Saturday, July 30, 2005

Terpisat-pisat

Saya mahu bercerita pengalaman saya. Bukankah itu yang anda pinta?

Langit hitam langking. Awan bergerak malas. Saya memulang pandang ke bumi. Saya berfikir tujuh puluh tujuh kali; mahu beli komputer dan saya akan berlapar tujuh puluh tujuh hari, atau abaikan sahaja niat mahu membeli.

Engkau boleh pinjam komputer BKAN. Kenapa mahu beli?

Saya angkat kepala, melihat sahabat sebilik.

Tetapi aku mahu belajar menulis. Dan aku rasa, kalau aku tidak beli sekarang, barangkali, sampai bila-bilapun aku takkan dapat beli. Inilah peluang ketika duit masih banyak. Tetapi…

Saya berat mahu melafazkan kata.

Tetapi kalau engkau beli engkau akan kehabisan duit? Itukah? Kenapa berdegil? Lupakan dulu hasrat murni itu. Kalau mahu menaip bukankah boleh pinjam komputer orang? Lagipula, banyak mana sangat yang engkau mahu taip? Satu buku? Satu kitab? Satu maktabah?

Saya masih lagi berdiam.

Kalau engkau beli komputer sekarang, duit engkau akan habis. Barangkali tinggal dua puluh genih sahaja. Sanggup? Demi sebuah komputer? Dan kemudian, engkau akan menaip setakat satu muka, atau dua muka, kemudian engkau tidur dalam malam sampai pagi. Bangun pagi engkau pergi ke kuliah hingga tengahari. Balik kuliah tergesa-gesa mahu ke pasar, atau masak tengahari. Barangkali petang setelah kepenatan, engkau duduk ambil nafas. Malam pula baru dapat menghadap komputer. Demi itukah engkau berlapar, mahu beli komputer?

Saya mengambil nafas lebih dalam.

Memang. Keputusan memang salah satu antara dua. Dan aku nekad mahu beli. Cuma ketika itu aku berat hati mahu menyusahkan rakan sebilik. Aku tidak mahu menyusahkan engkau, menyusahkan Ali, menyusahkan Otsman; dan barangkali ia satu pertaruhan besar. Soal satu muka atau satu kitab bukan perkara penting. Yang penting, mahu atau tidak? Kalau mahu, langit hitam ini boleh diterangkan. Tetapi kalau tidak mahu, barangkali tarik selimut boleh tidur sampai pagi, dari pagi sampai tengahari, kemudian makan sampai kenyang dan tidur sampai petang, atau keluar berjalan-jalan dan pulang kepenatan. Apalagi kalau bukan tidur dari malam sampai subuh.

Rakan sebilik tersenyum.

Dan kalau aku tidak beli sekadar meminjam, aku rasa sulit mahu menaip. Komputer orang bukan komputer kita. Mengguna ikut masa. Menulis tidak lapang. Memang, sekarang aku cuma menaip satu muka, paling banyak satu helai. Tetapi kalau komputer sudah di depan mata, satu kitab bukan mustahil. Kalau benar-benar mahu…Kalau benar-benar…

Ya. Belilah dan engkau jangan risau. Aku cuma mahu menguji. Dan kalau kehabisan duit jangan lupa bagitahu kawan-kawan. Kita ahli bait sama-sama senang, sama-sama susah. Ya. Tujuh puluh tujuh hari sahaja, bukan?

Azan subuh berkumandang. Saya terpisat-pisat. Ya Allah, saya bermimpikah?

al_jantanie
manhumi_ilm

Friday, July 29, 2005

Cerpendek

2 Pagi.
Malam itu Engkau bermimpi. Engkau dan 64 pemuda Melayu akan membantu tentera Arab Mesir dalam perang tiga serangkai. Malam itu Engkau menyarung baju tentera, dengan wuduk Engkau bentangkan sejadah. Penuh khusyuk Engkau angkat takbir. Ya Allah, berilah kemenangan. Esok aku bakal bertempur. Lawan Israel, lawan Inggeris, lawan Perancis; aku mahu membantu Islam. Begitulah Engkau berdoa.

Malam sejuk. Sambil menggigil, Engkau berdoa lagi. Tanah Mesir ini tanah tempat semadi nabi-nabiMu ya Allah, walaupun ia ada bekas tapak kaki hamba laknatMu - Firaun. Ia sudah subur dengan ulama-ulama hingga jadi kiblat ilmu; cahaya terang menyuluh Timur Barat, hingga berkesan menyatu tauhid di jihat kiblat; jangan sekali kafirun itu mengambil mandat. Pertahankan Mesir, ya Allah. Walau dengan mengorbankan aku.

Thursday, July 28, 2005

Macam Mana Buat Drama?

Kali ini saya mahu berbual. Saya teringin belajar buat drama. Tetapi, saya tidak tahu caranya. Kalau anda membaca entri ini, boleh komen apa yang kurang?

Mazlan : Hendak naik ke? Bas sudah penuh!
Azam : Aku sudah tahan. Mari naik. Sudah jam 9.00.
Mazlan : Eh, nanti dulu. Kasut aku nak tanggal.
Azam : Cepat. Bas ni tak berhenti. Cepat lari.
Mazlan : Tunggu aku.
Azam : Bas berhenti pula. Pak cik, tepi sikit. Maaf, saya hendak ke atas.
Mazlan : Azam, penuh lah. Macam mana hendak naik? Macam mana kau ada di atas tu?
Azam : Kau pegang besi tu. Rempuh je. Bas memang penuh kalau jam 9 ni. Cepat. Sekejap lagi ia jalan.
Mazlan : Hendak pijak mana? Sampai tangga penuh. Besi pegang pun aku tak nampak.
Azam : Rempuh saja. Cepat ia sudah bergerak!
Mazlan : Maaf ya pakcik. Tepi sikit. Eh, Azam. Tak boleh naiklah. Sendat sangat. Tiada langsung tempat pijak.
Azam : Kau tolak saja. Arab tu tak marah. Memang lazim penuh setiap pagi.
Mazlan : Badan aku besar. Kau jalan dululah. Nanti aku naik bas yang lain.
Azam : Bas lain? Aku jalan duluuu.

Wednesday, July 27, 2005

Mewarta Kewartawanan

Mewarta Kewartawanan

Memenuhi permintaan, saya menulis mengenai kewartawanan kali ini. Barangkali, ia cuma pelengkap kepada kertas kerja yang saya sediakan, dan saya pasti, ia masih mempunyai bermacam-macam kelemahan lagi.

Mari berbincang mengenai pelaksanaan tugas seorang wartawan. Dalam apa kerja sekalipun, praktikal menjadi fokus perkara tersebut. Pertama, jangan memeningkan diri dan jadilah sebuah ‘recorder’ yang mencatat. Pastikan anda seorang ‘recorder’ abad ke 27, dan mencatat dengan dua cara. Pertama, mencatat secara ‘point’ dan mengambil isi penting sahaja. Kedua, mencatat secara ‘bulat-bulat’, kalimah demi kalimah.

Wartawan yang baik tahu membezakan, perkara apakah yang perlu dicatat secara ‘point’ dan perkara apa pula perlu dicatat secara ‘bulat-bulat’.

Perbezaan berlaku apabila kita mencatat ayat ucapan dan menukilkan secara terus ke dalam berita @ laporan. Jadi, kita mencatat isi penting kepada perkara selain itu. Lebih tepat lagi, seorang wartawan harus bijak membuat keputusan; sekiranya ia perlu berbuat demikian maka lakukan sahaja.

Muqaddimah ini menjelaskan bahawa; seorang wartawan bukan sahaja bergerak secara bebas, bahkan boleh menulis dalam keadaan yang difikirkan sesuai. Ia satu kebebasan. Sesuatu peristiwa boleh dipidahkan kepada pembaca secara berita, laporan, ulasan, temuramah atau kajian dan statistik. Memahami perbezaan ini adalah satu kelebihan. Barangkali dalam satu-satu peristiwa mahupun situasi, berita lebih sesuai daripada laporan, dan sebaliknya. Kadangkala, menyampaikannya sebagai temuramah lebih jitu daripada menyampaikannya sebagai ulasan.

Kedua, catatkan juga 6 persoalan asas dalam setiap peristiwa. Persoalan siapa, apa, berapa, bagaimana, di mana, kenapa; semua ini adalah item yang perlu dilengkapkan dalam satu proses pengumpulan data. Kita selalu mencicirkan sebahagian daripada enam persoalan asas ini ketika proses pengumpulan data menyebabkan ketidaklancaran dalam sesuatu penyampaian.

Masalah terbesar adalah masalah berdepan dengan penerbitan yang lambat boleh dihadapi dengan beberapa cara. Pertama, cetak sendiri dan jadilah penerbit. Kedua, bersedia memadam sahaja segala tulisan dan biarkan ia hilang begitu sahaja. Ketiga, tukarcara penyampaian daripada berita kepada laporan, daripada laporan kepada ulasan, daripada ulasan kepada statistik data dan kajian.

Barangkali berita adalah penyampaian sesuatu dalam situasinya yang paling segar, dan khalayak belum mengetahuinya. Laporan adalah penyampaian sesuatu peristiwa dalam keadaan pembaca telah mengetahui sebahagian besar daripada peristiwa itu. Mungkin 50 peratus, lebih atau kurang. Ulasan dibezakan dengan penambahan ide tambahan daripada penulis berbentuk kritikan dan komentar yang berputar sekitar ruang lingkup kejadian. Statistik dan kajian pula, adalah himpunan kepada peristiwa-peristiwa yang telah banyak terjadi dan membentuk penilaian daripada semua kejadian itu.

Mungkin apabila sesuatu peristiwa tidak disampaikan ketika itu juga, tidak juga disampaikan selepas daripada itu, sehingga berlalu beberapa puluh peristiwa dan peristiwa pertama masih tidak dilaporkan, bolehkah anda bayangkan, bagaimana agaknya kalau-kalau anda masih mahu meriwayatkan juga peristiwa pertama itu jika bukan dengan cara statistik dan kajian? Waktu itu, sudah berpuluh-puluh peristiwa baru telah mendahului peristiwa pertama itu.

Terus-terang, saya lebih menyukai ulasan. Pertama, ia tidak terlalu mendesak untuk diterbitkan ketika itu juga. Kedua, ia masih relevan walaupun ia telah diketahui umum. Ketiga, ia menyampaikan fikrah tambahan berbentuk kritikan dan komentar peribadi (tentunya bersandarkan beberapa fakta yang benar dan tepat).Keempat, ia boleh digabungjalinkan dengan peristiwa yang berlaku setelah daripada peristiwa itu. Dan kelima mungkin, kerana memakan makanan ‘basi’ akan menyakiti ‘perut dan usus’.

Jika terdesak, sampaikan juga berita basi dalam sejarah alias taqwim tahunan alias bulanan. Atau, anda boleh memikirkan sahaja bagaimana ia patut disampaikan juga.

Ini tambahan daripada kertas kerja saya, dan saya harap pembaca yang meminta berpuas hati dengan penyampaian yang penuh kekurangan ini.

al_jantanie
manhumi_ilm

Kepemimpinan Yang Berkesan Dan Berpengaruh

Judul Buku : Al-Qiyadah Al-Muassirah
Judul Terjemahan : Mewujudkan Kepemimpinan Islam Yang Berkesan dan Berpengaruh.
Penulis : Jamal Hasan Sa’ad Madhi
Penterjemah : Muhammad Masnur Hamzah
Diulas oleh : Mohd Zaki M.Noor

Buku ini secara umumnya ditujukan kepada dua golongan, iaitu kepada pemimpin, dan kepada mereka yang mahu melahirkan pelapis kepimpinan. Sepanjang pembacaan, anda akan menyedari bahawa, ia ‘mendidik’ secara berselang-seli; mendidik anda menjadi seorang pemimpin, dan mendidik anda supaya melahirkan seorang lagi pemimpin.

