Sunday, July 24, 2011

Catatan Hujung Persinggahan 1 : Toreh Dan Luka

Sebetulnya, saya sedih kerana terpaksa mengucapkan kata-kata yang kasar. Sebahagiannya adalah kerana marah, dan setiap kali saya menoreh mereka, saya terasa seperti menoreh diri sendiri. Sebahagiannya pula adalah untuk mengelakkan salah faham, kerana singkatnya mereka memahami erti rahmat yang bererti belas, dan sifat belas seorang muslim adalah seluas lautan, sifat belas inilah menjadi simbol Baginda s.a.w.

Itulah yang akan berlaku apabila kita tidak habis-habis mahu mengukur iman orang lain. Pandangan kita penuh dengan buruk sangka, dan selalu mencari aib orang lain. Lebih malang lagi, kita sudah memberi hukuman kepada mereka di dunia, padahal Tuhan masih lagi memberi peluang untuk mereka bertaubat. Bahkan sifat belas Tuhan meluas sehingga akhirat dan sebahagian kesalahan masih lagi ditutup dan diampunkan.

Sungguh, selalu saya terfikirkan, saya berada di sistem yang saya tidak menyetujuinya, dan untuk mengubahnya adalah seperti mengubah segala-galanya, dan membuatkannya seperti tidak mungkin dengan kudrat diri. Saya berdoa kepada Tuhan, membukakan hati kita kepada kebenaran, dan menjelmakan kita kepada serupa Junjungan Pilihan.

Saturday, July 16, 2011

Muzoharot

Sungguh, saya tak menyangka sampai begitu rancak sekali perdebatan mengenai adakah demonstrasi ini dihukumkan sebagai menurut syarak atau pun tidak. Maksud saya, di kalangan sahabat-sahabat saya di Mesir, sahabat-sahabat yang saya kagumi kesungguhan mereka menadah ilmu dari tokoh-tokoh besar ilmuan di sana. Saya sangat gembira mereka mendapat penjelasan yang begitu terus dan tulus bahkan mendengar dan melalui semuanya di sana.

Cuma, dalam rancaknya perdebatan, seperti mana yang saya sendiri pernah lalui, jangan sampai kita berdendam dan bermasam muka. Elakkan debat kalau kita tidak mempunyai kelapangan hati, kerana syaitan itu barulah musuh sebenar kita, yang sentiasa mencari jalan. Sedar hakikat ini, dan lapangkan hati, ingatlah sentiasa bahawa lawan debat kita itu adalah kawan, saudara seagama kita. Saya juga dulu bila debat hingga terlupa hakikat ini, kadang-kadang terbawa-bawa, kemudian menyesal kerana terlanjur kata kerana terlalu mengikutkan hati.

Tetapi sungguh, setelah berbual dengan seorang dua, dan membaca satu dua tulisan, barulah perasan bahawa memang ada yang berdebat mengenai hal ini. Ada yang mengambil pendapat ulamak Mesir, ada yang mengambil pendapat ulamak Syria, dan ada yang menggabungkan kedua-duanya, dan ada yang mentarjihkan setelah menggabungkan kedua-duanya. Sungguh, mereka sudah sampai ke tahap perbincangan yang tinggi hingga tiba ke batasan khilaf. Sungguh, kita juga patut mempunyai sikap yang dipunyai oleh ulamak yang tiba ke perbatasan tersebut, sikap lapang, dan ingat bahawa mereka adalah saudara kita.

Setelah membaca kedua-duanya, saya juga memahami pelbagai perkara. Dan saya masih berpegang pada konsep bahawa saudara seagama, adalah saudara kita, tidak kira di parti apa mereka tersebut, walaupun mereka berdosa besar. Kekasaran sesama saudara seagama adalah tidak betul dan salah, kerana itu saya kesal dengan sikap mencederakan yang berlaku. Namun saya juga sedar saya tidak dapat menghalang perkara tersebut berlaku, itu tambah mengesalkan.

