Saturday, March 03, 2007

Dua Kali Lima

Sudah lama tidak menulis sesuatu yang berat.

Kata mereka, "sebagai manusia, kita tidak lari dari melakukan kesalahan. Kita bukan maksum. Jadi, janganlah kerana seorang itu tersilap satu dua perkara, lantas kita terus meminggirkan segala usaha dan jasanya selama ini. Jangan kerana tersalah tiga empat benda, lalu kita terus menolak segala pendapatnya."

Lalu saya kata, "memang. Manusia seperti kita bukan maksum. Sesiapa saja buat salah. Sifat tasamuh itu betul, dan sifat tasamuh itu wajar. Kita, baik yang pandai sehingga ada sarjana tinggi-tinggi dalam tangan, mahupun yang bodoh-bodoh alang; semuanya pun mungkin saja pernah buat salah."

Tapi dalam buat silap atau tersilap, atau buat salah atau tersalah pun ada tengok kiri kanan juga. Takkan seorang cikgu Matematik Tambahan dengan kepujian masa ambil sarjana dulu, dengan kedudukan sebagai seorang guru pakar; bila ditanya dua kali lima dia jawab lima belas. Dan takkan bila dia jawab lima belas anak murid yang belum pun lepas UPSR tak boleh kata - cikgu, ini salah! Jawapan dia bukan lima belas. Tapi sepuluh.

Barangkali kita boleh tasamuh juga, sebab kadang-kadang cikgu sepakar itu pun tergelincir lidah hingga terjawab salah, walau dalam soalan yang mudah. Dan wajarnya, dengan kepakaran itu juga, bila diingatkan jawapan yang benar adalah sepuluh dia boleh mengaku salah, boleh menarik balik jawapan, dan boleh memberikan semula jawapan yang benar.

Tapi, agak-agak, patutkah kita biarkan kalau cikgu sepandai itu dengan sarjana, kepujian dan kepakaran tetap degil dan mengatakan; bahawa dua kali lima adalah lima belas. Bahkan mengatakan siapa yang jawab sepuluh adalah salah. Sudahlah dia salah, dia menyalahkan orang lain pula. Rasanya, patutkah kita biarkan?

Agak-agak kitalah, kalau anak kita yang belajar dengan cikgu yang ada sarjana dan kepujian dan berkeras mengatakan bahawa dua kali lima adalah lima belas, dan setelah ditegur juga enggan menarik balik, bahkan ingin mengajarkan kebenaran baru bahawa ia adalah limas belas; apa akan kita buat? Yalah. Kitakan bukan ada sarjana, kepujian jauh sekali. Kepakaran? Pakar apanya? Adakah kita rasa nak biar anak kita belajar dengan cikgu yang mengajar yang salah, walau dalam perkara yang mudah?

Dalam perkara agama juga ada perkara yang mudah, semudah dua kali lima. Bahkan ada jawapan yang jelas, sangat jelas, yang kalaupun diberi kepada si bodoh alang logiknya, dia pun boleh jawab betul. Perkara-perkara sejelas dan semudah ini tak seharusnya salah. Bila orang tersalah dalam perkara semudah ini kita tak boleh kata - ala, semua orang pun buat salah, kita bukan maksum - kerana ia samalah macam kes dua kali lima tadi.

Contohnya kalau ditanya siapakah Tuhan yang menjadikan langit dan bumi, maka jawapannya sangatlah mudah dan tak boleh salah. Kalau seorang prefesor yang pegang sarjana, jadi mufti dan mengaku jadi mujtahid, ada sijil dengan kepujian dalam sarjana, buat tesis empat lima longgok dan jadi sukatan mata pelajaran di enam tujuh universiti sekalipun; adalah tak patut kalau dia tersalah jawab soalan macam ini dan mengatakan Tuhannya patung Budha.

Dan kalau dia tersilap kita tak boleh kata - manusia biasa seperti kita tak ada yang maksum, kita bukan Nabi, sesiapa saja boleh silap - kerana ia kesalahan yang tak boleh dimaafkan. Dan kalau betul dia tergelincir lidah, dia patut tarik balik.

Tapi agak-agaklah, kalaulah dia ditegur dan diminta tarik balik jawapan dia tetap degil mengatakan jawapan dia betul adakah kita hendak biar? Ataupun kita hendak kata dia ada sijil tinggi-tinggi, ada kepujian dalam sarjana, ada gelaran guru pakar, ada kertas kerja dan tesis tebal-tebal, sedangkan kita yang bodoh alang, jangan kata kepujian sijil pun entah ada ke tidak, takkan kita nak kata dia itu salah?

Sebab itu saya kata, ada had dan batas juga. Dalam agama pun ada perkara yang tak boleh disalahi. Kalau disalahi juga oleh seorang yang bertaraf profesor sekalipun, maka kita yang bodoh alang pun tegur. Kalau dia degil, salahkah kalau kita abaikan segala pendapatnya? Jadi, langkah pertama bagi semua orang, adalah mengetahui segala perkara yang paling asas dalam agama, dan tidak menyalahinya.

No comments: