Ya, hidup di Mesir memang menekan. ( Mahasiswa di negara yang lain saya tidak tahu)
Bercerita tentang biah (suasana) di sini, barangkali satu perceritaan yang panjang. Bahkan saya sedar, di mana-mana pun, di dunia ini, ada adat yang baik dan layak dicontohi, ada juga yang tidak. Barangkali ketika saya melakukan pemindahan budaya, saya lebih suka bercerita yang baik, tetapi dalam geram terlepas juga yang kurang elok.
Mahasiswa dan mahasiswi kita tertekan sebahagiannya. Pertama kerana biah. Kedua kerana berjauhan daripada keluarga. Ketiga, ketiadaan sahabat yang karib, yang menasihati. Barangkali sahabat tamat belajar dahulu atau sudah berumah tangga mahupun berpindah rumah. Keempat, tekanan dalaman seperti kewangan. Kelima, tekanan luaran seperti biah yang mengancam.
Tetapi, tekanan ini biasanya diselesaikan dengan pulang ke Malaysia. Hidup dalam tekanan memang merunsingkan, dan amat mengganggu. Jadi pulang adalah jawapan pertama. Tetapi, bukan semua orang mampu pulang kerana tambang semakin mahal. Apatah lagi kalau tiada bantuan kewangan seperti pinjaman dan zakat.
Habis cara, telefon keluarga.
Kedua, antara cara lain adalah dengan mencari kawan. Kawan yang baik dan boleh melepas segala kerunsingan dan keluhan. Sahabat pendengar. Tetapi kekadang sahabat ada yang berpindah rumah, muhafazah lain, sahabat kesibukan, sahabat berkahwin, sahabat pulang ke tanahair, sahabat tamat pengajian. Hilang sahabat karib, yang tinggal semua gharib.
Ketiga, berkahwin. Benar. Kahwin dapat menghilangkan tekanan. Bukankah dalam sabda Nabi ada menyebut (Sesiapa yang dikurniakan isteri yang solehah, maka Allah telah membantunya dalam sebahagian agamanya, maka jagalah separuh agamanya yang lain) – Rujuk Kitab Mustadrak A'la Sohihaini.
Bantuan Tuhan dalam sebahagian urusan agama bererti bantuan Tuhan dalam separuh kehidupan. Emosi yang tenang. Hidup yang berteman.
Keempat, berpegang pada Tuhan dengan pegangan yang sungguh-sungguh. Kalau dapat, lazimi Quran setiap hari. Rapati Tuhan.
Saya bercerita ini kerana saya juga dalam kesedihan melihat betapa ramai sahabat saya bakal pulang tahun ini. Ya, tahniah kepada yang telah menamatkan pengajian. (Anda mahu pulang segera kerana sudah tamat, atau kerana tertekan?)
Kalau boleh, saya mahu bercerita panjang lagi. Tetapi sudah azan asar.
al_jantanie
manhumi_ilm
No comments:
Post a Comment