Saturday, February 24, 2007

Mengembalikan Memori

Dulu, masa saya baru tiba, saya sudah ikut macam-macam. Timba pengalaman dalam pelbagai bidang; kewartawanan, penulisan kreatif dan non kreatif, penerbitan, pemasaran, percetakan, design dan susun atur, dan entah apa lagi saya tak ingat. Dan, bila setahun lepas saya berehat penuh dari semua itu, saya hampir melupakan segala-galanya.

Dan kali ini, bila diminta buat semula, saya rasa kekok dan tidak lancar, bahkan rasa kurang keyakinan; serasanya sudah tidak tahu apa-apa langsung kecuali sedikit. Ataupun lebih tepat lagi, saya sekarang ini sudah punya target saya sendiri untuk tempoh bermula sekarang. Tanpa dipaksa oleh sesiapa, baik mak, ayah, atau kawan-kawan.

Tapikan, bila baca semula kertas kerja yang saya pernah tulis, ia sungguh mengembalikan memori dulu-dulu. Melihat seorang saya satu di masa itu. Kemudian teringatkan rakan-rakan seperjuangan yang sudahpun kembali ke tanah air. Teringatkan usaha-usaha saya. Titik peluh saya. Penat lelah saya. Sungguh saya sudah hampir melupakan semua itu bila berehat penuh tahun lalu. Hampir-hampir saya jadi lupa semuanya.

Umur makin meningkat dan diri makin menua. Selera makin kurang. Tenaga tak sekuat orang muda. Bila tiba masanya, sudah pun jadi berusia senja. 24 haribulan ini menjadikan masihi saya 24 juga. Selamatlah.

Friday, February 23, 2007

Terima Kasih Semua

Lepas bengkel blog kepala saya sudah sakitpun. Bila tiba hari kedua untuk publisher dan adobe, sakit kepala dan badan bersatu. Nasib baik masih dapat gagahi diri. Mana taknya. Makan tidur tak menentu. Saya sebenarnya tak suka begitu. Tapi dah terpaksa.

Terima kasih kepada semua yang membantu. Kepada yang beri pinjam jihaaz; komputer, laptop, mushtarak; Azimah, Aliia, Farah Hanani, Basiir, Saufi, Azri, Fairuz, BCC BKPJM, Ustaz Rozlan, Shahril, Abdul Ghanie, Hewi, juga mereka yang tak disebutkan namanya. Syukran Jazilan pada yang menolong sepanjang pengisian, Akmal, Azli, Ellyeen, Fairuz, Faiz, Ghanie, Firdaus, Amilia, dan mereka yang saya tidak sebut kerana tak kenal atau tak ingat. Juga sekalung terima kasih kepada yang tolong sediakan makanan semasa program; AJK makanan; mahupun sebelum program; Raudah, Herlina dan lain-lain; yang tolong label komputer walaupun minta di saat-saat akhir; semuanya, terima kasih daun keladi, lain kali boleh minta lagi.

Selepas bengkel, saya dapat merasakan, banyak lagi yang saya tak tahu. Bahkan apa yang saya tahu cuma secubit yang tak boleh dibanggakan pun. Mungkin bolehlah dikira lebih sedikit dari yang tak tahu langsung, tapi di depan pakar, saya cuma secebis yang tak ada apa-apa. Harap yang ikut serta dapat manfaat semaksimumnya. Allahumma aamiin.

Monday, February 19, 2007

Syarat-Syarat Pertandingan Blog BKPJM 2007

Sebagaimana yang saya janjikan dalam entri yang lepas, saya akan memaparkan syarat-syarat Pertandingan Membina Blog 2007 Anjuran BKPJM. Berikut adalah syarat-syarat Pertandingan Blog

1. Anda mestilah seorang ahli BKPJM yang sedang berada di Mesir.

2. Anda mestilah mendaftarkan diri ke http://bkpjm.itopsites.com dan menampalkan kod HTML-nya di blog masing-masing ( supaya logo pertandingan kelihatan )

3. Logo mestilah dipaparkan di bahagian atas sidebar atau bahagian-bahagian yang mudah dilihat.

4. Pertandingan berlangsung sepanjang tempoh bermula dari 1 Mac 2007 ( 2 petang ) hingga 31 Mac 2007 ( 2 petang ), dan pemarkahan akan diambil sepanjang tempoh sebulan itu. Tiada markah diambil sebelum dan selepas tempoh itu.

5. Pemarkahan dibuat berdasarkan konsep penambahan dan penolakan markah sebagaimana perincian berikut :

a) Aspek-Aspek Penambahan Markah :

- Membuat apa juga posting/entri
- Membuat posting/entri bahasa Arab dengan tulisan Arab.
- Membuat Posting bahasa Inggeris
- Melakukan sebarang perubahan kepada template dan perubahan itu berjaya.
- Menambah sesuatu kod HTML atau item pada blog, yang asalnya item itu tiada dalam template asal. Setiap satu jenis konsep layak menerima satu kadar markah tertentu.

b) Aspek-Aspek Penolakan Markah :

- Blog tidak update kerana tidak membuat posting/entri.
- Membuat posting ciplak, berasaskan copy/paste, hasil penulisan orang lain.
- Tidak membuat perenggan langsung dalam entri/posting menjadikannya satu perenggan panjang berjela.
- Posting terlalu panjang dan membosankan serta meleret-leret.
- Tatabahasa terlalu teruk dan set taip terlalu teruk.
- Posting terlalu pendek ( kurang 10 perkataan )
- Melakukan perubahan pada template tetapi perubahan itu gagal.
- Melakukan penambahan item atau kod HTML, tetapi ia gagal berfungsi.
- Penambahan item atau apa-apa konsep yang serabut dan kucar kacir secara keterlaluan sehingga kelihatan terlalu serabut.

6. Pemarkahan berkenaan template akan dibuat secara mingguan manakala pemarkahan berkenaan entri dibuat secara harian.

7. Lima Blogger yang menduduki ranking teratas dalam carta topblog bkpjm akan mandapat markah bonus. ( dinilai pada setiap hari jam 3 petang )

8. Keputusan hakim adalah muktamad .

Yang benar, Mohd Zaki.

Sebagaimana yang kelihatan, markah paling besar berada pada posting dan entri, bukan pada design template. Namun kedua-duanya mempunyai kadar markah masing-masing. Selamat mencuba.

Thursday, February 15, 2007

Bengkel Design Dan Blog

Saya menikmati posting ke blog melalui e-mel, tanpa perlu membuka blogger. Guna Gmail kerana ada setting auto save setiap 2 minit, jadi entri boleh ditaip beruncit-runcit tanpa perlu save. Dan ia tak hilang.

Secara terus terang, LPP BKPJM ada buat bengkel designer dan blog untuk mubtadi-in. Namun sesiapa saja dialu-alukan untuk turut serta, maksud saya, ahli BKPJM sahaja; mereka yang mahu belajar boleh ikut, dan yang sudah pakar boleh bantu-bantu lancarkan kerja. Insya-Allah, sebanyak 10 komputer disediakan, barangkali juga lebih. Di antara tenaga pengisi adalah saya sendiri dan beberapa kawan yang lain.

Target dan sasaran hanya (saya ulangi, hanya) untuk memperkenal tool asas dalam Adobe Photoshop juga beberapa setting yang dikira penting. Juga memperkenalkan tool asas dalam Microsoft Publisher dan setting yang dianggap penting. Juga memperkenalkan pembikinan blog dan beberapa setting asas dalam blogger.

Kertas kerja ringkas disediakan. Makan dan minuman disediakan. CD dibuka untuk tempahan. Bayaran makan dan minum beserta kertas kerja LE 8. O ya. Sempena penerangan tentang blog, pertandingan blog juga akan diadakan sekali lagi, dan kali ini, saya menjadi pengadilnya. Syarat pemarkahan akan lebih detil dan jelas, berdasarkan konsep tambah dan tolak markah, bukan dengan konsep pemarkahan berdasarkan peratus perseratus. Maknanya, tiada had markah tertentu.

Maklumat lanjut tentang pertandingan blog akan dipaparkan kemudian.

Friday, February 09, 2007

Turutan Putus Dalam Hukum

Hukum dalam agama mempunyai banyak peringkat dari segi putus ataupun tidak. Hukum yang sampai ke tahap putus adalah hukum yang tidak tersangkal lagi. Manakala hukum yang kurang putus, atau rendah tahap kekuatan putusnya, berada di tingkat yang lebih bawah.

Hukum yang putus adalah hukum yang qat-ie dilalah dan makna. Iaitu hukum yang jelas akan keputusannya, dan tak boleh disangkal-sangkal lagi. Termasuk dalam hukum jenis ini adalah perkara dhoruurah mina d-diin, (perkara kemestian dalam agama).

Berada di tingkat di bawahnya adalah hukum yang zhonni dilaalah, qat-ie makna. Iaitu hukum yang dilalah lafaznya kabur, tetapi makna dan hukum jelas tanpa ikhtilaf di kalangan mujtahid.

Berada di peringkat bawahnya, adalah hukum yang zhonni, tetapi para mujtahid telah ijmak padanya, yang mana menyebabkan hukum yang asalnya zhonni naik tarafnya menjadi kepada qat-ie. Daripada bersifat kurang putus menjadi hukum yang putus-seputus-putusnya. Kerana ijmak para mujtahid. Maksud saya, mujtahid yang benar-benar mujtahid, bukan orang berlakon menjadi mujtahid.

