Monday, October 30, 2006

Mari Hargai Orang-Orang Di Sekeliling Kita

Belajar menghargai orang adalah sangat susah. Ia bukan suatu lakonan, kerana lakonan ada mula dan ada hentinya. Bila kita mula belajar menghargai, kita akan mula mengerti betapa kita juga mahu dihargai.

Tabienya, kita selalu menghargai orang yang jauh dari kita, lantas mengabaikan orang yang di sekeliling. Kemudian, apabila orang yang asalnya berlegar di sekeliling kita mula menjauh, dan orang baru lain pula berlegar di sekitar kita, kita bernekad mengejar orang yang menjauh, dan mengabaikan sekali lagi mereka yang baru tiba di sekeliling kita.

Bila namanya menghargai, kita bukan membina tembok agar ia tidak lari, tetapi membina ikatan agar sejauh mana ia lari, ia akan tetap kembali. Tetapi adatnya, kita sedaya upaya membina tembok dan membentang halangan, dan memutuskan tali.

Menghargai tabiatnya adalah pada yang kita suka. Apakah kita pernah menjumpai sesuatu yang kita benci lalu dihargai? Lalu, langkah pertama kepada penghargaan adalah perasaan suka. Dari perasaan suka maka timbul perasaan senang, dan dari perasaan senang, maka menghargai akan jadi lebih mudah.

Setelah beberapa kali mengkaji perangai manusia, saya mendapat satu takrifan singkat mengenai perbezaan lelaki dan perempuan. Iaitu, lelaki berbeza langsung dengan perempuan, perbezaan yang sangat bertentangan. Akan tetapi, ia bertentang seperti sejauh antara A dengan Z, atau sedekat M dengan N.

Cubalah perhatikan. Perempuan mudah menghargai keluarganya, dan lelaki agak sukar menghargainya. Sebaliknya lelaki mudah menghargai kekasihnya, tetapi perempuan pula sangat sukar menghargainya. Hem. Betulkah begitu pada anda?

Saturday, October 28, 2006

Dari Tanah Yang Sama Keluar Pohon Yang Berbeda

Untuk ayah dan ibu. Orang-orang yang ambil kuliah lughah bukan semestinya menjadi lughawi, kerana kuliah lughah bukan sekadar itu saja. Ibu dan ayah tahu? Ada yang cenderung pada Nahu lalu menjadi Nahwiy, ada yang cenderung pada Saraf lalu menjadi Sarfiy, atau boleh juga dipanggil lughawiy, kerana ia ada kaitan dengan kosa kata, ada yang lebih pada Adab lalu menjadi adabiy, sasterawan orang melayu kita panggil, ada yang kukuh pada sejarah lalu menjadi muarrihkh, itu antaranya, ada banyak lagi.

Dan semua itu tidak sama, dan perlu kepada latihan yang berbeza. Seorang ahli bahasa pun tidak semestinya menjadi sasterawan, walaupun tahu hukum bahasa. Sebab ia berbeza zuk dan zuk adabiy manakan sama dengan zuk nahwiy atau pun lughawiy.

Dan kalau tidak keberatan juga ketahuilah, jarang-jarang benar ada yang dapat kuasai semuanya, walaupun ia masih dalam kuliah lughah. Walaupun betul, usaha itu kena dan perlu.

Thursday, October 26, 2006

Nilai Huruf Jar, Dan Kesannya Kepada Makna Dan Ayat

Guru saya selalu mengingatkan - bahawa huruf jar bersama majrur adalah sentiasa bersifat muta'allik bi ma qablahu - iaitu bergantung dan berkait dengan apa yang berada dengan sebelumnya.

Saya menambah kaedah ini dengan menjelaskan - bahawa jar dan majrur, berada di posisi yang paling lemah dalam ayat, kerana jar dan majrur boleh ditakdimkan (di kehadapankan) atau boleh ditakhirkan (di kebelakangkan) dalam sesuatu ayat, selama mana ia bukan bersifat zaidah.

Menerangkan kaedah ini, saya suka membawakan contoh paling mudah supaya dapat menjelaskan posisi dan kedudukan sebenar. Contoh - waqafa muhammadun fi l-masjid - boleh ditukar kepada - fi l-masjid waqafa muhammadun. Dalam contoh yang pertama, jar majrur diletakkan di akhir ayat (ditakhirkan) dan dalam contoh yang kedua, jar majrur di letakkan di awal ayat (ditakdimkan), dengan keadaan kedua-dua makna, masih lagi membawa makna yang sama, sekalipun ia ditakdimkan, atau ditakhirkan.

