Tuesday, August 22, 2006

Long Panjang (Tangan)

Tanah Bapa sebelahan tanah Long Panjang. Tanah Bapa diceroboh Long Panjang sejak sebulan dulu, dan Bapa yang sebelum ini sudah masam muka dengan Long Panjang akhirnya mengamuk dan mereka bergaduh. Tanah Bapa tanam pisang. Long Panjang tanam ubi. Tanah Bapa satu ekar. Tanah Long Panjang dua ekar.

Long Panjang (baca: Panjang Tangan) masuk ke tanah Bapa, memancung batang-batang pisang dan menanam batang-batang Ubi. Bapa marah. Bapa cabut batang-batang Ubi, kemudian menangis dan pergaduhan terjadi.

Long Panjang belum puas. Dia tebang lagi batang-batang pisang Bapa, pacak ubi kayu. Dia sudah melebarkan tanahnya dari dua ekar menjadi dua ekar suku. Dia masuk dan bina pondok di tanah Bapa yang dia ceroboh itu. Siang malam dia jaga, malah bawa suku sakatnya sekali.

Bapa ajak kami pergi mencabut batang-batang ubi di tanah ceroboh, tapi kami enggan. Kami malas. Kami sebenarnya takut. Apa erti bergaduh? Apa erti melawan? Kita maaf memaafi sajalah.

Bapa marah. Bapa pergi lawan sendiri. Malam-malam, ketika awan tutup bulan, malam jadi gelita, Bapa menceroboh ke tanahnya sendiri. Cabut batang ubi yang Long Panjang cacak. Batang-batang ubi itu dibawanya pulang.

Esok Long Panjang mengamuk pula. Dibawanya konco-konconya berkumpul depan rumah Bapa, menjerit-jerit minta turun. Bapa yang cuma terpacul depan pintu menyergah lantang. Kami anak beranak diri dekat tangga, jangan bagi Bapa marah-marah, minta damai.

Long Panjang memaki Bapa kerana mencuri batang-batang ubinya. Bapa kata, itulah balasannya menceroboh tanah Bapa. Long Panjang berang, lalu memaki kami. Kami diherdik, dicaci kononnya kami anak bangsat dan bersekongkol dengan kerja jahat Bapa. Kami naik malu. Kami pujuk Bapa pulangkan batang-batang Ubi yang Bapa ambil.

Bapa enggan. Dia kata, dia bukan cabut batang-batang Ubi di tanah Long Panjang. Dia cabut batang-batang ubi yang dicacak di tanahnya sendiri.

Long Panjang jerit lagi. Curi tetap curi.

Kami mendongak Bapa. Minta Bapa pulangkan barang curi. Kalau tidak, kami panggil polis.

Bapa merahkan mukanya. Nafasnya jadi laju. Matanya bulat. Dia masuk ke dalam mengambil batang-batang ubi, dan melemparkannya pada Long Panjang. Dia mengherdik kami semua. Kalau kau tak mahu bantu aku, kau semua jangan susahkan aku, dan jangan bantu si tangan panjang celaka ini!

Kami bersurai.

1 comment:

Anonymous said...

ni kisah ape sebenarnya ni ek?huhu