Tuesday, March 20, 2007

Populariti Tidak Membuktikan Kualiti

Saya terserempak seorang kawan di Masjid Azhar beberapa minggu lalu. Dipendekkan, dia bermujamalah dengan saya secara mubaala-ghorh. Katanya tentang saya, 'pakar komputer PMRAM'. Lantas membuatkan saya ketawa, sungguh-sungguh, dari dalam hati hingga apa yang boleh dikenal dari zahir; tetapi sungguh bukan mengetawakan dia tetapi mengetawakan hakikat dan realiti dunia.

Secara terus terang, saya cuma tahu sedikit. Dalam apa bidang pun tahu sikit. Kalau nak kata handal bahagian hardware, ada seratus bahkan lebih orang yang lebih tahu dari saya di Mesir ini; Zamzam, Hasbullah, Azli. Kalau dikatakan mantap dari segi design, ada beratus-ratus lagi lebih mantap dari saya dan semuanya ada di Mesir; Faiz, Asmuni, Fadli. Kalau dikatanya tahu lebih pasal blog dan HTML, ada lagi yang jauh lebih handal hingga karang buku membina web peribadi; saya kurang ingat namanya. Kalau dikatakan tahu software dan progam komputer, ah, berapa banyak saja yang saya tahu. Koleksi program pun dah lama tak bertambah. Apatah lagi kalau bincang pasal PHP, saya tak tahu apa sangat dan sangat jauh kalau nak dibandingkan dengan Ustaz Ahmad dan Anas.

Jadi, saya adalah orang yang paling awal akan tertawa apabila mendengar hakikat ini. Hendak dikatakan pakar? Ah, nanti saya akan digelakkan. Tetapi, bukan itu fokus tulisan ini, tetapi mengkaji sebab dan nilai sebenar kepakaran, dan di mana letak duduknya penilaian manusia.

Memahami hakikat ini, saya tiba kepada satu kesimpulan. Bahawa saya bukan seorang pakar kerana masih terlalu ramai yang lebih pakar. Sebahagian nama yang saya sebut itu baru cuma orang Johor, belum lagi orang negeri lain. Kesimpulan kedua adalah, barangkali kerana saya baru lepas membentang kertas kerja mengenai design teks dan gambar dalam bengkel design dan blog yang lepas menyebabkan kata-kata ini. Atau dikenali atas sebab ini. Lalu keluarlah kata-kata yang demikian.

Nilai 'dikenali' tidak semestinya membuktikan kualiti. Seorang yang dikenali popular tidak semestinya adalah orang yang paling hebat antara semua. Menjadi terkenal ada beberapa jalan. Menggunakan media, menonjolkan diri, banyakkan menyumbang, dan lain lain, tetapi realitinya, ia tidak semestinya menjamin kualiti dan kepakaran.

Kerana itu, kalau seorang pemain bola dijulang-julang namanya tidak memestikan ia orang yang paling hebat. Mungkin cuma kuasa media menguasai khalayak, dan khalayak tidak ada pilihan lain melainkan mendengarnya. Kalau seorang mufti jadi terkenal dengan keadaannya banyak menonjolkan diri, ia tidak semestinya bermakna dia paling hebat dibanding mufti-mufti yang lain. Hattakan kalau seorang ulamak digelar sebagai ketua majlis ifta' di dunia pun tidak memestikan dialah ulamak paling besar abad ini.

Mungkin kita tak cukup awas dengan pepatah orang tua-tua; ikut resmi padi, makin tunduk makin berisi. Atau kita kurang sedar dengan sirah ulama ulama dulu, semakin berilmu makin tawadduk. Atau kita kurang celik dengan hakikat dan realiti bahawa seorang yang terkenal tidak semestinya yang terhebat.

Ada artis yang sangat popular dan menang anugerah populariti berkali-kali, padahal tidak pernah membuat lagu sendiri pun ketika itu. Ada pemain bola yang dijulang-julang namanya dalam liga-liga tapi apabila membuat sepakan penalti pun berkali-kali gagal dan sangat mengecewakan. Itu kerana, populariti tidak membuktikan nilaian kualiti.

Apabila Dr Yusuf Qardawi mendapat kedudukan dan tempatnya di muka dunia, itu tidak membuktikan bahawa dialah ulama nombor satu dalam dunia. Walaupun tidak dinafikan, dia mempunyai ilmu yang banyak, tetapi ia tidak semestinya membuktikan kealimannya berada di kedudukan paling atas. Apakah kita tak menyedari kemungkinan bahawa ada ramai lagi orang yang jauh lebih alim daripada beliau.

Bayangkan anda berada di dalam sebuah kelas, di mana A adalah anak murid kesayangan guru anda. Dalam apa-apa pertandingan, guru selalu menaikkan A untuk ke depan dan mengabaikan anda. Ya, A memang hebat, tetapi itu tidak membuktikan dia lebih hebat dari anda. Hakikat populariti adalah sebegini. Mereka yang dinafikan peluangnya akan kelihatan sangat jauh di bawah, dan mereka yang diangkat pula kelihatan sangat tinggi. Padahal, tidak mustahil ia adalah sebaliknya.

Dalam dunia yang mengajar nilai populariti dan keterkesanan masyarakat manusia kepadanya, kita akan menyedari hakikat ini. Betapa mata manusia mudah tertutup dan melupakan sesuatu yang lebih kualiti lagi. Tiba-tiba teringatkan kisah saya tadi. Terasa sangat-sangat mahu ketawa.

No comments: