Saturday, August 20, 2005

Erti Sebuah Penciptaan Dalam Impian Tsu-Ryi

Nilai Sebuah Penciptaan Dalam Impian Tsu-Ryi

Bertamu ke laman sastera Kak Nisah banyak menyedarkan saya erti sebuah penciptaan. Impian Tsu Ryi, sebuah antologi gabungan 15 cerpen yang tersiar hampir kesemuanya ke media 'Dewan Siswa' menampilkan satu identiti yang mengagumkan. Nisah Haji Haron, penulis alias peguam memberitahu secara tersirat – saya telah menembusi media perdana seawal usia 17 lagi.

Mengulas sebuah antologi bagi saya tidak semudah mengulas sebuah novel. Sebuah antologi punya kesan gabungan daripada kesemua cerpen, tetapi menagih keadilan kritikan bagi setiap cerpen secara berasingan. Impian Tsu Ryi adalah hasil sebuah penciptaan apabila hampir semua cerpen dipersembahkan secara 'cipta tempat', 'cipta nama', 'cipta benda'; penulis memperkenal 'benda baru' dengan 'nama baru' di 'alam baru'. Mencipta sama ada sangat senang atau sangat susah. Saya lebih suka memilih yang kedua.

Apa yang mengagumkan apabila pembaca yang jahil nama, jahil benda, jahil latar tempat, dipaksakan memahami situasi dan keadaan penceritaan secara laju. Penulis mahu melajukan 'keretapi' tanpa meninggalkan 'penumpang'.

Penulis mempunyai kekuatan dialog, di mana kepanjangan maksud disampaikan dalam kependekan kata. Sebagai contoh, serpihan bom itu berbicara lebih petah daripadanya; satu diksi yang digunakan ketika menerangkan bahawa kewujudan serpihan bom membawa kepada kewujudan seorang musuh.

Apa yang lebih jelas, Impian Tsu Ryi adalah model babakan dalam penceritaan pantas. Mengerakkan watak hingga nampak bergerak dari satu lokasi ke lainnya. Penceritaan secara naratif banyak membantu penulis menjelaskan latar baru dan benda baru secara tidak langsung, lantas mencantumkan beberapa ide dengan lainnya secara mesra.

Pencantuman ide secara mesra dalam sebuah karya yang asing latar belakangnya, gharib objeknya perlukan kemahiran menguasai pemikiran pembaca. Bahkan kemahiran menyusun ide agar ide baru yang asing dapat bersatu secara sebati. Barangkali, sekiranya pencantuman ide tidak berlaku dengan lumat, barulah ketika itu menatijahkan kata seperti 'cerita ini memeningkan'.

Dalam diam saya mendapati beberapa perkara yang perlu dinilai semula, termasuk nilai-nilai pengaruh yang diragui hakikatnya. Saya merasakan, penciptaan yang tiada kena mengena dengan kuasa Tuhan itu sememangnya tiada masalah, tetapi ia jadi persoalan apabila ia mencampuri beberapa perkara yang tidak seharusnya dicampuri.

Persoalan mengenai nyawa dan kuasa makhluk menyelamatkan seseorang diambang kematian tentu perlu kepada penilaian semula. Lagipula apabila sesuatu objek dipakaikan suatu kuasa yang hakikatnya tidak layak dipakai oleh seorang yang bergelar makhluk. Memang tidak salah mencipta suatu penyakit dan mereka ubatnya, tetapi bagaimana pula keadaannya bila bermimpi seseorang makhluk 'biasa' dianggap sebagai 'luar biasa'.

Saya mengatakan; ia perlu dinilai semula.

Saya mengagumi penulis apabila penulis berjaya memaparkan situasi kepeguaman lewat karya yang akhir-akhir, disamping memperkenal beberapa akta yang digarap secara lancar dan larut dalam penceritaan. Tahniah untuk sebuah karya yang tinggi.

al_jantanie
manhumi_ilm

No comments: