Mencari Lokus Standi karya Nisah Haji Haron adalah pemenang tempat kedua Hadiah Sastera Kumpulan Utusan tahun 2003. Karya yang mengangkat tema kepeguaman memberikan satu gambaran kehidupan mahasiswa undang-undang disamping beberapa contoh perjalanan kehakiman itu sendiri. Seingat saya, semua pemenang HKSU memiliki kekuatan dialog yang mengkagumkan. Dialog bukan sahaja ringkas, tetapi bias menimbulkan kesan sampingan kepada pembaca. (Contoh yang mudah, saya sempat tersenyum membaca dialog lucu.)
Karya ini sangat kaya dengan naratif latar yang menjelas. Barangkali, di awal pembacaan saya kerap berhenti, tetapi penulis menimbulkan rangsangan pembacaan secara bertahap dan terus meningkat di pertengahan cerita. Barangkali apabila mengisahkan mengenai perjalanan drama di babak-babak pertama menyebabkan cerita bergerak lambat, namun sebaik sahaja kematian ayah watak, cerita berubah tempo melaju dan menggerak.
Saya meminati karya penulis kerana penulis berjaya menimbulkan rangsangan di dalam rangsangan. Sebagai contoh, E-Jay pergi ke Seri Menanti pada asalnya adalah kerana tugasan kerja kursus dan dikuatkan lagi kerana mahu 'berehat' daripada diancam pakcik-pakciknya. Rangsangan timbul dalam rangsangan apabila ketika di Sri Menanti, (barangkali dalam satu dialog yang tidak sengaja) E-Jay mendapat jejak susur galurnya; apabila seorang makcik mengatakan mukanya mirip dengan Gayah.
Kesan yang timbul daripada itu menyebabkan E-Jay berjumpa peguam dan perkara ini sekali lagi, menyebabkan peguamnya menghubungi ayah E-Jay. Ayah E-Jay pula menghubungi E-Jay dan menjejakinya di Melbourne. Ini semua adalah rangsangan dalam rangsangan yang berkait dan hampir tidak terputus.
Mulanya, saya merasakan drama yang ditulis oleh penulis di babak awal tidak sesuai diletakkan dalam novel dengan beberapa sebab. Pertama, ia tiada kaitan dengan kepeguaman dan undang-undang melainkan isinya (yang menggambarkan situasi di dalam mahkamah) yang menceritakan perjalanan satu kes dalam hanya beberapa baris dialog, itupun sedikit dan terputus-putus. (lainlah kalau saya pernah membaca cerpen Istimewa Dari Cenma Detara, barulah saya tahu cerita itu selengkapnya.)
Kedua, kerana ia bergerak terlalu lambat dan semacam memasukkan watak yang akan wujud di awal cerita dan lenyap di akhirnya tanpa istiqamah. Tetapi saya membatalkan sangkaan ini kerana terbukti lakonan drama itu menimbulkan satu nilai perundangan apabila hak cipta 'intelek' dicuri oleh watak lain. Kedua, drama itu membantu pembangunan watak hingga pembaca dapat mengenal sikap watak dengan jelas.
Apa yang paling menarik bagi saya adalah cerita bermula daripada kematian ayah watak utama hinggalah ke penghujung novel kerana rangsangan sentiasa timbul dan melajukan penceritaan. Tambah lagi kekuatan bahasa yang puitis (mengingatkan saya pada cikgu saya – Amiza Khusyri) barangkali orang negeri memang begitu fitrahnya.
Tahniah Kak Nisah
al_jantanie
manhumi_ilm
No comments:
Post a Comment