Tuesday, July 05, 2005

Terima Kasih Kak Nisah

Saya telah ditanyakan beberapa soalan oleh seorang teman penulis muda. Saya kira, jawapan saya ini agak bermanfaat untuk dikongsi bersama-sama dengan pembaca yang lain. Harap pada pihak yang bertanya itu tidak keberatan dengan tindakan saya ini :

1. Kalau cerpen satu plot, dan novel pula banyak plot. Cadangkan saya berapa plot yang sesuai untuk saya mulakan penulisan novel.

Plot sesebuah cerpen bergantung kepada cerita yang hendak disampaikan. Seperti mana yang kita tahu, plot ialah rentetan peristiwa yang timbul kesan daripada sebab & akibat. Siri sebab dan akibat yang dikumpulkan dalam sesebuah cerita akan menjadi plot. Bilangan plot juga bergantung kepada panjang pendek sesebuah cerpen. Barangkali, jawapan yang agak sesuai tentang bilangan plot ialah sekitar 4 - 6 plot. Itu tidak bermakna, bilangan plot yang kurang atau lebih tidak sesuai dalam cerpen.

2. Saya selalu keliru, dan akhirnya menemui jawapan tentang muka surat yang dianggap seseuai untuk sebuah cerpen. Bagi media perdana, saya merasakan 4 muka word dengan font 12, single space sudah memadai dan dianggap banyak. Bagaimana dengan satu plot bagi novel. Adakah 4 muka juga?

Apabila menghantar manuskrip cerpen, biasakan mengirim dengan jarak menaip langkau 2 baris (double spacing). Usah sakitkan mata editor dengan single spacing. Jawapan sdr benar, cerpen ditulis biasanya lebih kurang 4 halaman (single spacing) ataupun 8 - 10 halaman (double spacing). Kalau guna jenis tulisan Times New Roman, pakai font 12. (Tulisan Arial - 11).

Mungkin maksud soalan sdr itu bukanlah "satu plot bagi novel", tetapi berapa panjang satu bab novel.Satu bab novel juga tiada ketetapan khusus. Ia bergantung sama ada novel itu novel kanak-kanak, novel remaja ataupun novel dewasa. Fikirkan keselesaan pembaca ketika memecahkan bab novel. Bagi saya sekitar 8 - 15 halaman sudah dikira sesuai. Ia tidak semestinya konsisten dalam setiap bab. Ertinya, kalau bab pertama 10 halaman, tidak semestinya bab kedua 10 halaman juga. Ia mungkin 15 ataupun 8 halaman sahaja.Dalam novel, kita lebih bebas berkarya dan tidak ada banyak sekatan (dalam hal bab ataupun plot) penulisan.

3. Setiap cerpen perlu kepada pemulaan, rangsangan, klimaks dan peleraian. Adakah dalam setiap plot dalam novel perlu kepada setiap komponen tersebut?
Ya.

4. Boleh ceritakan sedikit pengalaman Kak Nisah? Apa yang saya baca mengenai Kak Nisah, Kak suka mengarang dahulu, kemudian di pertengahan barulah difikirkan kesudahan bagi cerita tersebut. Dalam kursus penulisan yang saya pernah sertai, mereka (moderator) menasihati agar merangka jalan cerita dan menyediakan peleraiannya. Pengalaman saya pula, hanya sekali atau dua kali sahaja cerpen saya dapat berjalan sebegitu, kebanyakan yang lainnya terpaksa di fikirkan di pertengahan cerita. Soalannya, bagaimana pula dengan novel? Adakah saya terpaksa melalui cara “merangka dahulu” atau “ terus tulis dan fikirkan penyelesaiannnya kemudian?”.

Rangka cuma garis panduan supaya kita tidak terlalu tersasar ketika menulis. Ya, saya juga merangka, tetapi tidaklah terlalu terperinci. Kebanyakan daripada rangka itu pula, tidak semestinya saya ikuti. Dalam banyak kes, rangka yang saya lakarkan itu tidak saya ikuti 100%, ia sekadar ingatan sahaja kepada saya.Hal ini terpulang kepada individu itu sendiri, ada yang gemar merangka terlebih dahulu sebelum menulis. Ada yang tidak gemar terikat dengan panduan-panduan begini.Kadang-kadang, sepatah perkataan yang diucapkan oleh seorang watak boleh mengubah keseluruhan plot yang telah dirancang terlebih awal.

5.Nasihat untuk saya. Saya kira tentu ada pandangan peribadi yang boleh dikongsikan.

Cadangan saya begini : lakar dahulu, jika itu lebih selesa. Tetapi tulislah sebebasnya semasa menulis draf pertama. Kemudian, semasa self-editing baru semak semula. Seorang penulis perlu banyak membaca bahan yang berkualiti. Kalau banyak membaca bahan yang kurang kualiti, tulisan yang lahir kurang kualiti juga.

Analoginya : jika mahu memerah jus epal, tentulah kita dapatkan epal-epal yang segar dan berkualiti tinggi. Barulah jus epal itu sedap dan enak. Kalau epal itu busuk, tentulah hasilnya tidak seperti yang diharapkan.Jika idea terkepung ataupun mengalama mental block, gunakan masa yang terluang (kerana tidak dapat menulis) itu dengan membaca ataupun menambah info tentang perkara yang ingin kita tulis. Sama ada tulisan yang sedang diusahakan ataupun tulisan yang lain.Juga banyakkan latihan menulis, supaya idea mudah lahir melalui ekspresi yang telah biasa dilatih oleh hati, akal dan jari-jemari.

6.Yang lebih penting lagi, bilangan perkataan. Saya mendapat tahu, sebuah novel perlu mencapai 40 000 perkataan, baru dikira novel. Sekiranya tidak, maka ia sekadar novellet atau novellia? Saya tak pasti. HSU mewajibkan novel? Atau membenarkan novellet dan novellia?
Ikut pengalaman Kak Nisah, kalau 40 000 perkataan itu dalam berapa muka word, sekiranya saya menaip dengan font 12 dan single space? Saya rasa penting juga mengetahui berdasarkan pengalaman, kerana dialog banyak memakan space dan menyebabkan jumlah perkataan berkurangan.

Hmmm... saya tak pandai mengira patah perkataan. Memanglah komputer pun boleh tolong kira, tetapi saya jarang gunakan. Saya cuma tahu begini : untuk novel Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (novel remaja), ia tidak boleh kurang daripada 150 halaman. Taip gunakan DOUBLE SPACING, font 12 TNRoman (11- Arial). Tiada had maksimum asalkan dirasakan sesuai untuk bacaan remaja.Manuskrip Mencari Locus Standi, siap dengan jumlah lebih kurang 250 halaman. Itu belum diedit oleh editor. Bila diedit, dipotong, ditambah sana sini, ia jadi seperti halaman yang ada.

7. Sungguh-sungguh, saya tidak pernah baca novel Kak Nisah, Insya Allah sedikit masa lagi (sedang berkirim kawan). Cuma pernah terbaca satu ketika dahulu mengenai Annyss Sophilea, kalau tidak silap. Apa yang saya hendak tahu, bagaimana Kak merangka novel Mencari Locus Standi, boleh cerita sedikit. Mungkin ada baik untuk saya.

Saya rangka watak-watak dan perwatakan mereka. Dapatkan nama watak dan bina sikapnya. Sikap watak akan menentukan cara watak bertindak apabila didatangkan sesuatu masalah. Seperti biasanya, tanpa nama yang sesuai saya tak boleh menulis.

Kemudian rangka kasar tentang plot 10 bab pertama. Kemudian menulis. Sambil menulis, saya akan catatkan bagaimana 10 bab seterusnya harus berkisar, bergerak. Saya catatkan juga bagaiman cadangan-cadangan plot yang akan datang.

Selebihnya, menulis dan terus menulis sehingga terhasilnya draf pertama. Kemudian baru buat self editing. Itupun selepas otak dan manuskrip direhatkan untuk suatu tempoh yang sesuai - mungkin seminggu ataupun dua minggu.

Saya bukanlah penulis yang banyak masa untuk menumpukan proses penulisan saya dalam satu hari - misalnya 4 - 5 jam tanpa henti. Saya penulis yang punya fragmented concentration. Saya akan tulis bila saya ada masa - tidak diganggu oleh sesiapa. Itu agak mustahil bagi saya yang ada keluarga dan komitmen lain ini. Waktu untuk 'benar-benar tidak diganggu' itu hampir tiada. Saya perlu belajar untuk menulis hatta dalam suasana yang bingit sekalipun. Jadi saya menulis sedikit-sedikit. Mungkin 2 halaman sehari ataupun mungkin juga satu bab satu malam. Saya tidak konsisten ketika menulis. Saya sentiasa mencari dan mencuri masa untuk menulis.

8. Apa beza novel remaja dan novel dewasa?

Audiens pembacanya.Panjang pendek novel.Diksi yang digunakan.Falsafah dan idea yang hendak disampaikan.Cara menyampaikan sesuatu idea.

****************
Nah hendaknya terjawablah beberapa persoalan. Kalau ada teman penulis yang ingin berkongsi pendapat, silakan. Salina, Zaid, Faisal dsb. mungkin ada yang nak ditambah. Ilmu yang dikongsi tidak akan susut.
Wallahu'alam.

2 comments:

MZP said...

Saya terlupa mahu catat.

Saya memetik tulisan ini dari blog Kak Nisah di annyss.blogspot.com sebagai tanda penghargaan kepada beliau.

Terima kasih, cikgu...

jejaka anggun said...

thx for the info...
saya juga penulis baru yang baru ingin menerbitkan karya.....