Merdekakan Cinta Ratna
Didesak Cikgu Faezah, saya khatami Merdekakan Cinta Ratna dalam dua jam lebih sedikit. Katanya mahu saya bikinkan drama pentas alias pentomen. Ya, pentomen jauh lebih tepat.
Merdekakan Cinta Ratna - sepertimana yang disebutkan oleh Saudara Ubaidillah, membentuk penceritaan novel persis sambungan cerpen. Novel yang memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2002 di tempat ketiga adalah nukilan ide Sri Rohayu Mohd Yusop. Karya ini sangat mengesankan, bagi saya, lebih-lebih lagi pada 7/8 penceritaan pertama. Apa yang istimewa adalah latarnya.
Bukan maksud saya latar masa, tetapi menggarap dua latar yang bergerak serentak dalam satu plot. Ia berlaku apabila penulis menggerakkan cerita dalam cerita, atau lebih tepat lagi, mempersembahkan drama dalam novelnya. Ia mengisahkan lakonan pelajar Tingkatan Enam Atas Tawakal dalam satu pentomen, sebuah karya berlatarkan Zaman Kesultanan Melayu Melaka, yang ditulis oleh watak ‘Muhammad’.
Menjadi istimewa apabila latar zaman sekarang, iaitu kisah dan rentetan peristiwa bagi pelajar-pelajar itu – kisah mereka berlatih pentomen, kisah ayah Muhammad dan ibunya, kisah cikgu-cikgu dan ustaz; semua kisah ini dilakarkan serentak bersama pergerakan latihan pentomen. Ia jadi unik yang menarik apabila kedua-dua latar dapat dibezakan dengan jelas sepanjang penceritaan, walaupun ia bergerak seiring. Ia cerita dalam cerita, dan watak dalam cerita boleh dibezakan dengan jelas seperti pembaca boleh membezakan dengan watak dalam pentomen tersebut.
Ganda istimewa, apabila kisah dalam kisah ini mempersembah situasi watak dalam cerita; watak bertindak memasukkan diri mereka ke dalam pentomen, dan kedua-dua watak bergerak serentak dalam penceritaan.
Barangkali, pembangunan watak yang jelas sejak awal penceritaan memberikan efek sebegini. Ya, watak novel jelas, apabila watak pentomen muncul dalam bilangan yang banyak sekalipun, ia tetap mampu memberikan gambaran yang jelas antara perbezaan dua latar.
Itu yang istimewa. Ya, ada apa pula yang tidak kena?
Saya tidak sempat menguliti keseluruhan karya ini dalam dua jam, saya cicirkan sahaja pemerhatian saya terhadap logik cerita demi memenuhi target pembacaan dua jam atau lebih sedikit. Saya terburu-buru, didesak cikgu, juga ketika menulis entri ini.
Barangkali, ketidaklancaran cerita dalam bacaan sepintas lalu ditangkap deria kurang pasti saya (sambil ragu-ragu benar atau tidak komen ini) – Saya tidak jumpa! Mencicipi bersungguh-sungguh dengan pemerhatian penuh barangkali mampu merungkai sesuatu. Tahniah kepada penulis dengan garapan yang istimewa.
Tetapi, ada sesuatu yang pasti. Cikgu Faezah sangat kejam seperti ‘Orang Kaya’ dalam novel - Adakah patut memaksa saya menyudahkan pembacaan dalam 3 atau 4 jam?
al_jantanie
manhumi_ilm
p/s: saya bergurau sahaja.
No comments:
Post a Comment