Rona Bosphorus, karya Zaid Akhtar memenangi tempat kedua HSKU tahun 2002. Rona Bosphorus banyak mengajar saya mengenai kesudahan tragedi, seperti mana yang kerap digunakan oleh Azizi Hj Abdullah lewat Istiqamah. Membentuk kesudahan tragedi kadangkala lebih mudah daripada keadilan puitis. Di kala yang lain pula juga boleh berlaku sebaliknya.
Tragedi dalam Rona Bosphorus berpadanan dengan rangsangan dalam cerita. Pembaca yang menguliti karya ini akan sedar, betapa banyak halangan yang ditempuhi oleh watak utama dalam mencapai cita-citanya. Masalah bertimbun, berlonggok. Itulah rangsangan dalam cerita bagi saya. Dan novel ini ditamatkan dengan kegagalan watak menyelesaikan masalah dan halangannya.
Apa yang menarik dan tidak menyebabkan kejemuan adalah apabila masalah dan halangan (yang sekalipun di akhir nanti tidak dapat diselesaikan) kelihatan seolah-olah akan selesai berkat usaha guru bahasa Arab yang membantu pemilik tanah tempat madrasah didirikan. (maksud saya, membantu membawa ke hospital) Baca dan kesani bahawa semacam terdapat harapan masalah itu menemui kejayaan untuk diselesaikan. Berkali-kali, sehingga pembaca menyangkakan, dalam penceritaan yang memilih latar Turki ini akan memberikan keadilan puitik kepada watak. Pembaca tahu masalah berat, tetapi kebetulan dan usaha watak semacam membenih harapan; ya, masalah akan selesai.
Dan ketika halangan ini gagal dilepasi, pembaca kembali kecewa dengan dugaan yang meleset.
(Penulis gemar menjadikan pembaca asyik tersalah sangka. Mula-mula disangka halangan tidak akan dapat ditembusi, tetapi bagai ada harapan. Bila pembaca mula berharap, penulis menghancurkan pula harapan itu dengan kesudahan sebaliknya.)
Begitu juga dengan cinta antara Afham dan Amal, semacam ada harapan, tetapi digagalkan dengan kepulangannya. Kemudian semacama ada harapan bila alamat emel bertukar tangan.
Babakan bergerak pantas, tetapi diperlahankan di setiap dialog. (...sebuah tren tiba, berhenti untuk beberapa saat, dan Afham melompat masuk ke dalamnya.) Dialog dibawa dengan tempo perlahan demi menghidupkan suasana hingga yang serius tampak serius, dan jenaka terserlah jenaka. Saya patut kata, entah berapa kali tawa pecah di rongga mulut, dan entah berapa kali bibir terhias senyum. Penulis bijak memberi gambaran sebenar perasaan watak dengan kalimah paling tepat dan mengesan. (Dia kata, Emine memang cantik bila pakai tudung. Sekali tengok macam gadis Melayu. Betul kan Kak? ------ Siti Aishah mengangguk. Emine tersipu-sipu, tetapi lekas menyedari dirinya ditipu apabila melihat Amal Hayati dan Siti Aishah serentak tergelak.-------Ni mesti nak kelentong saya lagi.------Kali ini pinggang Amal Hayati pula yang menjadi mangsa cubitannya.)
Karya ini bukti kematangan penulis kelahiran Johor ini apabila beberapa perkara yang belum dijelaskan di sesebuah bab disampaikan di bab berikutnya. Menyelesaikan persoalan hingga sifar tanda tanya adalah bukti kemahiran menyusun isi dan memperkemas ide. Ya, Rona Bosphorus ditulis dengan santai, tetapi masih tidak mengabaikan struktur kata dan pemilihan kata yang berkesan. Penulis bijak memasukkan kosa kata dengan tidak terburu-buru. Itulah yang istimewa.
Namun bagi saya, emel dari Wajdi memerlukan penilaian - adakah ia cukup kuat menjadi bab asing memandangkan ia kurang memberi kesan kepada cerita. Atau emel dari Wajdi barangkali harus diperkuat dengan menyisihkan elemen yang bersifat 'bualan kosong'. Mungkin juga saya silap menilai ia sebagai bualan kosong, padahal diri sendiri waham sebab musabbab peletakkannya.
Rona Bosphorus adalah contoh garapan hidup yang mempersembah realiti dari lembah kehidupan ke jalur hayat; bercampur aduk (tetapi masih dapat dibezakan) antara perasaan yang sebentar condang ke 'kanan' ditarik balik menuju ke kiri. Saya patut kata, rasa kagum saya adalah apabila penulis membawa pembaca bersama-sama hanyut hingga apabila azan Subuh tiba, barulah saya sedar, saya belum tidur dengan cukup malam tadi. Alangkah mengantuknya
No comments:
Post a Comment