Kau sangka aku tidak tahu hatimu yang busuk itu. Kenapa dengki sangat? Apa bangganya kau merosakkan nama orang lain, bukankah hajat hatimu tak kesampaian?
Apakah kau sangka aku tidak tahu engkau menyamar, lalu dengan nama orang lain kau rasa penyamaran itu dapat menutup langkahmu yang sumbang? Bersihkanlah dengki hatimu, bukalah matamu dan terima hakikat dan kebenaran di depan mata.
Tidak ada faedahnya mendengki padaku, lalu membabitkan yang lain. Tidak ada gunanya hasad padaku kerana cita-citamu yang tak kesampaian, lalu memburukkan yang lain. Lalu dengan semua ini, setelah semua itu, adakah kau rasa dengkimu memberimu kelegaan sedangkan hajatmu memang tak kesampaian?
Apakah kau sangka aku tidak tahu kau memburukkan aku dengan berita yang tidak pernah aku sahkan, lalu kau dengan yakin menyatakan kononnya itulah hakikat tetapi ketahuilah, ia tidak. Kau berlakon sebagai juru cakap aku dengan berita yang cuma kau duga tetapi belum kau takkidkan dariku lalu semacam suatu keyakinan, keyakinan bahawa berita itu benar, padahal tak lebih dari memburukkan aku.
Tahukah, bahawa sesiapa pun dalam dunia, akan merasa benci dengan lakumu itu.
Kau sangka perbuatanmu tak dihidu, kerana serasamu langkahmu cukup awas, katamu cukup jaga, bahkan engkau rasa engkau orang baik dan susah dituduh sebagai jahat dan menghilangkan kepercayaan orang padamu tetapi tahukah, yang busuk, ditutup akan keluar juga baunya.
Berhentilah.
Ia telah berakhir.
Terimalah hakikat.
Dengan tidak menyebut namamu tapi aku tahu, bukankah langkah itu ada bekas, busuk itu ada bau, apakah tidak molek jika aku menegurmu secara sopan di sini, janganlah hasad dengki. Hasadmu tidak membantumu mencapai apa yang kau mahu, hajatmu telah lepas, dan jangan menambah benci orang lagi dan lagi.
Akan datang, berhentilah menyamar kononnya orang tidak tahu, padahal aku sudah lama bersabar hingga serasa jelek tetapi dapat juga kutahan hingga bila tiba batasnya, memburukkan aku itu bukan perkara kecil, membuat berita palsu tentang ku bukan perkara enteng, menjadi jurucakap tanpa upah bukan perkara remeh, jangan sampai aku menjadi marah yang tidak lebih dari menambah benci lagi dan lagi.
Dengan hati yang murah, berhentilah, lakumu tidak laku, ia sudah dibaca orang lama dulu.