Berada di tingkat bawahnya, adalah pendapat jumhur, kerana ia menghampiri ijmak. Barangkali kerana tidak sama pendapat sebahagian kecil ulama menyebabkan ia tidak sampai ke tahap ijmak. Pendapat ini masih kuat taraf putusnya, masih sangat aula diikuti, mengikutinya lebih aslam, lebih selamat, jauh lebih baik dari menyalahinya, kerana menyalahinya akan memihakkan kita kepada pendapat yang syaz dan lemah.

Berada di peringkat bawahnya, adalah pendapat mufti yang dipercayai ilmunya. Sekiranya ifta'-nya dibincangkan ia boleh menghampiri sepakat umat kepadanya. Namum begitu, ia masih boleh disalahi, selama mana ia belum menjadi ijmak dan kesepakatan. Namun, kerana thiqqah kita pada mufti yang diyakini ilmunya, maka adalah lebih aula untuk diikuti. Namun, masih lagi harus ditinggalkannya.

Adapun pendapat mufti yang tidak diyakini ilmunya, majruh thiqqahnya, barangkali ia berada sedikit di atas pendapat orang-orang awam. Namun ia masih boleh dan layak sangat ditinggalkan akan pendapatnya. Kenapa mufti jenis macam ini pun ada? Tak puaskah menimbulkan kucar-kacir?

Kita menyangka kita terlalu kuat, ikutlah apa pun sangkaan kita, perkara yang putus jangan diingkari. Perkara yang menjadi putus walaupun sebelum itu zhonni, juga jangan diingkari. Perkara yang sudah menjadi ijmak mujtahid juga jangan diingkari. Kemudian, kalau ada sedar dan rasa takut, ikutlah pendapat yang lebih jumhur, tinggalkan yang syaz dan lemah. Peganglah ifta' yang diyakini ilmunya, bukan mereka yang majruh thiqqahnya. Semoga tulisan ini dapat memberikan manfaat kepada kita semua.

Kalau ada salah tolong betulkan. Terima kasih.

Saturday, February 03, 2007

26 - Bumi Hati

Dikarang di tahun ketiga atau keempat di perantauan.

Sajak: Bumi Hati
Oleh: Mohd Zaki

Air mataku menjadi hujan
yang turun ke langit
berkumpul-kumpul
menghitamkan awan
lalu menyejat ke bumi.

Bumi hati.

Wednesday, January 31, 2007

Maarad Kutub Kali Ke 39

Maarad Kutub ad-Dauli 2007 (Pesta Buku Antarabangsa) bermula lagi. Dari 23 Januari hingga 4 Februari. Saya sudah ke sana beberapa hari lepas, mencari beberapa buah buku, menghabiskan seratus junaih lebih sikit membeli beberapa kitab dan beberapa kaset. Juga sebuah novel.

Target pertama adalah kitab yang sukar di jumpai di Mesir. Seperti kitab-kitab dari Daru l-Masyaari' Lubnan, juga kitab yang sukar didapati dicetak di sini. Mencari kitab Syarah Aqidah Tohawiyah karangan Syeikh Hasan Ali As-Saqaaf tidak berhasil; yang saya jumpa adalah kitab dengan nama yang sama atas karangan Uthaimin, Bin Baz. Jadi saya tidak beli.

Saya sudah bertanya Arab namun tak kedapatan. Kalau ada sesiapa yang ketemui di solah mana ia dijual, atau di maktabah mana ia ada, beritahu.

Sebenarnya, saya ingin membeli lebih lagi. Seperti kitab Mughni l-labiib, kitab yang banyak menghimpunkan konsep-konsep Lughah (bahasa) yang semakin kurang dibahas kala ini. Tetapi, apa hendak buat kalau pulang ke rumah pun dengan qirsh-qirsh yang terakhir, tak apalah. Sekurang-kurangnya, saya sudah membeli beberapa kitab karangan beberapa muhaddis kurun ini, maksud saya, muhaddis yang benar-benar, ia sudah memuaskan hati.

Di depan maktabah Saudi saya ditegur oleh dua orang Arab ketika baru-baru hendak mengambil gambar. Katanya - haazaa laa yajuuzu. Biarlah. Malas nak berdebat yang sia-sia. Maarad.. maarad. Macam-macam.

Kalau ada lagi duit, mahu beli beberapa kitab lagi.

