Wednesday, January 04, 2006

al-Yakin

Majalah : SUKEJ
Edisi : 105
Kolum : Thaqafah
Jenis : Artikel
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Thaqafah : al-Yakin
Oleh : al_jantanie

Perkataan 'yakin' seringkali kita gunakan dalam kehidupan kita seharian, satu kalimah yang diambil cedok daripada bahasa arab, seringkali dapat kita lihat penggunaannya sama ada dalam kitab, buku-buku ilmiah, penulisan kreatif, hinggalah ke sumber asal pengistilahannya, iaitu di dalam al-quran al-karim.

Al-quran merakamkan beberapa ayat yang menggunakan perkataan ini dengan pelbagai maksud, dan akan cuba dikupas oleh Thaqafah pada kali ini. Dapat kita lihat, beberapa ayat yang menggunakan masdar (al-yakin), ada juga beberapa ayat yang menggunakannya dalam isim fa'el ( muuqinun / muuqinin / mustaiqinin), juga beberapa ayat yang menggunakannya dalam bentuk fe'el (yuuqinun / tuuqinun).

Beberapa kisah yang dirakamkan dalam al-quran turut menggunakan kalimah ini. Perhatikan surah an-Namlu ayat 22 yang mafhumnya: (Maka tidak berapa lama kemudian datanglah hud-hud lalu berkata: Saya mengetahui apa yang belum kamu ketahui, dan saya bawakan dari Saba' satu perkhabaran yang diyakini). Juga daripada surah An-Nisa' ayat 157 yang mafhumnya : ( Dan kerana perkataan mereka: Sesengguhnya kami telah membunuh Al-Masih Isa anak Maryam, seorang rasul Allah. Padahal bukanlah mereka membunuhnya dan bukan pula menyalibnya, melainkan orang yang serupa dia. Sesungguhnya orang yang berselisih pendapat tentang Isa itu dalam keraguan, bukanlah dengan pengetahuan, melainkan menurut dugaan sahaja, dan tidaklah mereka membunuh Isa dengan yakin).

Perhatikan pula surah al-An'am ayat 75 yang bermaksud: (Demikianlah kami perlihatkan kepada Ibrahim kerajaan langit dan bumi, supaya ia termasuk daripada kalangan orang-orang yang yakin). Lihat juga surah as-Sajadah ayat 12 yang mafhumnya: (Kalau sekiranya engkau lihat, ketika orang-orang yang berdosa menundukkan kepalanya di sisi Tuhannya, lalu berkata : Ya Tuhan Kami, Kami telah lihat dan kami telah dengar siksa yang kami mungkiri masa dulu, sebab itu kembalikanlah kami ke atas dunia, supaya kami beramal salih, sesungguhnya kami telah yakin)

Maksud Yakin

Kalimah yakin ini telah membawa beberapa maksud. Merujuk kepada Kamus Mu'jam Asasi, yakin membawa maksud: 1.suatu ilmu yang diketahui oleh insan tanpa syak padanya. 2.mati. Al-Quran merakamkan beberapa ayat yang merujuk kepada maknanya yang pertama, antaranya daripada surah al-Waqi'ah ayat 95 (Sesungguhnya ini adalah sebenar-benar yakin). Juga daripada surah al-Haqqah ayat 51 (Dan sesungguhnya quran itu kebenaran yang seyakin-yakinnya).

Beberapa contoh penggunaan dalam maknanya yang kedua, daripada surah al-Hijru ayat 99 : Dan sembahlah Tuhanmu sehingga sampai kepadamu yakin (mati). Juga lihat daripada surah al-Muddasir ayat 47 : Sehingga datang kepada kami keyakinan (mati).

Yakin adalah mati
Daripada terjemahan surah al-Hijru ayat 99 dan surah al-Muddasir ayat 47 di atas, kita dapat mengetahui bahawa yakin juga membawa maksud mati.

Kalimah yakin yang membawa maksud mati dalam surah al-Hijr ayat 99 itu telah di sabitkan maknanya berdasarkan satu riwayat oleh Imam Bukhari, berkata Salim ibn Abdullah ibn Umar: yakin adalah mati. Diriwayatkan juga oleh Ibn Jarir daripada Muhammad ibn Basyar, daripada Yahya ibn Sa'eid, daripada Sufian, daripada Thariq ibn Abdurrahman, daripada Salim ibn Abdullah: yakin adalah mati.

Daripada Surah al-Muddasir ayat 42 hingga 47, Allah menceritakan tentang ahli neraka dalam firmanNya (Apakah sebabnya kamu masuk neraka?. Sahut mereka itu: Kami tidak sembahyang. Dan tidak pula memberi makan orang miskin. Dan kami telah masuk ke dalam kebatilan, bersama-sama orang yang masuk ke dalamnya. Dan Kami telah mendustakan hari pembalasan. Sehingga datang kepada kami yakin (mati). Sebagai bukti terakhir daripada penulis bahawa yakin membawa maksud mati, sila rujuk hadis ke 1243 daripada Sahih Bukhari.

Silap Tafsiran kepada yakin

Terdapat golongan yang menafikan bahawa kalimah yakin membawa maksud mati, menyebabkan salah tafsiran kepada ayat daripada surah al-Hijru ayat 99 : Dan sembahlah Tuhanmu sehingga sampai kepadamu yakin (mati).Apabila golongan ini cuba memaknakan yakin dengan makna 'pengetahuan yang diyakini' (makrifah), mereka telah mengeluarkan hukum bahawa solat adalah tidak wajib setelah seseorang itu mencapai peringkat makrifah.

Lihat ayat di atas yang mana perkataan yakin di maknakan dengan makna makrifah. (Dan sembahlah Tuhanmu sehingga sampai kepadamu yakin- makrifah). Mereka mentafsirkan bahawa Allah menyuruh mereka menyembahNya (solat) hanya dalam tempoh mereka cuba sampai ke peringkat makrifatullah. Apabila mereka telah sampai ke peringkat makrifah ini, maka ibadat tidak lagi wajib ke atas mereka, kerana telah gugur taklif daripada mereka.

Imam Ibn Kathir dalam kitabnya Tafsir al-Quranul A'zim menyatakan 'bahawa pendapat ini kufur dan sesat, kerana Nabi-Nabi terdahulu adalah orang yang paling tahu di sisi Allah, orang yang paling faham dengan hak-hak tuhan, malah mereka adalah manusia yang paling taabbud dan banyak ibadahnya, serta sentiasa melazimi amal kebaikan', (tetapi tidak meninggalkan solat).

Dalil wajibnya solat, seterusnya membatalkan takrifan mereka itu, : daripada kitab Sahih Bukhari, r.a. sesungguhnya Rasulullah S.A.W bersabda yang maknanya: (Sembahyanglah dalam keadaan berdiri, jika engkau tidak mampu, maka dalam keadaan duduk, jika engkau tidak mampu, maka dalam keadaan baring. )

Doktor Wahbah Zuhaili dalam kitabnya Tafsir al-Munir menyatakan " seseorang muslim dituntut secara wajib untuk beribadat iaitu solat secara berterusan sehingga mati, selama mana dia tidak berada dalam keadaan pengsan atau hilang kesedaran, dan Islam itu bertimbang rasa lagi mudah, diwajibkan solat ke atas setiap individu dengan mana-mana keadaan yang dia mampu, tidak gugur kewajipan kecuali pada yang koma, malah akan dihisab atas tiap-tiap solat fardu yang ditinggalkan atau dicuaikan secara senghaja, seperti mana sabda Nabi Isa a.s. : (diwasiatkanNya kepadaku mengerjakan sembahyang dan membayar zakat selama mana aku masih hidup………surah maryam, ayat 31)

Sheikh Mohd Ali As-Shobuni dalam kitabnya Sofwatut Tafasir menyatakan sebab dinamakan maut dengan yakin, kerana maut itu diyakini berlakunya (oleh semua orang yang beriman mahupun tidak).

Rujukan
Tafsir Quran Karim oleh Professor Dr. Hj. Mahmud Yunus
Kitab Fathul Bari Syarah Shahih Bukhari.
Tafsir al-Quran al-A'zim Lil Imam Ibn Kathir
Tafsirul Munir oleh Doktor Wahbah Zuhaili
Sofwatut Tafasir oleh Sheikh Mohd Ali As-Shobuni

No comments: