Mana lebih penting?
Saya semacam bertanya pada pipit atau berdebat sama enggang; mana lebih penting bagi seorang non praktikal – menjadi sudu atau kuah?
Saya bertanya anda; apa yang perlu dilakukan oleh seorang yang anti efektif – menerima kerja dan berlagak sebagai seorang yang bertanggungjawab atau menolak kerja dan menahan malu kononnya tidak mampu buat kerja?
Kedua-dua ada risiko, dan perbincangan risiko adalah satu perbincangan yang panjang. Kalau seorang (yang saya sebut sebagai) anti efektif (atau dalam bahasa mudahnya; orang yang kurang usaha dalam membuat kerja) dipelawa untuk menerima taklifan, dan dia pasti akan memilih salah satu daripada dua perkara – terima kerja, berlagak seolah mampu melaksana, kelihatan bertanggungjawab, dan akhirnya kerja tertangguh @ gagal; ataupun dia boleh menolak kerja, memberi alasan, menjadi seorang yang kelihatan lemah, tetapi tidak menyebabkan kegagalan atau penangguhan kerja, dan si pemberi taklifan terpaksa mencari muka baru untuk menerima taklifan.
Barangkali masalah berpunca daripada sikap non efektif yang menyusahkan ini. Dan barangkali, perbincangan ini terbit kerana sikap itu.
Risiko muncul dalam kedua-dua keadaan. Pertama, jika ‘orang’ ini menolak taklifan, si pemberi taklif akan pening kepala mahu mencari ganti. Dan kalau semua yang ada menolak taklifan (dengan alasan di atas) bagaimana mungkin sesuatu projek akan berjalan. Barangkali, dia nampak bertanggungjawab kerana tidak mahu projek gagal kerana ‘dia’.
Begitu juga sekiranya ‘dia’ mengambil taklifan. Apabila projek tergendala atau gagal atau terpaksa taklif semula, maka si pemberi taklif akan pening kepala. Mahu cari orang baru atau biar sahaja projek gagal atau laksana sendiri kemudian merungut-rungut sehasta, dua hasta, tiga ela, empat meter, enam kilometer.. Kemudian ‘dia’ akan minta maaf berulang-ulang kali, dan dalam katanya minta tangguh lagi seminggu, lagi sehari, petang nanti, lagi sejam, sepuluh minit lagi, sekejap sahaja lagi….
Itulah yang saya risau, mahu memberi juga kepada si anti efektif kemudian berdoa dia boleh buat kerja, boleh belajar memperbetul diri, boleh menerima teguran apabila terlalai kemudian jika diingatkan, dia jadi aktif dan bukan lemah tidak bermaya. Atau mungkin juga saya perlu mencari orang lain yang boleh buat kerja, atau saya sendiri buat kerja, atau batalkan sahaja.
Saya mengajak anda berfikir. Mana tahu anda menghadapinya satu hari nanti.
al_jantanie
manhumi_ilm
No comments:
Post a Comment