Sunday, August 20, 2006

Menyokong Hizbullah, Dan Bukannya Menyokong Israel Mahupun Amerika

Penyelesaian bagi umat Islam dalam perjuangan melawan Israel dan Amerika adalah mudah, tetapi menjadi susah apabila ketua-ketua negara Islam Arab menjadikannya payah. Penyelesaian bagi hal ini sebenarnya tidak berhajat kepada fatwa Ulama yang mengaji usul Feqh, bahasa Arab dan segala jenis ilmu, tetapi memadai dengan kefahaman seorang pemimpin akan tugasnya sendiri.

Saya ringkaskan menjadi begini.

Kalau ada negara Islam yang harus dipertikaikan, maksud saya, tindakan mereka, pertama sekali adalah Arab Saudi. Inilah negara minyak Arab yang Islam yang bersekongkol dengan Amerika dalam penjualan minyak. Tujuan Afghanistan diserang bukanlah kerana semata-mata al-Qaeda tetapi kerana minyak. Kekuatan minyak adalah sangat kuat, hingga mempengaruhi harga sedunia, bahkan ekonomi.

Tetapi apa yang Arab Saudi buat? Mereka membantu dan mengukuhkan segala perbuatan Amerika dan Israel, menjual minyak kepada musuh Islam itu dan secara tidak langsung, memberikan kekuatan kepada musuh Allah demi melawan Islam.

Target dan sasaran saya adalah, betapa pemimpin negara Islam ini langsung tidak bertindak dengan tindakan yang sewajarnya.

Kerana itu, negara pertama yang harus dikutuk adalah Arab Saudi, dan bukannya Iran mahupun Lubnan.

Saya merasa pelik apabila ada juga pihak pelampau yang menyokong fatwa Arab Saudi yang pro Amerika dan Israel ini. Tetapi ia tidak menjadi pelik, sekiranya kita memahami, bahawa mereka menyokong Arab Saudi, dan Arab Saudi menyokong Amerika-Israel. Maksud saya, menyokong tindakan pemerintah Arab Saudi.

Bahkan, apa yang lebih kelakar, ada juga yang mengutuk Hizbullah dengan alasan Syiahnya. Apakah mereka, Wahabiah (Arab Saudi dan penyokong-penyokongnya) tidak merasakan bahawa mereka (wahabi) juga dikutuk orang zaman berzaman? Ini bukan masalah mengutuk atau dikutuk, tetapi masalah benar tidaknya mereka. Kalau mahu membangkitkan sejarah betapa zalimnya sebahagian Syiah pada zaman dahulu, mengapa tidak membangkitkan sekali betapa zalimnya wahabi pada zaman dahulu, hattakan ke zaman ini?

Kita lupa, bahawa tidak semua Syiah itu salah hingga menyebabkan mereka dipanggil kafir. Ada beberapa perkara yang membezakan Islam dan kafir. Contoh paling mudah, menyembah makhluk itu salah, dan kesalahan itu membawa kepada kekafiran. Manakala menjual minyak kepada musuh Islam itu juga salah, tetapi kesalahan itu tidak membawa kepada kekafiran. Kerana itu, istilah negara Islam yang bersekongkol dengan Amerika digunakan dalam tulisan ini.

Kalaupun pihak Wahabi ini mencerca Syiah dan melarang umat Islam membantunya atas alasan mereka (syiah) bukan lagi Islam, kenapa tidak melihat kembali kepada diri sendiri bahawa mereka (wahabi) juga dituduh sebagai telah terkeluar dari agama Islam? Kalau mengutuk Syiah atas mabadi mereka, mengapa tidak mengutuk mabadi sendiri, wahai Wahabi?

Kerana kita tidak menuduh semua Syiah itu kafir, kita juga tidak menuduh semua wahabi itu kafir. Menuduh kafir atau tidaknya perlu melihat isi kandungan akidah yang mereka pegang. Kerana itu, kalau sekarang kita merasa enggan membantu Hizbullah kerana Syiahnya, kita juga mesti merasa enggan membantu Arab Saudi kerana Wahabinya!

Hizbullah mesti ditolong. Kerana, adalah tidak wajar kita menyelar syiah itu seluruhnya kafir, seperti mana kita tidak menyelar seluruh wahabi itu kafir. Nak selar boleh, tetapi kaji iman seorang demi seorang, datangkan lafaz dan kaul secara sorih, dan bukannya menuduh mereka seluruhnya secara pukul rata. Oleh kerana itu, Hizbullah tidak dibuktikan salah akidahnya, bahkan mereka masih saudara kita seagama, dan mesti ditolong.

(Maksud saya dengan pukul rata macam ini. Ada satu pertubuhan, dan ada pengikut. Tiba-tiba pemimpinnya menyatakan kalimatal kufr. Kita jangan menuduh seluruh pengikutnya dengan kafir.)

Pelampau-pelampau Islam Wahabi ini tidak melihat dengan mata yang terbuka. Bahkan menuduh segala macam konspirasi tersembunyi antara Hizbullah dan Amerika.

Mereka (Wahabi) menuduh Syiah dengan bermacam-macam hingga merasa begitu benci dengan Syiah, tetapi mereka lupa, bahawa bukan sahaja tentera Hizbullah terkorban dalam perang ini, bukan sahaja tentera Hizbullah yang mereka selar kerana Syiahnya, bahkan orang awam yang bergelar sunni juga mati! Negara itu bukan seratus peratus syiah, tetapi masih ramai yang bergelar sunni! Kalau pun benci pada Syiah, tetapi bukankah sunni turut menjadi mangsa?

Kerana itu, Hizbullah mesti ditolong.

Dan kalaupun Wahabi itu degil menerima cakap dan hujah ini, perhatikan sebab pertama mengapa Hizbullah diserang. Hizbullah diserang kerana mereka membantu Palestin. Dalam konteks yang sama, kita tanya, mengapa Arab Saudi tidak diserang? Jawapannya, kerana mereka membantu Amerika. Tanyakan juga, mengapa Iraq diserang, jawapannya kerana Iraq menentang mereka. Iraq memang pernah mendapat bantuan Amerika, tetapi selepas mereka menentang Amerika, mereka diserang. Konsep perang bersama kafirin adalah sangat mudah. Menyokong kafirin dan tindakan mereka akan menyelamatkan daripada diserang, dan menentang mereka dan tindakan mereka akan memungkinkan serangan mereka.

Perhatikan sebab mengapa Hizbullah diserang. Ia kerana Hizbullah membantu Palestin. Pokok persoalan bukan lagi pada Syiahnya Hizbullah, tetapi pokok persoalan adalah pada Palestin. Palestin adalah negara Islam yang dizalimi kafirin terlaknat itu. Maka, sesiapa yang membantu Palestin akan diserang oleh Amerika dan Israel. Kalau tidak percaya, minta Malaysia serang Israel dan membantu Palestin, nescaya kita juga akan diserang. Maksud saya, bukan setakat hantar tentera pengaman, tetapi hantar tentera dengan tujuan perang!

Kerana enggan diserang, pemimpin negara-negara Arab enggan membantu Palestin. Maksud saya, menghantar tentera dan berperang sehingga syahid dengan Israel terlaknat ini. Dan, min babi l-Aula, Arab Saudi yang bukan sahaja enggan membantu Palestin, (maksud saya, menghantar tentera dan berperang hingga menang), wajar dikutuk, (maksud saya, tindakan mereka) kerana mereka bukan sahaja enggan membantu Palestin, bahkan membantu Amerika (menjual minyak kepada mereka)

Kalau pun masih keras kepala dan enggan membantu Hizbullah, lihat sahaja tindakan Israel dalam perang ini. Mereka tidak datang membawa senjata dan bertanya soalan - adakah awak syiah@Hizbullah atau sunni - sebelum membunuh, tetapi mereka langsung memerangi tanpa kata dua, bunuh sahaja Hizbullah atau bukan. Ya. Bunuh saja Hizbullah atau bukan Hizbullah.

Kita boleh lihat, adakah Israel hanya membunuh Hizbullah, atau turut sama membunuh orang awam?

Kerana itu, Hizbullah mesti disokong, dan bukannya menyokong Amerika wahai wahabi sekelian.

Israel bukan menyerang kerana sunni atau syiahnya, tetapi menyerang demi tanah dan kawasan sasarannya. Kita akan dengar perbincangan orang-orang Arab kita, setelah Iraq dan Afghanistan maka Lubnan, maka setelag Lubnan siapa pula? Ops, saya tertinggal nama Palestin. Ya, Palestin itu sejak lama dahulu.

Maka, perang bersama Israel tidak akan tamat, selagi Palestin tidak bebas dari tangan Israel. Itu sahaja pokok dan yang paling penting, berhentilah menjual minyak pada Amerika, bantulah Hizbullah, dan jangan sokong Wahabi.

4 comments:

Anonymous said...

khawarij kata : la hukm illa lillah
org tu plak kata : sunnah sahaja tetapi realitinya : sama saja berlindung disebalik cogankata
'Allahumma ahlik alkuffar waz zalimina wa man 'aawanahum'

Anonymous said...

orang tu kan, kan, lebih yahudi dari yahudi, lebih amerika dari amerika...

Anonymous said...

Saya bukan nak mempertahankan Arab Saudi. Tapi pemimpin Arab Saudi tak de pilihan. Apart from jumlah aset besar yang dimiliki oleh Kerabat Diraja Arab Saudi di Eropah dan Amerika yang akan dibekukan sekiranya mereka tak sokong Amerika mereka juga takut kedudukan mereka goyah atas hasutan Amerika. They rule their country as an absolute monarch. Pernah dengar ke Amerika komplen yang Arab Saudi tak demokratik ? Tak pernah sebab Amerika anggap Arab Saudi sebagai exceptional kepada lungan demokrasi, selagi mereka menyokong Amerika.

Pasal nak serang Palestin, mana lah Arab Saudi mampu. Tengok saja list of inventory aset senjata Arab Saudi, I will dare say US hampir semua daripada fighter jets sampai lah kapal. Except yang baru beli Eurofighter.

In a symetrical war, susah nak lawan Israel. Tanya je Egypt Jordan dan Syria. The only way to fight Israel is in an assymetrical war as fought by the Lebanese. Tak silap saya kalau beli american fighter jets u are not able to shoot down another american made fighter jets. The code to override is never given to the client buying US made jets.

MZP said...

maaf lmbt baca. baru perasan. Sampai bila nak tunduk dengan hakikat tu? Tak mahu berpatah balik kepada cara yang betul? Dan sampai bila nak bersekongkol melihat yang seagama disembelih?

Kalau terlalu memandang kebendaan, memanglah nampak kurang. Apa dlm sejarah tak ada kisah ke orang yang punya senjata tersangatlah kuat masih tak boleh menang lawan orang yang bersenjata sedikit? Apa dalam sejarah dan hakikat tak ada sebut, bahawa orang yang sedikit tak boleh kalahkan orang yang banyak?

Apa orang yang bergelar mukmin tidak ada senjata yang dinamakan iman?

Suatu ayat yang benar, adalah, apabila musuh menjejak kaki ke tanah islam untuk ceroboh, ia bermakna perang sudah bermula, dan ketika itu, hukumnya wajib atas setiap warga negara mempertahankannya. Waktu itu, kita tak boleh kata - ah, senjata aku kurang, mana bleh menang - dan tak boleh kata - senjata aku dah diketahui segala cirinya, kalau lawan pasti kalah - tetapi perlu mengatakan, bila perang bermula, negara perlu dipertahankan.

Minyak adalah senjata yang tak digunakan.