Perhimpunan bersih memang sudah ada tanda-tanda awal ia akan menjadi kekasaran, kerana kerajaan menggelarnya sebagai perhimpunan haram. Bukan itu saja, ia seperti akan dibanteras habis-habis, dengan pengumuman bahawa jalan-jalan masuk ke Kuala Lumpur disekat, hala laluan bas ditukar, individu-individu tertentu sehingga 91 orang dilarang masuk ke sana, kempen besar-besaran di media yang menampakkan kebencian kerajaan terhadap perhimpunan ini. Bahkan, sekatan di tempat-tempat lain yang tiada kaitan dengan jalan ke Kuala Lumpur sebelum perhimpunan tersebut turut menampakkan maksud yang sama.

Saya sebetulnya mengharapkan tiada yang buruk berlaku, walaupun petanda-petanda seperti membayangkan kemungkinan itu ada. Betul, saya dalam hal ini bukan mahu mencari siapa lebih betul dari siapa yang betul, atau bukan mencari siapa lebih bersalah dari siapa yang bersalah. Apa yang saya kesal adalah kehilangan nyawa, kerana nyawa manusia adalah haram, kita dilarang membunuh orang, bahkan kita juga dilarang menjerumuskan diri kepada dibunuh oleh orang. Kita dilarang mencederakan orang, dan kita juga dilarang menyebabkan diri kita dicederakan orang. Apatah lagi mereka itu adalah saudara seislam sama agama dengan kita.

Bercakap tentang menuntut keadilan supaya dengan keadilan itu maka terlaksanakan proses pemilihan pemerintah, lantas mengingatkan saya pada sebuah hadis tatkala seorang Ansar, saya ulangi, seorang Ansar bertemu dengan Baginda Nabi s.a.w. bertanya Baginda, apakah Baginda tidak mahu melantiknya menjadi ketua seperti mana Baginda melantik si fulan (orang Muhajirin) sebagai ketua? Lalu respon Baginda terhadap hal ini, Sesungguhnya Kalian, saya ulang, Sesungguhnya Kalian akan menemui begitu banyak sikap mementingkan diri di zaman selepas aku tiada, maka bersabarlah kalian, sehingga kalian menemuiku di haud (telaga, iaitu di padang mahsyar nanti).

Sungguh, maksud tersirat memahamkan bahawa akan ada pihak yang mementingkan diri, dan kalian akan marah dan cuba menuntut hak, tetapi Baginda meminta kita bersabar, dan bukan sekadar sabar yang biasa, tetapi sabar sehinggalah hari kiamat esok, di hari kebangkitan. Bagi saya, ini adalah antara isyarat paling penting, bagi mereka yang bertanya sampai bilakah kami harus bersabar, dan ia adalah ajaran tindakan yang diajarkan kepada kita. Kepada pihak yang satu lagi, fahamilah bahawa nyawa seorang muslim adalah haram, bahkan lebih dari kehormatan Kaabah. Bahawa kedudukan pemerintah itu datang bersama tanggungjawab, dan semuanya akan dipersoalkan di hari kemudian kelak.

Sungguh, apabila kemarahan manusia memuncak, sudah bertahun bersabar menahan dengan kezaliman orang lain terhadapnya, saya selalu teringat peristiwa yang sama berlaku kepada saya. Mulut sudah tidak boleh dikawal kerana marah. Kerana itu saya faham akan kemarahan rakyat, dan saya berharap pihak yang terbabit juga faham, dan betulkanlah keadaan yang pincang. Untuk pihak yang marah, seraplah kesabaran sedapat-dapatnya, seperti mana kisah Sahabat yang bersabar dan tidak menuntut bela terhadap sahabat yang masuk Islam, padahal mereka dulu adalah orang yang membunuh ahli keluarganya ketika perang Badar dan sebagainya. Mereka memandang orang yang membunuh ahli keluarga mereka, bersabar kerana menyedari mereka itu telah masuk Islam dan menjadi saudara. Itulah besarnya nilai saudara seagama dalam agama kita ini.

Sabarlah, dan ingatlah sabda Baginda yang menyebutkan antaranya bermaksud, Aku sudah memohon kepada Tuhan supaya Dia tidak memusnahkan kita umat Islam dengan kemusnahan seperti umat-umat sebelum kita, lalu Dia menunaikan permintaanku itu, dan aku meminta Tuhan agar kita tidak ditewaskan musuh dari agama selain kita (orang kafir), lalu Dia menunaikan permintaanku itu, dan aku meminta agar Dia agar tidak memakaikan kita pakaian perpecahan (berpecah belah), tapi Dia tidak memperkenankannya.

Bahawa perpecahan ini adalah suatu yang Nabi tidak mahu kita lalui, dan Baginda mahu kita bersatu. Tugas menegur pemerintah yang zalim harus diteruskan, seperti maksud sabda Baginda, sebaik-baik Jihad adalah kalimatul haq (mengatakan kebenaran) di depan sultan yang zalim, dan bukannya memberontak, atau menjatuhkan secara paksa. Kerana itulah saya fikir demonstrasi berlaku kerana mereka juga mengambil kira bahawa demonstrasi adalah satu cara menyatakan kebenaran. Tetapi risiko yang dikandung oleh demonstrasi yang melibatkan nyawa itu perlu diambil kira dalam pertimbangan.

Sungguh, saya berdiri di sebelah hujah bahawa demonstrasi bukanlah cara terbaik untuk berdepan dengan orang yang bertindak kasar. Untuk berdepan dengan pihak yang tidak bertindak kasar mungkin adalah ya. Kemudian, jangan kita lupa hakikat kalimah zalim bukan digunakan untuk satu makna. Bahawa ketika Sahabat-sahabat bersusah hati apabila mereka merasakan merekalah pihak yang digelar zalim, kerana di zaman Jahiliah mereka membunuh anak-anak mereka kerana jahil, lalu Baginda s.a.w. membetulkan pemahaman mereka, bahawa Syirik itulah kezaliman yang dimaksudkan. Bahawa kalimah zalim masih mempunyai pelbagai pertimbangan.

Sungguh, memang seperti tidak logik apabila Baginda Nabi s.a.w. meminta kita bersabar sehinggalah ke hari kiamat esok, hingga tertanya-tanya, apakah cara untuk mengubah manusia yang degil dan zalim ini, tetapi tenunglah firman Allah ini, sesungguhnya engkau tidak memberi hidayah kepada sesiapa yang engkau mahu, akan tetapi Allahlah yang memberi hidayah kepada siapa yang Dia mahu. Jadi, pintalah kepada Allah, serulah mereka ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan peringatan yang baik, dan berdebatlah (cara terakhir) dengan langgam yang lebih baik (dari cara mereka berdebat dengan kamu).

Wednesday, July 13, 2011

Turun Naik

Subhanallah. Motivasi kerja saya kerap turun naik akhir-akhir ini. Inilah sukarnya seorang hassaas. Lebih-lebih lagi saya kerap berasa penat, dan terlupa mengambil rehat yang berkualiti. Lebih mengecewakan, banyak masa tidak dimanfaatkan semaksimumnya. Itu yang membuatkan saya sedih, kerana waktu berharga saya tidak dimanipulasi sebaiknya. Apabila menyalahkan, saya tidak jumpa melainkan ia adalah salah diri. Masa terus berdetik, dan saya harap boleh menghasilkan sesuatu. Semoga Allah membantu saya, dan membantu kita semua.

Tuesday, July 12, 2011

Yang Kuncinya Adalah Cinta Dan Takzim

Memang tidak dinafikan bahawa anak Baginda s.a.w. yang pertama adalah al-Qaasim, dan adalah adat orang Arab mengambil nama anak pertama, kemudian menambahkan gelaran ayah (abu) di depan nama anak pertama menjadi kunyah, gelaran yang disebut-sebut. Maka, selogiknya, atas sebab inilah Baginda s.a.w. digelar Abu l-Qaasim.

Tetapi, apabila seseorang Sahabat memanggil sahabat lain dengan gelaran 'Abu l-Qasim', lalu Baginda s.a.w. menoleh, lalu Sahabat tersebut menyatakan - bukan Baginda yang dia maksudkan - lantas Baginda s.a.w. menyatakan sebuah sabda yang maksudnya - namakanlah dengan namaku (Muhammad), dan jangan kalian bergelaran dengan gelaranku (Abu l-Qaasim).

Secara logiknya, sesiapa saja boleh mempunyai anak, dan menamakannya al-Qaasim, lalu melayakkan dirinya digelar Abu l-Qaasim. Tetapi apakah rahsia tersirat di sebalik larangan ini? Secara logiknya juga, kalaulah larangan ini, larangan menggelar seseorang dengan gelaran Abu l-Qaasim, adalah kerana takut tersalah sangka bahawa orang itu adalah ayah kepada anak Nabi, maka lebih patut lagi Baginda melarang orang menamakan dengan namanya, kerana menamakan seseorang dengan nama Baginda boleh menyebabkan orang tersalah sangka bahawa orang itu adalah Nabi.

Tetapi, larangan ini bukan kerana takut tersalah sangka siapa ayah siapa, atau siapa anak siapa, tetapi kerana suatu maksud yang lebih dalam. Kefahaman itu akan jelas sekiranya kita memahami maksud al-Qaasim yang bererti pembahagi, dan Abu l-Qaasim yang bererti Ketua pembahagi. Dan akan lebih jelas lagi kalau kita gabungkan kefahaman itu dengan maksud hadis - Aku cumalah seorang pembahagi, dan Allahlah yang memberi.

Namun, kehalusan perkara ini hanya dapat diserap oleh mereka yang punya rasa hormat pada tingginya kedudukan Nabi, walaupun ia tidak difahami oleh sesetengah orang. Mungkin, dengan ayat sebegini akan memahamkan kita rahsia di sebalik rahsia, dan kuncinya adalah cinta dan takzim.

Monday, July 11, 2011

Pengalaman Yang Pelbagai

Memang terdapat pelbagai cara untuk mengajarkan Bahasa Arab. Saya bersyukur kerana mendapat pengalaman tersebut dari pelbagai sumber, dari pengalaman sebagai pelajar sekolah Arab penuh dengan belasan subjek ketika bergelar pelajar dulu, kepada pengalaman mengajarkan subjek Bahasa Arab Komunikasi dan Bahasa Arab Tinggi, hinggalah kepada pengalaman mengajarkan Bahasa Arab kepada orang awam di Al-Husna. Kepelbagaian manhaj dan cara, juga kepelbagaian hadaf dan matlamat sesuai untuk membuka mata, walaupun saya menyedari pelbagai kelemahan yang wujud dalam setiap cara, dan peri pentingnya kesedaran bahawa kelemahan itu patut diatasi.

Selalunya, cara yang lengkap dan padat mempunyai kelemahan, dan cara yang mudah mempunyai kekurangan. Mereka yang memilih cara yang lengkap harus mencari jalan mengatasi kelemahan-kelemahan yang timbul, adapun mereka yang memilih cara yang mudah perlu ada kesedaran bahawa kekurangan itu harus ditampal pada suatu masa akan datang. Namun, tidak kira betapa lengkap suatu cara, masih banyak yang perlu dilakukan untuk mempelajari Bahasa Arab itu sendiri. Allahu l-musta-'aan.

Sunday, July 10, 2011

Menuang Garam Ke Mata Luka


Di akhir zaman ini terutamanya, kita tidak boleh lari dari berasa sakit hati apabila disakiti sama ada dengan lidah mahupun dengan tangan. Dan dalam banyak keadaan, apabila disakiti, kita akan cenderung untuk membalasnya. Bagi kita, itu adalah keadilan kita. Bagi kita, itu adalah hak kita. Apabila kita disakiti, maka kita berhak untuk membalasnya. Dan ia adalah betul, tetapi ia amat sukar untuk diukur. Membalas itu merupakan hak, tetapi mengkadarkannya adalah bukan kita yang mengukurnya.

Adalah amat malang lagi, apabila kita membalas, kita menjadikan perasaan kita sebagai hakim. Atau lebih tepat lagi, mengikutkan sekehendak hati. Kita balas sehingga kita rasa puas, tanpa memperdulikan, adakah kita membalas dengan nisbah yang sama apabila kita disakiti, atau siapa tahu, kita menyakiti orang tersebut lebih dari kadar dia menyakiti kita, kerana kita telah merajakan kehendak hati.

Kerana itu, dalam ajaran agama kita, memaafkan adalah cara terbaik, walaupun menuntut balasan itu adalah cara yang adil. Mungkin kerana kita terlupa sejenak hakikat bahawa sesungguhnya, walau bagaimana tidak adil sekalipun dunia ini, Tuhan akan mengadilinya dengan pengadilan yang seadil-adilnya. Seraplah maksud firman Allah, Allahlah yang memberikan hukum kata putus antara kalian pada hari kiamat pada perkara yang kalian perselisihkan.

Tetapi betul, kita sangat berasa sakit hati dan ingin membalasnya, agar luka di hati kita akan bertampal. Akan tetapi. alangkah malangnya kalau pihak yang kita balas itu adalah sama agama dengan kita, seorang muslim, kerana sepertimana ajaran Baginda s.a.w., seorang Muslim (yang sempurna agamanya) adalah seorang muslim yang mana kaum muslimin lain boleh berasa selamat dari (disakiti oleh) lidah dan tangannya. Ya betul, kita berhak membalas, tetapi balasan itu akan mengenai seorang muslim, dan ajaran Baginda ini tidak menyebelahi kita.

Kita bukan setakat mahu menjadi seorang Muslim, tetapi juga sebagai seorang Muslim yang sempurna agamanya. Tetapi barangkali yang silapnya adalah, kita hidup di zaman yang mana orang Islam sendiri yang menyakiti kita. Kita hidup di zaman yang mana orang Islam yang kita temui itu adalah pelaku dosa besar, apatah lagi dosa kecil. Kita hidup di zaman yang mana yang menganiaya kita adalah orang Islam sendiri. Sungguh, kita membenci hakikat kita dizalimi. Kita benci. Tetapi sebutlah selalu maksud sabda ini ke dalam hati kita, tidak (sempurna) beriman seseorang dari kalangan kalian, sehinggalah dia sukakan sesuatu itu untuk saudaranya sepertimana dia sukakannya untuk dirinya sendiri.

Sungguh. Bila kita terkenangkan maksud firman Tuhan bahawa orang beriman itu bersaudara, bersaudara dalam erti kata adik beradik, mungkin mengenangkan itu boleh menyejukkan sedikit amarah hati kita. Atau mengenangkan bahawa umat Islam itu adalah di jasad yang satu, dan tidak patut kita menambah luka ke atas luka. Luka yang dibuat oleh orang lain perlu masa untuk sembuh, dan kalau kita menambah lagi luka, ia juga akan semakin memburukkan keadaan.

Tak mengapalah kalau bahagian kita di dunia ini terlepas kepada saudara seagama kita, ia masih lebih baik, kerana dunia ini adalah manisan yang mempersonakan. Lagipun kita diseru untuk mengeluarkan dunia ini dari hati kita. Tak mengapalah kalau bahagian dunia ini terlepas kepada saudara seagama walaupun mereka mendapatkannya dengan cara kotor, haram, keji. Kerana saudara seagama adalah saudara kita, tidak kira betapa besarnya dosa mereka.

Jangan sampai kita terlupa bahawa ucapan syahadat mereka sudah menjadikan maruah mereka adalah haram dari diceroboh. Jangan sampai mereka terlupa, bahawa mereka adalah saudara, dan bukannya musuh. Kita Ahli Sunnah Wal Jamaah berpegang kukuh bahawa pelaku dosa besar tidak menukarkan muslim kepada kafir, tetapi menukarkannya kepada fasiq. Dan jangan sampai kita terlupa, cuma dosa syirik saja yang tidak diampunkan, dan bahawa pintu taubat masih terbuka, walaupun orang itu berdosa besar.

Hakikat bersaudara ini sebetulnya mengajarkan kita untuk bersabar menghadapi saudara kita, kerana mereka adalah saudara, dan bukannya musuh. Musuh kita seperti mana yang dikhabarkan al-Quran adalah syaitan, dialah musuh kita yang nyata. Dan musuh kita yang tersembunyi adalah nafsu yang sentiasa menyuruh kepada keburukan. Kerana itu, maafkanlah saudara kita, dan doakanlah mereka berubah, bukan kita memeranginya.

Sungguh, dunia ini bukanlah tempat kita menerima balasan atas setiap amalan kita. Tempat menerima balasan amalan kita adalah di dunia akhirat sana. Kerana itu, apabila kita tidak mendapat ganjaran kebaikan yang sepatutnya di dunia ini, bahkan dizalimi oleh saudara seagama, ketahuilah seperti mana yang dikhabarkan bahawa, setiap kezaliman itu akan dibalas di akhirat sana, kebaikan mereka ditarik ke pihak kita, dan kalau tiada berbaki, kesalahan kita pula diserahkan kepadanya. Sungguh, dunia bukan tempat untuk kita mendapatkan segala-gala yang merupakan hak kita. Apa yang patut kita lakukan adalah memberikan nasihat, dan mendoakan agar mereka menerimanya.

Kita sebetulnya layak membalas. Tetapi bagaimana kita mahu pastikan bahawa balasan itu sama atau pun kurang daripada kadar mereka mengenakan kita? Bagaimana kalau kita membalas dengan balasan yang lebih tinggi kadarnya berbanding kadar mereka mengenakan kita? Tidak risaukah kalau kita membalas, lalu ia dari sudut hakikat adalah lebih dari kadar mereka menyakiti kita, perkara ini akan menjadikan dia sebagai pihak dizalimi, dan menjadikan kita sebagai pihak yang menzalimi.

Sabarlah. Yakinlah hakikat akhirat itu adalah benar. Dan keadilan Tuhan itu adalah benar. Keadilan itu kita akan peroleh. Dan kalau kita mengaji dan belajar, bukan keadilan yang kita harapkan di akhirat esok. Kerana kita setiap inci kita ditimbang dengan keadilan Tuhan, maka tiada pintu syurga yang akan dibuka untuk kita. Tetapi di hari yang mana itu, keadilan yang kita perjuangkan untuk mendapatkannya dengan sepenuh raga, tetap bukan pilihan utama kita. Sebaliknya kita mengharapkan rahmat belas kasihan Tuhan pula ketika itu.

Di akhir tulisan, teringat saya pada maksud sebuah hadis yang menceritakan bagaimana seorang muslim di hari kiamat, ia dizalimi saudara seislamnya ketika di dunia, lalu enggan memaafkan saudaranya. Ia mahu menuntut haknya di depan Tuhan. Lalu Tuhan menunjukkan syurga dan kesenangannya, lalu bertanya adakah dia mahukan yang tersebut sebagai ganjaran, kerana ganjaran itu akan diperoleh jika ia memaafkan saudaranya, memikirkan itu, lalu dia memilih gandaan ganjaran berbanding menuntut keadilan.

Monday, July 04, 2011

Yang Maha Kuasa Atas Setiap Sesuatu

Sebetulnya, di zaman fitnah, mengelakkan diri terlibat adalah lebih baik dari terjerumus sama ke dalamnya. Seperti mana dinyatakan dalam sebuah hadis Sohih Bukhari yang sempat saya pelajari menyatakan antaranya bermaksud, hampir boleh dikatakan bahawa sebaik-baik harta bagi seorang mukmin adalah seekor kambing yang dibawa mengikutnya ke puncak gunung dan tempat-tempat yang turun hujan, untuk dia lari (menyelamatkan) agamanya dari fitnah. Atau seperti mana yang diriwayatkan.

Mengenangkan apa yang berlaku di seluruh negara sekarang ini kerap mengingatkan saya terhadap kebimbangan Baginda s.a.w. antaranya bermaksud, aku tidak bimbang tentang kamu menjadi sesat selepas pemergianku (kerana itu tidak akan berlaku), tetapi aku bimbangkan terhadap kamu tentang dunia yang mana kamu berebut-rebutan untuk mendapatkannya, lantas ia memusnahkan agamamu, dan memusnahkan dirimu.

Kemudian teringatkan pengajaran guru saya antaranya menyebut, sekalipun kulliyah khamsah (lima perkara tunjang agama) melogikkan kita mengutamakan kedudukan agama mendahului nyawa, harta, maruah dan akal, tetapi adakah agama akan terbina sekiranya akal sudah gila, dan adakah agama boleh terbina kalau nyawa sudah terkorban, adakah agama akan terlaksana kalau segala harta ternafi, dan adakah agama mudah dilaksana kalau maruah sudah tergadai. Kerana itu, mempertahankan nyawa juga merupakan wasilah supaya agama akan kekal terbina, kerana tiada agama tanpa nyawa, hingga ke akhir kalam beliau.

Walaubagaimanapun, lihatlah kembali diri. Adakah usaha kita itu sebenarnya adalah untuk merebut dunia dari tangan penggila dunia yang lain? Keluarkanlah dunia dari hati kita, dan ketahuilah, agama itu adalah nasihat, dan bukan memaksakan orang menerima nasihat. Perhatikanlah maksud firman ini, sungguh engkau tidak memberi hidayah kepada siapa yang engkau mahu, akan tetapi Allahlah yang memberi hidayah kepada siapa yang dia mahu. Kemudian perhatikan maksud sabda ini, Tunjang ibadah adalah doa.

Kemudian perhatikan maksud firman ini, katakanlah, Wahai Allah yang memiliki kerajaan, Kaulah yang memberikan kerajaan kepada siapa yang Kau mahu, dan Kau mencabut kerajaan dari siapa yang Kau mahu, dan Kau memperkasakan siapa yang Kau mahu, dan Kau membiarkan tanpa pertolongan siapa-siapa yang Kau mahu, Dan kebaikan hanya berada pada penguasaan-Mu, dan sungguh Engkau Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.

Sunday, July 03, 2011

Kaci

Saya sebetulnya rasa kecewa dengan orang-orang yang mengetahui cita-cita saya, tetapi mereka tetap melawannya. Mereka tahu dan berulang-ulang kali saya menyebutkannya, tetapi mereka tetap terus menerus menolaknya. Mereka tahu apa yang saya benci, dan  mereka berterusan memaksa saya melakukannya. Mereka tahu apa yang saya suka, dan mereka akan berusaha sedaya upaya dan berkali-kali untuk menyekatnya. Terus terang saya rasa kecewa yang amat dengan orang yang sengaja menyakiti hati saya.

Dan semua ini sebenarnya membuatkan saya malas untuk menyatakan apa-apa pandangan saya, persepsi saya, perasaan saya, buah fikiran saya, kerana ia sebenarnya seperti suatu yang sia-sia, bahkan melukakan. Tetapi membalas luka dengan luka pula bukanlah sesuatu yang dipuji, kerana semua luka itu berada di jasad yang sama, dan luka mereka adalah luka saya juga. Saya mengetahui bahawa kebaikan itu adalah akhlak yang baik, tetapi ia seperti sangat susah dalam keadaan ini. Semoga Allah membantu kita mencapainya.