Wednesday, January 04, 2006

Tahniah

Tahniah untuk Abang Long (Mohd Faiz M.Noor) atas pertunangannya dengan Noradilah Suleiman pada 31/12 yang lalu.

Abang Long dapat orang Tangkak rupanya.

al_jantanie
manhumi_ilm

14 - Aku Cuma Si Kecil

Sajak ini di tulis setelah setahun berada di Mesir, di awal-awal tahun kedua pengajian.

Sajak : Aku cuma Si Kecil
Oleh : al_jantanie

Aku cuma Si Kecil,
Yang entah bila akan besar.

Aku cuma Si Kecil,
Berdiri tidak kukuh,
Melangkah tidak jauh,
Terbang tidak tinggi,
Tetapi kecilku,
Kecil tapak tangan,
Nyiru aku tadahkan.

Aku cuma Si Kecil,
Tidak perlu hingga dijulang,
Semakin tinggi,
semakin jauh
Dari orang,
Semakin tinggi,
semakin hilang
Dari pandangan.

Aku cuma Si Kecil,
Dikutip tidak menambah,
Dibuang tidak mengurang,
Tetapi yang bertambah berkurang,
Itulah kemanusiaan.

Aku cuma Si Kecil,
Tetapi lebih besar,
Daripada Si Besar yang berjiwa kecil.

Aku cuma Si Kecil,
Yang mempersoalkan,
Mengapa kita terlalu mengisahkan,
Kecil besar,
Bukankah yang kecil itu kita,
Yang besar itu Tuhan,
Menyatakan,
Engkau juga kecil di sisi Tuhan.

Aku cuma Si Kecil.

1 Ramadhan 142515 Oktober 2004
6.55 malam – Kaherah.

al-Yakin

Majalah : SUKEJ
Edisi : 105
Kolum : Thaqafah
Jenis : Artikel
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Thaqafah : al-Yakin
Oleh : al_jantanie

Perkataan 'yakin' seringkali kita gunakan dalam kehidupan kita seharian, satu kalimah yang diambil cedok daripada bahasa arab, seringkali dapat kita lihat penggunaannya sama ada dalam kitab, buku-buku ilmiah, penulisan kreatif, hinggalah ke sumber asal pengistilahannya, iaitu di dalam al-quran al-karim.

Al-quran merakamkan beberapa ayat yang menggunakan perkataan ini dengan pelbagai maksud, dan akan cuba dikupas oleh Thaqafah pada kali ini. Dapat kita lihat, beberapa ayat yang menggunakan masdar (al-yakin), ada juga beberapa ayat yang menggunakannya dalam isim fa'el ( muuqinun / muuqinin / mustaiqinin), juga beberapa ayat yang menggunakannya dalam bentuk fe'el (yuuqinun / tuuqinun).

Beberapa kisah yang dirakamkan dalam al-quran turut menggunakan kalimah ini. Perhatikan surah an-Namlu ayat 22 yang mafhumnya: (Maka tidak berapa lama kemudian datanglah hud-hud lalu berkata: Saya mengetahui apa yang belum kamu ketahui, dan saya bawakan dari Saba' satu perkhabaran yang diyakini). Juga daripada surah An-Nisa' ayat 157 yang mafhumnya : ( Dan kerana perkataan mereka: Sesengguhnya kami telah membunuh Al-Masih Isa anak Maryam, seorang rasul Allah. Padahal bukanlah mereka membunuhnya dan bukan pula menyalibnya, melainkan orang yang serupa dia. Sesungguhnya orang yang berselisih pendapat tentang Isa itu dalam keraguan, bukanlah dengan pengetahuan, melainkan menurut dugaan sahaja, dan tidaklah mereka membunuh Isa dengan yakin).

Perhatikan pula surah al-An'am ayat 75 yang bermaksud: (Demikianlah kami perlihatkan kepada Ibrahim kerajaan langit dan bumi, supaya ia termasuk daripada kalangan orang-orang yang yakin). Lihat juga surah as-Sajadah ayat 12 yang mafhumnya: (Kalau sekiranya engkau lihat, ketika orang-orang yang berdosa menundukkan kepalanya di sisi Tuhannya, lalu berkata : Ya Tuhan Kami, Kami telah lihat dan kami telah dengar siksa yang kami mungkiri masa dulu, sebab itu kembalikanlah kami ke atas dunia, supaya kami beramal salih, sesungguhnya kami telah yakin)

Maksud Yakin

Kalimah yakin ini telah membawa beberapa maksud. Merujuk kepada Kamus Mu'jam Asasi, yakin membawa maksud: 1.suatu ilmu yang diketahui oleh insan tanpa syak padanya. 2.mati. Al-Quran merakamkan beberapa ayat yang merujuk kepada maknanya yang pertama, antaranya daripada surah al-Waqi'ah ayat 95 (Sesungguhnya ini adalah sebenar-benar yakin). Juga daripada surah al-Haqqah ayat 51 (Dan sesungguhnya quran itu kebenaran yang seyakin-yakinnya).

Beberapa contoh penggunaan dalam maknanya yang kedua, daripada surah al-Hijru ayat 99 : Dan sembahlah Tuhanmu sehingga sampai kepadamu yakin (mati). Juga lihat daripada surah al-Muddasir ayat 47 : Sehingga datang kepada kami keyakinan (mati).

Yakin adalah mati
Daripada terjemahan surah al-Hijru ayat 99 dan surah al-Muddasir ayat 47 di atas, kita dapat mengetahui bahawa yakin juga membawa maksud mati.

