Boleh berfikir panjang bukan semestinya perkara paling baik. Kadangkala, ia buat saya sakit kepala, pening, susah hati. Bahkan, memikirkan sesuatu perkara dalam beberapa lapis makna, padahal orang cuma faham makna satu lapis. Selebihnya adalah sia-sia. Kadangkala merasa sakit hati kerana fikir jauh sangat, padahal ia langsung tak terlintas dalam maksud pihak kedua.
Bukan bermaksud saya cuba berlatih benda ini. Cuma itulah fitrah. Seorang yang dibesarkan sejak kecil yang tidak dapat mendengar percakapan orang lain dengan jelas lalu dimarah, diherdik, diejek, dikatakan pekak; sebabnya cuma satu - kerana tak mendengar dan bertanya lagi dan lagi. Hattakan dalam keluarga.
Saya masih ingat kena marah apabila disuruh ambil barang, tapi nak buat macam mana, saya cuma dengar suku kata terakhir saja. Katakanlah disuruh ambil baldi dan cuma mendengar 'di', kalau anda seorang budak sekecil itu kena marah bila bertanya lagi dan lagi, dan kena marah juga kalau tersalah ambil sebab tak dengar, bolehkah anda bayangkan rasanya?
Kerana itu, sejak kecil saya tak suka mendengar. Saya suka mengelakkan diri dari orang. Kerana mendekati orang bererti saya kena mendengar. Dan kegagalan mendengar akan menyebabkan saya dimarah. Dan atas sebab yang sama, saya menjadi gemar dan suka mendengar sesuatu sambil lewa. Bila orang cakap saya akan buat tak berapa nak layan. Supaya orang itu jadi malas nak berbual dengan saya, dan saya terselamat dari tersilap dengar atau dimarahi.
Oleh kerana itu, saya terdidik mengabaikan telinga saya sejak kecil. Saya belajar menggunakan mata dan memahami maksud orang dengan semata-mata gaya, riak muka, gerak bibir, biah dan suasana, kedudukan masa dan tempat. Tapi adatnya, banyak tekaan saya tak betul, walapun sebahagiannya tepat.
Oleh kerana itu juga, saya belajar sendiri di sekolah. Maksud saya, saya lebih gemar belajar sendiri. Lagi-lagi kalau suara cikgu tak kedengaran. Ataupun sebenarnya, saya menggunakan tenaga yang lebih dari orang lain, semata-mata nak mendengar. Kemudian cepat mengantuk dan terlelap dalam kelas. Atau saya akan abaikan saja apa yang cikgu saya ajar, dan belajar sesuka hati saya. Bila difikir-fikirkan, saya sangat bersalah. Tapi itulah kelemahan yang menjadikan saya berfikiran sebegitu.
Bukan itu saja. Oleh kerana tak mendengar dengan baik, saya banyak menafsir dengan mata, meneka mulut orang, kerana dah tak dapat dengar dengan baik. Membaca riak orang. Bahkan lebih lagi. Kadangkala saya cuba membaca fikiran orang dan perasaan orang. Cuba meneka padahal kadang-kadang tak betul pun.
Sikap ini pun tak bagus. Sebab, kadang-kadang, saya terlalu memikirkan benda yang orang lain tak maksudkan pun. Mungkin kerana sebab yang sama, saya jadi sangat sensitif, terasa hati, mudah makan hati, cepat tersinggung. Bila memikirkan sesuatu yang sebenarnya tidak wujudpun saya jadi sibuk, padahal orang lain sangat tenang kotak fikirnya.
Dan bila sibuk kotak fikir, saya cepat penat. Bila penat, saya jadi tak terfikir dan mengabaikan benda yang sebenarnya penting. Saya jadi malas nak ambil tahu perkara-perkara sekeliling, tak bersikap peka pada persekitaran, dan memetik kalam seorang kawan - tenggelam dalam dunia sendiri.
Saya juga tahu sikap itu semuanya tidak elok. Tapi itulah yang terdidik sejak kecil, dan agak sukar mengubahnya. Dalam hati memang nak dengar, apa boleh saya buat? Dalam hati memang tak mahu cepat terasa hati, tapi apa saya boleh buat dengan jiwa sesensitif ini. Dalam hati memang ada perasaan nak rapat dengan orang, tapi apa boleh saya buat, bila asyik tak jelas dan kemudian jadi segan nak bertanya.
Kadang-kadang, saya terfikir juga, bahawa berfikir banyak sangat juga tak bagus. Terasa hati banyak sangat pun tak bagus. Melukakan perasaan dan fikiran sendiri tak bagus. Maafkan saja, tasamuh saja, lapang dada saja. Tapi sungguh, dalam hati, luka tetap ada.
Kerana itu, saya menangguhkan pencetakan CDRK sekian lama. CDRK adalah antologi kedua di bawah projek Komuniti Adabuna. Pertama di bawah Ubaidillah dengan tajuk, Khali Kota Fustat (KKF), dan yang kedua, di bawah seliaan saya. Terus terang, saya tangguhkan kerana beberapa 'orang'. Tapi dalam hati rasa marah atau apa-apa juga sudah lama tak ada. Yang lepas itu lepas, menjadi kos lepas.
CDRK adalah kependekan dari Antologi Cinta dan Rona Kinanah. Insya-Allah, 23 Mac ini siap cetak. Jangan lupa beli ya?
4 comments:
sy pun mengalami benda yg sama..tak nak sensitif sgt..selalu wat skrip sendiri..yela, org tak cakap tapi saya yg cakap bagi pihak org lain..camna nak buang nie..wlp cuba rasionalkan tapi tak berjaya gak..
setiap perkara ada kebaikan, tak percaya cuba lihat sudut positifnya, dan cuba atasi negatifnya dengan mengkaji semula, bila dan bagaimana kenegetifan itu boleh terjadi? Dan elakkan. Jadi, kenalah banyak-banyak mengkaji diri dan perangai. Wah wah, dah jadi pakar psikologilah pula. Huhu.
minat psikologi ke? memang best belajar subjek tue..saya berpeluang belajar introduction to psychology..belajar ttg diri, apa, bagaimana, kenapa...?
ye ke best? saya suka mengkaji psikologi berdasarkan penilaian saya sendiri. saya tak pasti kalau saya suka atau tidak kalau belajar psikologi. Itu kena cuba dulu baru tahu best tak best.
Mungkin sikap saya yang self-learning dalam psikologi ini kerana saya rasa psikologi memang naluri manusia, dan manusia sejak dahulu sudah memahaminya lalu menukarkannya kepada masal dan kata-kata hikmah, macam, biar lambat asal selamat. Itu semua ada nilai psikologi yang tinggi dalam memahami manusia.
Macam teori saya; manusia itu adalah zahir.hm, tak mengapa, cerita lain kali. belajarlah psikologi dalam-dalam, nanti boleh ajar yang lain sekali.
Post a Comment