Wednesday, August 17, 2005

Sinar Bintang Merdeka

Sinar bintang merdeka.

Saya tidak tidur semalam. Barangkali terlalu gembira dapat menyiapkan sebuah cerpen saya lanjutkan ke kerja lain. Saya menulis atas permintaan anak buah yang seorang; tulis sebuah cerpen dengan tema kemerdekaan.

Cerpen dengan tajuk 'Sinar Bintang Merdeka' belum memiliki kekuatan tajuk. (Cikgu Faezah kena ajar saya caranya.)

Saya mengambil masa yang agak lama membuat rujukan. Antaranya, Bidayah Wa Nihayah dan kitab kuliah 'Fi Tarikh Daulah Abbasiyah'. Apa yang menjadikannya sukar adalah saya terpaksa memastikan beberapa perkara berlaku seperti dalam sejarah, walaupun saya membuat rekaan sesetengah watak dan peristiwa. Tetapi, kebanyakannya digarap terus daripada fakta-fakta sahih seperti yan tertera.

Barangkali rujukan berbahasa Arab tambah ejaan yang perlu dipastikan sebutan melambatkan sedikit urusan. Apatah lagi saya perlu memastikan adakah benar pada tahun 109, pemerintah Khurasan dipecat sedangkan direkodkan bahawa tahun tersebut beberapa orang daie daulah baru dipotong tangannya. Betapa saya perlu berhati-hati meletakkan Sheikh Akramah Al-Siraj sebagai mufassirin yang mengembara, sedang dia ketua daie Khurasan.

Barangkali juga, apabila meletakkan watak budak 12 tahun yang jahil apa itu Umawiyin dan Alawiyin memaksa saya menjadikan watak Pakcik Uthman sebagai perantara dan pelaksana kes 'potong tangan, potong kaki, salib dan bunuh?

Saya sedar, watak ayah, ibu, pakcik Uthman adalah watak rekaan, tetapi merekodkan apa yang berlaku dalam zaman tersebut dalam watak-watak tertentu. Walaupun nama Asad, Sheikh Akramah, Imam Ibrahim adalah nama benar dan watak hidup di zaman itu, saya kira sebuah cerpen menyampaikan fakta sejarah secara kreatif agar tidak terlalu terikat dengan bentuk yang statik.

Saya bebaskan anda menilai, adakah saya menepati tema kemerdekaan apabila mengaitkan kebebasan seorang afrad dari dihukum potong kaki tangan dan disalib gantung dengan hakikat kemerdekaan itu sendiri. Tetapi apa yang pasti, Kerajaan Umawiyin telah tumbang dan kerajaan Abbasiyin mengambil ganti.

al_jantanie
manhumi_ilm

ps: saya mencuba nasib dengan menghantarnya ke Berita Harian, jadi ia tidak dapat disiarkan di blog ini selagi belum ada jawapan pasti. Kalau saya bertuah dan anda sedar ia terbit di sana; maklumi saya, tolong!

No comments: