Wednesday, January 04, 2006

Tiga

Majalah : SUKEJ
Edisi : 105
Kolum : Pendapat
Jenis : Artikel
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Pendapat : Tiga
Oleh : al_jantanie

Segala puji bagi Allah yang melimpahkan ide, moga ada yang terus menadahnya. Salam atas junjungan mulia, beserta selawat untuk mu Baginda. Menyimpan, memproses dan meluahkan, ‘tiga’ yang penulis maksudkan.


Setiap kita mampu untuk mengingat. Ada yang ingatannya kuat, ada juga yang lemah. Penulis tidak bercadang membincangkan sebab-sebabnya pada kali ini. Kebolehan kita mengingat ada disebut di dalam al-Quran, contohnya dalam surah al-Baqarah ayat 235:

(علم الله أنكم ستذكرونهن)

Mafhumnya:….Allah mengetahui bahawa kamu akan mengingati perempuan-perempuan itu…

Namun, kebolehan mengingat itu boleh hilang. Perhatikan ayat daripada surah Yasin ayat 68:


( ومن نعمره ننكسه فى الخلق أفلا تعقلون )

Mafhumnya: Dan sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, maka akan Kami kembalikannya kepada kejadiannya (seperti kecil dahulu, menjadi lupa dan kebudak-budakan) apakah kamu tidak memikirkannya.

Dalam ayat tersebut menyatakan bahawa manusia boleh kehilangan kebolehan mengingat ini. Inilah kebolehan pertama yang penulis cuba kupas dalam Pendapat kali ini.

Keduanya, berfikir. Semua orang mampu berfikir dengan kurniaan akal yang dianugerahkan kepada kita. Kebolehan kita berfikir ada dinyatakan dalam surah Al-Qasas, ayat 60:

( ...وما عند الله خير وأبقى افلا تعقلون)

Mafhumnya: Dan barang yang di sisi Allah itu lebih baik dan lebih kekal. Apakah kamu tidak memikirkannya?.

Perlu difahami, Allah sentiasa menggalakkan hambaNya berfikir. Perkara ini ada dinyatakan dalam surah Yusuf ayat 2:

( إنا أنزلناه قرأنا عربيا لعلكم تعقلون )

Mafhumnya: Sesungguhnya Kami turunkan Quran itu dalam bahasa Arab, moga-moga kamu memikirkannya.

Ketiganya, kebolehan menyampaikan. Manusia diberi kebolehan menyampaikan apa-apa yang ada difikirannya dengan suara, tulisan mahupun dengan perbuatan. Kebolehan manusia menyampaikan sesuatu maksud dengan tulisan ada dinyatakan dalam surah al-Baqarah ayat 282:

( وليكتب بينكم كاتب بالعدل... ...)

Mafhumnya: …dan hendaklah ada antara kamu menulis ( hutang ) dengan adil…

Kebolehan manusia menyampaikan sesuatu maksud dengan suara juga ada dinyatakan dalam al-Quran, sebagaimana dalam surah An-Nur ayat 54:

(... قل أطيعوا الله وأطيعوا الرسول… )

Mafhumnya: Katakanlah wahai Muhammad (kepada mereka): Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada RasulNya…

Sekali lagi, kebolehan manusia menyampaikan sesuatu maksud dengan perbuatan turut dinyatakan dalam al-Quran, sepertimana dalam surah An-Nahlu ayat 125:


( ادع إلى سبيل ربك بالحكمة والموعظة الحسنة... )

Mafhumnya: Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan peringatan yang baik…

Kita memiliki ketiga-tiganya


Boleh disebut di sini bahawa setiap kita mempunyai tiga kebolehan ini. Boleh mengingat, boleh berfikir, boleh menyampaikan, walaupun setiap daya kebolehan ini berbeza di antara satu individu dengan yang lain. Di antara tiga kebolehan ini, yang manakah paling kita suka? Suka mengingat? Suka berfikir? Ataupun suka menyampaikan?

Mengapa soalan ini ditanyakan? Pertama, terkadang kita cenderung meniru orang lain, padahal dia adalah dia, dan kita adalah kita. Mungkin dia hebat dalam sesuatu perkara, tetapi itu bukanlah satu kehebatan di pihak kita pula. Apa yang penulis cuba sampaikan ialah satu latihan mengenali diri sendiri, ada kebolehan yang kita punyai, tetapi malangnya ia tidak digilap, akhirnya tidak bersinar.

Sekali lagi, sesuatu yang bukan kebolehan kita, digilap, terasa sukar, ibarat mengasah belakang parang, walaupun boleh tajam, tetapi amat mengambil masa. Begitu juga kita. Bukankah lebih baik kita asah depan parang terlebih dahulu, kerana ia lebih berpotensi untuk menjadi lebih tajam! Tidak lama, sinarnya akan lebih cerah dan menyilaukan mata.

Sekiranya anda minat untuk mengingat, anda berpotensi untuk menghafaz. Gunakan ia untuk menghafaz al-Quran sehingga tamam 30 juzu’, gunakan ia untuk menghafaz hadis beserta dengan rawinya sekali. Umat Islam amat dahaga orang seperti Imam Hanbali ini. Begitu juga sekiranya anda minat berfikir, zaman ini sudah begitu banyak isu yang boleh dikupas, begitu banyak masalah yang perlu diselesaikan. Minat menyampaikan? Pilihlah sama ada dengan tulisan atau dengan pertuturan. Kemungkinan anda boleh menguasai kedua-duanya, walaupun ia agak sukar.

Mungkin orang yang anda lihat berbakat dalam pertuturan, sedangkan kelebihan anda adalah dalam hafazan. Kenapa perlu menipu diri dan menjadi orang lain?. Kenali kelebihan diri, bintang anda akan terus bersinar dan cerah. Kebolehan yang menanti diasah perlukan usaha anda menggilapnya. Setelah kebolehan itu cukup jitu, kita dapat melihat kesannya.

Tidak salah memahirkan diri dalam bidang yang kurang potensi, kerana kita dapat lihat ulama-ulama terdahulu, masing-masing tersohor dalam pelbagai bidang. Imam Syafie contohnya, bukan sahaja mahir bertutur, malah mahir menulis. Bukan sahaja mahir dalam feqh, tetapi juga mahir dalam bahasa dan syair. Beliau bukan sahaja hebat hafazannya malah hebat cara berfikir dan menyampaikannya juga. Menggilap kelebihan sehingga bersinar, cahayanya dapat kita lihat sehingga ke hari ini.

Akan tetapi, jangan risau sekiranya anda kurang dalam satu bidang, kerana anda sebenarnya mempunyai satu kelebihan dalam bidang yang lain. Dan juga, teruskan memahirkan diri walaupun dalam bidang yang kurang menyerlah. Asahlah juga belakang parang, tidak mustahil ia boleh jadi setajam depan parang. Mungkinkah akan lahir seorang lagi Imam Syafie di zaman ini?

Tiga kebolehan ini, ada dinyatakan di dalam al-Quran. Perhatikan sebuah kisah yang mengakhiri artikel ini, perhatikan proses berfikir, mengingat dan menyampaikan berlaku dalam sebuah kisah yang dipetik daripada surah Al-Baqarah ayat 259, mafhumnya : atau (apakah kamu tidak memperhatikan) orang yang melalui satu negeri yang (temboknya) telah roboh menutupi atapnya. Dia berkata: Bagaimana Allah menghidupkan kembali negeri ini setelah hancur?-( BERFIKIR ) Maka Allah mematikan orang itu seratus tahun, kemudian menghidupkannya kembali. Allah bertanya: Berapa lama kamu tinggal di sini? Ia menjawab: Saya telah tinggal di sini sehari atau setengah hari.-( MENGINGAT) Allah berfirman: sebenarnya kamu telah tinggal di sini seratus tahun lamanya; lihatlah kepada makanan dan minumanmu yang belum lagi berubah, dan lihatlah kepada keldaimu (yang telah menjadi belulang) Kami akan jadikan kamu tanda kekuasaan Kami bagi manusia, dan lihatlah kepada belulang keldai itu, kemudian Kami menyusunnya kembali, kemudian Kami membalutnya dengan daging. Maka tatkala telah nyata kepadanya (bagaimana Allah menghidupkan yang telah mati) dia pun berkata: Saya yakin bahwa Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. --(MENYAMPAIKAN )

No comments: