Tulisan ini memang saya lambatkan. Hampir empat bulan. Kerana cepu fikir saya terfikirkan macam-macam, dan bekas jiwa saya terasa pelbagai. Bukan senang mahu menulis begitu, dengan hati yang rusuh dengan perkara lain.
Tapi sekarang saya menulisnya. Ini adalah ucapan terima kasih saya khas untuk sahabat baik saya yang menemani saya setahun lebih di Mandarah. Yang membantu saya dalam bermacam-macam kesusahan yang menimpa saya. Yang menjadi pendengar setia untuk setiap luahan, isi hati dan fikrah saya. Yang memahami saya di waktu getir dan bingung.
Ini adalah terima kasih yang benar-benar, kerana menjadi sahabat di tempat yang tiada sahabat, menjadi teman di daerah yang tiada teman, menjadi pendamping di dunia yang tiada pendamping - kecuali sedikit. Dalam kegusaran yang menghantui dia memahami, dalam kebingungan yang menekan dia menemani, dalam kerisauan yang mengucar dia ada di sisi.
Untuk sahabat baik saya, Ellyeen Amineen, padanya tulisan ini saya nukilkan. Lambat bukan bererti lupa, ia sentiasa bermain-main di fikir saya. Semoga semua kita dimudahkan Allah hendaknya, layaknya dan perkenannya.