20 minit menunggu makmum ramai akan dipendekkan menjadi sekitar 5 minit sahaja. Ada masanya juga yang sebaik habis azan lantas iqamah. Jadi, tergesa hari ini memang patut.
Dalilnya cuma satu, isyarat yang sangat jelas - dalam sekitar pukul sepuluh pagi tadi, bilal mengumumkan dari corong mikrofon ada jenazah. Kerana itu, makmum hari ini cepat tiba, lebih ramai dan solat lebih awal.
Selepas selesai solat Zohor, jenazah di bawa ke hadapan. Dalam keranda kayu, berkaki empat, ditutup kain hijau bertulisan emas, dibawa terus ke saf pertama, di depan imam. Makmum yang membuka ruang laluan untuk jenazah di bawa ke depan mula merapatkan saf dan meluruskannya. Sekejap lagi solat. Sekejap lagi.
Mikrofon dibawa ke sisi imam, dan amali solat jenazah diterangkan secara ringkas - bahawa solat jenazah itu ada empat takbir, selepas takbir ihram membaca Fatehah, selepas takbir kedua membaca selawat, selepas takbir ketiga membaca doa untuk mayat, dan selepas takbir terakhir membaca doa untuk umat Islam.
Saya menanti pengumuman Imam tentang gender jenazah seperti biasa yang akan dimaklumkan, tetapi kali ini tiada. Imam berdiri di salah satu hujung jenazah dan bukan di tengahnya. Sah, ini jenazah lelaki.
Sebenarnya, orang Arab akan berebut membawa jenazah, bahkan akan saling bertukar-tukar giliran membawanya. Tetapi kali ini, budaya berebut seolah-olah tiada, lantas saya segera padamkan segala andaian yang bukan-bukan, berdoa dalam hati dan atas bibir untuk mayat. Tukang pikul cukup-cukup, barangkali yang ramai sedang bersedia menanti saja di luar. Barangkali, kalau memikul sejak dari dalam menyukarkan mereka memakai kasut dan meneruskan usungan.
Kali ini juga, tiada kereta pembawa jenazah. Jenazah diusung bahu membahu, dari dalam masjid menuju ke jalan Muhandis Nabawi, kalau tidak silap saya. Nama jalan saya sedikit keliru, kerana serasa macam pernah diberitahu begitu atau pernah juga dikhabarkan bahawa jalan itu syari' Jamal Abd Nasir. Yang penting, matlamat cuma satu. Maqbarah Mandarah.
Berjalan sekitar sepuluh minit mengekori belakang jenazah dan belakang serombolan lelaki menyedarkan saya, yang turut hadir mengikut jenazah tidak seramai biasa. Tidak seramai yang mengikut kali-kali dulu, yang ramainya memenuhkan dua lorong pergi balik jalan dan menghentikan segala bentuk pengangkutan baik kereta, teksi hattakan van penumpang.
Saya tiba juga ke maqbarah, selepas melorong ke kanan, melalui depan madrasah Doktor Fauzi Mahyuddin, dan kemudian melorong ke kiri sebelum tiba betul-betul ke pintu gerbang maqbarah. Kiri kanan dipenuhi bongkah batu putih selebar dan sepanjang usungan jenazah, sering membayangkan kepada saya di bawahnya ada jenazah.
Di sini, setiap keluarga ada madfin. Madfin ke madfan? Ada ruang pengembumian.
Saya secara terus terang, belum berpeluang melihat lebih dekat, dengan mata sendiri tanpa dihalang apa-apa, akan proses sebenar pengebumian. Tetapi, apa yang saya pasti, ada bongkah batu seperti kepingan penutup kubur, atau barangkali kepingan yang dijadikan dinding tepi kubur.
Ada juga simen dan berlaku bancuhan, ada pasir, bahkan senampak saya, tiada proses timbus tanah tetapi semacam jenazah dimasukkan ke dalam bongkah kotak dan dimasukkan dari dinding tepi sebelum disimen semula dinding bongkah itu. Saya tak pasti, kerana saya tak melihat dengan mata sendiri akibat dihalang ramainya manusia.
Tetapi jangan terkejut kalau saya kata saya hampir pasti, kerana ada madfin yang bermangga di tepi dindingnya. Kalau bukan jenazah dimasukkan dari tepi lantas itu apa pula?
Bahkan kali ini juga, barangkali kerana terik matahari zohor dan bahang musim panas, tidak kelihatan pula mana-mana perempuan menangisi jenazah di sepanjang pengiringan ke kuburan. Barangkali juga jenazah tiada saudara mara dan hidup sendiri. Saya tak pasti. Kalau benar begitu alangkah kasihannya.
Sebelum pulang, saya menanti juru talkin tetapi kali ini tiada seperti lazimnya. Akhirnya, saya pulang bersama-sama dengan seluruh yang hadir.
Satu barisan lelaki di sebelah kanan menghulur tangan bersalaman dengan semua yang mahu meninggalkan perkuburan, suatu adat yang biasanya adalah terdiri dari ahli keluarga si mati. Di maqbarah ini, kalau anda ada sama, anda tidak melihat kewujudan orang perempuan saat pengebumian, yang kalau ada pun akan diminta keluar kerana biasanya orang perempuan akan menjadikan suasana dipenuhi tangisan dan rintihan. Kerana itu perempuan biasanya berada di tepi jalan, kemudian ada beberapa orang yang akan menahannya agar tidak ikut serta.
Saya pulang ke rumah, membawa sedikit insaf dalam hati, bahawa semua akan bersendiri selepas mati. Hidup barangkali sibuk mencari teman, kawan, isteri, suami, keluarga, memburu kesenangan hati, menghalau kesunyian, tetapi adalah suatu hakikat, bahawa mati itu berseorangan.
1 comment:
I have been looking for sites like this for a long time. Thank you! » » »
Post a Comment