Membentuk sikap la adrii – saya tidak tahu – memerlukan beberapa perkara. Sikap ini mungkin akan jadi sangat sukar pada sesetengah orang, kerana sesetengah sikap dan pendirian. Maksud umum saya dengan pembentukan sikap ‘saya tidak tahu’ ini adalah sikap untuk menyatakan la adrii – saya tidak tahu – apabila ditanya sesuatu dalam lingkungan persoalan agama.
Mungkin memfokuskan sikap la adri kepada persoalan agama adalah sesuatu yang tidak tepat, kerana ia harus dan boleh wujud pada setiap bidang pun. Adalah tidak betul untuk sentiasa berasa tahu dan boleh menjawab semua soalan dan memberikan jawapan, kerana yang sentiasa tahu dan maha tahu cumalah tuhan yang maha esa. Kerana itu, apa-apa bidang sekalipun bahkan bidang bahasa, bersikap la adri adalah betul dan baik, kalau memang kita tidak tahu. Atau dalam erti kata lain, bersikap rendah diri dan berkata tidak tahu pada yang kurang yakin pasti.
Tetapi tujuan saya memfokuskan kepada bidang agama adalah kerana bidang ini adalah yang perlu dijaga maslahatnya, tidak terburu-buru untuk sentiasa menjawab dan bersikap sentiasa ada jawapan. Imam Malik, seorang mujtahid yang merupakan guru Imam Syafii, boleh bersikap dengan sikap ini apatah lagi kita, bukankah lebih aula lagi. Tapi malangnya, kerana beberapa sikap dan pendirian sebahagian kita suka untuk menjawab dan mengatakan tahu walaupun masih jauh dari hakikat tahu.
Memakai sikap ini akan menjadikan kita rasa malu dan segan kerana kelihatan jahil, tidak berilmu, lemah pengetahuan, dan tidak layak mendapat penghormatan. Sanggupkah anda menjatuhkan air muka dengan mengatakan la adri, apatah lagi ketika berdepan dengan orang yang anda rasa kurang ilmunya dari anda. Kebanyakan manusia tidak sanggup, kerana ini adalah aib, kekurangan, kelemahan, dan perkara ini seolah-olah menghina diri sendiri di hadapan orang lain.
Oleh kerana itu, membentuk sikap la adri perlu kepada ketahanan diri kepada sikap aib, merasa malu, perasaan dijatuhkan air muka, dan sebenarnya semua ini adalah latihan kepada sikap tawaduk manusia. Manusia yang kurang sikap tawaduk dan asyik merasa hebat, besar dan serba tahu (baca: alim) akan terasa terhempap dan tertekan jauh ke dalam bumi bila mana mahu mengatakan saya tidak tahu.
Kerana itu, sikap sebenar yang menghalang kita bersikap la adri adalah pada sikap ‘ujub dan besar diri, atau sikap takabbur dalam hati. Kalau kita ada rasa rendah diri, untuk menyatakan la adrii sebenarnya bukanlah sesuatu yang berat, kerana kita cuma menyatakan hak bahawa kita memang tidak tahu, atau kita kurang yakin dan memilih untuk berwaspada dan berkata tidak tahu. Ia bukanlah pencelaan terhadap air muka tetapi pencelaan terhadap sikap takabbur dan bangga diri.
Sikap la adri boleh tampil dalam sikap normal kita, tanpa merasa diri diaibkan, atau dimalukan, atau dijatuhkan air mukanya. Tetapi perlu lebih dulu kesanggupan diaibkan, atau merasa aib dan sedar akan kelemahan diri sendiri. Atau sekurang-kurangnya, boleh merendahkan diri dan memilih untuk mengakui kelemahan diri sendiri. Menjadikan sikap la adri dalam paras normal sikap manusia memerlukan sikap ‘menyedari kelemahan diri’ dan tidak berlagak dan mempertahankannya. Sikap la adri juga boleh meresap ke paras normal sikap seseorang dengan kesedaran dan keinginan menjadikan agama (dan ilmu) jauh dari menjadi silap di tangan seorang jahil bernama kita.
Atau sekurang-kurangnya, kesedaran bahawa kita belum begitu alim, atau masih jauh dari tahap itu. Keinginan untuk menyelamatkan agama dari fitnah berpunca kesombongan kita mempertahankan kejahilan kita adalah sesuatu yang betul. Ia bukan aib tetapi suatu kebenaran. Sikap la adri muncul juga dari sini, dan di atas kesedaran yang sama, keinginan yang sama, untuk tidak merosakkan agama (atau mana-mana seni ilmu) hanya kerana sikap menjaga air muka.
Kerana itu, adalah penting juga bagi orang awam (atau orang yang bukan bidangnya) memahami sikap la adri lebih dari makna bahawa orang yang ditanya ini tidak tahu. Ia mengandungi pelbagai sikap dan makna tambahan, bahkan keinginan yang baik. Sikap banyak bertanya bukanlah buruk tetapi perlu juga pada sikap la adri dan memahaminya.
Melompat kepada kesimpulan walaupun belum masanya; sikap ini adalah betul dan tidak perlu malu untuk menjadikannya ke paras normal sikap kita.
No comments:
Post a Comment