Wednesday, August 30, 2006

2 Tahun Di Jurnal Ini

Barangkali, dua tahun adalah angka yang kecil bagi sesiapa sahaja. Tetapi dua tahun membangunkan blog bagi saya adalah amat manis kerana melalui pelbagai liku. Blog atau jurnal, dan penulisnya dipanggil blogger atau jurnalis, adalah saya dan jurnal ini. 2 tahun. Sejak 30 Ogos 2004.

Biar saya menulis dengan santai.

Saya tidak pernah menganggap blog semata-mata suratkhabar, sehingga isinya perlu ditatap setiap hari, bahkan bukan juga semata-mata buku ilmiah hingga isinya dijadikan bahan perbincangan, dan bukan juga semata-mata diari hingga boleh bertukar-tukar rahsia hati. Ia kompleks, ia gabungan bermacam-macam rasa, fikir, ide, tajuk, bahan, isi, isu, dan menjelma perlahan-lahan menonjolkan identiti kepengarangan individu.

Membina blog ketika di zaman saya itu, adalah sangat sukar, kerana tiada sesiapa yang datang mengajar, menunjuk, memandu. Bahkan, yang memiliki blog boleh dikira. Blog waktu itu tidak seperti sekarang, sudah banyak, berlambak-lambak; tidak popular seperti kini, dan semua itu mengajarkan saya sesuatu, waktu itu - bahawa jalan ini sangat sepi.

Waktu itu, kalau menziarah blog saya, ia tidak ada gambar, semata-mata tulisan, tidak ada bunyi atau lagu, tidak ada link, tidak ada shoutbox, tidak ada pengira pengunjung, tidak ada apa-apa melainkan bahagian utama yang berisi tulisan memanjang ke bawah. Ia tidak cantik. Kerana saya tahu, saya jahil, dan saya tak mampu menyoleknya.

Waktu itu, siapa pembaca saya, pasti imma bosan, atau sebenarnya tidak ada langsung. Kerana itu saya bertekad - biarlah tidak cantik dan kosong semata, tetapi isinya mampu menarik orang membaca, datang dan datang lagi. Isi. Itulah target saya, sebagai ganti kejahilan. Pun begitu, saya yang cuma jurnalis muda waktu itu, menulis entah apa-apa.

Saya tidak pernah berkata - kalau mahu menjadi penulis, binalah blog. Adakah anda sudah benar-benar jadi penulis dengan hanya punyai blog? Saya cuma pernah kata - binalah blog, supaya bahasa kita menjadi lancar, dan esok lusa kalau-kalau mahu menulis buku, masalah bukan lagi pada bahasa. Tulat langkat, kalau-kalau mahu menulis novel cerpen, masalah bukan lagi pada bahasa. Dan waktu itu, cuma perlu mengumpul isi, menghadap komputer, dan mula menulis tanpa perlu berhenti henti mencari perkataan yang sesuai, ayat yang sesuai, uslub yang sesuai, tanda baca yang sesuai, nama yang sesuai....

Dan itulah jalan hidup blog saya. Lancarkan bahasa.

Ada orang menggelar saya penulis, dan ada yang menggelar saya jurnalis. Sebenarnya, adakah mereka faham benar-benar, apa itu penulis, apa itu jurnalis, dan, benarkan apa yang mereka gelar?

Pun begitu, macam-macam perkara telah masuk dan menjadi cerita dalam blog ini. Dari perbincangan ilmiah, masuk kepada perdebatan hujah, beralih kepada sastera dan kritikan, bercampur ide dan pendapat, bergaul dengan hati dan perasaan, suka dan benci, hingga sampai kepada mempamerkan dari satu minat kepada satu minat saya yang lain - motivasi, psikologi, sastera, kritikan, matematik, bahasa, logikal, design, komputer, teknologi, dan lain-lain. Masih, ia adalah blog saya.

Namun, ada juga yang kurang senang saya menulis. Dengan beberapa sebab. Tetapi, kedegilan, saya, niat, dan diri, sudah sebati, dan perlahan-lahan, menampakkan identiti saya yang sebenarnya.

2 tahun. Saya akan katakan - anda tidak mampu mengenali orang hanya dengan membaca tulisannya. Anda masih sangat jauh dari memahami.

2 tahun. Bermula tanpa menentukan mana satu langkah yang pertama, kerana kita juga tidak tahu mana satu langkah yang terakhir. Tapi, saya bangga, saya juga punya blog.

Monday, August 28, 2006

Surat Pendek Untuk Ibu

Ibu. Ilmu itu adalah tiga. Faham, hafal dan guna. Tidak kira mana dulu, tetapi mesti ada tiga. Boleh saja hafal dulu baru faham, atau guna dulu baru hafal. Faham itu ada banyak jalan, dan yang aslam (paling selamat) adalah berguru.

Ibu tahu? Anak Ibu lemah hafalannya. Mengingat suatu hattakan nama orang perlu sampai selalu nampak, baru boleh ingat, itu pun senang lupa. Kerana itu anak Ibu selalu mengganti kelemahan hafalan dengan zauknya. Tetapi, itu pun kadang-kadang tak tepat sasaran juga.

Kerana hafalan lemah, maka kemampuan mengguna semakin terbatas. Maka, dua asas penting dalam penguasaan ilmu sudah cacat. Bergantung kepada semata-mata faham, agak kurang kuat teguhnya.

Doalah, dikuatkan daya hafal, ditambahkan keinginan mengguna, dan dimudahkan faham. Dan yang paling penting, biarlah semuanya ikhlas bukan kerana dunia tapi kerana-Nya.

Tuesday, August 22, 2006

Long Panjang (Tangan)

Tanah Bapa sebelahan tanah Long Panjang. Tanah Bapa diceroboh Long Panjang sejak sebulan dulu, dan Bapa yang sebelum ini sudah masam muka dengan Long Panjang akhirnya mengamuk dan mereka bergaduh. Tanah Bapa tanam pisang. Long Panjang tanam ubi. Tanah Bapa satu ekar. Tanah Long Panjang dua ekar.

Long Panjang (baca: Panjang Tangan) masuk ke tanah Bapa, memancung batang-batang pisang dan menanam batang-batang Ubi. Bapa marah. Bapa cabut batang-batang Ubi, kemudian menangis dan pergaduhan terjadi.

Long Panjang belum puas. Dia tebang lagi batang-batang pisang Bapa, pacak ubi kayu. Dia sudah melebarkan tanahnya dari dua ekar menjadi dua ekar suku. Dia masuk dan bina pondok di tanah Bapa yang dia ceroboh itu. Siang malam dia jaga, malah bawa suku sakatnya sekali.

Bapa ajak kami pergi mencabut batang-batang ubi di tanah ceroboh, tapi kami enggan. Kami malas. Kami sebenarnya takut. Apa erti bergaduh? Apa erti melawan? Kita maaf memaafi sajalah.

Bapa marah. Bapa pergi lawan sendiri. Malam-malam, ketika awan tutup bulan, malam jadi gelita, Bapa menceroboh ke tanahnya sendiri. Cabut batang ubi yang Long Panjang cacak. Batang-batang ubi itu dibawanya pulang.

Esok Long Panjang mengamuk pula. Dibawanya konco-konconya berkumpul depan rumah Bapa, menjerit-jerit minta turun. Bapa yang cuma terpacul depan pintu menyergah lantang. Kami anak beranak diri dekat tangga, jangan bagi Bapa marah-marah, minta damai.

Long Panjang memaki Bapa kerana mencuri batang-batang ubinya. Bapa kata, itulah balasannya menceroboh tanah Bapa. Long Panjang berang, lalu memaki kami. Kami diherdik, dicaci kononnya kami anak bangsat dan bersekongkol dengan kerja jahat Bapa. Kami naik malu. Kami pujuk Bapa pulangkan batang-batang Ubi yang Bapa ambil.

Bapa enggan. Dia kata, dia bukan cabut batang-batang Ubi di tanah Long Panjang. Dia cabut batang-batang ubi yang dicacak di tanahnya sendiri.

Long Panjang jerit lagi. Curi tetap curi.

Kami mendongak Bapa. Minta Bapa pulangkan barang curi. Kalau tidak, kami panggil polis.

Bapa merahkan mukanya. Nafasnya jadi laju. Matanya bulat. Dia masuk ke dalam mengambil batang-batang ubi, dan melemparkannya pada Long Panjang. Dia mengherdik kami semua. Kalau kau tak mahu bantu aku, kau semua jangan susahkan aku, dan jangan bantu si tangan panjang celaka ini!

Kami bersurai.

Sunday, August 20, 2006

Menyokong Hizbullah, Dan Bukannya Menyokong Israel Mahupun Amerika

Penyelesaian bagi umat Islam dalam perjuangan melawan Israel dan Amerika adalah mudah, tetapi menjadi susah apabila ketua-ketua negara Islam Arab menjadikannya payah. Penyelesaian bagi hal ini sebenarnya tidak berhajat kepada fatwa Ulama yang mengaji usul Feqh, bahasa Arab dan segala jenis ilmu, tetapi memadai dengan kefahaman seorang pemimpin akan tugasnya sendiri.

Saya ringkaskan menjadi begini.

Kalau ada negara Islam yang harus dipertikaikan, maksud saya, tindakan mereka, pertama sekali adalah Arab Saudi. Inilah negara minyak Arab yang Islam yang bersekongkol dengan Amerika dalam penjualan minyak. Tujuan Afghanistan diserang bukanlah kerana semata-mata al-Qaeda tetapi kerana minyak. Kekuatan minyak adalah sangat kuat, hingga mempengaruhi harga sedunia, bahkan ekonomi.

Tetapi apa yang Arab Saudi buat? Mereka membantu dan mengukuhkan segala perbuatan Amerika dan Israel, menjual minyak kepada musuh Islam itu dan secara tidak langsung, memberikan kekuatan kepada musuh Allah demi melawan Islam.

Target dan sasaran saya adalah, betapa pemimpin negara Islam ini langsung tidak bertindak dengan tindakan yang sewajarnya.

Kerana itu, negara pertama yang harus dikutuk adalah Arab Saudi, dan bukannya Iran mahupun Lubnan.

Saya merasa pelik apabila ada juga pihak pelampau yang menyokong fatwa Arab Saudi yang pro Amerika dan Israel ini. Tetapi ia tidak menjadi pelik, sekiranya kita memahami, bahawa mereka menyokong Arab Saudi, dan Arab Saudi menyokong Amerika-Israel. Maksud saya, menyokong tindakan pemerintah Arab Saudi.

Bahkan, apa yang lebih kelakar, ada juga yang mengutuk Hizbullah dengan alasan Syiahnya. Apakah mereka, Wahabiah (Arab Saudi dan penyokong-penyokongnya) tidak merasakan bahawa mereka (wahabi) juga dikutuk orang zaman berzaman? Ini bukan masalah mengutuk atau dikutuk, tetapi masalah benar tidaknya mereka. Kalau mahu membangkitkan sejarah betapa zalimnya sebahagian Syiah pada zaman dahulu, mengapa tidak membangkitkan sekali betapa zalimnya wahabi pada zaman dahulu, hattakan ke zaman ini?

Kita lupa, bahawa tidak semua Syiah itu salah hingga menyebabkan mereka dipanggil kafir. Ada beberapa perkara yang membezakan Islam dan kafir. Contoh paling mudah, menyembah makhluk itu salah, dan kesalahan itu membawa kepada kekafiran. Manakala menjual minyak kepada musuh Islam itu juga salah, tetapi kesalahan itu tidak membawa kepada kekafiran. Kerana itu, istilah negara Islam yang bersekongkol dengan Amerika digunakan dalam tulisan ini.

Kalaupun pihak Wahabi ini mencerca Syiah dan melarang umat Islam membantunya atas alasan mereka (syiah) bukan lagi Islam, kenapa tidak melihat kembali kepada diri sendiri bahawa mereka (wahabi) juga dituduh sebagai telah terkeluar dari agama Islam? Kalau mengutuk Syiah atas mabadi mereka, mengapa tidak mengutuk mabadi sendiri, wahai Wahabi?

Kerana kita tidak menuduh semua Syiah itu kafir, kita juga tidak menuduh semua wahabi itu kafir. Menuduh kafir atau tidaknya perlu melihat isi kandungan akidah yang mereka pegang. Kerana itu, kalau sekarang kita merasa enggan membantu Hizbullah kerana Syiahnya, kita juga mesti merasa enggan membantu Arab Saudi kerana Wahabinya!

Hizbullah mesti ditolong. Kerana, adalah tidak wajar kita menyelar syiah itu seluruhnya kafir, seperti mana kita tidak menyelar seluruh wahabi itu kafir. Nak selar boleh, tetapi kaji iman seorang demi seorang, datangkan lafaz dan kaul secara sorih, dan bukannya menuduh mereka seluruhnya secara pukul rata. Oleh kerana itu, Hizbullah tidak dibuktikan salah akidahnya, bahkan mereka masih saudara kita seagama, dan mesti ditolong.

(Maksud saya dengan pukul rata macam ini. Ada satu pertubuhan, dan ada pengikut. Tiba-tiba pemimpinnya menyatakan kalimatal kufr. Kita jangan menuduh seluruh pengikutnya dengan kafir.)

Pelampau-pelampau Islam Wahabi ini tidak melihat dengan mata yang terbuka. Bahkan menuduh segala macam konspirasi tersembunyi antara Hizbullah dan Amerika.

Mereka (Wahabi) menuduh Syiah dengan bermacam-macam hingga merasa begitu benci dengan Syiah, tetapi mereka lupa, bahawa bukan sahaja tentera Hizbullah terkorban dalam perang ini, bukan sahaja tentera Hizbullah yang mereka selar kerana Syiahnya, bahkan orang awam yang bergelar sunni juga mati! Negara itu bukan seratus peratus syiah, tetapi masih ramai yang bergelar sunni! Kalau pun benci pada Syiah, tetapi bukankah sunni turut menjadi mangsa?

Kerana itu, Hizbullah mesti ditolong.

Dan kalaupun Wahabi itu degil menerima cakap dan hujah ini, perhatikan sebab pertama mengapa Hizbullah diserang. Hizbullah diserang kerana mereka membantu Palestin. Dalam konteks yang sama, kita tanya, mengapa Arab Saudi tidak diserang? Jawapannya, kerana mereka membantu Amerika. Tanyakan juga, mengapa Iraq diserang, jawapannya kerana Iraq menentang mereka. Iraq memang pernah mendapat bantuan Amerika, tetapi selepas mereka menentang Amerika, mereka diserang. Konsep perang bersama kafirin adalah sangat mudah. Menyokong kafirin dan tindakan mereka akan menyelamatkan daripada diserang, dan menentang mereka dan tindakan mereka akan memungkinkan serangan mereka.

Perhatikan sebab mengapa Hizbullah diserang. Ia kerana Hizbullah membantu Palestin. Pokok persoalan bukan lagi pada Syiahnya Hizbullah, tetapi pokok persoalan adalah pada Palestin. Palestin adalah negara Islam yang dizalimi kafirin terlaknat itu. Maka, sesiapa yang membantu Palestin akan diserang oleh Amerika dan Israel. Kalau tidak percaya, minta Malaysia serang Israel dan membantu Palestin, nescaya kita juga akan diserang. Maksud saya, bukan setakat hantar tentera pengaman, tetapi hantar tentera dengan tujuan perang!

Kerana enggan diserang, pemimpin negara-negara Arab enggan membantu Palestin. Maksud saya, menghantar tentera dan berperang sehingga syahid dengan Israel terlaknat ini. Dan, min babi l-Aula, Arab Saudi yang bukan sahaja enggan membantu Palestin, (maksud saya, menghantar tentera dan berperang hingga menang), wajar dikutuk, (maksud saya, tindakan mereka) kerana mereka bukan sahaja enggan membantu Palestin, bahkan membantu Amerika (menjual minyak kepada mereka)

Kalau pun masih keras kepala dan enggan membantu Hizbullah, lihat sahaja tindakan Israel dalam perang ini. Mereka tidak datang membawa senjata dan bertanya soalan - adakah awak syiah@Hizbullah atau sunni - sebelum membunuh, tetapi mereka langsung memerangi tanpa kata dua, bunuh sahaja Hizbullah atau bukan. Ya. Bunuh saja Hizbullah atau bukan Hizbullah.

Kita boleh lihat, adakah Israel hanya membunuh Hizbullah, atau turut sama membunuh orang awam?

Kerana itu, Hizbullah mesti disokong, dan bukannya menyokong Amerika wahai wahabi sekelian.

Israel bukan menyerang kerana sunni atau syiahnya, tetapi menyerang demi tanah dan kawasan sasarannya. Kita akan dengar perbincangan orang-orang Arab kita, setelah Iraq dan Afghanistan maka Lubnan, maka setelag Lubnan siapa pula? Ops, saya tertinggal nama Palestin. Ya, Palestin itu sejak lama dahulu.

Maka, perang bersama Israel tidak akan tamat, selagi Palestin tidak bebas dari tangan Israel. Itu sahaja pokok dan yang paling penting, berhentilah menjual minyak pada Amerika, bantulah Hizbullah, dan jangan sokong Wahabi.

Isu Murtad Lagi, Antara Alasan Paling Bangang

Saya memang ada kecenderungan pada falsafah, tetapi antara asas paling penting bagi semua orang yang minat pada falsafah adalah - logik tidak melebihi dalil dan nas.

Barangkali kerana itu, saya banyak berfikir lalu menggelar diri kononnya pemikir dan lain-lain.

Antara alasan paling murahan bagi saya, dalam seumur hidup ini, apabila seorang murtad menyatakan sebab dia murtad adalah kerana kekecewaannya pada Tuhan. Katanya, sudah banyak dia berdoa dan meminta tetapi Tuhan tidak kabulkan, lalu dia merasa putus harap pada Tuhan dan mahu keluar agama.

Menjawab alasan paling bangang ini boleh melalui dua cara. Satu, bahawa kesyukuran kita pada Tuhan, sebagai seorang hamba dengan pencipta, adalah tanpa sebab. Tidak kira baik atau buruknya Tuhan tetapkan pada kita, syukur, cinta dan segala-galanya adalah mesti, kerana kesyukuran kita adalah tanpa sebab.

Kerana itu, seorang kaya wajib beriman dengan Allah, begitu juga seorang miskin. Alasan miskin tidak menjadikannya halal untuk keluar Islam, begitu juga alasan susah. Kerana, kesyukuran dan keimanan kita pada Tuhan bukan kerana senang, dan bukan kerana susah. Bukan kerana baik yang Tuhan bagi, dan bukan kerana buruk yang Tuhan tetapkan.

Semata-mata demi kerana Dia adalah Tuhan. Jadi, alasan apa anda mahu murtad?

Semua huraian inilah yang saya maksudkan. Iman dan syukur (bahkan segala-galanya) adalah tanpa sebab, sama ada baik mahupun buruknya.

Kedua, kita boleh menjawab begini. Setiap hari kita hendak bangun, lalu kita berdiri. Kita hendak menuju ke sesuatu tempat, lalu kita boleh melangkah. Kita hendak melihat, lalu mata kita boleh celik. Kita mahu menarik nafas, lalu kita boleh menarik nafas. Tanyakan mereka, semua ini, bangun, berpergian, melangkah, melihat, bernafas, semua kehendak dan kemahuan ini, Tuhan tunaikan setiap hari. Saya ulang. Semua kemahuan dan kehendak ini, Tuhan tunaikan setiap hari.

Adakah apabila engkau tiba-tiba mengangkat tangan dan meminta sesuatu lantas Tuhan tak memberi langsung di depan matamu, Engkau menuduh Tuhan tak kabulkan doamu? Lalu kemahuanmu untuk berdiri, bukankah dikabulkan? Kemahuanmu untuk berjalan, bukankah telah dimakbulkan? Kemahuanmu untuk bernafas, bukankah telah dimakbulkan. Adakah patut hanya kerana doa yang engkau minta tidak terlaksana betul-betul di depan mata lantas engkau kecil hati, putus asa dan mahu keluar agama?

Dan alasannya, doa tak dimakbulkan. Habis, semua kehendak dan keinginanmu, berdiri, makan, jalan, bangun, pergi, bernafas, semua itu keinginanmu juga kan, bukankah ia dimakbulkan setiap hari, setiap waktu? Cuba kira berapa banyak keinginanmu yang dikabulkan di depan mata, berbanding doamu yang tidak kau lihat hasilnya di depan mata. Mahu merajuk dengan Tuhan? Merajuklah sana. Pergi.

Kenapa kau tak katakan saja, bahawa engkau tak percaya pada qadak qadar Tuhan, sama ada yang baik mahupun buruknya? Kenapa engkau memburukkan Tuhan, padahal dia mengkabulkan begitu banyak keinginan dan kemahuanmu setiap hari, setiap detik. Alangkah bangangnya alasan yang sebegitu.

Sudahlah memburukkan Tuhan, tambah lagi keluar agama. Bahawa engkau sebenarnya, tidak menerima prinsip asas Rukun Iman yang enam; beriman pada Qadak dan Qadar, baik dan buruknya.

Sampai situ saja.

Saturday, August 19, 2006

Ubuntu, Debian Dan Kemudian Knoppix - Semuanya Adalah Linux

Ubuntu, Debian Dan Kemudian Knoppix - Semuanya Adalah Linux

Saya menguji Ubuntu, Debian dan kemudiannya Knoppix, hari ini, semuanya adalah sistem operasi komputer, di bawah Linux. Bagi anda yang baru, biar ayat tambahan ini menjelaskan kekeliruan anda. Jika syarikat Microsoft mengeluarkan Windows XP, Win Me, dan lain-lain, maka Linux menghasilkan ketiga-tiga yang saya sebutkan tadi. Bahkan lebih lagi. Ia adalah sistem operasi komputer yang saya muat turun sejak beberapa minggu, dan tadi, sejak pagi tadi, membawa ke petang, saya mengujinya.

Ubuntu, versi 6.06, kalau tidak silap saya, adalah yang terkini. Saya mengambil fail DVD dengan saiz 3 giga bait lebih, membenarkan saya memilih sama ada melakukan
install ke dalam komputer, atau melayarinya secara live. Saya mencuba kedua-duanya. Melayari terus secara live tanpa sebarang install (tujuannya mendapat sedikit gambaran) dan dengan cara yang kedua, saya meng-install terus ke dalam komputer. Ini adalah CD Ubuntu kedua saya, dengan CD pertama Ubuntu yang saya miliki cuma membenarkan saya melayarinya tanpa pilihan install.

Saya berjaya menggunakannya, tetapi bermasalah untuk melayari internet, barangkali beberapa setting yang kurang menyebabkan kegagalan itu.

Debian, kalau secara kasarnya tidaklah selawa Ubuntu, berjaya di-
install hampir kepada 100 peratus, tetapi saya gagal memasukkan nombor siri (kalau tidak silap saya) menyebabkan install gagal sempurna.

Dan Knoppix, juga adalah fail DVD, juga adalah CD Knoppix kedua saya. Knoppix yang saya uji adalah semirip Suse, dan jika tidak salah saya, Suse adalah upgade daripada knoppix sebenarnya. Tidak hairanlah ia sama, namun dari sudut persembahan, Suse lebih menyenangkan dan paling penting, cantik. Saya berjaya melayari internet dengan Knoppix, bahkan ber-
chatting dengan kopete.

Masih, laman aljazeera gagal mempamerkan tulisan Arab menyebabkan saya merasakan kekurangannya.

Tetapi, saya puas hati, sehingga kini, sudah banyak CD Linux saya usahakan, dari Suse, Mandriva, Ubuntu, Debian, Knoppix, Fedora. Cuma fedora sahaja belum dicuba. Nantilah. Terima kasih pada kawan yang meminjamkan DVD writer.

Thursday, August 17, 2006

Ini Untuk Awak, Janganlah Gubra Sangat

Saya faham niat awak mahu beri gambaran tentang Islam, tetapi ia salah. Dan kerana itu, saya minta izin untuk menegur awak di sini, mana tahu kalau tak minta izin nanti awak naik radang dan menentang saya habis-habisan.

Islam memang ada tasamuh - timbang rasa kalau dalam bahasa Melayu kita. Tetapi Islam juga ada cara, peraturan, nizhom, adab, akhlak, dan awak mesti jangan lupa, Islam juga menjaga maslahah umat dan penganutnya.

Kerana itu awak dikritik dan ditegur sebegitu rupa.

Memanglah timbang rasa itu baik, tetapi ia tidak melogikkan seorang bilal meredai sahaja (tanpa menegur mahupun merasa tidak senang) apabila melihat seorang perempuan melacurkan diri. Itu bukan tasamuh cara Islam, itu cara sesat. Ops! Itu cara salah. Itu bukan timbang rasa namanya. Kalau awak jumpa mereka yang naik radang mereka akan kata - itu bangang.

Bahkan, kalau tidak melihat hukum dengan hanya melihat norma dan akhlak kita bangsa Melayu (walaupun hukum dan akhlak sebenarnya suatu yang bercantum), anda sendiri akan terasa janggal. Paling kurang rasa meluat. Saya fikir awak bukan budak kecil untuk memikirkan bahawa - akhlak suatu kaum adalah penting.

Saya tahu awak minatkan kemajuan, dan kemajuan yang selalu kita lihat adalah kemajuan yang ada pada negara barat. Mungkin kita semua, barangkali bila ditanya - negara apakah yang maju, kita akan menudingkan jari pada Barat.

Yalah. Nak maju itu tidak salah, tetapi tak semestinya menjadi Barat kalau nak maju. Maju cara Barat mengabaikan akhlak, dan maju cara kita tak semestinya melakukan yang sama. Jangan fikir, apabila kita nak menjadi maju, kita perlu sampai merosakkan akhlak bangsa kita. Janganlah cuba-cuba fikir apatah lagi berusaha merosakkan akhlak bangsa dan negara kita, semata-mata nak menjadi maju seperti Barat.

Kerana itu, mengapa mengajarkan kepada masyarakat penonton filem bahawa kita mesti merosakkan masyarakat demi mahu menjadi maju?

Awak. Awak ada akal boleh fikir. Ajarlah sesuatu yang baik supaya masyarakat awak jadi baik. Kalau masyarakat terikut dengan akhlak yang awak bawa dalam filem, masyarakat jadi semacam itu, awak bayangkan sajalah kalau anak awak jadi macam itu. Besok lusa tulat langkat, awak akan menyesal juga.

Tetapi, kalau saya mahu ajar pada anak-anak buah saya - apa itu cerpen - saya tak akan suruh mereka lihat filem awak. Baik saya suruh mereka mengkaji 'Back to the future' (memanglah cerita lama) dan suruh mereka perhati betul-betul - nilai sebab dan akibat, nilai sebab dan musabbab, jangan bertele-tele dan membazirkan kata mahupun babakan, dan yang lebih penting lagi, jangan mengajar sesuatu yang kurang akhlak dalam karya.

Entahlah awak. Awak terima ke tidak saya tak tahu, tetapi cuba-cuba terimalah ya...

Thursday, August 10, 2006

Ilaa Wakti m-Makluum

Anda patut beruntung mempunyai keluarga yang memahami, bahkan menyokong minat anda. Tetapi ayah saya, tidak suka saya menulis atau menjadi penulis dalam tempoh belajar. Barangkali, dalam nilaian yang besar, saya akan menutup blog ini sehingga saya habis belajar.

Natijah

Natijah peperiksaan Lughah tahun 3 Kaherah telah keluar. Zainan, mencatatkan rekod bersihnya dengan Jaiyid sekali lagi. Bagi orang Lughah, Zainan adalah kebanggaan dengan rekod cemerlang dan berturut-turut. Bagi saya secara peribadi sangat gembira, kerana dalam generasi Lughah Johor tahun 2003/2004 yang cuma tiga orang, Zainan, Syafiq dan saya, dia mencatat prestasi yang sangat-sangat dibanggakan. Saya cuma boleh mengucap tahniah dan dalam hati, rasa gembira yang sangat-sangat. Itu yang sampai tulis dalam blog.

Syafiq juga tidak menghampakan, dengan najah bersih walaupun kurang sedikit berbanding Zainan. Tetapi bagi saya, dia memang hebat. Tahniah, kerana melangkah naik ke tahun empat, membawa kebanggaan orang-orang Lughah kepada semua mahasiswa kita. Lughah selalu dijauhi dan orang semacam tak suka, tetapi kalian adalah kebanggaan saya, kebanggaan semua.

Saya masih ingat, ketika Zainan, Syafiq dan saya lulus di tahun satu, Zainan jaiyid, Syafiq dan saya membawa madah, tetapi kami cipta rekod bersih, kelulusan seratus peratus. Begitu juga di tahun dua, Zainan mengekalkan Jaiyidnya, Syafiq meraih lulus sofi, dan saya membawa madah juga ke tahun tiga. Tetapi tahun ini, saya tidak dapat bersama kalian dan ditinggalkan di belakang.

Secara peribadi, sedikit sedih tetapi sangat gembira melihat kalian lulus dengan cemerlang, begitu juga Luqman yang sekuliah dengan saya, berjaya naik walaupun membawa sedikit madah, tetapi tak apa, saya cukup gembira dan saya tak tahu bagaimana lagi saya harus ucapkan tahniah.

Kalau difikirkan, apa yang diberikan kepada saya adalah satu pengajaran, barangkali saya banyak kelalaian, tidak ikhlas membantu, banyak menyakiti hati orang, terlalu sombong dan berlagak, juga barangkali dosa banyak dan kurang taubat. Saya menerimanya, dalam perasaan yang berubah-ubah.

Kerana itu, sekarang ini perasaan saya bercampur-campur, dalam sedih saya rasa gembira, gembira kerana keberjayaan kawan-kawan, tetapi sedih kembali kerana ada yang diberitakan tidak bernasib baik. Tetapi, ada beberapa orang yang saya sangat-sangat harap mereka lulus. Tolonglah Tuhan, jangan Kau uji mereka dengan kegagalan. Aku pohon sepenuh jiwa.

Tuesday, August 08, 2006

Hatimu Yang Busuk

Kau sangka aku tidak tahu hatimu yang busuk itu. Kenapa dengki sangat? Apa bangganya kau merosakkan nama orang lain, bukankah hajat hatimu tak kesampaian?

Apakah kau sangka aku tidak tahu engkau menyamar, lalu dengan nama orang lain kau rasa penyamaran itu dapat menutup langkahmu yang sumbang? Bersihkanlah dengki hatimu, bukalah matamu dan terima hakikat dan kebenaran di depan mata.

Tidak ada faedahnya mendengki padaku, lalu membabitkan yang lain. Tidak ada gunanya hasad padaku kerana cita-citamu yang tak kesampaian, lalu memburukkan yang lain. Lalu dengan semua ini, setelah semua itu, adakah kau rasa dengkimu memberimu kelegaan sedangkan hajatmu memang tak kesampaian?

Apakah kau sangka aku tidak tahu kau memburukkan aku dengan berita yang tidak pernah aku sahkan, lalu kau dengan yakin menyatakan kononnya itulah hakikat tetapi ketahuilah, ia tidak. Kau berlakon sebagai juru cakap aku dengan berita yang cuma kau duga tetapi belum kau takkidkan dariku lalu semacam suatu keyakinan, keyakinan bahawa berita itu benar, padahal tak lebih dari memburukkan aku.

Tahukah, bahawa sesiapa pun dalam dunia, akan merasa benci dengan lakumu itu.

Kau sangka perbuatanmu tak dihidu, kerana serasamu langkahmu cukup awas, katamu cukup jaga, bahkan engkau rasa engkau orang baik dan susah dituduh sebagai jahat dan menghilangkan kepercayaan orang padamu tetapi tahukah, yang busuk, ditutup akan keluar juga baunya.

Berhentilah.

Ia telah berakhir.

Terimalah hakikat.

Dengan tidak menyebut namamu tapi aku tahu, bukankah langkah itu ada bekas, busuk itu ada bau, apakah tidak molek jika aku menegurmu secara sopan di sini, janganlah hasad dengki. Hasadmu tidak membantumu mencapai apa yang kau mahu, hajatmu telah lepas, dan jangan menambah benci orang lagi dan lagi.

Akan datang, berhentilah menyamar kononnya orang tidak tahu, padahal aku sudah lama bersabar hingga serasa jelek tetapi dapat juga kutahan hingga bila tiba batasnya, memburukkan aku itu bukan perkara kecil, membuat berita palsu tentang ku bukan perkara enteng, menjadi jurucakap tanpa upah bukan perkara remeh, jangan sampai aku menjadi marah yang tidak lebih dari menambah benci lagi dan lagi.

Dengan hati yang murah, berhentilah, lakumu tidak laku, ia sudah dibaca orang lama dulu.

Monday, August 07, 2006

Beberapa Perkara Yang Tidak Orang Ketahui Mengenai Keputusan Pertandingan Blog

Pertandingan Mereka Blog Peribadi anjuran BKPJM sempena Annual Festival Of BKPJM 2006 (AF '06) telah memaparkan pemenangnya. Tempat pertama jatuh kepada Saudara Afifuddin Md Jamil bagi ikhwah dan Saudari Noor Paezah Mohd Noor bagi akhawat, tempat kedua jatuh kepada Saudara Ishaq Hanis Asmail bagi ikhwah dan Saudari Noor Hidayati Zulkafli bagi akhawat. Tetapi, di sebalik keputusan, ada banyak maklumat yang tidak diketahui ramai.

Pertama, banyak hadiah terpaksa dibatalkan kerana masalah bajet. Hadiah Blog Tunas Harapan, Blog Paling Kreatif terpaksa digugurkan atas masalah ini. Tahukah anda, blog Tanjung Puteri dan blog Saudara Abdul Kahar Maslan adalah antara pemenang yang gagal mendapat hadiah mereka. Tapi nak buat macam mana, hadiah terpaksa dikurangkan.

Kedua, bilangan hadiah juga dikurangkan daripada tiga kepada dua. Tahukah anda pemenang tempat ketiga di pihak ikhwah adalah Saudara Fairuz Tamjis dan tempat ketiga bagi akhawat adalah Saudari Amelia Mustafa?

Ketiga, kerana masalah bajet juga, Hadiah Blog Terbaik mengalami perubahan, tetapi tahukah anda, bahawa sekiranya semua peserta ikhwah dan akhawat digabungkan dalam kategori ini, pemenang kategori Blog Terbaik adalah Saudari Noor Paezah dari akhawat dan bukannya ikhwah?

Keempat, tahukah anda bahawa ada seorang peserta ikhwah menarik diri, seorang peserta akhawat menarik diri, dan beberapa peserta mengubah logo pertandingan sesuka hati?

Kelima, ada tiga aspek pemarkahan demi menentukan pemenang. Isi, kreatif, dan istiqamahnya peserta menulis entri. Tetapi tahukah anda, aspek kedua memiliki markah paling besar?

Keenam, siapa pengadil? Ramai yang kata saya pengadil. Saya juga peserta, mana boleh jadi pengadil. Tahukah anda, pengadilnya adalah Saudara Najib Zainal (Iskandariah) dan Saudara Faiz Abidin (Kaherah)? Ha. Terlupa nak ucap terima kasih pada pengadil. Syukran Jazilan.

Wednesday, August 02, 2006

Mengapa Saya Tak Suka Handset?

Mengapa saya tak suka handset?

Adik saya Intan, sewaktu dia bekerja di tempat yang sama saya bekerja, iaitu pada tahun 2002, dia sudah memakai handset. Tetapi saya, tidak punyainya.

Asal usul saya bencikan handset adalah kerana sebab yang tidak boleh diceritakan. Ia barangkali cerita dalam keluarga yang tak harus disebarluaskan. Tetapi percayalah, saya tidak pernah pakai sebarang nombor sepanjang di Malaysia, bahkan menasihati adik saya yang lain agar tidak memakainya.

Di Mesir, saya enggan juga. Dua tahun berlalu, dan akhirnya saya dipaksa Fairuz. Katanya - kau orang penting. Susah nak hubung kalau tiada nombor. Lalu saya buktikan bahawa kata-katanya adalah salah dengan bukti paling jelas dalam dunia - selama beberapa bulan setelah perpindahan saya ke rumah sewa, tiada walau satu panggilan saya terima. Jangan kata pesanan ringkas, misscall juga tiada.

Kembali kepada tajuk. Mengapa saya tak suka handset?

Handset adalah alat perhubungan yang dikatakan fungsinya adalah untuk memudahkan perhubungan. Kata-kata seorang kawan yang sampai sekarang saya tak setuju - handset zaman sekarang sangat penting hingga memiliki handset tidak akan dianggap membazir.

Tetapi, kerana mudahnya berhubung, menjadikan orang sangat mudah membuat janji. Dan kerana mudahnya perhubungan melalui handset menyebabkan mudahnya orang membatalkan janji. Bahkan, kerana mudahnya berhubung, menjadikan orang melanggar janji lagi dan lagi.

Kerana itu saya bencikan handset.

Dalam satu filem Korea yang pernah saya tonton, suatu ungkapan paling kelakar tapi menarik mengenai handset adalah apabila watak utama perempuan itu dengan muka yang lebar menyatakan - baru aku tahu fungsi handset! Kerja adalah untuk memudahkan pasangan kekasih membatalkan temu janji!

Saya banyak diperli kawan-kawan bila mematikan talian. Kerana saya memaksa mereka menggunakan e-mel untuk berhubung. Tetapi percayalah, saya ingin mengajar sesuatu sahaja kepada mereka - mengajar untuk tidak sewenang-wenang membuat janji, kemudian dengan semudah-mudahnya membatalkan janji.

Tetapi, setelah semua ini, saya bukan menafikan kebaikan handset. Kebaikan dan manfaatnya adalah sesuatu yang tak dapat dinafikan. Tetapi, apabila ia mengajar sikap langgar janji, adakah salah saya membencinya? Cuma, bila saya terpaksa membebankan orang lain untuk menghubungi saya atas perkara yang benar-benar tiada kaitan dengan bab langgar janji ini, saya rasa bersalah juga. Tapi, hendak buat macam mana...

Tuesday, August 01, 2006