Saya memang ada kecenderungan pada falsafah, tetapi antara asas paling penting bagi semua orang yang minat pada falsafah adalah - logik tidak melebihi dalil dan nas.
Barangkali kerana itu, saya banyak berfikir lalu menggelar diri kononnya pemikir dan lain-lain.
Antara alasan paling murahan bagi saya, dalam seumur hidup ini, apabila seorang murtad menyatakan sebab dia murtad adalah kerana kekecewaannya pada Tuhan. Katanya, sudah banyak dia berdoa dan meminta tetapi Tuhan tidak kabulkan, lalu dia merasa putus harap pada Tuhan dan mahu keluar agama.
Menjawab alasan paling bangang ini boleh melalui dua cara. Satu, bahawa kesyukuran kita pada Tuhan, sebagai seorang hamba dengan pencipta, adalah tanpa sebab. Tidak kira baik atau buruknya Tuhan tetapkan pada kita, syukur, cinta dan segala-galanya adalah mesti, kerana kesyukuran kita adalah tanpa sebab.
Kerana itu, seorang kaya wajib beriman dengan Allah, begitu juga seorang miskin. Alasan miskin tidak menjadikannya halal untuk keluar Islam, begitu juga alasan susah. Kerana, kesyukuran dan keimanan kita pada Tuhan bukan kerana senang, dan bukan kerana susah. Bukan kerana baik yang Tuhan bagi, dan bukan kerana buruk yang Tuhan tetapkan.
Semata-mata demi kerana Dia adalah Tuhan. Jadi, alasan apa anda mahu murtad?
Semua huraian inilah yang saya maksudkan. Iman dan syukur (bahkan segala-galanya) adalah tanpa sebab, sama ada baik mahupun buruknya.
Kedua, kita boleh menjawab begini. Setiap hari kita hendak bangun, lalu kita berdiri. Kita hendak menuju ke sesuatu tempat, lalu kita boleh melangkah. Kita hendak melihat, lalu mata kita boleh celik. Kita mahu menarik nafas, lalu kita boleh menarik nafas. Tanyakan mereka, semua ini, bangun, berpergian, melangkah, melihat, bernafas, semua kehendak dan kemahuan ini, Tuhan tunaikan setiap hari. Saya ulang. Semua kemahuan dan kehendak ini, Tuhan tunaikan setiap hari.
Adakah apabila engkau tiba-tiba mengangkat tangan dan meminta sesuatu lantas Tuhan tak memberi langsung di depan matamu, Engkau menuduh Tuhan tak kabulkan doamu? Lalu kemahuanmu untuk berdiri, bukankah dikabulkan? Kemahuanmu untuk berjalan, bukankah telah dimakbulkan? Kemahuanmu untuk bernafas, bukankah telah dimakbulkan. Adakah patut hanya kerana doa yang engkau minta tidak terlaksana betul-betul di depan mata lantas engkau kecil hati, putus asa dan mahu keluar agama?
Dan alasannya, doa tak dimakbulkan. Habis, semua kehendak dan keinginanmu, berdiri, makan, jalan, bangun, pergi, bernafas, semua itu keinginanmu juga kan, bukankah ia dimakbulkan setiap hari, setiap waktu? Cuba kira berapa banyak keinginanmu yang dikabulkan di depan mata, berbanding doamu yang tidak kau lihat hasilnya di depan mata. Mahu merajuk dengan Tuhan? Merajuklah sana. Pergi.
Kenapa kau tak katakan saja, bahawa engkau tak percaya pada qadak qadar Tuhan, sama ada yang baik mahupun buruknya? Kenapa engkau memburukkan Tuhan, padahal dia mengkabulkan begitu banyak keinginan dan kemahuanmu setiap hari, setiap detik. Alangkah bangangnya alasan yang sebegitu.
Sudahlah memburukkan Tuhan, tambah lagi keluar agama. Bahawa engkau sebenarnya, tidak menerima prinsip asas Rukun Iman yang enam; beriman pada Qadak dan Qadar, baik dan buruknya.
Sampai situ saja.
No comments:
Post a Comment