Buku yang diterjemah daripada bahasa Arab ini mempunyai beberapa keistimewaan selain harganya yang berpatutan. Ia mendapat izin terbit daripada Kerajaan Mesir dan boleh di pasarkan di seluruh dunia. Jamie Hukuk Thab’ie Mahfuzah Lil Muallifah dan mempunyai nombor ISBN-nya yang tersendiri. Apa yang lebih penting, beberapa aplikasi penterjemahan yang standard dipamerkan secara praktikal. Tidak keterlaluan untuk dikatakan, ia satu bahan contoh penterjemahan.

Penterjemah yang merupakan seorang bangsa Indonesia telah sedaya upaya melakukan pemindahan bahasa, daripada Bahasa Arab kepada Bahasa Indonesia, sebelum menjadikan terjemahan baku Bahasa Indonesia itu kepada uslub ayat Bahasa Melayu. Pemindahan ini berjaya hampir kepada 80% kesempurnaan, menyebabkan ia masih mudah difahami oleh pembaca Melayu.

Buku ini adalah sebuah buku motivasi. Apa yang istimewa, pengarang telah memasukkan ayat Al-Quran, Hadis, sejarah Nabi dan perlakuan Sahabat sebagai penyokong kepada teknik motivasi yang berkesan. Atau lebih tepat, ia adalah motivasi kepimpinan cara Islam.

Membaca buku ini banyak menyedarkan, bahawa terlalu banyak sifat-sifat kepemimpinan yang hilang daripada kita. Ia sangat baik dibaca oleh semua yang bergelar pemimpin; tetapi apa yang lebih penting adalah meneladani isi kandungannya kerana ia ditulis berdasarkan kepemimpinan Rasulullah s.a.w dan Sahabat r.a. Ia satu petunjuk kepada kepemimpinan Islam.

Namun bukan bererti, ia hanya sesuai dibaca oleh pemimpin semata-mata. Di dalamnya juga menghuraikan, bagaimana ciri-ciri seorang pengikut, cara berkomunikasi sesama mereka; dan lebih penting lagi, ia adalah satu latihan mengenali diri – Siapa kita di sisi pemimpin. Anda patut membacanya, kerana ia menjelaskan perjalanan suatu kepemimpinan dan mengajar kita wasilah-wasilah berkesan dalam hubungan dua hala; pemimpin dan pengikut.

Barangkali, pembacaan yang berkesan dapat diperoleh dengan pembacaan bayangan. Dengan kata lain, membayangkan diri seperti terlibat dalam situasi seperti yang digambarkan oleh pengarang, sama ada anda membayangkan diri anda sebagai pemimpian atau sebagai pengikut. Lalu kaji dan teliti, apakah sikap yang sepatutnya kita ambil ketika berhadapan dengan hal-hal yang sebegitu rupa. Ia juga satu latihan membuat keputusan yang bijak dan menepati cara kepemimpinan Islam.

Bacaan bayangan perlu mematuhi satu kaedah; iaitu belajar menerima ia sebagai satu koreksi dan bersedia untuk mempraktikkannya. Anda akan dapati ia adalah satu buku yang hebat dan mengkagumkan, dan lebih penting lagi, ia mengambil ciri dan teknik kepemimpinan Islam dari Rasul dan para sahabat.

Ganda istimewa, penterjemahan dilakukan dengan tidak mengabaikan beberapa aspek penting termasuk mentakhrij hadis dan matan daripada kitab-kitab turath, penyusunan bab dan pembikinan rajah-rajah penjelas. Ia secara umumnya dibahagi kepada dua bahagian; Kepemimpinan Islam Yang Berkesan Dan Berpengaruh, dan Pemimpin Eksekutif Yang Berkesan Dan Berpengaruh. Buku setebal 112 muka surat ini dijual dengan harga LE 12 dan diedarkan di semua koperasi BKAN dan DPM di seluruh Mesir.

Sekiranya anda seorang pemimpin, anda dididik untuk menjadi seorang kepemimpinan Islam. Dan sekiranya anda seorang pengikut, anda dididik menjadi seorang pengikut yang baik. Anda seorang penasihat dan anda akan mendapati cara terbaik membina pelapis kepemimpinan. Penulis gemar memetik kata-kata penterjemah,

"Di Mesir buku ini menjadi panduan orang-orang yang hebat. Dan sekiranya anda adalah seorang pengarah, pengetua, pemimpin persatuan, ketua jabatan, pengawas tugas, ketua kelompok atau mereka yang bertanggungjawab terhadap sesuatu perkara, maka and sangat perlu membaca buku ini. Kerana buku ini banyak menghuraikan wasilah-wasilah untuk menimbulkan kesan dan pengaruh dalam sesebuah kepemimpinan yang berjaya dan cemerlang. Meskipun demikian, sesiapapun dapat mengambil manfaat daripada buku ini. Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu bertanggungjawab kepada apa yang dipimpinnya"

Ingat, ia menghuraikan wasilah @ cara untuk menjadikan sesebuah kepemimpinan itu sangat berkesan dengan cara Islam.

Jangan Mengharamkan Yang Halal

Maafkan saya, kalau saya banyak memperalat blog ini untuk membentuk seorang penulis.

Mempunyai alat adalah satu kelebihan, tetapi penggunaannya perlu diawasi agar tidak menjadi satu kekurangan. Saya pernah melalui saat itu apabila berdepan dengan komputer. Komputer, memang alat untuk menulis, tetapi seseorang penulis perlu mengenalpasti kelemahan dalam sesuatu kelebihan yang dia miliki.

Biar saya jelaskan dengan bahasa yang lebih mudah.

Saya mengambil komputer sebagai kawan, tetapi memusuhi cerita (cd). Saya tahu saya mudah larut apabila menonton cerita, dan saya tidak ingat sejak bila saya mula melarang diri sendiri melihat cerita (cd). Barangkali kerana saya cuma memiliki komputer. Barangkali kalau saya memiliki televisyen, mungkin saya akan melarangi diri sekali lagi.

Masalahnya, adakah melarang sama dengan mengharamkan?

Permasalahan timbul dalam bab istilah. Melarang diri bererti mengharamkan diri. Perhatikan ayat 87 Surah Al-Maidah ketika Tuhan mengingatkan:

Wahai orang yang beriman, janganlah kamu mengharamkan (sesuatu) yang baik yang Allah halalkan kepada kamu…

Begitu juga dalam surah At-Tahrim ayat 1 ada menyebutkan :

Wahai Nabi (Muhammad) kenapa Engkau mengharamkan sesuatu yang Allah halalkan kepada kamu…

Ayat 87 daripada surah Al-Maidah adalah satu teguran Tuhan kepada segolongan mukminin yang mengharamkan diri mereka daripada menikahi perempuan dan memakan daging, mengharamkan sesuatu yang dihalalkan Tuhan. Ayat pertama surah At-Tahrim pula merupakan teguran Ar-Rahman kepada Nabi apabila Nabi mengharamkan dirinya meminum madu semata-mata mencari keredhaan sebahagian isterinya. (Sila rujuk tafsir mengenai kisah-kisah itu) Fokus perbahasan adalah pada ‘mengharamkan sesuatu yang dihalalkan’.

Saya cenderung memerhatikan perkataan ‘sesuatu yang baik yang dihalalkan Tuhan’ apabila melarang diri. Kalau benar menonton cd itu mengkhayalkan saya walaupun ia halal, tidak salah untuk melarang diri. Barangkali, saya cepat naik ‘khusyuk’ lebih daripada orang lain yang menonton. Anda? Saya tidak pasti bagaimana.

Lagipula, membahaskan adakah menonton cd itu ‘baik’ adalah satu perbahasan yang panjang, dan kalau saya mudah larut dan hanyut, itu satu keburukan pada diri saya pula.

al_jantanie

manhumi_ilm

Tuesday, July 26, 2005

Mahu Jadi Novelis?

Mahu jadi novelis?

Dalam pertemuan itu kami (Saya dan Saudara Ubaidillah) banyak membincangkan novel orang lain, dan barangkali beberapa sifat dan ciri istimewa yang ada pada novel-novel tersebut.

Pembikinan novel mengikut kata Faisal (dalam penerangan Saudara Ubaidillah), adalah dengan melakukan pemusatan idea kepada selera pembaca. Selera pembaca menjadi kunci pertama dalam penceritaan. Faisal juga gemar menjadikan wanita sebagai hero dalam ceritanya, dan ia seakan-akan berbentuk feminisme.

Apa yang membuatkan 1515 jadi begitu hebat adalah kerana ia mengandungi pelbagai tema yang menarik, dan ia mengungkapkannya sebagai, karya yang ‘sempurna’ kerana pelbagai tema menarik dari pelbagai sudut terkandung di dalamnya.

Pesan Saudara Ubaidillah, kalau mahu menulis novel, sebaiknya target ke Malaysia. Tetapi kalau mahu mencuba, tidak mengapa sahaja kalau diterbitkan di sini. Atau kata lain yang lebih mudah, kalau berjaya hasilkan yang terbaik, biarlah disumbangkan terus ke Malaysia.

Novel mengambil prinsip mencantumkan banyak watak, dan apa yang penting adalah setiap watak menzahirkan ciri masing-masing berdasarkan kehendak penulis. Contohnya, watak A – percintaan. Watak B – Politik. Watak C – Perniagaan. Kalau ada dua puluh watak sekalipun, jelaskan sikap watak itu sendiri sejelas-jelasnya. Ini penting kerana pembaca apabila mereka mahu melihat tema percintaan, mereka akan lihat watak A, dan kalau hendak lihat tema politik, mereka lihat watak B. Tema antara watak jelas dan tidak bercampur tetapi masih mempunyai perkaitan antara watak. Yang lebih penting, masing-masing ada mesej masing-masing.

Tema dalam novel boleh sahaja tunggal atau berbilang. Lebih baik lagi kalau satu novel itu satu tema. Tetapi ia lebih susah kerana mahu dihuraikan dengan ilmu bantu yang lebih banyak. Kalau hendak buat berbilang tema, tidak mengapa. Tetapi jangan satu plot satu tema. Kalau dua puluh plot, dua puluh tema?

Mengukur saiz novel. Kata Saudara Ubaidillah, kalau novelette, jumlah helai sekitar 80 helai kertas A4, atau setelah dikecilkan menjadi 200 muka surat lebih. Maknanya, novelette tidak lebih dari 100 helai A4. Dan novel pula lebih dari 150 muka A4. Semua ini, kiraan bukan double space.

Bilangan bab adalah terpulang kepada penulis untuk menentukan. Panjang setiap bab juga terpulang. Ada penulis yang buat pendek, dan ada yang buat panjang. Tetapi, boleh atau tidak kalau ada babak yang panjang, dan sesetengah babak lagi pendek? Kami tidak menemui jawapan pasti petang itu. Rohayu dalam ‘Bukan Legasi Lalang’ menjadikan satu babnya seolah-olah satu cerpen. Kalau dikira, sekitar 14 muka hingga 20 untuk satu bab. Barangkali kalau dalam word antara 4 hingga 6 helai.

Perbezaan novel dengan cerpen adalah ekonomik atau tidak. Cerpen bersifat ekonomik, berbeza dengan novel. Panjang pendek ayat juga berbeza. Kalau cerpen kita kena ‘potong-potong’. Tetapi kalau novel, ada ruang sahaja, kita tambah. Menulis cerpen, kalau hendak olah dengan banyak sekalipun perlu disingkatkan.

Menurut Saudara Ubaidillah lagi, kesukaran membuat novel adalah dari sudut bahasa. Perkataan kita tidak banyak. Kalau menulis cerpen, kita akan menggunakan kalimah sekali sahaja, tetapi di dalam novel kita mahu gunakan ia berkali-kali. “Takkan hendak ulang benda yang sama. Seboleh-bolehnya kita hendak guna perkataan baru”.

Saudara Ubaidillah dalam novel sulungnya ‘Mantera Kinanah’ menyatakan beliau membuatnya dalam 14 bab, sekitar 80 halaman A4, saiz tulisan 10.

Namun pesan beliau, kalau hendak buat novel, jangan terikat dengan bilangan muka surat dahulu. Kalau hendak dipasarkan di Malaysia, penulis kena banyak buat kajian. Kalau setakat hendak dipasarkan di Mesir, ada baiknya jangan membawa isu berat.

Apa yang penting menurut Saudara Ubaidillah, penulis kena jelas dengan watak utama. Disamping itu mencari watak sampingan yang akan membantu watak utama. Dan watak sampingan itu kena ada konfliknya juga. Kalau cerita tertumpu pada satu watak, ia akan jadi seperti cerpen. Watak sampingan berperanan meringankan cerita sekiranya watak utama membawa cerita yang berat. Paling penting adalah menghidupkan watak.

Menulis novel, penulis perlu jelas dengan matlamat masing-masing. Setiap watak perlu ada matlamat masing-masing. Malah, watak perlu ada character develop – pembangunan karektor. Cuma konflik watak sampingan jangan melebihi konflik watak utama. Kalau boleh buat percantuman, itu lebih baik. Contohnya, semua ada masalah dan akhirnya, hero yang menyelesaikan.

Kekuatan novel adalah dengan menghidupkan watak dan mencipta konflik yang logik. Kadang-kadang watak bagus, tetapi konflik tidak kuat. Jadi pembaca tidak ‘hanyut’ bersama. Mereka sekadar memabaca.

Jadi, novelis perlu ada kekuatan bahasa, dan kekuatan tema itu sendiri.

Merujuk sudut pandangan pula, Saudara Ubaidillah menegaskan bahawa kita boleh menggunakan banyak sudut pandangan. Tetapi penggunaan ganti diri perlulah tetap. Kalau dalam bab satu sudah guna ‘aku’, tidak boleh dalam bab yang lain guna ‘saya’. Fokusnya, ‘jangan sampai pembaca pening’.

Penggunaan ‘dia’ adalah lebih luas daripada penggunaan ‘aku’. Mungkin ‘aku’ hanya luas dalam menceritakan perasaan, pemikiran. Tetapi ‘dia’ lebih luas dalam menceritakan latar, tempat, malah boleh berpindah-pindah di antara satu sudut pandang kepada sudut pandang yang lain. Kata Saudara Ubaidillah, penulis yang hebat bercerita, dia tidak masuk sekali ke dalam cerita. Dia melihat dari luar, kerana itu dia dapat memberi gambaran yang luas dalam penceritaan.

Saya bertanya mengenai ayat. Tetapi kata beliau, ayat terpulang kepada penulis. Mengenai tempo pula, ia harus sesuai dengan cerita dan berdasarkan kehendak penulis. Barangkali kalau cerita cinta, temponya agak perlahan berbanding dengan cerita perang.
Iman Markisa, sebuah novel yang mempunyai tempo yang laju tetapi tidak melompat kepada konlusi terlalu cepat.

Saya rasa itu sahaja yang saya dapat sepanjang perbentangan Ubadillah dan soal jawab bersamanya. Barangkali dalam satu atau dua tempat, saya masih kurang pasti, tetapi secara mukzamnya, saya merasakan inilah asas penting dalam penulisan novel. Dan bagi penulis baru yang tiada bimbingan atau bahan rujukan, ia sudah memadai barangkali. Selamat membaca. Harap puas hati.

al_jantanie
manhumi_ilm

Monday, July 25, 2005

Ia Satu Perjalanan Yang Panjang

Ia satu perjalanan yang panjang.

25 Jun bersamaan hari terakhir peperiksaan fasa thani yang lalu, saya melunas cita yang tertangguh tahun sudah. Ia barangkali satu cerita gila, atau sia-sia atau buang masa, atau apa-apa sahaja yang kamu rasa layak, tetapi bagi saya, ia satu usaha pengumpulan azam dan pelatihan kekuatan jasad atau senaman yang memerlukan tidak hanya tenaga tetapi niat yang sangat kuat dan keinginan yang tidak kunjung padam.

Saya berjalan dari Jamie’ Al-Azhar hingga ke Rumah Johor. Kata kawan, ia lima kilometer. Ada yang kata lebih. Saya juga tidak tahu. Tetapi ia mengambil masa tidak sampai dua jam. Satu bertolak sebaik sahaja solat Zuhor (kira-kira 1.15 tengahari) dan tiba sebelum asar (tepat 3 petang).