Kalimah yakin yang membawa maksud mati dalam surah al-Hijr ayat 99 itu telah di sabitkan maknanya berdasarkan satu riwayat oleh Imam Bukhari, berkata Salim ibn Abdullah ibn Umar: yakin adalah mati. Diriwayatkan juga oleh Ibn Jarir daripada Muhammad ibn Basyar, daripada Yahya ibn Sa'eid, daripada Sufian, daripada Thariq ibn Abdurrahman, daripada Salim ibn Abdullah: yakin adalah mati.

Daripada Surah al-Muddasir ayat 42 hingga 47, Allah menceritakan tentang ahli neraka dalam firmanNya (Apakah sebabnya kamu masuk neraka?. Sahut mereka itu: Kami tidak sembahyang. Dan tidak pula memberi makan orang miskin. Dan kami telah masuk ke dalam kebatilan, bersama-sama orang yang masuk ke dalamnya. Dan Kami telah mendustakan hari pembalasan. Sehingga datang kepada kami yakin (mati). Sebagai bukti terakhir daripada penulis bahawa yakin membawa maksud mati, sila rujuk hadis ke 1243 daripada Sahih Bukhari.

Silap Tafsiran kepada yakin

Terdapat golongan yang menafikan bahawa kalimah yakin membawa maksud mati, menyebabkan salah tafsiran kepada ayat daripada surah al-Hijru ayat 99 : Dan sembahlah Tuhanmu sehingga sampai kepadamu yakin (mati).Apabila golongan ini cuba memaknakan yakin dengan makna 'pengetahuan yang diyakini' (makrifah), mereka telah mengeluarkan hukum bahawa solat adalah tidak wajib setelah seseorang itu mencapai peringkat makrifah.

Lihat ayat di atas yang mana perkataan yakin di maknakan dengan makna makrifah. (Dan sembahlah Tuhanmu sehingga sampai kepadamu yakin- makrifah). Mereka mentafsirkan bahawa Allah menyuruh mereka menyembahNya (solat) hanya dalam tempoh mereka cuba sampai ke peringkat makrifatullah. Apabila mereka telah sampai ke peringkat makrifah ini, maka ibadat tidak lagi wajib ke atas mereka, kerana telah gugur taklif daripada mereka.

Imam Ibn Kathir dalam kitabnya Tafsir al-Quranul A'zim menyatakan 'bahawa pendapat ini kufur dan sesat, kerana Nabi-Nabi terdahulu adalah orang yang paling tahu di sisi Allah, orang yang paling faham dengan hak-hak tuhan, malah mereka adalah manusia yang paling taabbud dan banyak ibadahnya, serta sentiasa melazimi amal kebaikan', (tetapi tidak meninggalkan solat).

Dalil wajibnya solat, seterusnya membatalkan takrifan mereka itu, : daripada kitab Sahih Bukhari, r.a. sesungguhnya Rasulullah S.A.W bersabda yang maknanya: (Sembahyanglah dalam keadaan berdiri, jika engkau tidak mampu, maka dalam keadaan duduk, jika engkau tidak mampu, maka dalam keadaan baring. )

Doktor Wahbah Zuhaili dalam kitabnya Tafsir al-Munir menyatakan " seseorang muslim dituntut secara wajib untuk beribadat iaitu solat secara berterusan sehingga mati, selama mana dia tidak berada dalam keadaan pengsan atau hilang kesedaran, dan Islam itu bertimbang rasa lagi mudah, diwajibkan solat ke atas setiap individu dengan mana-mana keadaan yang dia mampu, tidak gugur kewajipan kecuali pada yang koma, malah akan dihisab atas tiap-tiap solat fardu yang ditinggalkan atau dicuaikan secara senghaja, seperti mana sabda Nabi Isa a.s. : (diwasiatkanNya kepadaku mengerjakan sembahyang dan membayar zakat selama mana aku masih hidup………surah maryam, ayat 31)

Sheikh Mohd Ali As-Shobuni dalam kitabnya Sofwatut Tafasir menyatakan sebab dinamakan maut dengan yakin, kerana maut itu diyakini berlakunya (oleh semua orang yang beriman mahupun tidak).

Rujukan
Tafsir Quran Karim oleh Professor Dr. Hj. Mahmud Yunus
Kitab Fathul Bari Syarah Shahih Bukhari.
Tafsir al-Quran al-A'zim Lil Imam Ibn Kathir
Tafsirul Munir oleh Doktor Wahbah Zuhaili
Sofwatut Tafasir oleh Sheikh Mohd Ali As-Shobuni

Tiga

Majalah : SUKEJ
Edisi : 105
Kolum : Pendapat
Jenis : Artikel
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Pendapat : Tiga
Oleh : al_jantanie

Segala puji bagi Allah yang melimpahkan ide, moga ada yang terus menadahnya. Salam atas junjungan mulia, beserta selawat untuk mu Baginda. Menyimpan, memproses dan meluahkan, ‘tiga’ yang penulis maksudkan.


Setiap kita mampu untuk mengingat. Ada yang ingatannya kuat, ada juga yang lemah. Penulis tidak bercadang membincangkan sebab-sebabnya pada kali ini. Kebolehan kita mengingat ada disebut di dalam al-Quran, contohnya dalam surah al-Baqarah ayat 235:

(علم الله أنكم ستذكرونهن)

Mafhumnya:….Allah mengetahui bahawa kamu akan mengingati perempuan-perempuan itu…

Namun, kebolehan mengingat itu boleh hilang. Perhatikan ayat daripada surah Yasin ayat 68:


( ومن نعمره ننكسه فى الخلق أفلا تعقلون )

Mafhumnya: Dan sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, maka akan Kami kembalikannya kepada kejadiannya (seperti kecil dahulu, menjadi lupa dan kebudak-budakan) apakah kamu tidak memikirkannya.

Dalam ayat tersebut menyatakan bahawa manusia boleh kehilangan kebolehan mengingat ini. Inilah kebolehan pertama yang penulis cuba kupas dalam Pendapat kali ini.

Keduanya, berfikir. Semua orang mampu berfikir dengan kurniaan akal yang dianugerahkan kepada kita. Kebolehan kita berfikir ada dinyatakan dalam surah Al-Qasas, ayat 60:

( ...وما عند الله خير وأبقى افلا تعقلون)

Mafhumnya: Dan barang yang di sisi Allah itu lebih baik dan lebih kekal. Apakah kamu tidak memikirkannya?.

Perlu difahami, Allah sentiasa menggalakkan hambaNya berfikir. Perkara ini ada dinyatakan dalam surah Yusuf ayat 2:

( إنا أنزلناه قرأنا عربيا لعلكم تعقلون )

Mafhumnya: Sesungguhnya Kami turunkan Quran itu dalam bahasa Arab, moga-moga kamu memikirkannya.

Ketiganya, kebolehan menyampaikan. Manusia diberi kebolehan menyampaikan apa-apa yang ada difikirannya dengan suara, tulisan mahupun dengan perbuatan. Kebolehan manusia menyampaikan sesuatu maksud dengan tulisan ada dinyatakan dalam surah al-Baqarah ayat 282:

( وليكتب بينكم كاتب بالعدل... ...)

Mafhumnya: …dan hendaklah ada antara kamu menulis ( hutang ) dengan adil…

Kebolehan manusia menyampaikan sesuatu maksud dengan suara juga ada dinyatakan dalam al-Quran, sebagaimana dalam surah An-Nur ayat 54:

(... قل أطيعوا الله وأطيعوا الرسول… )

Mafhumnya: Katakanlah wahai Muhammad (kepada mereka): Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada RasulNya…

Sekali lagi, kebolehan manusia menyampaikan sesuatu maksud dengan perbuatan turut dinyatakan dalam al-Quran, sepertimana dalam surah An-Nahlu ayat 125:


( ادع إلى سبيل ربك بالحكمة والموعظة الحسنة... )

Mafhumnya: Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan peringatan yang baik…

Kita memiliki ketiga-tiganya


Boleh disebut di sini bahawa setiap kita mempunyai tiga kebolehan ini. Boleh mengingat, boleh berfikir, boleh menyampaikan, walaupun setiap daya kebolehan ini berbeza di antara satu individu dengan yang lain. Di antara tiga kebolehan ini, yang manakah paling kita suka? Suka mengingat? Suka berfikir? Ataupun suka menyampaikan?

Mengapa soalan ini ditanyakan? Pertama, terkadang kita cenderung meniru orang lain, padahal dia adalah dia, dan kita adalah kita. Mungkin dia hebat dalam sesuatu perkara, tetapi itu bukanlah satu kehebatan di pihak kita pula. Apa yang penulis cuba sampaikan ialah satu latihan mengenali diri sendiri, ada kebolehan yang kita punyai, tetapi malangnya ia tidak digilap, akhirnya tidak bersinar.

Sekali lagi, sesuatu yang bukan kebolehan kita, digilap, terasa sukar, ibarat mengasah belakang parang, walaupun boleh tajam, tetapi amat mengambil masa. Begitu juga kita. Bukankah lebih baik kita asah depan parang terlebih dahulu, kerana ia lebih berpotensi untuk menjadi lebih tajam! Tidak lama, sinarnya akan lebih cerah dan menyilaukan mata.

Sekiranya anda minat untuk mengingat, anda berpotensi untuk menghafaz. Gunakan ia untuk menghafaz al-Quran sehingga tamam 30 juzu’, gunakan ia untuk menghafaz hadis beserta dengan rawinya sekali. Umat Islam amat dahaga orang seperti Imam Hanbali ini. Begitu juga sekiranya anda minat berfikir, zaman ini sudah begitu banyak isu yang boleh dikupas, begitu banyak masalah yang perlu diselesaikan. Minat menyampaikan? Pilihlah sama ada dengan tulisan atau dengan pertuturan. Kemungkinan anda boleh menguasai kedua-duanya, walaupun ia agak sukar.

Mungkin orang yang anda lihat berbakat dalam pertuturan, sedangkan kelebihan anda adalah dalam hafazan. Kenapa perlu menipu diri dan menjadi orang lain?. Kenali kelebihan diri, bintang anda akan terus bersinar dan cerah. Kebolehan yang menanti diasah perlukan usaha anda menggilapnya. Setelah kebolehan itu cukup jitu, kita dapat melihat kesannya.

Tidak salah memahirkan diri dalam bidang yang kurang potensi, kerana kita dapat lihat ulama-ulama terdahulu, masing-masing tersohor dalam pelbagai bidang. Imam Syafie contohnya, bukan sahaja mahir bertutur, malah mahir menulis. Bukan sahaja mahir dalam feqh, tetapi juga mahir dalam bahasa dan syair. Beliau bukan sahaja hebat hafazannya malah hebat cara berfikir dan menyampaikannya juga. Menggilap kelebihan sehingga bersinar, cahayanya dapat kita lihat sehingga ke hari ini.

Akan tetapi, jangan risau sekiranya anda kurang dalam satu bidang, kerana anda sebenarnya mempunyai satu kelebihan dalam bidang yang lain. Dan juga, teruskan memahirkan diri walaupun dalam bidang yang kurang menyerlah. Asahlah juga belakang parang, tidak mustahil ia boleh jadi setajam depan parang. Mungkinkah akan lahir seorang lagi Imam Syafie di zaman ini?

Tiga kebolehan ini, ada dinyatakan di dalam al-Quran. Perhatikan sebuah kisah yang mengakhiri artikel ini, perhatikan proses berfikir, mengingat dan menyampaikan berlaku dalam sebuah kisah yang dipetik daripada surah Al-Baqarah ayat 259, mafhumnya : atau (apakah kamu tidak memperhatikan) orang yang melalui satu negeri yang (temboknya) telah roboh menutupi atapnya. Dia berkata: Bagaimana Allah menghidupkan kembali negeri ini setelah hancur?-( BERFIKIR ) Maka Allah mematikan orang itu seratus tahun, kemudian menghidupkannya kembali. Allah bertanya: Berapa lama kamu tinggal di sini? Ia menjawab: Saya telah tinggal di sini sehari atau setengah hari.-( MENGINGAT) Allah berfirman: sebenarnya kamu telah tinggal di sini seratus tahun lamanya; lihatlah kepada makanan dan minumanmu yang belum lagi berubah, dan lihatlah kepada keldaimu (yang telah menjadi belulang) Kami akan jadikan kamu tanda kekuasaan Kami bagi manusia, dan lihatlah kepada belulang keldai itu, kemudian Kami menyusunnya kembali, kemudian Kami membalutnya dengan daging. Maka tatkala telah nyata kepadanya (bagaimana Allah menghidupkan yang telah mati) dia pun berkata: Saya yakin bahwa Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. --(MENYAMPAIKAN )

Tuesday, January 03, 2006

13 - Merdeka

Sajak ini dikarang sejak sebelum ke Mesir lagi, ketika masih bertugas menjadi guru sementara, diminta menyertai pertandingan menulis sajak kalau tak silap, tahun 2003.

Sajak : Merdeka
Oleh : Mohd Zaki

Merdeka,
Hari ini aku merasa bangga,
Menjadi anak Malaysia yang,
Merdeka.

Merdeka,
Engkau lahir dari perjuangan anak bangsa,
Menaruh harapan pada harta dan nyawa,
Demi untukmu,
Merdeka.

Merdeka,
Sebelum engkau lahir,
Sudah banyak darah mengalir,
Setelah engkau lahir,
Masih ada air mata yang dialir.

Merdeka,
Sebelum kelahiranmu,
Bapaku datukku dan moyangku,
Semuanya asyik menantimu.

Merdeka,
Demimu moyangku berjuang,
Demimu datukku berusaha,
Demimu bapaku gembira,
Semata-mata,
Kerana Allah yang esa.

Merdeka,
Moyangku dengan bangga melaungkan “merdeka”,
Datukku dengan gembira melaungkan “merdeka”,
Bapaku dengan suka melaungkan “merdeka”,
Dan kini giliran aku pula,
Merdeka merdeka merdeka.

Merdeka,
Sebelum kelahiranmu,
Moyangku mengangkat senjata,
Serang menyerang tembak menembak,
Satu bom yang dilontar,
Hancur berkecai yang lainnya.
Satu pejuang yang tumbang,
Entah berapa titik air mata,
Mengalir bangga.

Merdeka,
Ketika engkau dalam kandungan,
Datukku tidak pernah putus berdoa,
Moga Tunku Abdul Rahman berjaya,
Bermesyuarat besar tiga bangsa,
Mengumpul duit mencari belanja,
Menghadap Queen Elizabeth di luar negara.

Merdeka,
Ucapkanlah tahniah pada wira negara,
Ucapkanlah terima kasih pada semangat mereka,
Ucapkanlah syukur pada tuhan yang esa.

Merdeka,
Sekarang engkau sudah dewasa,
Lebih empat dekat usia,
Aku tetap berdoa,
Engkau dan Qiamat,
Meninggal dunia satu usia,

Merdeka,
Kini tugas aku pula,
Hidup merdeka memelihara kemerdekaan,
Kerana aku juga ingin,
Mati sebagai anak merdeka.

Merdeka,
Terima kasih merdeka.

Pakcik Meriam

Majalah : SUKEJ
Edisi : 105
Kolum : Tumpuan
Jenis : Kewartawanan
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Meriam Buluh
Oleh: Pakcik Meriam (MB)

Pak cik MB bukan hendak menjadi meriam yang kerjanya menyerang orang. Tetapi kadang-kadang ada orang yang tidak faham-faham, atau buat-buat tak faham. Harap-harap bila bom dah meletup, ada telinga yang berdengung, dan mata mula mencari dari mana datangnya suara.

Pelik bila tengok muka-muka yang dah lama tak balik rumah negeri. Seminggu sekali mustahil. Sebulan sekali, payah. Sepenggal sekali, mungkin, tapi apabila sahabat-sahabat baru datang ( biasa orang panggil – adik-adik baru datang ) barulah muka-muka ini menjengok.

Pak cik tak pasti mengapa mereka datang. Pertama Pak Cik gembira tengok ramai yang tolong angkatkan beg, berat berpikul-pikul dan berkilo-kilo, sanggup tolong dan angkat dari lapangan terbang sampai Rumah Negeri. Alhamdulillah. Kedua, ada yang sedang mencari, dan memulakan pencarian. Yalah, umur makin lama makin senja, hajat perlu dilangsaikan juga bila tiba masanya. Pak cik doakan agar bertemu dalam pencarian yang semacam itu.

Tetapi Pakcik geram betul, bila tengok muka-muka yang sampai-sampai terus berceramah. Hebat dan berbunga-bunga. Sibuk angkat kehebatan diri bermeter-meter. Dia hebat dan semacam wajib dicontohi. Itulah, di waktu kemunculannya yang tiba-tiba. Macam seadik angkat dengan biskut, sekejap ada sekejap tiada.

