Tuesday, March 14, 2006

Apa Itu Cerpen

Saya ditanya beberapa orang mengenai cerpen. Apa itu cerpen?

Menerangkan apa itu cerpen bukanlah kemahiran saya kerana saya bukan sahaja tidak pernah belajar madah Sastera Melayu (dalam SPM 2000 kerana dilarang mengambil madah lebih daripada 10) bahkan terlepas mempelajari Komponen Sastera dalam Bahasa Melayu (bermula SPM 2001). Jadi, saya bukanlah orang yang selayaknya dalam bidang ini.

Tetapi – saya menerima soalan itu daripada orang yang mempelajari Komponen Sastera dalam Bahasa Melayu (SPM 2001 ke atas) menyebabkan saya memahami bahawa soalan itu mengandungi maksud tambahan – iaitu - Bagaimana cara menulis cerpen?

Saya ringkaskan agar penulisan ini tidak menjadi terlalu berjela-jela. Dan penerangan ini akan tertumpu sekitar pengalaman saya menulis sebanyak 14 cerpen setakat ini.

Cerpen itu sebuah cerita, dengan satu tema. Atau bahasa mudahnya, satu tajuk, satu fokus, satu matlamat, atau lebih tepat, satu jenis perisian. Cerpen menghadkan kepada satu sudut pandang (walaupun dalam waktu tertentu mempunyai lebih daripada satu) dan cerita itu berjalan di satu tempat tertentu (walaupun dalam keadaan yang lain, boleh banyak tempat) di satu latar masa sahaja (walaupun dalam keadaan yang lain, boleh berbilang latar masa.)

Sebenarnya, cerpen tidak boleh dihadkan sebagaimana yang saya cuba hadkan. Kerana cerpen sangat luas maknanya. Tetapi, ini untuk orang yang baru hendak belajar kenal-kenal.

Bagaimana menulis? Cerpen boleh ditulis dengan pelbagai cara. Saya nyatakan sebahagian daripadanya.

Ada cerpen yang ditulis semata-mata (baca sekali lagi, semata-mata) kerana penulis bermaksud dan berkehendak, menjelaskan sesuatu yang bakal berlaku di penghujung cerita. Cerpen jenis ini akan menyebabkan penulis memberikan tumpuan penuh (baca sepuluh kali lagi, memberikan tumpuan penuh) kepada sesuatu yang dirancangkannya di akhir cerita. Maka, sekiranya anda faham, cerpen jenis ini akan bermula sejajar (baca lima belas kali lagi, sejajar) dengan kehendak cerita dan kemahuan cerita, dengan cara yang berpadanan dengan pengakhiran cerita. Fokus penceritaan sejak mula adalah, akhir cerita, bagaimana sesebuah cerita akan berakhir.

Ada cerpen yang ditulis dengan prinsip sebab dan akibat. Sesuatu perkara berlaku, akan menyebabkan berlaku peristiwa yang lain. Di dalam cerita tersebut, penulis akan meletakkan beberapa perkara, di mana perkara-perkara ini akan menyebabkan berlaku pula perkara-perkara yang lain. Contohnya, menjumpai bom akan menyebabkan ada letupan. Letupan akan membawa kepada kematian. Kematian akan membawa kepada balas dendam.Balas dendam akan menyebabkan kematian, dan lain-lain. Atau, contoh lain, bapa mati menyebabkan ibu bekerja. Ibu bekerja akan menyebabkan anak sakit. Anak sakit menyebabkan Ibu gila. Ibu gila menyebabkan anak sulung bekerja, menggantikan tempat ibu. Anak sulong yang bekerja akan menangguhkan perkahwinan, dan lain-lain.

Ada cerpen yang ditulis demi menyampaikan ilmu, atau maklumat. Ini jenis cerpen yang paling saya gemar. Untuk menulis cerpen jenis ini, ada dua cara yang paling kerap digunakan. Pertama, berceramah. Contohnya, Abu ke masjid mendengar ceramah. Penceramah itu berkata....Kedua, mencairkan ilmu bantu supaya dapat diresapkan ke dalam cerita. Ilmu bantu perlu dicernakan lumat-lumat supaya tidak kelihatan seperti ‘ditampal-tampal’. Sebagai contoh, demi menceritakan tentang puasa itu terbatal kerana makan, penulis mestilah menetapkan latar masa sebagai bulan Ramadan, atau hari-hari yang makruf orang berpuasa. Demi menceritakan tentang fardu Haji, penulis wajar memilih latar Mekah dan Madinah, atau sesuatu yang boleh dikaitkan.

Pencairan cerita memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh. Sebagai contoh juga, hendak menceritakan tentang ilmu haid dan nifas, sebaik-baiknya memilih watak perempuan, atau yang watak yang boleh dikaitkan dengan tajuk tersebut. Bahkan, dalam cerpen jenis ini, babakan perlulah sesuai dengan tema yang dibawa.

Seperkara yang penting juga apabila menulis cerpen, jangan memasukkan sesuatu yang tiada kaitan dengan cerita dan tema. Jangan memasukkan sesuatu yang tidak membantu penceritaan (tetapi boleh juga dimasukkan secara menyelit-nyelit secara sangat ringkas.) Sebagai contoh, jika temanya adalah hukum haid dan nifas, tidak perlu menceritakan saya sedang masak, memotong bawang, memanaskan air, mencedok nasi, pergi ke pasar, berjumpa Timah, berborak-borak, balik ke rumah, berehat di kerusi dan lain-lain. Kecuali, saya ulangi, kecuali anda merancang perkara tersebut boleh dikaitkan dengan tema yang dibawa. Atau, (boleh juga), ia sekadar selingan ringkas yang diselitkan sekadar menjelaskan di mana latar watak. Itu tidak mengapa.

Ada cerpen yang ditulis demi menggambarkan latar tempat tertentu. Contohnya, suasana di luar negara, atau di latar asing. Maka cerpen jenis ini bertindak memindahkan (ulangi baca seratus kali, memindahkan) kebudayaan dan thaqafah luar kepada bahasa kita. Fokusnya begitu. Ada juga cerpen yang menceritakan pengalaman diri sendiri. Ia banyak dilakukan oleh penulis baru yang lebih terkesan dengan suara hati.

Ada cerpen yang ditulis kerana ingin berfalsafah. Dalam konteks ini, penulis harus mencipta suatu falsafah yang difikirkannya, kemudian diterangkan kepada khalayak pembaca. Kebiasaannya, cerpen jenis falsafah berhajatkan penulis berfikir panjang dan bermain akal dalam mengemukakan falsafahnya. Sebagai contoh, cinta itu derita. Falsafah seperti ini akan membuatkan khalayak pembaca mencari penjelasan terhadap falsafah yang dibawa, dan penjelasan itu ada dihuraikan panjang lebar dalam sepanjang penceritaan.

Ada cerpen yang ditulis dengan tujuan menyindir. Oleh itu, banyak watak yang kadangkala tidak logik, dan cerpen berbaur sinis juga jenaka. Atau penulis menggunakan perlambangan kepada cerita, kiasan atau perumpamaan. Cerpen jenis ini perlu kepada penelitian yang tajam, bahkan ada juga yang menggunakan watak haiwan atau benda sebagai ganti kepada watak manusia. Tetapi fokusnya adalah sindiran.

Saya sudah menulis panjang. Anda fikir tulisan begini memadai atau belum?

al_jantanie
manhumi_ilm

3 comments:

Anonymous said...

congrats to ur brother

semuga cemerlang spt abangnye jua...

MZP said...

abangnya mahu dia seratus kali ganda lebih cemerlang. Kemudian kalau boleh, bertanding sekali lagi.

vonWolfskin said...

sedang cuba mencipta cerpen. tulisannya bagus. tapi aku masih buntu. writer's block :)