Majalah : SUKEJ
Edisi : - 105
Kolum : Bingkisan
Jenis : Artikel
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor
Bingkisan : Sibuk dan kepenatan
Oleh : al_jantanie
Sibuk dan kepenatan. Bukan kita yang minta, tetapi ia datang juga. Bertimpa-timpa. Amanah kita tunaikan, penat jadi habuan. Harap-harap, pahala jadi harga gantian. Kadang-kadang, tangan yang dua tidak tertampung, terpaksa menadah peha menggalas tugas. Hendak kaut semua?. Bahagi-bahagi pada yang lain. Yang lain juga ada tangan, boleh kaki kita bebas berjalan.
Walaupun sibuk dan penat, jangan lupa pada tuhan. Tuhan sediakan masa untuk hambanya, enam puluh saat seminit, enam puluh minit sejam, dua puluh empat jam sehari. Agak-agak, dalam masa yang ada, berapa minit kita menghadapNya? Solat yang lima sudah maklum wajibnya, tetapi yang sunat takkan tiada?
Dia memberi banyak masa, kita ambil semua. Tetapi dalam pemberian, tentu ada keinginan membalas pula. Orang beri kita ambil, tetapi ingat-ingatlah, kita kena menghulur juga. Inikan pula tuhan yang beri, kita kaut semua, tetapi takkan sampai solat sunat pun lupa?
Bukan apa, dalam sibuknya kita, kita hirup udaranya, kita minum airnya, kita telan rezekinya. Semua pemberian, balaslah dengan kesyukuran. Tuhan sentiasa kaya, kalau kita ' buat-buat lupa', Dia tetap ingat. Waimma kalau kita buat-buat tidur, Dia tetap jaga. Buat apa mengelak, kitakan hamba. Tadahlah tangan meminta padaNya, pasakkan kaki qiam seistiqamah mungkin, lapangkan dada muhasabah sedapatnya.
Mata mula mengantuk, kelopak terkebil kebil mencari kalau-kalau masih ada sedar yang mengizinkannya menjenguk keluar. Kelopak semakin kecil, berat, hampir tertutup. Kenapa? Kepenatan. Patutlah layu, sayu, kuyu. Penat pun mesti dilayan. Jangan siksa badan. Hak tubuh kena tunaikan, jangan sampai lupa diri, kononnya nak berbakti, tetapi menyeksa diri sendiri.
Tidak wajar mahu berbakti, tetapi amanah yang Tuhan beri kita tolak ke tepi. Tidak kira Yang Di Pertua atau ahli jawatan kuasa kecil, apabila berkhidmat memerah keringat, habis luruh hingga kering, tetapi jasad yang diamanahkan terabai. Kenapa buat begitu? Terpaksa?
Penatnya kita adalah pemberian. Tidak wajar ia dipersalahkan. Penat juga makhluk tuhan. Kita sama-sama makhluk, biarlah ada timbang rasa. Kita sama-sama satu kapal. Badan tempat roh kita menumpang hidup, badan kita juga tempat penat melabuhkan punggungnya. Roh sampai masa akan pergi, meninggalkan badan yang dihuni. Begitu juga penat akan pergi, meninggalkan badan yang diberi cuti.
Sibuknya dalam urusan seharian, alangkah bertuahnya kalau ia adalah untuk kebajikan. Tuhan memberi ganjaran, harap akan diganda-gandakan. Kebajikan yang berganda, siapa yang tidak mahu? Tetapi, bukan mudah hendak menyediakan diri kita sebegitu. Tuhan tidak kedekut. Pucuk pangkalnya kita menyahut seruanNya, mengutip sebiji benih, moga dengan hujan rahmatnya, sebiji benih akan tumbuh menjadi tujuh tangkai dengan buah yang seratus biji di setiap tangkai.
Penat, penat. Terasa hendak melarikan diri sebentar. "Tidak kasihankah pada aku? Hari-hari waktuku dicuri." Tidak, bukan dicuri tetapi diberi. Sumbangan. Untuk siapa kalau bukan untuk Badan dan Persatuan. Tetapi secara tidak langsung ia juga untuk Islam. Penat bukan kepalang. Keluar pagi balik malam. "Mana masa untukku berkhalwat? Mana masaku untuk yang sunat?" Tercari-cari dalam rehat.
