Saturday, February 26, 2005

Dua Cerpen Lagi

Saya telah menyiapkan dua cerpen lagi. Satu yang bertajuk, Permata Taubat, dan kedua yang bertajuk, Cinta Nafsu. Kedua-duanya cerpen yang saya pendam selama ini, eram dan sudah disumbangkan ke antologi cerpen di bawah kelolaan saudara Ubaidillah.

Masih banyak kelemahan. Lebih-lebih lagi perasaan saya agak merundum hampir kepada rendah diri bila membaca novel saudara Faisal Tehrani. Betapa taraf saya sangat jauh daripada beliau.

al_jantanie
manhumi_ilm

ps: pendek je. Nak balik ke rumah.

Friday, February 25, 2005

Selamat Hari Lahir

Selamat Hari Lahir.

Selamat hari lahir buat saya. Kalau tiada orang ucapkan pun umur saya tetap meningkat seperti biasa. Walaupun kita rasa seronok apabila ada yang ucap selamat, bukan itu bermakna lupa bahawa umur juga semakin singkat.

Peristiwa menyambut hari lahir mengingatkan saya banyak perkara ( sebenarnya tiada sambutan pun ) Pertama, hadiah dan pemberian. Ingat kecil-kecil dahulu, semangat menyambut hari lahir sesama adik beradik sangat meriah, hebat, walaupun dengan hadiah yang kecil. Masa itu, masing-masing akan memberi hadiah, tak gula-gula, pen atau apa juga, tanda peringatan sebuah hari yang bersejarah. Itulah namanya penghargaan.

Kedua, lafaz dan sebutan. Adat dan kelaziman, kita orang-orang Melayu selalu sebut : Selamat Hari Jadi. Cikgu saya kata, bukan selamat hari jadi, kerana kita dijadikan lebih awal daripada itu. Hari itu adalah hari lahir dan bukannya hari jadi. Lumati firman Tuhan Surah An-Nahlu ayat 4 – mafhumnya : Dia ( Allah ) ciptakan manusia daripada air mani...

Kalau hendak dikatakan jadi, maka hari dijadikan air mani itulah hari kita mula dijadikan.

Ketiga, isi borang bait muslim. Bukan bermakna saya akan berkahwin esok, lusa, tulat mahupun langkat dan sebagainya, tentu saya akan kata, “Allah Maha Mengetahui”, “Belum ada calon lagi” , “ Cari azhariyah kot” – tetapi yang lebih penting daripada itu, kita perlu mengetahui, perkahwinan adalah untuk menunaikan syariat, bukan untuk melangsaikan cinta. Berkahwin bukan kerana “ Saya sudah tua” tetapi berkahwin kerana sudah sampai hukumnya kita “ wajib berkahwin” atau sekurang-kurangnya “ sunat berkahwin”.

Silap masyarakat kita, lupa bahawa kahwin juga ada hukum. Kalau hukum bagi seseorang itu sudah sampai tahap wajib, tidak kira walau umur masih muda, walau masih berhingus, hukum yang wajib tetap wajib. Kalau seseorang umur sudah lanjut melampaui tujuh puluh sekalipun, kalau hukum baginya makruh, adalah baik dia tidak kahwin.

Ps: ada dengus-dengus kata : Kalau pasal kahwin, hujah campur dalil meluru keluar. Cuba buka bab lain, kenapa diam je?

al_jantanie
manhumi_ilm

ps no.2: perempuan pun perlu terima, bahawa sesungguhnya Islam mengharuskan poligami dan ia termaktub dalam al-Quran. Berdosa menafikannya. Terimalah bahawa ia satu hukum daripada Tuhan. Anda patuh pada Tuhan, bukan?

Sunday, February 20, 2005

Kunci masjid – 20 Februari 2005

Kunci masjid – 20 Februari 2005

Saya menunggu makanan di Rumah Kelantan ( sempena Bazar ) ketika azan isyak melaung menanda waktu sembahyang sudah masuk. Masih lagi menunggu makanan. Setelah makanan tiba dan semua selesai makan, saya ke masjid Musa melangsai kewajipan. Anda tahu, apa yang berlaku? Saya dilarang masuk kerana waktu itu sudah agak lewat dan masjid mahu dikunci. Kecewa dan saya meneruskan perjalanan ke rumah sahabat malam itu. Rumah sahabat di hadapan Markaz Hewi PMRAM, rumah Saudara Ubaidillah. Sekali lagi, saya pulang hampa, beliau tiada di rumah. “ Balik solat di rumah je.” Saya berbisik sendirian.

Peristiwa dilarang solat kerana masjid hendak dikunci mengingatkan saya ketika saya dan rombongan tingkatan empat masa itu menuju ke Kuala Lumpur. Tiba di salah sebuah masjid di waktu pagi yang dingin, dalam keadaan tentunya tidur dalam bas yang kurang enak dengan sedikit lenguh bahagian belakang badan, tentunya sesiapapun akan bercadang ingin melepaskan lenguh dengan mengeliat sebentar di atas karpet masjid ( bukan maksud hendak tidur – kecuali tertidur ) Anda tahu? Pagar berkunci simbol larangan masuk sebelum azan tiba. Masing-masing menyeka air liur basi atau melorek pipi pada rembesan yang sudah kering. “Bila hendak gosok gigi?”

Secara bergurau pastinya membuat lelucon sambil berdoa moga gurauan ini tidak menjadi kenyataan – Nasib baik hanya berkunci. Kalau hendak masuk pun kena bayar, wal’iyazubillah, minta perlindungan Allah moga dijauhkan.

Namun saya faham, perintah mengunci masjid adalah bagi mengelakkan tetamu yang tidur waktu malam mengotorkan masjid atau mencemarkannya. Tetapi alangkah baik kalau ia tidak dikunci. ‘Rumah Allah’ kan untuk semua hambanya.

Ps: sekadar pandangan

al_jantanie
manhumi_ilm

Thursday, February 17, 2005

Ombak Sfera Lotus – 17 Februari 2005

Ombak Sfera Lotus – 17 februari 2005

Pemenang Ketiga Hadiah Sastera Kumpulan Utusan Tahun 2003 ini ( kalau tidak silap saya ) memilih tema kemanusiaan dengan latar tahun 2100. Siti Jasmina Ibrahim, membawa penceritaan dengan tempo yang agak perlahan dalam kadar yang agak panjang, menjejak 11 bab, sebelum melajukan sedikit tempo beliau bermula bab 12. Pada saya, penulis ini telah sedaya upaya menggambarkan suasana masa depan yang pada beliau telah kehilangan nilai-nilai ukhuwwah ( dalam perkataan yang lebih sesuai ), memperlihat kepada khalayak pembaca sikap manusia yang lebih mementingkan diri.

Kelihatan sedikit ransangan digunakan walaupun berjaya menimbulkan suspens pada bab 11/12. Apa yang nyata, penulis telah merancang dengan seberapa teliti beberapa persediaan yang kabur dalam ceritanya dengan sengaja dengan motif mahu menjelaskan di penghujung cerita. Saya kira, penambahan suspens mahupun ransangan ( sekiranya dibuat ) mungkin dapat merancakkan tempo yang agak perlahan ini. Ataupun tempo perlahan dipilih demi memadankan dengan suasana latar masa depan.

Penggunaan perkataan dalam novel beliau secara fizikalnya dapat membayangkan secara agak lengkap ( bagi saya ) ketamadunan ketika itu. Namun beberapa persoalan yang ditimbulkan masih boleh menjadi bahan nilaian. Contohnya, perbezaan kuasa antara ‘kuasa besar’ dan ‘pemerintah’ pada mulanya menggambarkan kuasa pemerintah adalah kurang daripada kuasa besar tersebut, di mana kuasa besar itu adalah berada di luar kepompong pentadbiran, dan pemerintah berada di dalamnya. Pemerintah dapat melaksanakan pentadbiran dan mewujudkan ( sfera lotus ) tetapi ada masanya akan diganggu gugat oleh kuasa besar itu.

Di pengakhiran cerita pula menjelaskan sebaliknya. Kuasa besar itu sebenarnya mempunyai nilaian kuasa kurang daripada pemerintah, namun disebabkan sumbangannya dalam pembiayaan sfera lotus, ia mampu mempengaruhi beberapa keputusan dalam pentadbiran tersebut. Sfera Lotus sebagai suatu pusat yang menjadi tumpuan dalam novel ini menjadikan ‘Ombak’ watak utama yang menjayakan cerita. Namun, tahniah diucapkan kepada penulis kerana berjaya membuat garapan cerita yang amat baik – pastinya membenih keinginan di dalam hati saya mahu juga menceburi bidang penulisan novel ini.

Ps: ayat saya kali ini semacam tidak lancar pula. Maaf sekiranya komentar tidak menepati keadaan sebenar.

al_jantanie
manhumi_ilm

Wednesday, February 16, 2005

16 Februari 2005

16 februari 2005

Sekarang, kerja sudah banyak yang selesai. Lega. Masa untuk memberi tumpuan yang lebih kepada pelajaran. Entah berapa lama saya sudah tidak melunasinya. Entah berapa lama sudah tidak bermain dengan bahasa Arab. Zuk Arabi adalah kemuncak keterasaan itu. Bukan semua orang boleh memilikinya. Dan saya juga masih rasanya terlalu jauh dari kemahiran itu. Anda tahu, zuk itulah yang membezakan antara seorang a’jamie dengan seorang arabie. Membezakan sama ada anda seorang asing dalam bahasa itu, atau andalah penutur sebenar.