Saya menambah lagi, bahawa jar dan majrur berada dalam posisi paling lemah (selama mana ia bukan zaidah) kerana ia bukan sahaja tidak membawa perbezaan sekiranya ditakdimkan mahupun ditakhirkan, bahkan ia juga boleh dimahzufkan (dibuang) dan ia tidak menjejaskan struktur ayat, dan ayat masih dianggap sempurna tanpa sebarang cacat.

Kerana sifatnya yang 'muta'allik bi ma qablahu', bergantung kepada apa yang sebelumnya, ia bersifat lentur dan mudah alih. Maka tidak hairanlah, sekiranya anda mempelajari usul feqh, anda akan menjumpai muqaiyad dan mutlak, dan ia ada kaitan dengan sifat istimewa jar majrur ini.

Apabila saya menambah perincian kaedah 'boleh dimahzufkan' dalam konteks ini, adalah penting untuk dijelaskan juga, bahawa makna ayat akan 'berkurang' kesan daripada pembuangan jar majrur. Bahkan, pentakhsisan makna boleh bertukar kepada peng-am-an makna, juga sebaliknya. Ya, ia akan mengganggu isi kandungan sebenar yang mahu disampaikan oleh penutur.

Sebagai contoh, ayat, saya pergi ke sekolah dengan bas pada jam sepuluh pagi (zahabtu ila l-madrasati bi l-utuubis fi s-sa'aati l-a'shirati sobaahan) mengandungi beberapa huruf jar iaitu ila (ila l-madrasah), dan bi (bi l-utuubis) juga fi (fi s-sa'aati l-a'shirati). Sekiranya menggunakan kaedah yang saya sebutkan tadi, kita bukan sahaja boleh mentakdim mahupun mentakhirkan mana-mana jar dan majrur tanpa menjejaskan makna (selama mana ia bukan zaidah), tetapi kita juga boleh menghazafkan jar dan majrur tersebut tanpa 'menjejaskan struktur asas' ayat.

Mari kita hazafkan. zahabtu ila l-madrasati bi l-utuubis fi s-sa'aati l-a'shirati sobaahan. Kita dapat melihat, semua huruf jar dan majrurnya dihazafkan, dan cuma meninggalkan zahabtu. Ia tidak menjejaskan struktur asas ayat, kerana dalam struktur asas ayat 'fe'el', yang semestinya ada adalah fe'el dan fa'el, dan jika ia muta'ddi, maka kena ada maf'ul.

Dalam contoh di atas, zahabtu sudah memiliki fe'el dan fa'el (ta fa-'el), dan struktur ayat telah sempurna. Inilah yang saya maksudkan dengan 'keharusan menghazafkan jar tanpa menjejaskan struktur asas ayat'. Ayat masih lagi sempurna, sekalipun selepas hazaf. Ayat masih lagi betul. Cuma, makna sebenar penutur telah dikurangkan kerana hazaf ini.

Apa pentingnya memahami konsep dan kaedah ini? Ia membantu anda menjejak dan memahami mana satukah struktur asas ayat, dan manakah aksesori tambahan sesuatu ayat. Apakah asas sesuatu ayat dalam sesuatu uslub, dan manakah yang bersifat tambahan semata-mata.

Dalam konsep yang saya terangkan tadi, saya menuliskan 'selama mana huruf jar tersebut itu bukan zaidah'. Ini kerana, sekiranya ia adalah zaidah, maka huruf jar tersebut beserta majrurnya tidak boleh dimahzufkan, dan adalah lebih baik untuk tidak ditakdimkan atau ditakhirkan. Ini berlaku kerana sekiranya ia dimahzufkan seperti huruf-huruf jar yang lain, maka struktur ayat bukan saja rosak, bahkan makna akan menjadi salah.

Saya harap tulisan ini dapat difahami. Makna yang kurang tetapi masih betul, berbeza dengan makna yang kurang bahkan juga salah. Anda akan lebih jelas sekiranya memahami jar zaidah dengan lebih teliti lagi. Soalnya, bagaimana membezakan jar zaidah, dengan jar bukan zaidah.