Saya memahami satu perkara. Arab tidak suka berjalan. Walaupun mereka kuat, barangkali beberapa kali tenaga orang kita, tetapi mereka tidak suka berjalan. Mereka gemar menaiki kenderaan, dan ia juga tidak membazir tenaga, kata kawan saya.

Sebelum berjalan, saya menetapkan beberapa checkpoint (di dalam hati) dahulu. Pertama adalah bu’uth, kedua, persimpangan yang memisahkan Saiyidah Zainab dengan jalan ke bu’uth (saya tak pasti apa nama tempat itu), ketiga, muqawalun, keempat, persimpangan jalan ke abasiyyah (berhampiran kubri), kelima persimpangan kuliah dirasat Islamiyah, keenam, hayyu sabie’, ketujuh adalah penamatnya sendiri, Rumah Johor.

Saya lemah semangat pada mulanya. Tentulah. Saya berseorangan dan serasa ia satu perjalanan yang super mustahil. Malah barangkali segan, kerana orang akan memandang pelik dan hairan sekiranya kedapatan. Tetapi, azam dikuatkan tujuh puluh tujuh kali ganda. Dan akhirnya, apabila tiba di checkpoint lima (kuliah dirasat Islamiyah) hati saya bergelojak kegembiraan.

Sepanjang perjalanan, saya berhenti beberapa kali. Tetapi berhenti duduk cuma dua kali. Sekali di persimpangan Saiyidatina Zainab-Bu’uth, dan sekali lagi di Hayyu Thadis. Sepanjang perjalanan juga, saya berhenti minum tiga kali. Sekali di Muqawalun dan sekali lagi di Kuliah Dirasat Islamiyah. Kali ketiga minum perahan tebu di Abbas A’qad. Sepanjang perjalanan juga, saya tidak merasa letih kecuali di suku terakhir perjalanan, ketika berjalan melepasi Kuliah Dirasat menuju ke Sabie’, ia perjalanan menaiki bukit.

Untung azam kaki sama bulat dengan azam hati. Ia berjaya. Dan saya rasa, saya patut berbangga dengan ‘kegilaan’ ini.

al_jantanie
manhumi_ilm

Sunday, July 24, 2005

Harga Sebatang Mancis Di Musim Panas

Memang, sebatang mancis cuma 0.001 qirsh barangkali. Ia murah, dan kalau anda sabar menunggu di hadapan cerek sekitar 20 minit, air yang dijerang sudah didih. Ataupun kalau anda seorang yang kuat daya ingatan, tinggalkan sahaja ia suku jam dan kembali semula untuk memadamkan api.

Memang, harga cuma pada sebatang mancis di musim panas.

Apalah salahnya, anda jerang air kemudian isi dalam botol, sumbat dalam peti sejuk. Kemudian, anda menuai pahala dari kehausan mereka. Itu, berkali-kali ganda harga dan nilainya sebatang mancis di musim panas ini.

(Jangan lupa! Anda perlu ada peti sejuk)
al_jantanie
manhumi_ilm

Saturday, July 23, 2005

Kenapa Asyik Bercita-cita Tinggi?

Kadang-kadang saya selalu bertanya kepada diri? Mengapa asyik bercita-cita tinggi?

Sayembara Mengarang Skrip Drama Pentas Sempena Perayaan Jubli Emas DBP

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sedang menganjurkan Sayembara Mengarang Skrip Drama Pentas Sempena Perayaan Jubli Emas DBP. Sayembara ini diadakan dengan tujuan untuk menggalakkan golongan sasterawan tanah air mengarang skrip drama pentas yang menggarap persoalan masyarakat Malaysia yang membangun dan berdaya saing,liberal, progresif, aman damai dan dipandang tinggi oleh negara luar dari dahulu, sekarang dan pada masa hadapan.

Tarikh Tutup: 31 Disember 2005

Apa salahnya kalau kita semua mencuba?

al_jantanie
manhumi_iil