Thursday, August 17, 2006

Ini Untuk Awak, Janganlah Gubra Sangat

Saya faham niat awak mahu beri gambaran tentang Islam, tetapi ia salah. Dan kerana itu, saya minta izin untuk menegur awak di sini, mana tahu kalau tak minta izin nanti awak naik radang dan menentang saya habis-habisan.

Islam memang ada tasamuh - timbang rasa kalau dalam bahasa Melayu kita. Tetapi Islam juga ada cara, peraturan, nizhom, adab, akhlak, dan awak mesti jangan lupa, Islam juga menjaga maslahah umat dan penganutnya.

Kerana itu awak dikritik dan ditegur sebegitu rupa.

Memanglah timbang rasa itu baik, tetapi ia tidak melogikkan seorang bilal meredai sahaja (tanpa menegur mahupun merasa tidak senang) apabila melihat seorang perempuan melacurkan diri. Itu bukan tasamuh cara Islam, itu cara sesat. Ops! Itu cara salah. Itu bukan timbang rasa namanya. Kalau awak jumpa mereka yang naik radang mereka akan kata - itu bangang.

Bahkan, kalau tidak melihat hukum dengan hanya melihat norma dan akhlak kita bangsa Melayu (walaupun hukum dan akhlak sebenarnya suatu yang bercantum), anda sendiri akan terasa janggal. Paling kurang rasa meluat. Saya fikir awak bukan budak kecil untuk memikirkan bahawa - akhlak suatu kaum adalah penting.

Saya tahu awak minatkan kemajuan, dan kemajuan yang selalu kita lihat adalah kemajuan yang ada pada negara barat. Mungkin kita semua, barangkali bila ditanya - negara apakah yang maju, kita akan menudingkan jari pada Barat.

Yalah. Nak maju itu tidak salah, tetapi tak semestinya menjadi Barat kalau nak maju. Maju cara Barat mengabaikan akhlak, dan maju cara kita tak semestinya melakukan yang sama. Jangan fikir, apabila kita nak menjadi maju, kita perlu sampai merosakkan akhlak bangsa kita. Janganlah cuba-cuba fikir apatah lagi berusaha merosakkan akhlak bangsa dan negara kita, semata-mata nak menjadi maju seperti Barat.

Kerana itu, mengapa mengajarkan kepada masyarakat penonton filem bahawa kita mesti merosakkan masyarakat demi mahu menjadi maju?

Awak. Awak ada akal boleh fikir. Ajarlah sesuatu yang baik supaya masyarakat awak jadi baik. Kalau masyarakat terikut dengan akhlak yang awak bawa dalam filem, masyarakat jadi semacam itu, awak bayangkan sajalah kalau anak awak jadi macam itu. Besok lusa tulat langkat, awak akan menyesal juga.

Tetapi, kalau saya mahu ajar pada anak-anak buah saya - apa itu cerpen - saya tak akan suruh mereka lihat filem awak. Baik saya suruh mereka mengkaji 'Back to the future' (memanglah cerita lama) dan suruh mereka perhati betul-betul - nilai sebab dan akibat, nilai sebab dan musabbab, jangan bertele-tele dan membazirkan kata mahupun babakan, dan yang lebih penting lagi, jangan mengajar sesuatu yang kurang akhlak dalam karya.

Entahlah awak. Awak terima ke tidak saya tak tahu, tetapi cuba-cuba terimalah ya...

1 comment:

Anonymous said...

ustaz, ana nak beri cadangan sikit boleh? kalau tukar pd nama spesifik okey tak>ex: Amani or Yasmin. Bukan personal attack. tp fakta. jd bila depa search di google or yahoo akan jumpa teguran yg berdasar kan syara' dan kenapa pd tempatnya..kita menegur utk berdakwah, harapnya mereka terbuka hati.

Allhua'lam