Perasaan ini bukan ditimba daripada melembut-lembutkan lidah, atau menebal-nebalkan bunyi kerongkong, tetapi satu perasaan dari jiwa yang merasa dengan rasa seorang arab. Anda tidak memahaminya, bukan? Biar saya terangkan dengan perkataan yang lebih mudah. Zuk adalah instiusi. Perasaan. Kesedaran. Telepati, atau apa-apa perkataan yang lebih tepat. Ialah yang membezakan antara seorang pakar dengan seorang biasa.

Zuk akan didapati dengan sangat banyak membaca, memperbanyak menterjemah, dan jangan lupa banyak merasainya. Hanya hati yang terbuka.

al_jantanie
manhumi_ilm

Thursday, February 10, 2005

10 Feb

10 feb.

Saya ambil barang semalam. 3 cd dan 2 kilo ikan bilis ( saya agak ) juga beberapa buku. Terima kasih daun keladi. Tetapi kasihan juga bila lihat Fairuz yang penat keletihan, katanya baru baik demam.

Saya ambil lewat barang-barang itu. Fairuz tiba 7 haribulan, dan saya ambil malam 9 haribulan. Apalagi, tonton 3 cd malam tu juga. Penat-penat. Tetapi dalam syukur.

Saya masih dalam kesibukan. Mahu habiskan segalanya secepat mungkin. Bila disenaraikan ada 26 tugas belum selesai. Termasuk tugasan peribadi. Pasti, kalau tidak disenaraikan, mudah benar terlupa. Itu yang menyebabkan baju di mesin basuh dicuci 3 kali, sekali kerana ia basuhan pertama, kali kedua dan ketiga pula ulang cucian dek baju sudah berbau – lama berkubang dalam baldi tidak sempat dibilas. Atau empat kali sebenarnya, kerana tidak sempat dijemur walau sudah dibilas.

Nak buat macam mana, berkejar ke hulu, berlompat ke muara, nak buat itu dahulu, tapi yang ini hendak sekarang pula.

Doakan saya, moga malaikat mendoakan kalian pula.

al_jantanie
manhumi_ilm

Wednesday, February 09, 2005

9 hb Feb

9 hb feb

Sungguh saya berkejar-kejaran dalam masa yang benar-benar pendek. Tetapi hakikat apabila lapang, saya termanggu memikirkan kerja seterusnya. ( Renungi firman Tuhan dari surah al-Insyirah ayat 7 dan 8 : Maka apabila kamu telah lapang ( dari sebarang pekerjaan,) maka bersungguh-sungguhlah ( kepada pekerjaan yang lain ). Dan kepada Tuhanmu kamu berharaplah.)

6 februari yang lepas saya bermesyuarat berkenaan kedatangan MB, dan mesyuarat tamat beberapa ketika setelah zuhor. Saya siapkan iklan petang itu, dan cop PMRAM hingga jejak maghrib. Malam siap sedia ke muhafazah – keliling hantar iklan, bermula daripada tanta pada pagi 7 haribulan, terus ke damanhur dan bermalam di sana, bertolak ke mansurah melalui tanta pagi 8 haribulan, menuju ke zaqaziq dan tiba maghribnya, sebelum tiba agak lewat malam ( pukul 10 ) di syubra. Saya pulang ke kaherah kira-kira tengahari 9 haribulan.

Belum campur hantar sukej untuk dijilidkan pagi 3 haribulan dulu, dan petangnya hadiri yasinan di abidin. Malam baru balik. Seronok bergaul bersama letih. Saya tahu Fairuz sudah pulang, dan saya menanti bila mahu mengambil barang kiriman keluarga.

al_jantanie
manhumi_ilm

Wednesday, February 02, 2005

Taajjul dan Taannie

2 feb – Taajjul dan Taannie

Saya berhempas pulas serasa saya menjejak master sukej sejak keluaran pertama hingga keluaran terkini 104. Anda tentu boleh bayangkan, buku dan hasil kerja pertama yang saya jumpa disusun memenuhi hampir seluruh kawasan bilik study. Tidak cukup, dan beralih pula ke atas meja. Sendat dalam sesak. Daripada selepas maghrib ( sekitar jam 6.00 malam ) hingga beberapa jam setelah isya’ ( jam 10.00 ) – saya menggeledah kotak dan plastik demi menemukan apa yang saya cari. Penat? 4 jam dan anda boleh bayangkan keadaannya.

“Dalam ketenangan ( tidak gopoh ) ada keselamatan, dan dalam kegopohan ada penyesalan” – perumpamaan Arab.

Saya sebenarnya dalam proses mentajlidkan sukej – menerbitkan edisi 70 – edisi 80 – edisi 90. Kerja sebelum ini ( susun semula Sukej dalam susun atur nombor ) berjaya menjejak semua keluaran dari 70 hingga 99, kecuali terputus di beberapa siri penting ( 73, 85, dan 90 ) Izin tuhan, saya berjaya juga mencarinya. Mungkin kerana hasilan itu, saya berusaha pula menjejak keluaran-keluaran lain, bermula dari keluaran 1, hingga kepada 69.

Usaha itu menghasilkan satu natijah. Semua keluaran dapat dikesan, kecuali 15, 16, 17, 27, 30, 31, 33, 64 dan 67. ( Ramai yang kata : Tak banyak Sukej yang hilang ) Gembira? Saya akui ia dalam kepuasan. Asyik dalam pencarian itu, teringat kerja yang tertunda – membuat salinan kepada keluaran 73, 85 dan 90. Jam 10.00 malam tepat, dengan LE 100 di tangan, saya dan payapi @ hanafiah ke kedai fotostat.

“Siapa yang bertenang, dia akan mencapai apa yang dicitanya” – perumpamaan Arab.

Saya dalam kegopohan itu ( almaklumlah malam, takut kedai tutup @ hendak tajlid keesokan paginya atau petangnya @ cadang hendak jual Sukej berjilid semasa kedatangan YAB MB Johor @ menyedari Arab buat kerja lambat & perkara ini tak boleh dilengahi ) melangkah tanpa fikir lagi ke maktabah Samir – mahu fotostat segera, secepat mungkin ( ala…kedai depan ni je…) walaupun kedai itu bukanlah kedai terbaik yang saya boleh dapatkan. Saya sedari semua itu, tetapi saya kurang mengendahkan.

Saya ( mungkin dalam kepenatan menyelesaikan kerja penyusunan sendirian ) sedikit celaru malam itu. Sefikir saya, fotostat di situ terang ( masih boleh mencapai tahap puas hati). Tetapi rencah dan gaya Arab buat kerja – Sukej 73, 85 dan 90 di fotostat besar berdasarkan saiz A4 ( mungkin 120% atau 130%) – tentunya tanpa memaklumkan kepada saya terlebih dahulu. Anda tahu? Setelah segalanya selesai, barulah saya tahu – terlajak perahu boleh diundur, tetapi terlajak fotostat perlu kepada bayaran tambahan!

Sesungguhnya ketenangan itu daripada Allah, dan gopoh-gapah itu daripada syaitan.

Akhirnya saya pulang dengan langkah yang longlai juga beserta sejuta pengajaran.

al_jantanie
manhumi_ilm

ps: Fairuz, cepat balik!!!.

Tuesday, February 01, 2005

Catatan 1 Februari

Catatan 1 Februari 2005

Madinat Nasr sejak lima hari kebelakangan ini menghadapi kekurangan air. Dan saya bersama rakan-rakan turut terkesan dengan masalah ini. Hinggakan pada satu pagi, saya berhajat membuang air besar dalam pada ketika itu air simpanan ( sudah tentunya walaupun banyak ) harus digunakan berdikit-dikit. Duduk bertinggung menyempurnakan hajat, membuatkan saya terkenang anak-anak murid ( walaupun sebenarnya tak elok termenung sambil buang air ) ketika mengajar satu ketika dulu. Mengajar tajuk istinjak dan menanyakan persoalan : Bagaimanakah cara istinjak terbaik yang diajarkan oleh Islam?

Salah seorang daripada mereka yang saya kira pandai menjawab : Dengan air, cikgu! Saya kata : Salah. Sunyi seketika. Mungkin kesunyian itu menyebabkan salah seorang yang merasakan dirinya punya jawapan yang betul bangun dan berkata : Gunakan batu, cikgu! Saya sambil senyum berkata : Salah juga. Seronok juga tengok anak-anak murid mencuba dan dengan sambil senyum-senyum kambing terhibur kerana berjaya memeningkan mereka. Sungguh, saya tidak tipu, saya hampir-hampir memberikan jawapan kepada mereka, tetapi kelas jadi bising dan saya pun naik angin.

Anda tentu boleh agak apa yang saya ucapkan setelah itu – “ Awak bising, saya tak nak bagi jawapannya. Carilah sendiri. Besok, satu ketika awak ditanya soalan yang sama, awak akan teringat bahawa saya pernah tanya awak soalan ini. Dan awak akan menyesal : Kenapalah aku bising hari tu.”

al_jantanie
manhumi_ilm