Sunday, August 07, 2005

Melajukan Tempo Tetapi Tidak Mencicirkan Pembaca

Melajukan tempo tetapi tidak mencicirkan pembaca.

Penulisan dalam tempo perlahan akan menyebabkan pembaca mengantuk, bosan, lambat dan terasa ingin menghentikan pembacaan. Saya lebih sukakan tempo yang laju, kerana ia berlangsung dengan beberapa cara.

Pertama, bentuk ayat yang pendek. Ayat yang panjang bahkan terlalu panjang membikin cerita lambat dan lembab. Walaupun begitu, adunan ayat panjang bersama pendek juga perlu agar penceritaan tidak berlangsung dalam satu nada yang membosankan.

Kedua, bikin ayat dengan kata kerja bergerak, dan lokasi pergerakan berbeza dengan jarak tertentu. Contohnya, membuka pintu, menyarung kasut dan melangkah ke perhentian bas.

Ketiga, bikin ayat tunggal dengan makna berbilang. Lakukan dengan penjimatan kata. Contohnya, di beranda rumah, saya membuang pandang ke gunung Nagoya. Ia menceritakan latar tempat (Jepun) dan lokasi penutur (di beranda) dalam satu ayat.

Keempat, bikin ayat kompleks dengan melakukan pemadatan isi penceritaan.

Semua ini, cuma ide dan pendapat. Masuk ke mauduk perbincangan, bagaimana melajukan tempo tetapi tidak mencicirkan pembaca?

Anda perlu berfikir cara terbaik untuk tidak mencicirkan pembaca. Mungkin tempo laju patut diperlahankan seketika, agar pembaca dapat mengikuti. Penting lagi anda menyusun ide agar tidak serabut dan tersusun, semacam menyusun ‘otak’ pembaca. Dahulukan satu, kemudian dua. Kalaupun mahukan satu kemudian tiga, pastikan pembaca sedar bahawa ‘dua’ telah ditinggalkan, dan akan dijelaskan kemudian.

Kekalkan sudut pandangan dan laras sesuatu objek, agar mudah dibezakan dengan objek yang lain. Jangan lupa sesuaikan psikologi tanggapan pembaca kepada objek, selaras dengan gaya bahasa. Contoh, objek A adalah kasar, jadi gunakan ‘aku’ lebih sesuai. Dan jika objek B adalah lembut, gunakan bahasa laras ‘sopan’ barulah memadai.

Barangkali dengan cara ini, anda mampu melajukan tempo tanpa mencicirkan pembaca.

al_jantanie
manhumi_ilm

ps: pembaca yang tercicir akan merasa letih mengejar ‘keretapi’ anda. Walaupun keretapi laju, tetapi apa ertinya kalau penumpangnya tertinggal.

No comments: