Friday, July 22, 2005

Lakaran Sahrawi

Lakaran Sahrawi

Kritikan saya dikritik. Ia perkara biasa, tetapi ia agak membikin gentar dan sedikit hati-hati apabila saya menulis kali ini. Kenapa? Kerana saya akan mengkritik lagi.

Kali ini adalah novel pertama karya mahasiswi al-azhar (saya rasa) kerana sepanjang yang saya tahu, belum ada novel lain sebelum itu. Sebelum saya mengkritik alias mengulas, saya mahu jelaskan dua perkara. Saya bukan seorang yang pakar dalam penulisan, bahkan kalau saya bilang – saya tidak pernah mempelajari sastera kecuali di sini, di Mesir ini, dari beberapa orang yang juga mahasiswa al-azhar seperti saya juga. Barangkali anda boleh kata, tahap pengetahuan sastera saya lemah dan juga boleh diragui.

Kedua, saya mengulas kerana saya sendiri mahu, dan bukan kerana disuruh atau dipaksa. Itu tandanya saya ada membaca walaupun sedikit. Itu tandanya saya ada berfikir, walaupun sejenak. Bagi saya, penulis itu pemikir.

Biar saya mulakan tanpa tangguh.

Ia satu bahan bacaan yang mempunyai struktur bahasa yang baik. Saya boleh kata, ia ada tema, dan menjelaskan tema dengan persoalan yang digabungjalin dengan konsep kesan dan akibat. Ia satu novel cinta, tetapi menjelaskan konsep cinta dari perspektif lain iaitu perjuangan.

Di mana kekurangannya?

Terlalu mudah membikin plot, hingga menjadi terlalu banyak plot. Malangnya, banyak plot dibina dalam satu bab, semacam mahu melompat dari satu plot ke satu plot dengan sesuka hati. Bahkan; melompat dari satu plot ke satu plot yang lain dalam satu muka! Bolahkah begitu?

Kelemahan kedua, terlalu banyak kalimah gharib bagi orang Melayu walaupun ia lazim bagi pelajar agama. Ia tidak bermasalah sekiranya glosari menjelas kekaburan yang berlaku. Tetapi tiada bagi kebanyakan kalimah.

Di akhir bab 3, apabila penulis menjelaskan satu istilah bagi lelaki dan perempuan (ustaz dan ustazah) dalam dialog, ia satu kaedah yang mengesankan. Tetapi, penulis nampak tidak berhati-hati apabila dalam bab-bab berikutnya, (semacam terlalu gopoh mahu menyiapkan hingga ) terlalu banyak istilah yang seakan ‘hanya dapat difahami’ oleh orang yang berada di Mesir sahaja. Saya mesti kata, ia satu kekaburan yang menyusahkan pembaca dan pembacaan.

IMAM dalam cerita ini adalah satu ringkasan kepada satu nama persatuan, namun sepanjang pembacaan penulis tidak menerangkan apa maksud IMAM dengan jelas, melainkan pembaca yang prihatin akan nampak maksudnya.

Ada persoalan yang tidak diselesaikan oleh penulis. Antaranya, Iskandar yang tercabar untuk menyelamatkan Izzati ditumbuk, kemudian mereka dijangka naik ke mahkamah (berdasarkan kata-kata cikgu Zahar mahu meminta bantuan peguam). Tetapi, ia dibiarkan tergantung kerana setelah peristiwa tumbuk menumbuk itu berlaku, Alisa masuk hospital dan akhirnya meninggal dunia. Jadi, apa akan berlaku dengan kes Izzati?

Tidak salah meninggalkan cerita demi membuatkan pembaca berfikir, tetapi jangan tergantung. Maksud saya, letakkan sesuatu ayat atau petunjuk bahawa peristiwa itu sebenar-benar akan berlaku walaupun tanpa tulisan penulis. Seperti ayat - Tiba-tiba telefon berdering. Peguam di hujung talian. Iskandar menarik nafas berat. TAMAT.

Tetapi, apabila orang yang mengancam dinyatakan secara sambil lewa dan tidak ditegaskan, ia semacam konflik yang tidak perlu dinyatakan.

Namun, ia satu kupasan berani terhadap isu cinta. Apa yang lebih membanggakan bagi saya, ia sama sekali berlainan dengan novel cinta tanahair kerana penulis mempraktikkan sebaiknya ilmu bantu berkenaan hubungan sesama lelaki perempuan. Atau dalam bahasa mudahnya, memasukkan ilmu bantu ‘ikhtilat’ dan pandangan Islam. Novel cinta tanahair kebanyakkannya diracuni pandangan silap tentang cinta ‘pegang tangan’ dan ‘keluar dating’ padahal watak tersebut bukannya watak bukan Islam. Ia marabahaya dan sekiranya dicontohi pembaca yang ‘baru hendak belajar bercinta’, kita akan lihat generasi yang dirosakkkan oleh bahan bacaan seperti ini.

Walaupun seawal penerbitannya dahulu ia dikecam kerana membawa cerita cinta sepenuhnya, tetapi bagi saya ia masih bermanfaat. Demi memberitahu bahawa pegang tangan itu salah, dan keluar ‘dating’ itu jahil agama. Barangkali ia dikecam kerana ia serentak keluar bersama novel Maria (novel terjemahan ke Bahasa Melayu) yang menceritakan isu cinta dalam jihad agama. Barangkali kalau kita bandingkan keduanya ia jauh bagaikan langit dengan gunung. Kerana Maria memasukkan ilmu bantu yang jauh lebih berkesan, iaitu perjuangan memeluk agama Islam dalam konflik keluarga bukan Islam.

Novel Lakaran Sahrawi memilih untuk ditamatkan dalam tragedi seperti kebanyakan novel cinta yang lain, yang akhirnya memberi kesan kesedihan yang berlanjutan beberapa ketika walaupun setelah tamat pembacaan. Tahniah, senior!

al_jantanie
manhumi_ilm

4 comments:

masya_1409 said...

salam.

kritikan yang membina tidak mengapa.lagipun kalau semua org suka pada benda yang sama susahlah kan...

oh yer. boleh saya tau mcm mana nk cari buku lakaran sahrawi ni..saya penah baca dulu tp bukan milik saya. teringin nak beli untuk dijadikan koleksi.

Qaseh Rumaisha,
Bradford, UK
masya_haida@yahoo.com
YM:masya_1409@yahoo.com

MZP said...

saya tak perasan komen ini. Sudah lamakah?

Qaseh, setahu saya, novel itu sudah terlalu lama, saya ragu-ragu kalau masih ada.

Kalau ada saya maklumkan, insya-Allah.

Unknown said...

Ms sy bc novel ni ketika tingkatn 2... Siapa ada novel ni mohon share.. Jln ceritanya smpai skrg sy igt lg..n sgt menarik pd sy

Anonymous said...

Sy nak beli novel ni