Langkah yang longlai. Bukan ada apa-apa. Senghaja pandang kanan kiri kalau ada yang simpati. Mencari simpati? Tuhan kan simpati? SimpatiNya lebih luas, terbentang antara langit dan bumi. Simpati makhluk hanya di dalam hati. Habis luah pun, dia mampu beri sebanyak rezekinya sahaja. Lebih daripada itu Tuhan yang kuasai. Kenapa mengharap pada yang kecil? Kita ada yang Maha Besar. Minta daripada si miskin belum tentu dapat, tetapi minta pada yang Maha Kaya, secuit sudah sangat bahagia.
Ke sana ke sini. Kalau langkah itu letaknya di samping Kaa'bah, 700 kali tawaf boleh sempurna. Kenapa? Sibuk? Tengok juga sibuk untuk apa. Sibuk untuk nama, nama akan hilang, orang akan lupa. Sibuk untuk harta, harta akan kurang, kita boleh papa. Sibuk untuk kuasa, kuasa akan hilang, kita akan 'pulang'. Sebaiknya, sibuk mengejar kebaikan. Kebaikan yang dikejar, tidak rugi. Kebaikan tempatnya di syurga. Mengejar kebaikan bagai berkejaran ke sana. Tidak pernah rugi.
Masa penuh, tiada kosong. Pagi, petang, siang dan malam. Kalaulah waktu tidur boleh diberi, pasti 24 jam akan menjadi 30 jam sehari. Bukan apa, waktu untuk diri juga perlu ada. Kita hendak makan, kita hendak rehat, kita hendak tidur. Bukan menolak tugas, bukan melarikan diri. Adat manusia, ada tenaga tetapi terhad. Ada masa, tetapi singkat. Nyawa yang ada cuma sedetik, tubuh yang ada cuma sekelumit. Tenaga, masa, nyawa, tubuh, semua ada limit.
Begitu penatkah? Tidak mengapalah, masa muda tuhan beri tenaga yang banyak. Untuk apa kalau bukan untuk digunakan. Diperah. Habis tenaga cari makanan, tilam dan bantal. Esok terus menyumbang. Kenapa hendak kedekut? Kita tak ubah seperti bateri baru, tenaga masih segar, tulang masih kuat, otot-otot masih tegap. Hendak tunggu apabila kulit sudah berkedut, tulang sudah reput, otot sudah lembek baru hendak memberi tenaga? Waktu itu kita sudah bergigi palsu, bertongkat kayu, berkerusi roda.
Sabarlah sekejap. Bukan lama. Bukankah ketika hidup di dunia kita disuruh beramal, bekerja. Di akhirat hanya mengutip hasil tuaian. Di sinilah lapangan, di sinilah medan. Hendak lari ke mana? Semua juga bumi tuhan. Lari ke sana ke sini juga meletihkan. Lambat laun masa yang ada akan tamat, detik demi detik berkurangan, saat demi saat akan hilang. Akhirnya, kita akan dipanggil pulang menghadap Tuhan.
Bukan penat badan, tetapi penat minda. Idea dijana, akal disuruh bekerja. Tidak mengapa. Idea yang dijana semakin lama semakin berkembang, akal yang bekerja semakin lama semakin matang. Cerdik pandai Islam yang kita hendak lahirkan. Tetapi yang boleh menyumbang, bukan kera sumbang. Lama-kelamaan, pucuk baru akan menjadi matang, daunnya lebat memayungi buahan, ranting yang halus menjadi dahan yang kukuh. Pokok akhirnya rimbun, memayungi orang yang berteduh.
Dalam sibuk, semak kembali niat kita. Ikhlaskan niat. Bukan apa, terkadang tenaga kita diperah hingga susut, tetapi perut orang lain yang kembang membusut. Usaha kita jadi modal, tetapi hasilnya dituai oleh orang yang duduk 'saje'. Sebab itu niat perlu ikhlas, kita memberi tidak mengharap dibalas. Barulah kesibukan dan kepenatan berbaloi dengan limpah rahmat dan redha Tuhan.
Begitulah sibuk dan kepenatan. Dalam sedarnya kita jaga, bekerja dan memerah tenaga, kerana dalam tidurnya kita akan pulang menghadap Yang Esa. Renungkan firman Tuhan dalam surah As-Syarhu ayat tujuh dan lapan yang mafhumnya:
Apabila engkau telah selesai ( mengerjakan suatu pekerjaan), maka bersusah payahlah (mengerjakan pekerjaan yang lain). Dan kepada Tuhanmu, maka berharaplah.
Sibuk dan kepenatan, untuk saya, anda dan kita semua.
No comments:
Post a Comment