Wednesday, January 24, 2007

Bengkel Maya 3 Februari 2007

3 Februari 2007. Mereka yang punyai minat terhadap perbengkelan cerpen dan sajak boleh ikut mendengar. Melalui internet. Apa yang istimewanya, cerpen dan sajak ini akan dibedah oleh 3 fasilitator yang hebat; Zaid Akhtar, Nisah Haron dan Faisal Tehrani. Sebanyak 12 peserta akan dibengkelkan, sebahagiannya dari Mesir, kedapatan juga dari Amerika, Ireland dan beberapa negara lain. Maksud saya, pelajar Malaysia di luar negara. Apa yang penting, pada 3 haribulan tersebut, tiga konferens yang diuruskan oleh 3 fasilitator tersebut berjalan serentak.

Apa yang perlu anda buat untuk mendengarnya?

Jika berminat untuk mengikuti konferens di bawah bengkel Zaid Akhtar, sila add id moderator [ ise_sekoda ] ke dalam ym anda. Kemudian, maklumkan kepada ise_sekoda (hisyam) anda ingin turut sama mendengar konferens bengkel pada hari tersebut.

Mereka yang berminat untuk mengikuti konferens di bawah bengkel Nisah Haron, sila add id moderator [ tecoltpet ] ke dalam ym anda dan maklumkan kepada tecoltpet (Huda) anda ingin turut sama mendengar bengkel melalui konferens di bawah Kak Nisah pada hari tersebut.

Begitu juga sekiranya anda berminat mengikuti konferens di bawah bengkel Faisal Tehrani, sila add id moderator [ hafeziftiqar ] ke dalam ym anda, dan maklumkan pada hafeziftiqar (hafiz) anda ingin turut sama mendengar bengkel kelolaan Faisal Tehrani pada hari tersebut.

O ya. 3 Konferens yang membabitkan 12 peserta dan 3 fasi yang diuruskan oleh 3 moderator adalah projek gabungan Adabuna dan GKLN, merupakan konferens suara; bermakna, ada perlu sediakan speaker atau earphone atau headphone supaya dapat mendengar; dan bagi peserta yang 12 itu, anda perlu sediakan mikrofon supaya dapat bercakap. Ada ruang dan sesi soal jawab selepas konfenrens, boleh tanya kalau mahu.

Persoalannya, pada jam berapa anda perlu online? Kemungkinan besar pada jam 10 malam waktu Malaysia, atau dalam bahasa yang mudah, pukul 4 petang waktu Mesir pada hari yang sama. Tapi, mengenai waktu yang tepat, ia masih dalam perbincangan. Boleh tanya pada moderator yang anda add. Selamat berbengkel.

Tuesday, January 23, 2007

Tumbang Dan Bangkit

Manusia ada masa tumbang dan ada masa bangkit. Tak semestinya akan kekal statik dan teguh; ada waktunya goyah dan kau boleh lihat, kekukuhan itu kadangkala agam dan boleh jadi tiba-tiba juga rapuh menanti tumbang.

Oleh kerana ada masanya manusia itu tumbang, maka mereka perlu masa untuk bangkit, bahkan memerlukan engkau supaya sabar dan tidak agresif apatah lagi terburu-buru; fahami, jiwai, sedari; kalau kau faham erti tumbang bangkit dan jatuh naik dengan hatimu, engkau akan lebih lembut menggauli manusia.

Tumbang itu sudah sakit, jangan kau tambah kesakitan itu dengan sikap terburu-burumu itu, tetapi cuba neutralkan agresif sifat itu menjadi tenaga untuk bersabar dan berprasangka baik juga berperilaku sopan. Jatuh itu kalau tinggi merisikokan kecederaan; hatinya, jiwanya, fikirannya, kekuatannya, kepercayaannya; jangan kau curah ketidaksabaranmu hingga mendalamkan lagi lukanya, membesarkan parutnya; kau tidak dapat apa-apa.

Oleh kerana ada masa tumbang dan jatuh, perlukan juga pada masa untuk bangkit dan berdiri teguh; kau manusia wajar dan timbang rasa, renungkanlah tumbang bangkit manusia dengan keazaman dan kekukuhan di jiwa; dalam hal ini ada pengajaran dan merenungnya ada hikmah.

Tumbang dan bangkit semula. Bila tiba masa dan ketikanya. Akan bangkit semula.

Monday, January 01, 2007

Selamat Hari Raya Aidil Adha, Selamat Tahun Baru 2007

Kadang-kadang, ada soalan yang kita tak boleh nak jawab. Atau tak dapat nak jawab. Jadi harap faham, minta maaf banyak-banyak, kalau boleh minta soalan itu tidak ditanya, tidak disoalkan, dan tidak dipersoalkan. Anggap sajalah tidak berjumpa dengan lafaz yang sesuai, atau uslub yang sesuai, atau jawapan yang sesuai.

Selamat Hari Raya Aidil Adha, Selamat Tahun Baru 2007. Jalan terbentang kepada semua yang sudi melangkah. Khas untuk yang diingati selalu - mak, ayah dan adik beradik. Juga untuk semua kawan-kawan.