Kemunculan yang semacam hebat itu tidak lain dan tidak bukan, hanya berceramah menerangkan itu dan ini. Cerita pasal pelajaran, cerita pasal kuliah, cerita pasal doktor, cerita pasal Mesir, dan segala macam cerita yang membuka mata dan telinga. Segala cerita yang Pakcik rasa senang dan gembira sebenarnya. Ada juga orang nak khabar itu dan sampaikan ini.

Tetapi, sekejap kemudian mereka hilang. Seolah-olah petani malas yang datang mencucuk tanam, lalu pergi menanti tuai setahun kemudian. Dengan nasihat dan pedoman yang dicurah berkepuk-kepuk dan bertongkol-tongkol, kemudian hilang dan lenyap macam pelangi yang pergi setelah matahari garang.

Kerja membantu mereka yang baru sampai banyak sungguh. Bertimbun-timbun. Kalau mampu dilonggokkan tentu sudah jadi bukit. Tidak. Gunung lebih sesuai. Kerja yang banyak itu sungguh berat, seberat bukit dan gunung itulah. Di kala itulah Pakcik mula menoleh kanan kiri, mencari pemikul amanah membantu sahabat yang baru tiba.

Pakcik nampak kala itu, adalah rakan-rakan penerima taklifan yang bersungguh-sungguh membantu, ada juga orang-orang dari rumah sewa yang sama pakat-pakat turun, dan Pakcik masih tercari-cari orang yang berceramah tadi. Mana perginya si Hebat dan kata-katanya? Susah juga. Hebat-hebat mereka hanya macam biskut, sekejap ada, sekejap tiada.

Hebat yang semacam itu bagai gah nampak sekali pandang, nampak macam bah sekali datang, nampak macam badai sekali terpa, tetapi sebenarnya nampak macam biskut yang sekali rasa, ada rasa manis, lemak, masin sikit, bercampur air liur dan turun ke tekak, dan kesudahannya lenyap tanpa dapat dirasa lagi. Gah sungguh.

Pesan pakcik, jangan jadi biskut, jadilah sahabat-sahabat yang membantu sahabat. Dulu kita datangkan dibantu juga.

Monday, January 02, 2006

Kaji Selidik : Perempuan Punca Lelaki Futur Dalam Perjuangan

Majalah : SUKEJ
Edisi : 105
Kolum : Tumpuan
Jenis : Kewartawanan
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Berikut adalah satu kaji selidik berkenaan tajuk " Perempuan Punca Lelaki Futur Dalam Perjuangan"

Mohd Hanif Abu Naim, Johor, Syariah Islamiah Tahun 3, Damanhur.
"Ana setuju dan tidak setuju, bergantung kepada situasi seseorang, kita tidak boleh hukum ia disebabkan oleh perempuan itu semata-mata, kerana sebab yang utama adalah atas individu sendiri"

Mohd Hafiz Mahmud, Kelantan, Usuluddin Tahun 4, Kaherah
" Ana tidak setuju sebab lihat sirah para sahabat, sirah Rasulullah, Muslimat main peranan penting, pertamanya dalam dakwah, keduanya, jihad, ketiganya pembentukan fardu Muslim. Kebanyakan terlibat dalam dakwah dan banyak memainkan peranan, tidak hanya terlibat pada aktiviti indoor, malah outdoor, contohnya jihad, menuntut ilmu, tafaqquh. Ini satu dalil muslimat bukan batu penghalang ikhwah futur. Ataupun kalau kita nak kata berlakunya futur hanya pada zaman mutaakhir ini, tetapi secara umumnya ana tak setuju dan menentang habis-habisan, sebab barangkali yang berlaku futur cuma segelintir sahaja.

Mohd Syafiq Elias, Johor, Lughah Arabiah Tahun 1, Kaherah
"Ana setuju, kalau setuju pun hanya sebagai faktor kedua, bukan faktor utama, sebab Nabi dahulu perjuangkan kalimah Allah, sedangkan isteri Nabi ada juga yang tidak sehaluan, contohnya isteri Nabi Lut, mungkin kerana tidak faham perintah Allah dengan baik, kita kena tengok sejarah terdahulu"

Mohd Faisal Munjir, Selangor-Kedah, Qiraat Tahun 3, Shoubra.
" Kena lihat, ada dua pandangan, pro dan kontra, ada yang mengatakan, bergantung kepada lelaki tersebut, ada yang menjadikan alasan perempuan yang dikahwini sebagai batu penghalang (berdakwah padahal tidak), ada yang mengatakan perempuan itu dalam sifatnya yang agak manja, kadang-kadang sering menyebabkan ikhwah tersebut tidak mampu untuk keluar, disebabkan lelaki yang kurang ditarbiah, gagal mengatasi masalah tersebut"

Mohd Nirwan Mohd Ali, Negeri Sembilan-Serawak, Usuluddin Tahun 1, Mansurah
" Ana tak setuju, sebab dalam Islam, perempuan bukan perkara pertama dalam hidup, kita ada pegangan, Al-Quran, Sunnah, Ijma', malah Allah dan RasulNya adalah yang pertama dan lebih utama, sedangkan kedudukan perempuan terletak setelah itu. Kenapa kita kata dia punca lelaki futur?"

Mohd Fakherei Mahiyuddin, Kelantan, Dirasat Islamiah Tahun 4, Kaherah
" Pandangan Islam, perkara itu tidak terjadi, sebab wanita berperanan membantu suami, lihat sejarah terdahulu, isteri Nabi banyak membantu Nabi, lihat Perjanjian Hudaibiah, banyak sahabat tidak bersetuju dengan perjanjian yang berat sebelah, malah menentang keputusan tersebut. Ketika itu Nabi mahu tahallul, sedangkan sahabat enggan, (kerana tidak setuju dengan perjanjian tersebut), membuatkan Nabi sedikit lemah semangat, Nabi minta pendapat Ummi Salamah,(isteri baginda), dia mencadangkan agar Nabi bertahallul dahulu, kemudian nanti sahabat akan ikut, maka jelas peranan wanita membantu lelaki, memberi sokongan dan sebagainya. Adapun sekarang ini, wanita jauh daripada Islam, menyebabkan apa yang berlaku sebenarnya bukan daripada Islam.

Safrizal Tarmizan, Negeri Sembilan, Lughah Arabiah Tahun 1, Kaherah.
"Ana tak setuju, sebab sebutan perempuan umum, termasuk juga emak, kakak juga isteri. Tak patut kata emak jadi sebab kita futur dalam perjuangan. Begitu juga, bukankah emak kita jadi penguat kita?. Cuba lihat pula Saiyidatina Khadijah yang menjadi tulang belakang Rasulullah, bukankah isteri sayap kiri perjuangan lelaki?"

Mohd Faizul Hakim Bin Ahmad, Syariah Islamiah Tahun 3, Johor, Kaherah
" Ana kurang setuju, sebabnya sebagaimana yang kita tahu, Nabi kita menjadikan wanita sayap kiri perjuangan, contohnya Saiyidatina Khadijah yang memberi semangat ketika Nabi dapat wahyu, dan ramai lagi wanita yang menjadi teladan."

Tuan Haron Tuan Cob, Terengganu, Lughah Arabiah Tahun 2, Kaherah
" Bagi Ana, Nak It'lak perempuan sahaja tak berapa tepat, ada juga disebabkan mereka kita lemah semangat, ada juga yang tidak. Secara umumnya ini cuma sebahagian sahaja yang bersifat begitu "

Mohd Masnur Hamzah, Master Lughah Arabiah, Indonesia, Kaherah
" Boleh benar, boleh tidak, cerminannya keluarga Nabi Ibrahim, lebih jelas lagi dalam agama ada disebut, 'dakwati au zaujati'. Isteri yang baik pastinya akan selaras dengan dakwah suami, seperti Siti Sarah dan Siti Hajar dalam dakwah Nabi Ibrahim, perhatian kepada isteri juga harus diberikan, jangan diabaikan, pasang niat ' Allahu Ghayatuna', perhatian suami isteri harus selaras dengan kehendak Allah, Kalau isteri merajuk suami pulang lewat dari ceramah, ini bukan satu yang baik. Lihat Kisah Khadijah ketika Rasulullah menerima wahyu, dan keluar ke Gua Hira', itulah pendamping sejati"

Qamaruzzaman Zainal Abidin, Perak, Usuluddin Tahun 1, Tanta
"Ana kurang setuju, sebab kalau kita bincang fasal perempuan, emak, kakak kita adalah perempuan. Emak kita yang menyuntik semangat kita selama ini. Kalau nak kata berlaku pun, ia adalah disebabkan perempuan ajnabi, islam tidak benarkan berlaku hubungan, kerana islam sudah menjangka tentang hal (futur) ini".

Muhammad Syukri Zakaria, Usuluddin Tahun 4, Fattani, Syibin El-Kum
"Boleh juga dikatakan begitu, sebab perempuan boleh mengganggu, perempuan buat kita terikat, kalau berumah tangga boleh terikat, teringatkan perempuan, sebab lelaki itu sayang pada perempuan, ada orang perempuan yang menyusahkan lelaki hendak ke mana-mana, kalau yang molek (baik) itu boleh bagi semangat".

Abd Razib Abd Rahim, Syariah Islamiah Tahun 4, Pulau Pinang, Tanta
"Mungkin setuju kalau kita letak perempuan jadi matlamat hidup kita"

Said Aisam Said Idris, Syariah Islamiah Tahun 1, Perlis, Kaherah
"Ana tak setuju, sebab perempuan adalah sayap kiri, diciptakan untuk lelaki, macam mana nak terbang kalau tidak ada sayap, tetapi tidak dinafikan ada lelaki yang boleh teruskan perjuangan tanpa perempuan"

A. Ubaidillah Alias, Kelantan, Usuluddin Tahun 4, Kaherah
“ ..benar, perempuan boleh jadi punca putus asa, tetapi masih ada faktor lain lagi yang menyumbang ke arah kegagalan seorang lelaki. Dalam hal ini bukan perempuan atau lelaki yang menjadi faktor utama. Ia berlaku disebabkan kegagalan mana-mana pihak untuk menangani emosi sendiri. Hanya mereka yang menerima qada’ dan qadar Allah sahaja tidak akan mengenal istilah putus asa.”

Sibuk dan kepenatan

Majalah : SUKEJ
Edisi : - 105
Kolum : Bingkisan
Jenis : Artikel
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Bingkisan : Sibuk dan kepenatan
Oleh : al_jantanie

Sibuk dan kepenatan. Bukan kita yang minta, tetapi ia datang juga. Bertimpa-timpa. Amanah kita tunaikan, penat jadi habuan. Harap-harap, pahala jadi harga gantian. Kadang-kadang, tangan yang dua tidak tertampung, terpaksa menadah peha menggalas tugas. Hendak kaut semua?. Bahagi-bahagi pada yang lain. Yang lain juga ada tangan, boleh kaki kita bebas berjalan.


Walaupun sibuk dan penat, jangan lupa pada tuhan. Tuhan sediakan masa untuk hambanya, enam puluh saat seminit, enam puluh minit sejam, dua puluh empat jam sehari. Agak-agak, dalam masa yang ada, berapa minit kita menghadapNya? Solat yang lima sudah maklum wajibnya, tetapi yang sunat takkan tiada?

Dia memberi banyak masa, kita ambil semua. Tetapi dalam pemberian, tentu ada keinginan membalas pula. Orang beri kita ambil, tetapi ingat-ingatlah, kita kena menghulur juga. Inikan pula tuhan yang beri, kita kaut semua, tetapi takkan sampai solat sunat pun lupa?

Bukan apa, dalam sibuknya kita, kita hirup udaranya, kita minum airnya, kita telan rezekinya. Semua pemberian, balaslah dengan kesyukuran. Tuhan sentiasa kaya, kalau kita ' buat-buat lupa', Dia tetap ingat. Waimma kalau kita buat-buat tidur, Dia tetap jaga. Buat apa mengelak, kitakan hamba. Tadahlah tangan meminta padaNya, pasakkan kaki qiam seistiqamah mungkin, lapangkan dada muhasabah sedapatnya.

Mata mula mengantuk, kelopak terkebil kebil mencari kalau-kalau masih ada sedar yang mengizinkannya menjenguk keluar. Kelopak semakin kecil, berat, hampir tertutup. Kenapa? Kepenatan. Patutlah layu, sayu, kuyu. Penat pun mesti dilayan. Jangan siksa badan. Hak tubuh kena tunaikan, jangan sampai lupa diri, kononnya nak berbakti, tetapi menyeksa diri sendiri.

Tidak wajar mahu berbakti, tetapi amanah yang Tuhan beri kita tolak ke tepi. Tidak kira Yang Di Pertua atau ahli jawatan kuasa kecil, apabila berkhidmat memerah keringat, habis luruh hingga kering, tetapi jasad yang diamanahkan terabai. Kenapa buat begitu? Terpaksa?

Penatnya kita adalah pemberian. Tidak wajar ia dipersalahkan. Penat juga makhluk tuhan. Kita sama-sama makhluk, biarlah ada timbang rasa. Kita sama-sama satu kapal. Badan tempat roh kita menumpang hidup, badan kita juga tempat penat melabuhkan punggungnya. Roh sampai masa akan pergi, meninggalkan badan yang dihuni. Begitu juga penat akan pergi, meninggalkan badan yang diberi cuti.

Sibuknya dalam urusan seharian, alangkah bertuahnya kalau ia adalah untuk kebajikan. Tuhan memberi ganjaran, harap akan diganda-gandakan. Kebajikan yang berganda, siapa yang tidak mahu? Tetapi, bukan mudah hendak menyediakan diri kita sebegitu. Tuhan tidak kedekut. Pucuk pangkalnya kita menyahut seruanNya, mengutip sebiji benih, moga dengan hujan rahmatnya, sebiji benih akan tumbuh menjadi tujuh tangkai dengan buah yang seratus biji di setiap tangkai.

Penat, penat. Terasa hendak melarikan diri sebentar. "Tidak kasihankah pada aku? Hari-hari waktuku dicuri." Tidak, bukan dicuri tetapi diberi. Sumbangan. Untuk siapa kalau bukan untuk Badan dan Persatuan. Tetapi secara tidak langsung ia juga untuk Islam. Penat bukan kepalang. Keluar pagi balik malam. "Mana masa untukku berkhalwat? Mana masaku untuk yang sunat?" Tercari-cari dalam rehat.

Langkah yang longlai. Bukan ada apa-apa. Senghaja pandang kanan kiri kalau ada yang simpati. Mencari simpati? Tuhan kan simpati? SimpatiNya lebih luas, terbentang antara langit dan bumi. Simpati makhluk hanya di dalam hati. Habis luah pun, dia mampu beri sebanyak rezekinya sahaja. Lebih daripada itu Tuhan yang kuasai. Kenapa mengharap pada yang kecil? Kita ada yang Maha Besar. Minta daripada si miskin belum tentu dapat, tetapi minta pada yang Maha Kaya, secuit sudah sangat bahagia.

Ke sana ke sini. Kalau langkah itu letaknya di samping Kaa'bah, 700 kali tawaf boleh sempurna. Kenapa? Sibuk? Tengok juga sibuk untuk apa. Sibuk untuk nama, nama akan hilang, orang akan lupa. Sibuk untuk harta, harta akan kurang, kita boleh papa. Sibuk untuk kuasa, kuasa akan hilang, kita akan 'pulang'. Sebaiknya, sibuk mengejar kebaikan. Kebaikan yang dikejar, tidak rugi. Kebaikan tempatnya di syurga. Mengejar kebaikan bagai berkejaran ke sana. Tidak pernah rugi.

Masa penuh, tiada kosong. Pagi, petang, siang dan malam. Kalaulah waktu tidur boleh diberi, pasti 24 jam akan menjadi 30 jam sehari. Bukan apa, waktu untuk diri juga perlu ada. Kita hendak makan, kita hendak rehat, kita hendak tidur. Bukan menolak tugas, bukan melarikan diri. Adat manusia, ada tenaga tetapi terhad. Ada masa, tetapi singkat. Nyawa yang ada cuma sedetik, tubuh yang ada cuma sekelumit. Tenaga, masa, nyawa, tubuh, semua ada limit.

Begitu penatkah? Tidak mengapalah, masa muda tuhan beri tenaga yang banyak. Untuk apa kalau bukan untuk digunakan. Diperah. Habis tenaga cari makanan, tilam dan bantal. Esok terus menyumbang. Kenapa hendak kedekut? Kita tak ubah seperti bateri baru, tenaga masih segar, tulang masih kuat, otot-otot masih tegap. Hendak tunggu apabila kulit sudah berkedut, tulang sudah reput, otot sudah lembek baru hendak memberi tenaga? Waktu itu kita sudah bergigi palsu, bertongkat kayu, berkerusi roda.

Sabarlah sekejap. Bukan lama. Bukankah ketika hidup di dunia kita disuruh beramal, bekerja. Di akhirat hanya mengutip hasil tuaian. Di sinilah lapangan, di sinilah medan. Hendak lari ke mana? Semua juga bumi tuhan. Lari ke sana ke sini juga meletihkan. Lambat laun masa yang ada akan tamat, detik demi detik berkurangan, saat demi saat akan hilang. Akhirnya, kita akan dipanggil pulang menghadap Tuhan.

Bukan penat badan, tetapi penat minda. Idea dijana, akal disuruh bekerja. Tidak mengapa. Idea yang dijana semakin lama semakin berkembang, akal yang bekerja semakin lama semakin matang. Cerdik pandai Islam yang kita hendak lahirkan. Tetapi yang boleh menyumbang, bukan kera sumbang. Lama-kelamaan, pucuk baru akan menjadi matang, daunnya lebat memayungi buahan, ranting yang halus menjadi dahan yang kukuh. Pokok akhirnya rimbun, memayungi orang yang berteduh.

Dalam sibuk, semak kembali niat kita. Ikhlaskan niat. Bukan apa, terkadang tenaga kita diperah hingga susut, tetapi perut orang lain yang kembang membusut. Usaha kita jadi modal, tetapi hasilnya dituai oleh orang yang duduk 'saje'. Sebab itu niat perlu ikhlas, kita memberi tidak mengharap dibalas. Barulah kesibukan dan kepenatan berbaloi dengan limpah rahmat dan redha Tuhan.

Begitulah sibuk dan kepenatan. Dalam sedarnya kita jaga, bekerja dan memerah tenaga, kerana dalam tidurnya kita akan pulang menghadap Yang Esa. Renungkan firman Tuhan dalam surah As-Syarhu ayat tujuh dan lapan yang mafhumnya:

Apabila engkau telah selesai ( mengerjakan suatu pekerjaan), maka bersusah payahlah (mengerjakan pekerjaan yang lain). Dan kepada Tuhanmu, maka berharaplah.

Sibuk dan kepenatan, untuk saya, anda dan kita semua.

Sunday, January 01, 2006

11 - Ada Sesuatu

Antara sajak-sajak terawal dikarang sejak sebelum ke Mesir lagi.

Sajak : Ada sesuatu
Oleh : Mohd Zaki

Ada sesuatu,
Tatkala nafas ditarik panjang,
Di sebalik wajah yang bungkam,
Sesekali mata terpejam,
Lama bagai merenung,
Jauh ke dalam.

Ada sesuatu,
Ketika muka mendongak,
Hari siang bagaikan malam,
Sebak pilu hampa,
Dari mata yang lesu,
Tidak bermaya,
Ada air mata,
Yang mengalir,
Bagaikan sebuah permata,
Sangat berharga dan,
Bermakna.

Ada sesuatu,
Saat di mana nafas berlari,
Turun naik tanpa henti,
Melilau mata mencari sesuatu,
Berdebar-debar dada.

Ada sesuatu,
Tatkala ia berlaku,
Apakah itu?

Catatan Di Celah-Celah Peperiksaan (6)

Catatan di celah-celah peperiksaan (6)

Selamat Tahun Baru. Setiap kali tahun baru di Mesir pasti saya hampir-hampir tidak sedar kerana kami sedang ripuh imtihan.

Biar saya bentangkan satu kajian saya mengenai tahun. Mengira umur hijrah. (Kajian budak-budak baru belajar, ringkas sahaja.)

Ia bermula kerana beberapa ba'its (penyebab). Pertama, ramai menyangka dia sudah tiba umur sunnah untuk kahwin (25) padahal umur dia dalam hijrah adalah 26 tahun. (Itu sudah terlajaklah bang, oi!) Kenapa? Kerana bilangan hari dalam hijrah tidak sama dengan bilangan hari dalam masihi. Kalau tidak salah saya, setiap tahun masihi melebihi tahun hijrah sekitar 10 hingga 12 hari.

Dua, ramai yang menyangka bahawa umur baligh bagi lelaki (yang tidak mimpi bertarung) adalah ketika dia di tingkatan dua (14 tahun), padahal dia lupa, umur hijrah dia ketika itu sudah lima belas! Jadi, bukan tingkatan dua tetapi satu. Begitu juga dengan perempuan!

Ketiga, ramai yang menyimpan semacam hajat mahu meninggal dunia satu usia dengan Rasulullah (63) lantas mengirakan tahun berapa itu dan ini. (Yalah, persiapan nak ingat mati katanya.) Padahal, ketika dia berumur 63 tahun masihi, umurnya dalam hijrah bukan 63.

Ini adalah antara kesilapan (atau salah anggapan) apabila kebergantungan kepada tahun masihi sangat kuat dan keterpandangan kepada tahun hijrah sangat kurang. (Saya lahir 11 Jamadil Awal 140X)

Ini adalah hasil kajian saya. Terpulang hendak pakai atau simpan, hendak tolak atau terima, hendak ambil atau hujah semula.

Pertama, tambahkan sahaja satu tahun pada usia anda. Kalau umur anda 20, maka ingatlah anda sudah 21. (Jangan jadikan ini alasan mahu buang undi atau tonton yang lapanbelas-lapanbelas itu) Kedua, apabila anda berusia 30, maka jarak umur akan berselang satu. Atau lebih mudah faham, tambah dua. Maka, ketiga anda berumur 30, umur hijrah anda adalah 32, bukan 31. Seterusnya, tambahkan seperti kaedah atas. Umur 50 bererti 52. Boleh?

Itulah saya kata. Ini kajian main-main anda mahu baca juga. Oh! Saya ada madah lagi kerana imtihan belum ketemu penghujungnya. Selamat Tahun Baru 2006.

al_jantanie
manhumi_ilm