Wednesday, October 25, 2006

Rujuklah Kamus

Seorang kawan pernah bertanyakan kepada saya, bagaimana memahirkan diri dengan wazan-wazan (tasrif) di mana perubahan daripada satu tasrif kepada tasrif yang lain akan membawa kepada perbezaan makna.

Secara imbas saya katakan, memang benar, setiap tasrif mempunyai makna-makna tersendiri, seperti ta'diah, taksir, dan lain-lain, dan kaedah ini secara asasnya boleh membantu kita memaknakan dengan lebih tepat. Akan tetapi, adalah lebih selamat untuk kita sentiasa merujuk kamus Arab-Arab supaya kita dapat mengikuti maknanya dengan lebih tepat lagi.

Ini kerana, panduan penambahan makna-makna tertentu adalah beberapa makna asas, dan ia tidak terhad sekadar itu sahaja. Sebagai contoh, sekiranya fa-'ilun memberikan makna 'pembuat' atau pelaku bagi sesuatu perbuatan, tetapi, makna ini adalah makna asas, dan barangkali tidak cukup bagi menerangkan makna tersebut secara penuh, apatah lagi sekiranya ada campur tangan istilah.

qa-bi-la yang bererti menerima, seharusnya akan bererti penerima setelah menerima makna tambahan 'pembuat' atas tasrif fa-'ilun, menjadi qaabilun, tetapi qaabilah, dengan wazan yang sama tetapi ditambahkan ta ta'nis, akan membawa erti lain, iaitu, perempuan yang menerima atau menyambut bayi ketika dilahirkan, iaitu dalam konteks kelahiran di tempat kita, adalah bidan, perempuan yang membantu ibu-ibu melahirkan anak.

Makna pembuat, atau pelaku, bagi sesuatu perbuatan adalah makna asas, tetapi kadang kala, beberapa makna tambahan yang tidak direkodkan juga mempunyai kesan kepada makna asal ini. Oleh itu, adalah lebih selamat untuk kita selalu merujuk kamus dalam menentukan makna, dan lebih baik lagi, kamus Arab-Arab.

Kad Raya

Kad Raya sudah sampai. Tapi belum ambil. Mungkin dari mak ayah, sebab mereka pernah kata baru hantar.

Semalam, bila angin sejuk dari laut bertiup ke mata, mata rasa mudah nak berair. Efek dari kesejukan musim sejuk. Efek yang sama berlaku kalau pusat beli belah yang dingin, rasa nak mengalir saja air mata. Dan raya-raya ni, bila malas nak berjalan, baik puasa, betul tak?

Tuesday, October 24, 2006

The True Reason

The true reason of my unwilling to enjoy this great day with others is still secret. But actually, if I have to tell you one of those reason, it should be - I happy to celebrate it this way. For me, Raya is something no more than any other days, I can eat anytime I want, so, what the different? If you said that Raya is the time for meeting others, yes, it is true, but meeting others is not something that I can do only when Raya comes. Every times I meet others, I feel the same feeling exactly as others feel when it is Raya.

So, please not to pity me for my decision, it make me sick. I will meet you any other days, my the same feeling of happiness, just exactly like you feel happy when it's Raya.

And more, if you open your eyes and make your mind wider, the morning when Raya comes, everybody is so busy, and unwilling to pay attention on you, keep dodging for many thing to prepare or to ready, and have less times for you, because he have to spare some to the guess which is coming. [Except, he only had you for his guess, that times, he may pay all of his to you]

Anyway, please enjoy yourself this Raya, and forgive me for everything. May God bless you all

Berguru Dengan Buku

Tidak bermasalah rasanya kalau waktu raya pun kita menulis tentang sesuatu yang tiada kaitan dengan raya, mahu pun puasa. Sebelum itu saya minta maaf kerana saya tidak dapat menulis selalu di blog ini, kerana ayah saya tidak suka saya menulis. Walaupun saya tak setuju dengan pendapatnya, tetapi tindakan saya tersekat-sekat barangkali kerana hormat, walaupun saya tahu dia tak membuka blog saya ini. Barangkali saya sendiri yang terasa begitu. Entahlah.

Berguru dengan buku, atau berguru dengan guru.

Pertama, saya melihat bukan hanya dua saja pilihan. Zaman makin maju, dan ada juga orang berguru dengan kaset, berguru dengan blog, berguru dengan portal. Tetapi saya merumuskan dan menggolongkan kembali semua ini secara umumnya, terbahagi kepada dua. Satu berguru dengan orang yang hidup depan mata, dan dua berguru dengan benda tak hidup seperti buku, kaset, blog, portal dan lain-lain.

Kedua, saya suka mempamerkan risiko dan bahaya. Kalau anda jenis tak kisah bermain dengan risiko, maka tulisan ini tak perlulah anda baca. Maksud saya, risiko berkaitan dengan api neraka, atau risiko menjadi sesat, risiko mengajak orang kepada sesat. O ya. Lupa pula saya, itu risiko, sebab itu menyebut kemungkinan yang buruk-buruk sahaja.

Orang yang tak kisah, tak perlu baca pun tak apa sebab mereka tak kisah ini semua.

Bagi saya, bahaya dalam semua tetap ada. Berguru dengan orang pun ada bahaya. Bahayanya terjadi kalau tersalah pilih orang. Terpilih orang yang sesat, bila kita belajar dengannya, maka kita pun jadi sesat. Maka, langkah terbaik adalah - memilih guru yang dipastikan saliim dari dituduh sesat dan lain-lain.

Zaman sekarang, begitu ramai ghairah jadi guru, dan mahu membuktikan kepandaian masing-masing. Entahlah. Cuma hati-hati. Jangan lupa risiko yang saya sebutkan.

Berguru pada buku, lebih banyak risiko dari itu. Pertama, buku salah cetak. Berapa banyak kes dalam dunia percetakan buku salah cetak. Kerana itu, kita disuruh berguru dengan orang. Orang akan tahu kalau ia salah. Kedua, buku hilang muka surat, maka, boleh jadi dalam sesetengah perkara yang dikatakan haram, masih ada istisnaat (pengecualian). Ketiga, buku ditulis oleh orang lain, tapi pakai nama orang lain. Menyamar dalam bahasa mudahnya. Perkara yang semacam ini boleh diiktibar seperti kes penyusunan semula syair, di mana sesetengah orang menyamar menjadi penyair yang telah masyhur, dan menisbahkan kalamnya pada penyair tersebut.

Keempat, kalau buku itu buku bahasa Arab, maka persoalannya, adakah kita faham benar maksud sebenarnya? Jangan lupa pada mahzuf, yang kalau tak ditakdirkan secara betul, boleh disalahfahami. Jangan lupa pada ta'qid lafzi dan ta'qid maknawi (buka bab fasohah dalam ilmu balaghah, bukan takkid tetapi ta'qid, ain-kof-dal). Jangan lupa juga pada pengaruh adat Arab yang banyak mempengaruhi makna. Contoh paling mudah, bagaimana memiliki jabinu l-kalb yang bererti anjing yang penakut boleh bertukar maknanya kepada 'bersikap pemurah dan dermawan', kalau tidak kerana terkesan adat orang Arab. Jangan lupa pada masalah zohiratu t-tadoodh zohiratul taraaduf, kes di mana satu kalimah mempunyai makna lebih dari satu. Sama ada makna-makna tersebut mempunyai perkaitan, seperti kalimah daqiq bermakna tepung dan terperinci (ada kaitan dari segi kehalusan), atau mempunyai makna bertentangan seperti kalimah maula yang boleh bererti Tuhan, dan boleh bererti hamba.

Kelima, kalau buku itu buku terjemahan, perlu juga ditanya, adakah betul si penterjemahannya? Adakah kita memastikan terjemahannya betul atau kita main ambil pukul rata? Jangan lupa, sebagai orang yang menyebarkan, kita bertanggungjawab. Kalau betul, maka betul. Kalau salah, maka salah. Kisah menterjemah sangatlah perit bagi saya. Nak menterjemah min pun ambil masa. Kadang-kadang tulis min, tetapi yang dikehendaki maknanya bukan min. Mungkin fi atau lain-lain. Ada juga min yang sebenarnya zaidah, yang tidak perlu dimaknakan langsung. Kalau benar-benar tahu perit menterjemah, baru tahu betapa susahnya mahu terjemah. Dan kita, main petik dan sebar. Sudah semak? Yakin?

'Yakin' dalam bahasa Arab pun boleh bermakna mati. Saya masih ingat ketika seorang kawan menunjukkan saya portal ahkam online, dan di situ ada seorang ahli yang menterjemah beberapa ayat bahasa arab setelah dicabar oleh ahli yang lain. Bila semak, alangkah kelakarnya orang yang menterjemah, sampai dalam hati saya berbisik, dia ini belajar Bahasa Arab ke tidak? Bayangkanlah kalau ayat yang seharusnya bermakna [ mereka menjadi takut untuk membatalkan kesahihannya ] boleh diterjemah menjadi [ mereka semua membatalkan kesahihannya ] . Perkataan 'merasa takut' hilang mana? Kemudian berhujah, lepas tu ahkam memenangkan dia. Nak kata sedih, alangkah sedih.

Kadang-kadang, bila kita faham perkara ini semua, kita rasa sangat takut. Nak terjemah satu kalimah pun ambil masa, bincang dua tiga orang, rujuk kamus, semak ikrob. Hattakan kalimah yang sudah tahu pun kadang kala disemak juga dalam kamus, bagaimana orang boleh semudah-mudah saja ambil, salin, edar.

Kerana itu, cara terbaik adalah berguru dengan guru yang betul, bukan guru yang sesat. Kedua, kalau mahu baca kitab jangan lupa tanyakan juga pada yang alim, pakar, semak ikrob, semak makna, semak terjemahan, dan penting juga, semak siapa penulis. Tapi jangan pegang seratus peratus tanpa tanya dan rujuk pada alim secara lisan. Zaman sekarang, kita jangan sangka kita saja pakai al-Quran, orientalis pun pakai Quran. Seorang pondan ketika ditanya mengapa tukar jantina pun menjawab menggunakan ayat quran yang bererti - barangkali kamu bencikan sesuatu tetapi ia baik buat kamu. Alangkah! Kita bukan saja kena semak, adakah dalil itu betul, tetapi kena semak, adakah cara istidlal juga betul. Kalau kita jadi macam si pondan yang tukar jantina tu pun masalah juga.

Zaman bila sibuk semua berdebat guna dalil, adakah wajhu istidlal dia betul? Kawan saya pernah sebut, dalam satu ayat Quran yang bermaksud - Dan mereka merancang dan Allah merancang, dan Allahlah sebaik-baik perancang - tidak sesuai ditujukan sesama kita orang Islam. Mereka dalam ayat itu merujuk pelan rancangan orang kafir yang berniat menyerang Islam dan melawan Allah. Kalimah 'merancang' dalam ayat itu bukan ditujukan pada rancangan hidup kita seorang Islam sehari-hari. Itu istidlal tidak kena, walaupun harus ambil ibroh dari zahir lafaz.

Dah panjang saya taip. Berhenti dulu. Penat. Untuk kawan-kawan, tak apa kan kalau tak raya? Raya tak wajib, dan juga tak haram. Yang penting raya pertama tak puasa. Kalau kita jumpa waktu raya, alhamdulillah. Kalau tak, mungkin rezeki tak ada. Apapun, selamat hari raya, maafkan salah silap saya sebagai insan yang lemah, halalkan makan minum. Jumpa lagi, kalau diberi kesempatan.

Friday, October 20, 2006

Selamat Hari Raya

Memang lazim kalau raya-raya begini, kita ucap Selamat Hari Raya, juga minta maaf salah silap. Dan raya-raya begini juga, selalunya ada majlis-majlis makan dan sambutan, terpulanglah bagaimana nak diraikan. Kalau mereka yang sudah berkeluarga, perkataan-perkataan yang selalu disebut dan difikirkan ketika raya ada seperti kuih raya, baju raya, langsir baru dan lain-lain persiapan.

Itu, perkara-perkara yang selalu orang lakukan masa raya. Tapi, bagaimana pula perkara-perkara yang jarang-jarang orang mahu lakukan waktu raya?

Perkara yang jarang-jarang orang mahu buat waktu raya seperti bekerja waktu raya, atau seperti tidak beraya di waktu raya. Cuma, jangan ada yang berpuasa di raya pertama, sebab tak boleh. Tapi, saya, sejak lama dulu, yang selalu saya tunggu untuk raya ini adalah kad raya daripada keluarga saya. Saya cuba untuk tidak terlepas menghantar kad raya pada keluarga, dan saya tahu, saya selalu menanti balasan kad raya dari keluarga, ayah ibu, adik beradik, juga dari atok sebelah mak dan ayah. Hm, cuma, raya ini nampaknya tak ada hasil.

Apapun, selamat beraya, maaf zahir dan batin.

Friday, October 13, 2006

Asertif

Saya mempelajari istilah ini ketika mengikuti Program Sihat Tanpa Aids Untuk Remaja, ketika bergelar pelajar tingkatan lima. Ia istilah psikologi, bermaksud menyatakan (menunjukkan) perasaan, pendapat, reaksi secara jujur, dalam masa yang sama tidak memanipulasikan, memanfaatkan atau merugikan pihak yang lain.

Dalam asertif yang saya belajar, adalah berani untuk menyatakan 'tidak' apabila diajak atau dipelawa pihak lain, tanpa rasa bersalah atau takut aka bimbang melukakan pihak lain. Asertif mengumpulkan dua aspek penting bagi saya - belajar mempamerkan kemahuan diri tanpa pura-pura atau terpaksa atau dipengaruh kemahuan orang lain, dan dalam masa yang sama, dengan cermat tidak menjejaskan hubungan dengan yang lain.

Sebagai contoh, seorang sahabat mengajak anda membuat sesuatu yang sememangnya tidak salah, tetapi anda tidak minat, atau tidak mahu, lalu menyatakan secara asertif bahawa anda tidak mahu. Kebanyakan orang akan cenderung untuk tidak bersikap asertif dan menerima saja kemahuan orang dengan alasan tidak mahu melukakan hati orang lain.

Bagi saya, asertif yang saya faham adalah, bukan bersikap mementingkan diri hingga mengabaikan langsung kemahuan orang lain, tetapi tidak mengorbankan kepentingan diri pada masa yang sama apabila bertembung dengan kemahuan orang lain. Asertif jika salah difahami akan menjadi seolah-olah sikap mementingkan diri sendiri tetapi ia tidak.

Asertif adalah suatu ekpresi perasaan, atau ekpresi pendapat, yang jujur tetapi tidak melukakan lawan dan tidak mengaibkan diri. Mereka yang non-asertif seringkali berpendapat untuk 'menjaga hubungan' tetapi 'menipu diri sendiri' kerana enggan menjadikan pihak lain sakit hati, padahal sekiranya mereka meneruskan komunikasi sebegitu, ia masih akan mengancam hubungan dan komunikasi itu sendiri di masa depan.

Pihak yang bersikap non-asertif akan memilih untuk memendamkan perasaan dan pendapat diri, menutup semua perbezaan demi alasan tidak melukakan yang lain. Difahami, asertif adalah menyatakan pendapat dan perasaan secara jujur, tetapi tidak melampau hingga memestikan dia memenangkan pendapat dan perasaan sendiri, hingga melukakan yang lain.

Baca

Secara kasarnya, saya sendiri juga, bersikap non-asertif di mana enggan mengabaikan kemahuan pihak lain sedangkan diri menolaknya. Saya suka, untuk bersikap asertif yang tidaklah mementingkan diri semata-mata, tetapi tidaklah juga mengabaikan kemahuan diri langsung. Bolehkah kalau begitu? Mahu cuba?

Malhuuzaat:
Berapa peratus sikap asertif anda?

Thursday, October 05, 2006

Pantun Raya

Kawan saya buat kad raya, meminta saya mencarikannya pantun. Mencari pantun susah, lebih mudah buat sendiri, kata saya. Dia bilang, mahu pantun untuk ibu bapa, yang sedang-sedang padan. Saya merangkakan beberapa rangkap, mulanya ditujukan pada ibu dan bapa, kemudian melalut kepada pantun cinta. Baca.

Rendang lodeh ketupat lemang,
bahulu tat semua dihidang,
mak ayah adik dan abang,
kita santap jauh di seberang.

Dari kuali pindah ke talam,
dari talam sampai ke pinggan,
dari hati pindah ke qalam,
dari qalam sampai ke tangan.

Kususun huruf menjadi kalimah,
kuatur kalimah menjadi ayat,
kususun tapak menjadi langkah,
kuatur langkah menjadi dekat.

Detik bertukar menjadi saat,
minit bergabung menjadi jam,
denyut bertukar menjadi cepat,
hati bergabung menjadi agam.

Ribu-ribu patah diatur,
diatur kemas menjadi bicara,
ribu-ribu bicara diatur,
diatur kemas menjadi cinta.

Oh ya. Untuk Amli, maaf tak dapat hantar kau balik. Selamat meneruskan perjalanan, dan menjalani hidup masa depan.